Showing posts with label Jalan-jalan luaskan pandangan-Indonesia. Show all posts
Showing posts with label Jalan-jalan luaskan pandangan-Indonesia. Show all posts

Friday, January 13, 2012

Kalau ke Indonesia .....

Sepanjang 5 hari di Jakarta dan Bandung, sebenarnya tidak cukup untuk aku mengenali negara ini secara dekat.  Tetapi untuk kenangan dan panduan aku pada masa depan, berikut adalah catatan kenangan 5 hari pada penghujung tahun 2011  :-
  • perbezaan waktu antara Malaysia dan Indonesia adalah 1 jam, kalau di Malaysia pukul 6 petang, di Indonesia baru pukul 5 petang
  • wang kertas matawang rupiah Indonesia paling besar ialah 100,000 rupiah (bersamaan RM33)
  • harga barangan di kebanyakan pasar adalah murah, tetapi masih boleh ditawar.  Jangan takut menawar. Sekiranya mereka berkeras tidak mahu menurunkan harga walaupun kita mengugut untuk meninggalkan kedai tersebut, bermakna memang harganya sudah sedia murah dan penjual akan rugi jika dikurangkan lagi.  Jadi janganlah sampai bergaduh pulak, kesian juga pada penjual nak cari makan.  Lagipun anda sedang berada di "tempat orang" .... harus berhati-hati
  • sebaiknya bawa kalkulator (handphone pun boleh) untuk memudahkan proses tawar-menawar. Atau buat macam kami, sediakan jadual conversion rate (100,000 rp = RM33/ 50,000 rp = RM16.70/ 150,000 rp = RM50.00 dan seterusnya).  Bila nak tawar-menawar, rujuk je pada jadual ni.
  • hari Ahad adalah hari beristirehat, kedai-kedai pun banyak yang tutup. Mungkin hari Ahad lebih sesuai untu sesi lawatan ke tempat-tempat bersejarah
  • kedai makan banyak di sepanjang jalan.  Samada di Jakarta atau Bandung kelihatan paling banyak retsoran Nasi Padang. Sesekali terjumpa restoran masakan Madura, Sunda dan Betawi.  
  • samada masakan itu halal atau tidak sukar dipastikan.  Samada Islam atau Kristian, mereka berwajah sama, nama sama, pertuturan sama dan pakaian pun sama.  Walau bagaimanapun, wanita Muslim boleh dikenali apabila mereka memakai tudung (itulah indahnya pakaian wanita Islam, membezakan antara Muslimah dengan wanita bukan Islam)
  • tiada masalah untuk beribadat.  Masjid ada di merata tempat. R&R juga ada musolla yang luas. Tempat melawat seperti Taman Safari Indonesia juga ada musolla yang cantik.  Restoran dan tempat membeli-belah juga menyediakan musolla. Malah di bilik-bilik hotel juga disediakan arah kiblat.
  • ketika tiba di kawasan awam sebaiknya jalan dalam kumpulan untuk mengelakkan diri menjadi tumpuan penjual yang akan menghimpit kita untuk membeli barangan mereka. Bila beramai-ramai, mereka tak fokus pada kita seorang ... heheheh
  • sebaiknya membeli minuman dalam botol atau tin dari kedai-kedai sahaja dan bukan minuman yang dibancuh untuk mengelakkan perut meragam
  • tidak ada masalah komunikasi dengan penjual atau pekerja hotel, semuanya bercakap bahasa Indonesia standard walaupun mereka dari pelbagai suku bangsa seperti Jawa, Sunda, Madura, Minang, Batak, Cina dan sebagainya.
  • Jakarta dan Bandung memang terkenal dengan kesesakan jalanraya.  Terkadang terasa masa banyak terbuang akibat terperangkap dalam kesesakan ini. Bagaimanapun, aku cukup kagum dengan tahap toleransi mereka di jalanraya. Jarang mereka membunyikan hon dan sentiasa memberi jalan kepada kenderaan lain yang ingin memotong.
  • kenderaan paling banyak ialah Toyota (Vios dan Avanza paling banyak di jalanan). Kereta jenis compact tidak banyak ditemui
Rasanya banyak lagi perkara yang aku terlepas pandang.  Mungkin jika ada rezeki, aku teringin sekali menjejak kaki ke desa Minang yang indah di Padang, Indonesia.  Insyaallah.

Thursday, January 12, 2012

Kembali ke Penang (19 Dec 2011)

(TQ Idazaidi - guna gambar awak yang mengancam ni)
Tidor kami sekejap sahaja. Pukul 2 pagi telefon berdering-dering. Wake-up call dari pihak hotel.  Mandi-manda seadanya, terus aje menarik beg masing-masing turun ke lobi.  Petugas hotel pula sibuk memuatkan beg ke dalam bas .... sarat!!! Kalau semasa tiba di Jakarta aku hanya membawa 2 beg (satu beg penuh berisi, satu beg lagi kosong ... reserve untuk isi barang shopping), balik kali ini 3 beg penuh padat dengan barangan.  Abah mengugut-ngugut aku, sediakan duit spare untuk jelaskan bayaran bagasi lebih had.  Aduhhh ... terpaksalah aku menyimpan beberapa ribu rupiah, tak boleh nak dibelanjakan sampai licin.

Pihak hotel menyediakan nasi goreng dan minuman panas. Tapi dalam keadaan baru bangun tidor tengah malam, siapalah yang mampu menjamu selera? Ala-ala nak bersahur pulak .... langsung tak berselera.

Pukul 3.30 pagi kami bergerak ke Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.  Perjalanan sungguh aman kerana jalanrayanya kosong, cuma sesekali kenderaan lalu-lalang.  Kira-kira 30 minit kemudian kamipun tiba di lapangan terbang.  Setelah memunggah beg masing-masing, kami mengucapkan selamat berpisah kepada Rendra dan 2 pemandu yang sangat peramah dan sabar melayan kerenah kami.

Segala urusan di lapangan terbang berjaan dengan lancar dan pesawat kami bertolak ke Pulau Pinang tepat jam 6.00 pagi.  Penerbangan 6 jam sungguh nyaman, cuaca pun baik. Tak ada kes pesawat bergoyang-goyang macam penerbangan dari Abu Dhabi dulu.  Kami selamat mendarat di Pulau Pinang pukul 8.10 minit. Alhamdulillah atas nikmat Allah memelihara kami sepanjang perjalanan. Puteri Tengah dan Puteri Bongsu telah siap menunggu.

Ketika ini barulah perut terasa teramat laparnya.  Aku rindukan makanan Penang!!!!  Tempat kami tuju tentunya Penang Kayu Nasi Kndar.  Aku dan Abah melepaskan rindu kami kepada roti canai kuah banjir dan teh tarik kurang manis.  Yummyyyy

Tuesday, January 10, 2012

Bandung - Jakarta (18 Dec 2011)

Bangun pagi dahpun kedengaran bunyi muzik jawa ... ada bunyi gemelan dan peralatan muzik traditional yang lain.  Aku segera menjenguk keluar  bilik. Ohhh .... rupa-rupanya di ruang foyer hotel tersebut akan berlangsung majlis. Majlis perkahwinan. Semalam akibat terlalu letih, aku tidakpun perasan apa yang berlaku di ruang tersebut.Kelihatannya ada pelamin, kerusi tetamu, meja bankuet dan ruang yang berhias indah.   Selepas sarapan, kami mempunyai banyak masa untuk mengemas beg atau berehat,  tetapi kebanyakan kami mengambil peluang untuk menyaksikan majlis ini.  Dari banner yang terpasang, tahulah aku ini majlis perkahwinan antara Nia dan Budhi (nama penuh tidak ditulis .... mesti panjang berjela).  Tepat jam 9.00 pagi (8.00 pagi waktu Indonesia), kelihatan Budhi dan rombongannya tiba ke lobi hotel.  Dia dan rombongannya begitu sporting tersenyum kepada kami pelancong dari Malaysia yang menyebuk jadi jurugambar pada majlis tersebut.

Majlis  yang berlangsung pagi ini adalah majlis pernikahan.  Majlis resepsi akan diadakan di lokasi yang sama pada waktu tengah hari. Majlis dimulakan dengan bacaan doa selamat. Kami turut mengaminkan.  Semoga pengantin berbahagia hingga ke akhir hayat.  Seterusnya diperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al Quran surah An-Nur oleh sepasang qari dan qariah.  Pembacaan bergilir-gilir, satu ayat qari, satu ayat qariah dan begitulah seterusnya diikuti oleh terjemahannya.  Seterusnya wakil pengantin lelaki memberi ucapan.  Aku tidak faham apa yang dituturkan, mungkin mereka menggunakan dialek Sunda, suku kaum yang utama di Bandung.  Bagaimanapun kami tidak dapat menyaksikan aturcara majlis seterusnya kerana terpaksa beredar untuk bertolak ke Jakarta.

Budhi diarak masuk ke hotel untuk majlis pernikahan


Tempat majlis pernikahan dan resepsi perkahwinan akan dilangsungkan
Sebelum meninggalkan Bandung kami singgah dahulu ke kawasan membeli-belah Cihampelas.  Dimaklumkan ini merupakan syurga membeli-belah untuk barangan factory outlet.  Semua barang ada di sini, barang berjenama atau tak berjenama, barangan kulit tempatan malahan permainan menyerupai senapang patah pun ada.  Muzik pun kuat kedengarannya, mungkin untuk menarik perhatian pelancong.  Setelah hampir 1 jam di sini kami memulakan perjalanan ke Jakarta melalui Lebuhraya Cipularang.  Dari highway ini jelas kelihatan Tangkuban Perahu yang kemuncaknya masih ditutupi kabus.

Pelbagai jenis barangan ada di Cihampelas
Laluan sepanjang highway agak baik.  Kereta di sini dipandu laju juga seperti di Malaysia. Jalannya sebahagian diturap tar dan ada beberapa kawasan diturap simen.  Di kiri-kanan highway kelihatan gunung-ganang yang cantik, sawah yang berlapis-lapis di lereng bukit, ladang tebu, kebun sayur, perkampungan dan masjid-masjid yang kecil tetapi begitu banyak.  Apabila semakin hampir ke Jakarta, kelihatan banyak kawasan industri di kiri-kanan highway.

Setelah 3 jam perjalanan, kami sampai ke Jakarta dan terus singgah ke restoran nasi padang untuk mengisi perut yang sudah berkeroncong.  Bersebelahan restoran itu terdapat sebuah masjid yang kecil. Pada mulanya kami ingatkan musolla kerana saiznya yang boleh memuatkan hanya 4 saf (lebihkurang 40 orang jemaah).  Petugas restoran mengesahkan itu adalah masjid dan mereka mengadakan solat Jumaat setiap minggu di situ.  Rupanya masalah keluasan tanah yang terhad serta penempatan penduduk yang padat menyebabkan mereka membina masjid yang kecil-kecil tetapi jaraknya hampir antara satu dengan yang lain.

Kami seterusnya bertolak ke Pasar Tanah Abang yang merupakan kompleks membeli-belah yang digemari pelancong Malaysia.  Di sini merupakan tempat penjualan pelbagai busana muslim, tudung, batik dan telekong yang cantik dan murah. Sayang sekali kami tiba pada masa yang salah .... rupanya hari Ahad banyak kedai yang tutup.  Hanya beberapa kedai di setiap tingkat yang dibuka.  Frusttt.  "Rendra!!!! Kenapa kamu tidak beritahu awal-awal supaya kami boleh habiskan rupiah kami di Bandung???" marah ibu-ibu. "Ampunnn buu ... saya terlupa untuk maklumkan".  Hrmmmmm......

Pasar Tanah Abang - hasrat nak shopping hari terakhir tak tercapai
Memandangkan tidak banyak yang dapat dibeli, kami bertolak dari Tanah Abang dan menyusuri Pusat Bandaraya Jakarta. Hari Ahad perjalanan sungguh tenang.  Kereta tidak banyak dan jalan pun tidak jam. Agaknya mereka sudah jemu 6 hari seminggu bergelut dengan traffic jam, hari Ahad digunakan sepenuhnya untuk berehat di luar Jakarta.  Kebanyakan bangunan tinggi dan cantik merupakan pejabat kerajaan, hotel ataupun pusat membeli-belah.  Suasana menyambut Krismas telah kelihatan dengan banyaknya pokok-pokok Krismas menghiasi lobi-lobi hotel dan pusat membeli-belah. Hati terasa megah melihat bangunan Maybank Syariah yang tersergam dan cawangan CIMB yang kelihatan di banyak lokasi.  Kereta Proton juga kelihatan banyak di jalanraya.

Proton .... teksi di Jakarta??
Seterusnya malam ini kami makan malam perpisahan di sebuah restoran yang cantik dan menyajikan menu masakan Sunda.  Antaranya dihidangkan adalah ayam penyek, sayur lemak pucuk ubi, tempe goreng dan beberapa menu daging dan udang.

Semua seronok nak pekena masakan menu Sunda
Dalam perjalanan ke hotel, kami melintasi Masjid Istiqlal yang besar dan cantik.   Masjid terbesar di Asia Tenggara yang mampu memuatkan seramai 120 ribu jemaah ini direkabentuk oleh seorang arkitek Kristian bernama Frederich Silaban.

Seterusnya kami tiba di hotel Gren Alia Cikini.  Hotel bertaraf 2 bintang ini kelihatan sungguh mewah kerana semua dinding dan lantainya ditutupi marmar berwarna gelap.   Sebelum masuk ke bilik masing-masing, kami sempat bergambar beramai-ramai di lobi hotel berkenaan.

25 pelancong Malaysia bersama Pak Rendra - berbaju petak di hadapan sekali

Saturday, January 7, 2012

Bandung (17 Dec 2011)

Lepas sarapan semua bersiap di atas bas.  Bawa makanan ringan, minuman ringan, gula-gula, asam ... ala-ala nak pergi berkelah.  Perjalanan kali ini sehari suntuk lagi.  Kami mulakan dengan menyusuri jalan-jalan di pesisiran Kota Bandung.  Ini untuk mengelakkan kesesakan jalanraya di pusat bandar.

Bandung merupakan ibukota bagi Jakarta Barat.  Belanda yang menjajah  Indonesia satu ketika dulu memilih Bandung untuk membuka ladang-ladang.  Memandangkan kawasan ini subur dan dingin (purata 24 C), ia juga menjadi pilihan mereka untuk mendirikan  hotel dan resort untuk percutian keluarga.  Bandung turut dikenali sebagai "The Paris of Java". Belanda berada di sini selama hampir 3 abad sebelum kemerdekaan Indonesia pada tahun 1945. Hasilnya pengaruh Kristian amat ketara di Bandung.  Banyak kelihatan gereja yang besar dan cantik di sini. Walau bagaimanapun majoriti penduduk Bandung (dilaporkan lebih 90%) adalah beragama Islam. Majoriti penduduknya dari suku Sunda.

Tangkuban Perahu - umpama sebuah perahu yang terbalik  (gambar ehsan  Gemiez.blogspot)
Kami melalui beberapa kawasan menarik seperti Jalan Setiabudi, pekan Lembang (pekan kecil yang cantik),  serta beberapa kawasan penanaman teh yang cantik sebelum masuk ke kawasan Tangkuban Perahu.  Tangkuban Perahu ialah sebuah gunung yang kelihatannya seperti sebuah perahu yang terbalik.  Ianya jelas kelihatan dari Bandung.  Untuk mengetahui mitos Tangkuban Perahu, klik sini

Bas kami dibenarkan naik sehingga ke satu kawasan yang ditetapkan. Dari sini kami perlu menaiki van shuttle untuk sampai ke puncak gunung.  Sepanjang perjalanan kelihatan pokok pakis gergasi, pokok pine yang tinggi serta pelbagai flora hutan yang besar-besar tumbuh di kiri-kanan jalan. Tiba di puncak gunung, cuacanya begitu dingin (kira-kira 17C).  Pemandangan pada mulanya agak terhad kerana sekitar gunung ditutupi kabus. Walau bagaimanapun,  bagaikan kasihan kepada kami yang datang dari jauh, kabus bergerak perlahan-lahan sehingga semakin lama semakin jelas pemandangan dari puncak gunung tersebut. Subhanallah.  Kami berada di puncak gunung berapi.

Paku-pakis dan pokok pine semua bersaiz besar
Di sini terdapat beberapa kawah yang boleh dilihat dengan jelasnya.  Antaranya ialah Kawah Ratu, sebuah kawah dalam yang menyerupai sebuah mangkuk besar. Walaupun kawah ini tidak lagi aktif, bau belerang masih dapat dihidu dengan asap belerang kelihatan keluar perlahan-lahan dari rekahan bumi. Kawah lain di sini antaranya Kawah Domas, Kawah Baru, Kawah Upas dan beberapa kawah lagi .... sebahagiannya  tidak dibenarkan dihampiri kerana mengeluarkan wap beracun.  Yang tidak tahannya sepanjang kami di sini rasanya tidak aman, sentiasa diekori oleh penjual cenderamata yang tanpa jemu memujuk kami membeli barang dagangan mereka.  Kalau beli dari seorang penjual, siaplah ... berederetan penjual yang lain datang menghampiri kita.


Kawah Ratu - bau dan asap belerang masih terdapat di sini
Tangkuban Perahu penuh dengan mitosnya

Turun dari Tangkuban Perahu, kami makan tengahari sebelum menuju ke Mode House.  Harga barangan di sini agak mahal dan kelihatannya ramai orang tempatan sedang berbelanja ... mungkin persiapan untuk menyambut Krismas.  Jadinya kami hanya singgah  menjamu mata saja di sini.

Seterusnya kami pergi ke Pasar Baru, sebuah kompleks membeli-belah setinggi 6 tingkat yang menjual pelbagai barangan murah.  Masyaallah, rambang mata kami sini.  Pilih aje nak telekong, tudung, kain ela, baju wanita, baju kanak-kanak, kain batik dll., semua ada. Yang tak ada emak dengan bapa kita aje. Hrmm tak sedar masa 3 jam yang diperuntukkan berlalu begitu pantas.  Harga yang diletakkan oleh penjual sudah sedia  rendah tetapi masih boleh ditawar.  Patutlah orang Malaysia suka berbelanja di Bandung.

Dua pemuda tempatan yang merupakan penyanyi jalanan menaiki bas kami sehingga tiba ke restoran.  Dengan berbekalkan sebuah gitar, drum mini dan harmonika, kami dihiburkan dengan lagu-lagu popular yang mesra di telinga orang Malaysia seperti Isabella,  Kamelia, Bulan dan Jujur.  Sedap vokal anakmuda ini.  Kami pun menghulur beberapa ribu rupiah sebagai menghargai hiburan yang mereka sajikan.

Kereta kuda masih menjadi pilihan pelancong menyusuri Bandung
Selepas makan malam di sebuah restoran yang menyajikan menu masakan Thai, kami bertolak balik ke hotel. Tugas utama malam ini ialah mengemas beg kerana besuk kami akan bertolak semula ke Jakarta. 

Thursday, January 5, 2012

Jakarta - Bandung (16 Dec 2011)


Pukul 9 pagi (8 waktu Indonesia) kami check-out dari Trinity Hotel.  Sengaja kami bertolak lewat untuk mengelakkan tersangkut dalam kesesakan jalanraya kala warga Jakarta bergegas untuk masuk kerja di pejabat masing-masing.  Selain dari kenderaan persendirian, kerajaan Indonesia juga menyediakan kemudahan pengangkutan bagi kakitangan kerajaan iaitu perkhidmatan bas mengelilingi Jakarta dikenali sebagai Busway.  Terdapat platform khas untuk orangramai menunggu serta disediakan laluan khas di atas jalanraya untuk Busway ini.  Di Jakarta belum ada perkhidmatan LRT.

Tepat pukul 10 pagi kami tiba di Taman Mini Indonesia - TMI (ala-ala Mini Malaysia di Melaka).  Di sini kami berhenti di beberapa replika rumah penduduk wilayah-wilayah di Indonesia seperti Rumah Sumatera, Rumah Kalimantan, Rumah Nusantara Barat, Rumah Bali, Rumah Jawa Timur (Surabaya), Rumah Jawa Tengah (Solo), Rumah Madura dll.  Memandangkan masa terhad, persinggahan kami hanya sekejap-sekejap sahaja, tidak sempat pun naik ke semua rumah tersebut.

Berhampiran TMI terdapat pelbagai muzium lain seperti Muzium Burung, Muzium Herba, Muzium Buaya, Muzium Transportasi, Muzium Al Quran, Muzium Presiden Suharto, Muzium Tentera dll lagi. Wah, kalau duduk 2 hari di sini pun, belum tentu kita mampu melawat kesemua muzium tersebut. Boleh patah kaki. Capekkk Bu!!!  Aku amat tertarik dengan cara Kerajaan Indonesia meletakkan kesemua muzium tersebut di satu kawasan yang luas. Tidak perlu membuang masa untuk pergi ke beberapa muzium yang terletak di bandar yang berlainan. Sangat teratur dan terancang.


Rumah Sumatera - atapnya macam atap rumah Minang di Negeri Sembilan
Kami meneruskan perjalanan ke arah Bandung.  Di kiri-kanan jalan kelihatannya banyak masjid dan perkampungan orang Islam. Kebetulan hari ini hari Jumaat, kaum Adam kelihatan berduyun-duyun menuju masjid-masjid tersebut. Kegiatan ekonomi penduduk tempatan adalah dalam bidang pertanian apabila banyak kelihatan sawah padi, tanaman jagung, pisang, kelapa dan buah-buahan.  Di pertengahan jalan kami singgah makan tengahari di sebuah restoran nasi padang.  

Kemudiannya kami meneruskan perjalanan pendakian bukit sehinggalah kami sampai ke Taman Safari Indonesia di Cisarua-Bogor.  Di sini kesemua haiwan liar dibiarkan bebas lepas. Justeru semua pelawat tidak dibenarkan turun dari kenderaan, malah di sesetengah tempat, semua cermin kenderaan mesti ditutup rapat untuk mengelakkan kejadian tidak diingini. Ranger lengkap dengan senapang sentiasa mengawasi kawasan. Inilah kali pertama aku dapat melihat haiwan ganas seperti harimau pelbagai spesis, buaya, badak dan singa secara dekat. Malah kadang-kadang haiwan ini dengan selambanya beristirehat betul-betul di tepi laluan bas.  Haiwan di sini sudah pandai. Apabila melihat bas pelancong, segera mereka merapatkan diri untuk meminta makanan. Patutlah Rendra singgah di tepi jalan membeli karot dan pisang. Unta yang paling garang, saling menggigit untuk  merebut makanan dari kami.  Walau bagaimanapun, haiwan buas diasingkan daripada haiwan kecil seperti rusa, arnab, kuda belang, zirafah dll dengan pintu besi yang dikawal rapi oleh para ranger.  Haiwan yang terdapat di sini berasal dari Indonesia dan negara-negara lain seluruh dunia.

Kami kemudiannya berhenti untuk memasuki kawasan Baby Zoo & Bird Aviary untuk melihat secara dekat pelbagai spesis burung dan haiwan jinak yang cantik dan pelik.  Burung hantu pun jinak di sini.  Memandangkan masa terhad, kami tidak sempat menyaksikan pelbagai pertunjukan oleh gajah, harimau, singa laut, ikan lumba-lumba dan lain-lain haiwan.

Unta ni garang belaka - berebut-rebut nak makan pisang yang kami hulurkan

Amboi ... relaksnya pak belang ... kami lalu pun tak mau pandang
Kami meneruskan perjalanan dan singgah di sebuah masjid yang cantik iaitu Masjid Atta'Äwun yang terletak di Jalanraya Puncak.  Keindahan masjid ini sangat mempersonakan. Untuk masuk ke kawasan masjid, semua pelawat mesti menanggalkan sepatu dan memijak kerikil kecil yang sejuk. Ala-ala refleksologi ... so, kalau sesiapa ada penyakit, memang berjalan memijak batu-batu halus ini amat menyiksakan.  Kemudiannya pelawat perlu berjalan meranduk aliran airterjun yang teramat sejuk sebelum naik ke masjid.  Airterjun jerrnih kelihatan di belakang masjid ini. Secara semulajadinya, kaki telah bersih untuk memijak lantai masjid.

Masjid AttaÁwun - memang asyik berada di sini, damai, tenang, syahdu
 Setelah solat, badan menjadi segar menghirup udara dingin yang segar.  Kami meneruskan perjalanan ke Bandung dengan pendakian melalui kawasan Puncak.  Kawasan ini sangat dingin dan sentiasa berkabus.  Terdapat ladang teh serta chalet dan hotel di sepanjang jalan.  Ianya umpama Cameron Highland yang belum tercemar dahulu.  Perjalanan seterusnya melalui pekan-pekan utama seperti Cipanas, Cugenang dan Cianjur.  Memandangkan hari telah beransur gelap, tidak banyak pemandangan yang dapat disaksikan. Cuma kami penumpang sering beristifar melihatkan gelagat pemilik motosikal yang suka menyelit di celah-celah kenderaan yang bergerak laju dan memotong dalam keadaan merbahaya terutama di kawasan selekoh tajam.  Ya Allah, selamatkan kami dari segala musibah.

Ladang-ladang teh di Puncak -  dingin dan sentiasa diliputi kabus
Kami tiba di Bandung pada jam 8.30 malam dan terus singgah di Restoran Wibisama.  Malam ini kami menikmati masakan Cina.  Kali pertama aku mencuba jus aprikot.  Jus ini dicampur dengan air gula merah untuk memberi rasa manis.

Setelah melalui perjalanan memenatkan selama hampir 12 jam, akhirnya kami tiba di Hotel Cemerlang yang terletak di Jalan Tjokroaminoto, Bandung. Hotel ini  sangat menarik, bersih dan selesa.  Ahhhh ... tak sabar rasanya untuk membersihkan badan dan melelapkan mata.

Saturday, December 31, 2011

Penang - Jakarta (15 Dec 2011)

Sebenarnya sudah 2 minggu aku pulang dari lawatan ke Indonesia. Entah kenapa semenjak dua menjak ni, aku terlalu sibuk hingga langsung tak ada masa nak menjenguk blog ni.  Tapi hari ini aku paksakan diri.  Sebelum semua cerita itu basi, sebelum semua rentetan peristiwa itu pudar .... elok aku coret-coretkan untuk kenangan.


15 Disember 2011

Tiba di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta jam 11.15 pagi atau 10.15 pagi waktu Indonesia.  Kami disambut oleh Rendra, seorang anak muda berusia 32 tahun yang menjadi pemandu pelancong kami sepanjang tempoh kunjungan ke Indonesia.  Seramai 25 orang warga Pulau Pinang mengikuti rombongan yang diatur oleh Al Jannah Travel Agencies.

Dari lapangan terbang kami dibawa ke restoran untuk makan tengah hari.  Walaupun jarak antara lapangan terbang dengan restoran ini tidak jauh, kami perlu menempuh kesesakan jalanraya hampir 1 jam untuk menjamu selera. Hidangan pertama kami di Indonesia adalah masakan Sunda.  Masakan agak sedap cuma rasa kurang puas kerana masakannya tidak berkuah. Hampir kesemuanya masakan kering.

Setelah solat kami meneruskan perjalanan memasuki Jakarta Pusat. Waduh pak .... sesaknya jalanraya.  Kesesakan jalanraya ini memberi peluang aku memerhati persekitaran.  Jakarta memang padat dengan anggaran penduduk seramai 10 juta orang. Tidak hairan sepanjang laluan di kiri kanan lebuhraya kelihatan banyak penempatan setinggan. Aku terharu  melihat di celah-celah kesesakan penempatan tersebut, banyak berceracak menara-menara masjid, menunjukkan ramainya umat Islam di kota ini.

Setelah mengharungi kesesakan tersebut, akhirnya kami memasuki kawasan di mana banyak bangunan tinggalan Belanda. Semasa era pemerintahan Belanda, Jakarta dikenali sebagai Batavia.  Tempoh pemerintahannya lebih 300 tahun ... hrmmm, patut pun ramai artis Indonesia berwajah cantik. Mungkin hasil perkahwinan campur warga tempatan dengan orang Belanda.

Balai Bomba
Kami tiba di kompleks membeli-belah Mangga 2 dan menghabiskan masa kira-kira 3 jam untuk membeli-belah sepuas hati. Kompleks setinggi 6 tingkat ini penuh sesak dengan pengunjung samada pelancong atau warga tempatan. Di sini pembeli perlu bijak menawar.   Mujurnya Al Jannah membekalkan kami dengan nota kecil tukaran wang.  Setiap masa kami perlu merujuk nota itu untuk urusan tawar-menawar, tak perlu pakai calculator.  100,000 rupiah = RM33.00.  50,000 rupiah = RM16.00 dan seterusnya.  Di sini kami semua adalah juwatan .... hahahah.

Memang rambang mata. Blaus, beg tangan, kasut, telekong, busana muslimah, pakaian kanak-kanak .... semua cantik dan murah.  Menurut Rendra, Mangga 2 merupakan tempat shopping kegemaran artis Malaysia.  Tetapi yang peliknya kebanyakan penjualnya adalah berbangsa Cina. Ohhh, mereka menguasai ekonomi semua negara.  Barangan yang dijual pun banyak yang Made In China.

Kompleks Mangga 2 - syurga kaki shopping
Setelah puas shopping, kami bertolak ke hotel.  Jalanraya penuh sesak. Semasa kenderaan berhenti dalam kesesakan tersebut,  para penjaja mengambil peluang mempamirkan barangan jualan mereka.  Anak-anak jalanan pula menadah tangan meminta rupiah.  Terasa sedih sangat, tapi aku tak mampu nak melayannya. Kalau diberi pada seorang,  yang lain pun akan menyerbu bas kami.

Di sepanjang jalan juga aku melihat pelbagai jenis kenderaan awam yang digemari rakyat.  Antaranya bas kota, teksi, van, ojek (motosikal disewa membawa penumpang), bajaj (teksi roda tiga) dan beca.  Semuanya saling menyelit di celah kereta milik persendirian.  Pemandu di Jakarta tinggi tahap toleransinya. Jarang kedengaran mereka membunyikan hon dan selalu memberi laluan kepada kenderaan lain yang mahu menyelit. Kalau di Pulau Pinang, ada pemandu yang akan menunjuk penumbuk atau membunyikan hon panjang kalau ada yang suka menyelit.

Anak jalanan  mencari rezeki
Kami makan malam di Restoran Simpang Raya dengan menu masakan Padang.  Dalam perjalanan ke hotel, kami melalui Monumen Nasional (MONAS) yang menjadi kebanggaan rakyat Indonesia serta Istana Presiden.
MONAS - mercutanda kebanggaan Indonesia
Kami check-in di Trinity Hotel yang terletak di Jalan Pembangunan, Jakarta Pusat.  Semua tidak sabar membersihkan tubuh dan melabuhkan badan di katil setelah seharian di jalanan.