Thursday, January 5, 2012

Jakarta - Bandung (16 Dec 2011)


Pukul 9 pagi (8 waktu Indonesia) kami check-out dari Trinity Hotel.  Sengaja kami bertolak lewat untuk mengelakkan tersangkut dalam kesesakan jalanraya kala warga Jakarta bergegas untuk masuk kerja di pejabat masing-masing.  Selain dari kenderaan persendirian, kerajaan Indonesia juga menyediakan kemudahan pengangkutan bagi kakitangan kerajaan iaitu perkhidmatan bas mengelilingi Jakarta dikenali sebagai Busway.  Terdapat platform khas untuk orangramai menunggu serta disediakan laluan khas di atas jalanraya untuk Busway ini.  Di Jakarta belum ada perkhidmatan LRT.

Tepat pukul 10 pagi kami tiba di Taman Mini Indonesia - TMI (ala-ala Mini Malaysia di Melaka).  Di sini kami berhenti di beberapa replika rumah penduduk wilayah-wilayah di Indonesia seperti Rumah Sumatera, Rumah Kalimantan, Rumah Nusantara Barat, Rumah Bali, Rumah Jawa Timur (Surabaya), Rumah Jawa Tengah (Solo), Rumah Madura dll.  Memandangkan masa terhad, persinggahan kami hanya sekejap-sekejap sahaja, tidak sempat pun naik ke semua rumah tersebut.

Berhampiran TMI terdapat pelbagai muzium lain seperti Muzium Burung, Muzium Herba, Muzium Buaya, Muzium Transportasi, Muzium Al Quran, Muzium Presiden Suharto, Muzium Tentera dll lagi. Wah, kalau duduk 2 hari di sini pun, belum tentu kita mampu melawat kesemua muzium tersebut. Boleh patah kaki. Capekkk Bu!!!  Aku amat tertarik dengan cara Kerajaan Indonesia meletakkan kesemua muzium tersebut di satu kawasan yang luas. Tidak perlu membuang masa untuk pergi ke beberapa muzium yang terletak di bandar yang berlainan. Sangat teratur dan terancang.


Rumah Sumatera - atapnya macam atap rumah Minang di Negeri Sembilan
Kami meneruskan perjalanan ke arah Bandung.  Di kiri-kanan jalan kelihatannya banyak masjid dan perkampungan orang Islam. Kebetulan hari ini hari Jumaat, kaum Adam kelihatan berduyun-duyun menuju masjid-masjid tersebut. Kegiatan ekonomi penduduk tempatan adalah dalam bidang pertanian apabila banyak kelihatan sawah padi, tanaman jagung, pisang, kelapa dan buah-buahan.  Di pertengahan jalan kami singgah makan tengahari di sebuah restoran nasi padang.  

Kemudiannya kami meneruskan perjalanan pendakian bukit sehinggalah kami sampai ke Taman Safari Indonesia di Cisarua-Bogor.  Di sini kesemua haiwan liar dibiarkan bebas lepas. Justeru semua pelawat tidak dibenarkan turun dari kenderaan, malah di sesetengah tempat, semua cermin kenderaan mesti ditutup rapat untuk mengelakkan kejadian tidak diingini. Ranger lengkap dengan senapang sentiasa mengawasi kawasan. Inilah kali pertama aku dapat melihat haiwan ganas seperti harimau pelbagai spesis, buaya, badak dan singa secara dekat. Malah kadang-kadang haiwan ini dengan selambanya beristirehat betul-betul di tepi laluan bas.  Haiwan di sini sudah pandai. Apabila melihat bas pelancong, segera mereka merapatkan diri untuk meminta makanan. Patutlah Rendra singgah di tepi jalan membeli karot dan pisang. Unta yang paling garang, saling menggigit untuk  merebut makanan dari kami.  Walau bagaimanapun, haiwan buas diasingkan daripada haiwan kecil seperti rusa, arnab, kuda belang, zirafah dll dengan pintu besi yang dikawal rapi oleh para ranger.  Haiwan yang terdapat di sini berasal dari Indonesia dan negara-negara lain seluruh dunia.

Kami kemudiannya berhenti untuk memasuki kawasan Baby Zoo & Bird Aviary untuk melihat secara dekat pelbagai spesis burung dan haiwan jinak yang cantik dan pelik.  Burung hantu pun jinak di sini.  Memandangkan masa terhad, kami tidak sempat menyaksikan pelbagai pertunjukan oleh gajah, harimau, singa laut, ikan lumba-lumba dan lain-lain haiwan.

Unta ni garang belaka - berebut-rebut nak makan pisang yang kami hulurkan

Amboi ... relaksnya pak belang ... kami lalu pun tak mau pandang
Kami meneruskan perjalanan dan singgah di sebuah masjid yang cantik iaitu Masjid Atta'Äwun yang terletak di Jalanraya Puncak.  Keindahan masjid ini sangat mempersonakan. Untuk masuk ke kawasan masjid, semua pelawat mesti menanggalkan sepatu dan memijak kerikil kecil yang sejuk. Ala-ala refleksologi ... so, kalau sesiapa ada penyakit, memang berjalan memijak batu-batu halus ini amat menyiksakan.  Kemudiannya pelawat perlu berjalan meranduk aliran airterjun yang teramat sejuk sebelum naik ke masjid.  Airterjun jerrnih kelihatan di belakang masjid ini. Secara semulajadinya, kaki telah bersih untuk memijak lantai masjid.

Masjid AttaÁwun - memang asyik berada di sini, damai, tenang, syahdu
 Setelah solat, badan menjadi segar menghirup udara dingin yang segar.  Kami meneruskan perjalanan ke Bandung dengan pendakian melalui kawasan Puncak.  Kawasan ini sangat dingin dan sentiasa berkabus.  Terdapat ladang teh serta chalet dan hotel di sepanjang jalan.  Ianya umpama Cameron Highland yang belum tercemar dahulu.  Perjalanan seterusnya melalui pekan-pekan utama seperti Cipanas, Cugenang dan Cianjur.  Memandangkan hari telah beransur gelap, tidak banyak pemandangan yang dapat disaksikan. Cuma kami penumpang sering beristifar melihatkan gelagat pemilik motosikal yang suka menyelit di celah-celah kenderaan yang bergerak laju dan memotong dalam keadaan merbahaya terutama di kawasan selekoh tajam.  Ya Allah, selamatkan kami dari segala musibah.

Ladang-ladang teh di Puncak -  dingin dan sentiasa diliputi kabus
Kami tiba di Bandung pada jam 8.30 malam dan terus singgah di Restoran Wibisama.  Malam ini kami menikmati masakan Cina.  Kali pertama aku mencuba jus aprikot.  Jus ini dicampur dengan air gula merah untuk memberi rasa manis.

Setelah melalui perjalanan memenatkan selama hampir 12 jam, akhirnya kami tiba di Hotel Cemerlang yang terletak di Jalan Tjokroaminoto, Bandung. Hotel ini  sangat menarik, bersih dan selesa.  Ahhhh ... tak sabar rasanya untuk membersihkan badan dan melelapkan mata.

No comments: