Showing posts with label Mekah dan Madinah ... kerinduan ini. Show all posts
Showing posts with label Mekah dan Madinah ... kerinduan ini. Show all posts

Tuesday, October 5, 2010

Haji Menuju ALLAH - Raihan

Labbaikallah hummalabbaik ... hambaMu datang menyahut panggilanMu Ya Allah, hambaMu datang menyahut panggilanMu. yang tiada sekutu bagiMu. HambaMu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaanMu, tidak ada sekutu bagiMu.

Setiap kali mendengar lafaz Talbiah ini, hatiku merindui Baitullah dan Raudhah. Selesai menunaikan ibadah haji pada tahun 2003, sehingga kini aku masih belum berkesempatan untuk ke sana lagi.

Ya Allah Ya Tuhan ku ... engkau murahkanlah rezeki untuk ku, engkau kurniakanlah kesihatan yang baik untuk ku, engkau permudahkan laluan aku untuk kembali ke tanah suci Mekah dan Madinah. Hanya Engkau Yang Maha Pemurah, Yang Maha Mendengar doa ku.


Friday, April 30, 2010

Keberangkatan Pulang ke Malaysia (14 Mac 2003)

Menimbang Bagasi di Madinatul Hijjaj, Jeddah

Hari ini merupakan hari terakhir kami di Madinah. Sejak pagi lagi aku tidak berhenti menangis, entah kenapa aku rasa begitu sedih mengenangkan untuk meninggalkan tempat bersemadinya Kekasih Allah. Selesai solat Subuh aku masuk ke Raudhah melakukan Ziarah Wada'. Dalam sujud yang panjang aku berdoa semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada ku untuk kembali menziarahi tempat suci ini, yang akan aku rindu selalu.

Kemudian kami menziarahi perkuburan Baqi' mengucapkan salam untuk semua muslimin yang disemadikan di sana. Selepas solat Zohor, kami beriktikaf sebentar di dalam masjid, berdoa supaya ibadahku selama di Mekah dan di Madinah diterima Allah dan diberi peluang untuk berkunjung semula ke sini. Semoga Nabi Muhammad SAW akan memberi syafaatnya kepada aku dan keluarga di akhirat kelak.

Selepas makan tengah hari, kami berkumpul di hadapan hotel untuk pemeriksaan imigresen. Seterusnya Ustaz TM Fouzi bagi pihak petugas Kumpulan JT mengucapkan selamat jalan kepada kami. Tepat jam 2.45 petang kami bertolak meninggalkan Kota Suci Madinah. Mata kami tidak lepas memandang Masjid Nabawi dengan perasaan sayang dan sayu. Air mata ku tidak putus mengalir. Sepanjang perjalanan kami teruskan berselawat.

Sepanjang perjalanan kami berhenti di dua check-point untuk solat Asar dan solat Jamak Qasar Maghrib dan Isya'. Sepanjang perjalanan juga aku melihat perubahan suasana sekeliling dari Madinah yang subur menghijau masuk ke padang pasir yang kontang dan disulami bukit-bukit batu di kiri-kanan lebuhraya. Sesekali terjumpa perkampungan yang kecil dan jauh terasing antara satu sama lain.

Kami tiba di Madinatul Hijjaj, Jeddah pada jam 12 tengah malam. Ini merupakan penempatan Lembaga Tabung Haji untuk jemaah dari Malaysia. Di sini kami ditempatkan di dorm yang memuatkan kira-kira 30 orang jemaah.

Selepas Subuh, semua jemaah diminta menimbang bagasi masing-masing. Alhamdulillah, bagasi kami berempat tidak dikenakan bayaran tambahan. Pada 12 tengah hari, kami berangkat ke Lapangan Terbang Haji Jeddah. Hanya kami dari Kumpulan JT satu-satunya jemaah haji yang berada di sana. Suasana begitu sepi, berbeza sekali dengan semasa kami tiba dahulu. Kami makan dan solat di sini. Penerbangan yang sepatutnya berlepas pada jam 6 petang ditunda kepada pukul 7.30 malam kerana terdapat masalah teknikal pada enjin kapal terbang. Ramai jemaah yang mula panik, tetapi ditenangkan oleh ustaz-ustaz yang menemani kami.

Tepat pukul 8.00 pagi, 16 Mac 2003 kami tiba di KLIA. Disini aku disambut oleh oleh Yong dan suaminya dan dibawa ke rumah mereka di Perumahan Kakitangan KLIA di Nilai. Di sana emak dan adik-adikku telah sedia menunggu. Kami bersarapan dan membersihkan diri sambil saling bertanya khabar berita. Pada jam 12 kami bertolak semula ke KLIA untuk penerbngan balik ke Pulau Pinang menaiki pesawat pukul 1.15 petang. Setibanya kami di sana pada jam 2.30 petang, aku segera memeluk ketiga-tiga permata hatiku. Mama rindu kalian.

Syukur atas nikmat Allah yang memudahkan urusanku selama di Tanah Suci untuk beribadah dengan memberi kesihatan tubuh-badan kepada ku, kesabaran yang tinggi dan perlindungan dari segala mara bahaya. Syukur juga atas nikmat Allah memberi aku bantuan meninggalkan ketiga permata hatiku dalam jagaan sempurna jiran yang baik. Alhamdulillah.

Hari-hari Terakhir di Madinah

Beberapa hari sebelum berangkat pulang dari Madinah, Abah demam. Selera makannya hilang. Aku pun sebenarnya sudah jemu dengan makanan yang disediakan oleh kumpulan JT, walaupun menunya mewah, tetapi apabila lebih 40 hari berturut-turut makan masakan tukang masak yang sama, selera jadi semakin pudar. Kami menyelusuri Kota Madinah mencari makanan yang berbeza. Berjumpa Restoran Tajza Chicken, ayam panggang yang dibakar dan dimakan bersama sayur dan roti, mengingatkan aku kepada ayam di Kenny Rogers Roaster. Keesukannya kami menjamu selera di KFC pulak.

Mujurnya demam Abah cepat lega, kerana perjalanan balik ke Malaysia nanti akan memerlukan tenaga yang banyak bagi perjalanan yang panjang.

Kami juga pernah terlewat untuk solat Subuh di Masjid Nabawi, sedar-sedar dari tidur ketika Bilal hampir menamatkan azan. Apa lagi berebut kami berempat ke masjid tanpa sempat mandi. Mujurnya hotel terletak berhampiran pintu Masjid Nabawi dan solat Subuh pula hanya dimulakan 15 minit selesai azan dilaungkan.

Semasa di Madinah juga aku sempat menempah sepasang jubah. Di kedai tersebut terdapat pelbagai kain untuk jubah dari pelbagai warna dan corak berhiasa manik dan labuci. Setelah selesai dipilih kain yang dikehendaki, pekedai akan meminta kita menyarungkan salah satu jubah contoh yang disediakan dalam saiz XS, S, M, L, XL dan XXL. Ukuran jubah yang kita tempah adalah mengikut ukuran contoh yang paling sesuai dipakai. Pekedai Arab lelaki itu langsung tidak menyentuh tubuh kita. Pakaian akan siap keesukan harinya dengan bayaran yang sangat murah, 10 Rial sahaja (amboi murahnya).

Sepanjang di Madinah setiap petang selepas solat Asar, Ustaz TM Fouzi masih menjalankan kuliah Ugama selama kira-kira 1.30 jam. Topik kuliah lebih umum seperti "Mengenal Allah", "Akhlak Muslim", "Silaturrahim" dan sebagainya. Semasa di Madinah jemaah telah kurang membeli-belah. Memandangkan kami antara jemaah haji terakhir berada di Madinah (termasuk sebahagian kecil jemaah dari Indonesia dan India/Pakistan), barangan jualan telah berkurangan. Tiada lagi gerai-gerai jualan di tepi jalan, semua barang perlu dibeli di kedai-kedai atau supermarket sahaja.

Kami juga telah mula mengemas barangan untuk dibawa pulang ke Malaysia. Ketika ini emosi bercampur-baur, mula merasa rindu untuk bertemu anak-anak, tetapi pada masa yang sama rasanya tidak mahu meninggalkan tanah suci ini.

Tuesday, April 27, 2010

Mandi Kolam di Madinah (11 Mac 2003)

Memang bumi Madinah sangat subur. Terdapat banyak lanskap menarik di sepanjang laluan ke Madinah seperti air terjun buatan manusia, taman-taman dan rumput menghijau. Inilah kelebihan yang Allah kurniakan kepada penduduk Madinah yang menerima kedatangan Islam dengan penuh kesyukuran.

Satu aktiviti yang tidak disangka telah diatur oleh kumpulan JT untuk para jemaah iaitu mandi di kolam renang dalam kawasan kebun tamar. Kolam untuk lelaki dan perempuan adalah terpisah dan dipagar tinggi untuk mengelakkan aurat terdedah pada pandangan mata bukan muhrim. Kami berada di sini selama hampir 2 jam. Walaupun sinaran matahari memancar terik, tetapi tiupan angin dingin menyucuk hingga ke tulang hitam. Ramai yang tidak mampu memakai baju yang basah kerana berasa kesejukan dan menyebabkan kami menggeletar.

Waktu ini semua jemaah nampak gembira, hilang semua rasa'stress'. Difahamkan juga bahawa air kolam ini banyak khasiatnya kerana dipenuhi dengan pelbagai mineral. Kekerapan mandi di sini dipercayai dapat mengurangkan masalah kesihatan seperti sakit sendi dan tulang, lemah badan dan sebagainya. Wallahualam.

Ziarah Madinah (9 Mac 2003)

Di kebun tamar Madinah

masjid qiblatain
Masjid Qiblatain, Madinah

Seawal 7.30 pagi kami telah bertolak keluar dari Madinah Hilton. Jalanraya penuh sesak dengan kenderaan, memandangkan ketika ini penduduk Madinah sedang sibuk untuk keluar ke pejabat dan kanak-kanak pula dalam perjalanan ke sekolah.

Setelah menempuh perjalanan yang agak jauh, kami tiba ke Jabal Uhud. Jabal Uhud yang merupakan bukit tunggal berwarna kemerahan terkenal kerana di sinilah berlakunya peperangan melibatkan Muslimin Madinah dengan kaum musyrikin Mekah. Diriwayatkan tentera Islam yang hanya seramai 700 orang menentang tentera musyrikin seramai 3000 orang. Ramai tentera Islam yang gugur syahid di sini termasuklah bapa saudara Nabi Muhammad SAW iaitu Hamzah bin Abdul Muthalib. Di sini kita dapat melihat kawasan pemakaman para syuhada hanya dari luar kawasan berpagar.

Dari sini kami bertolak pula ke kebun tamar yang dimiliki oleh seorang rakyat Malaysia yang bermastautin di Madinah. Sayang sekali ketika ini bukan musim tamar berbuah, jadi kami tidak dapat menyaksikan bagaimana bentuk tamar pada pokok, bagaimana ia dipetik atau diproses. Sesuatu yang menakjubkan apabila air yang kami minum dari mata air di kebun ini terasa masin, seolah-olah bercampur air laut.

Seterusnya kami pergi pula ke Masjid Qiblatain atau "masjid dua qiblat". Masjid ini pada mulanya dikenali sebagai Masjid Bani Salamah. Pada masa itu, qiblat umat Islam adalah mengadap ke arah Masjidil Aqsa di Baitul Muqaddis. Pada satu hari dalam bulan Rejab tahun kedua Hijrah, semasa Nabi Muhammad SAW sedang menunaikan solat zohor tiba-tiba turun wahyu iaitu ayat 144 Surah Al Baqarah yang memerintahkan Baginda menukarkan arah qiblat mengadap ke Baitullah di Mekah. Setelah menerima wahyu tersebut Baginda menyambung solat dengan mengadap ke arah Baitullah dan nama masjid ini diubah kepada Masjid Qiblatain. Kami tidak melepaskan peluang menunai solat sunat di masjid yang penuh bersejarah kepada semua umat Islam ini.

Selesai lawatan ini, kami kembali ke Madinah untuk menyuci diri sebelum menunaikan solat Zohor di Masjid Nabawi.


Wednesday, April 21, 2010

Mengimbau Sejarah Nabi (8 Mac 2003)




Masjid Quba' Madinah

Di hadapan Masjid Quba'

Pasar Tamar Madinah

Tepat jam 8.20 pagi kami jemaah Kumpulan JT bertolak dari Madinah Hilton. Kami singgah sebentar di Perkuburan Baqi' untuk mengucapkan salam dan menghadiahkan Al Fatihah untuk roh-roh umat Islam yang bersemadi di sini. Di kawasan inilah terletaknya makam isteri-isteri Nabi, puteri-puteri dan sahabat-handai Baginda.

Seterusnya kami singgah sebentar di Pasar Tamar untuk membeli-belah. Terdapat pelbagai jenis tamar seperti ajwa, rotab dan tamar segar serta buah-buahan lain seperti zaitun, pic dan delima. Seperti biasa para jemaah terutama wanita tidak melepaskan peluang mengangkut berkilo-kilo tamar untuk dijadikan buah-tangan apabila pulang ke tanah air kelak.

Dalam perjalanan kami berhenti seketika di hadapan Masjid Jumaah. Masjid ini merupakan tempat pertama Rasulullah menunaikan solat Jumaat semasa di Madinah dan kemudiannya didirikan masjid di tempat ini. Jaraknya kira-kira 2 kilometer dari Masjid Nabawi.

Kami seterusnya tiba di Masjid Quba'. Masjid Quba' merupakan tempat pertama persinggahan Rasullullah semasa Baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah. Di sinilah Baginda bersama Saidina Abu Bakar RA disambut oleh penduduk Quba' dan tinggal untuk beberapa hari sebelum memasuki Madinah. Baginda lalu mendirikan sebuah masjid di sini. Kami semua menunaikan solat sunat di masjid yang penuh bersejarah ini. Diriwayatkan bahawa semasa hayat Baginda, Rasulullah akan mengunjungi masjid ini setiap minggu. Menurut Ustaz TM Fauzi, menunaikan 2 rakaat solat sunat di masjid ini fazilatnya sama dengan menunaikan sekali umrah.

Dalam perjalanan pulang ke Madinah kami singgah seketika di kilang coklat. Pelbagai jenis dan bentuk coklat yang menyaluti tamar, badam atau kekacang lain dijual di kilang ini. Sekali lagi kami jadi rambang mata memilih dan membeli coklat sebagai oleh-oleh.


Friday, April 16, 2010

Raudhah atau Raudhatul Jannah (Taman Syurga)

Masjid e Nabawi Madena by *Muhammad*.
Pemandangan indah dalam Masjid Nabawi


Masjid Nabawi merupakan masjid yang sangat indah senibinanya. Setiap kali berada di dalamnya mata ku akan menatap ke segenap ruang menikmati keindahan yang ada pada tiangnya dan bumbungnya. Terdapat lebih 200 tiang di dalam masjid ini. Dari luar masjid pula akan kelihatan 10 menara dengan beberapa kubah. Pada kubah yang berwarna hijau, di bawahnya terletak makam Nabi Muhammad SAW, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.

Setiap muslim yang tiba di Masjid Nabawi pastinya tidak mahu melepaskan peluang beribadat di Raudhah. Alhamdulillah sepanjang 8 hari berada di Madinah aku dapat masuk ke Raudhah hampir setiap hari kecuali pada hari pertama dan hari ke-empat berada di sini.

Raudhah adalah tempat yang mulia dalam Masjid Nabawi. Diriwayatkan bahawa Raudhah ini terletak di antara mimbar masjid dengan rumah Baginda Rasullullah. Sabda baginda " Di antara rumahku dengan mimbarku terletak sebuah taman di antara taman-taman syurga" (Riwayat anas bin Malik). Di sini juga tempat Baginda sering menerima wahyu dari Allah SWT.

Apabila dibenarkan masuk untuk beribadat di Raudhah, kami perlu beratur panjang menunggu giliran untuk tiba ke kawasan Raudhah tersebut. Ada jemaah yang tidak sabar dan saling tolak-menolak. Saiz badan jemaah dari dari India dan Pakistan yang agak besar dan menghimpit rapat tubuh membuat aku kadang-kadang rimas dan terasa hampir pitam. Tapi aku kuatkan semangat. Aku mesti mengejar peluang yang ada ini untuk beribadat di tempat mulia ini.

Apabila sampai di tempat yang dikhaskan untuk kami solat, kami perlu melakukan solat sunat 2c rakaat dengan segera. Setiap jemaah dibenarkan untuk sebanyak solat 2 rakat sahaja. Sekiranya ada yang ingin melakukan tambahan 2 rakaat lagi, mereka akan ditarik oleh polis wanita yang bertugas di tempat tersebut. Justeru itu aku akan memanjangkan tempoh sujud sambil berdoa di dalam hati. Sebaik selesai solat sunat 2 rakaat, kami akan disuruh keluar dari kawasan tersebut untuk memberi laluan kepada jemaah lain. Peraturan ini perlu memandangkan tempoh berada di Raudhah sangat singkat bagi jemaah wanita dan semua jemaah perlu diberi peluang yang sama untuk beribadat di sini.

Semasa berada di sini, kami diminta memperbanyakkan selawat. Aku tidak mampu menahan airmata merasakan begitu hampirnya aku dengan Junjungan Nabi kita, aku pasti Baginda membalas salam yang aku hulurkan. Aku bersyukur menjadi umatmu Ya Rasullullah.


Monday, April 12, 2010

Madinah Al Munawwarah (6 Mac 2003)

Bahagian dalam Madinah Hilton

Masjid Nabawi dari Restoran Hilton Madinah

Jam 7.30 pagi kami tiba di Madinah setelah melalui perjalanan hampir 8 jam dari Tanah Suci Mekah. Sepanjang perjalanan tersebut, ada jemaah yang tidur dan ramai juga yang tanpa jemu berselawat memuji Nabi Junjungan, tidak sabar untuk kami sampai ke bumi di mana Baginda disemadikan. Kami berhenti di dua lokasi untuk beristirehat dan solat Subuh. Aku tidak mencatatkan nama kedua-dua perhentian tersebut.

Di Madinah kami menginap di Madinah Hilton yang terletak beberapa meter sahaja dari pintu masuk ke Masjid Nabawi. Sekali lagi aku berkongsi bilik dengan Abah dan kedua-dua iparku. AKu merasakan bilik di Madinah Hilton lebih kecil berbanding dengan bilik-bilik Hotel Ajyad dan Hotel Al Massa yang kami diami semasa di Mekah. Sayang sekali tingkap bilik ku tidak menghadap ke arah Masjid Nabawi sebalik nya mengadap kawasan lapang yang dipenuhi oleh kenderaan terutama sekali bas-bas pengangkutan jemaah haji.

Setelah membersih diri dan berwuduk, kami dibawa oleh petugas Kumpulan JT untuk pergi ke Masjid Nabawi. Hatiku berdebar-debar menjejakkan kaki di Masjid Nabi ini, ku mulakan dengan memberi salam kepada Nabi Junjungan dan sahabat-sahabat baginda yang disemadikan di dalam masjid ini iaitu Saidina Abu Bakar RA dan Saidina Umar RA. Kami sseterusnya melakukan solat Tahayutul Masjid dan Solat Dhuha. Hajat kami untuk ke Raudhah tidak kesampaian kerana waktu yang dikhaskan untuk jemaah wanita telahpun tamat. Pada masa ini, jemaah wanita dibenarkan memasuki kawasan Raudhah pada jam 7 hingga 11 pagi dan dari jam 2 hingga 3 petang sahaja.

Kami akan berada di Madinah selama 8 hari sebelum bertolak pulang ke Malaysia. Waktu ini masih ramai jemaah dari negara India, Pakistan dan Indonesia di sekitar Madinah. Waktu solat sentiasa penuh sesak dengan jemaah sehingga agak sukar untuk melakukan sujud dan duduk tahiyat akhir dengan selesa dan sempurna.Baiknya Masjid Nabawi ialah jemaah wanita dan jemaah lelaki diasingkan dengan pintu laluan masuk yang berbeza. Polis wanita yang bertugas di pintu masuk pula boleh bertutur Bahasa Melayu yang mudah seperti 'Masuk..masuk lagi' atau "Depan...pergi depan" semasa mengarahkan jemaah bergerak ke saf hadapan.

Sepanjang berada di sini, kami disarankan untuk tidak berhenti berselawat kepada junjungan kita, Nabi Muhammad SAW yang disemadikan di masjid yang indah ini.

Monday, April 5, 2010

Tips Semasa Di Mekah

Walaupun aku mengikuti beberapa sesi kursus haji sebelum berangkat ke Mekah, tetapi aku sering mendapatkan pandangan dari teman-teman atau saudara-mara yang telah berpengalaman mengerjakan ibadah Haji dan Umrah. Aku ingin mendapatkan pelbagai maklumat mengenai persiapan semasa berada di Mekah. Macam-macam nasihat, panduan, amaran dan pandangan yang aku terima. Yang pasti semuanya memberikan semangat bahawa aku mampu melakukan yang terbaik. Terima kasih kepada semua.

Antara tips yang jarang diperturunkan adalah sepeti berikut :-
  • pastikan stokin dari jenis 'cotton'. Lantai untuk kita bertawaf dan saie adalah daripada marmar. Stokin jenis 'cotton' mengelakkan kita dari mudah tergelincir
  • makan banyak tamar untuk mengelakkan sembelit. Di sini terdapat pelbagai jenis tamar samada segar ataupun kering. Minum jus mangga sebotol setiap hari juga dapat membantu. Di Mekah jus mangga yang dijual adalah pekat daripada sari mangga.
  • semasa menyidai pakaian di ampaian gunakan pin besar untuk lampin bayi (safety pin). Jangan sekali-kali menggunakan penyangkut baju ataupun penyepit kain yang biasa kerana pakaian boleh diterbangkan oleh angin yang kencang.
  • selalu menggunakan duit rial dalam pecahan yang kecil untuk memudahkan urusan membeli-belah, terutama barangan murah seperti makanan dan minuman panas atau sejuk, kebab, aiskrim dsbnya
  • sentiasa bersedia untuk melakukan sujud sejadah semasa solat subuh pada hari Jumaat. Didapati ramai jemaah bercelaru semasa sujud sejadah dilakukan dan ini tentulah merugikan jemaah itu sendiri
  • sekiranya terdapat sebarang keraguan atau berasa was-was mengenai ibadah yang dilakukan, segera berhubung dengan Ustaz atau Ustazah untuk bimbingan selanjutnya. Jangan biarkan perasaan was-was itu mengganggu ketenteraman kita untuk melakukan ibadah seterusnya
Rasanya banyak tips lain yang sering diceritakan oleh sahabat-sahabat kita yang lain. Tidak rugi kita bertanya untuk mendapatkan tips tersebut kerana ianya mungkin amat berguna apabila kita berada di sana kelak.


Wednesday, March 24, 2010

Kota Mekah Yang Barakah (28 Februari 2003)

Di perkarangan Masjidil Haram

Mendengar penerangan Ustaz TM Fouzi


Di Masjid Kucing

Kami bergerak dari Al Massa tepat jam 7.15 pagi. Kali tidak menaiki bas, sebaliknya hanya berjalan kaki. Kami memulakan pergerakan menuju ke perkarangan Masjidil Haram. Di sini kami dibawa ke Maktabah Makkatul Mukarramah yang merupakan sebuah perpustakaan. Di tapak bangunan inilah dikatakan terletaknya tapak asal rumah Nabi Muhammad SAW. Kami tertanya-tanya kenapakah bangunan ini seolah-olah terbiar, tidak diperindahkan dan tiada sebarang papan tanda yang menceritakan riwayatnya. Menurut Ustaz TM Fouzi, Kerajaan Arab Saudi sememangnya sengaja berbuat demikian untuk mengelakkan bangunan ini menjadi tumpuan ramai dan memungkinkan berlakunya perbuatan syirik atau pemujaan melampau oleh pengunjung.

Di hadapan Masjidil Haram terletaknya Jabal Abi Qubais, sebuah bukit besar yang di sisinya dibina Istana Raja Arab Saudi yang indah tersergam. Jabal Abi Qubais yang kini telah rosah akibat banyak ditarah mempunyai pelbagai sejarahnya. Disinilah tempat disimpan Hajar Aswad semasa banjir besar melanda Mekah. Di sini tempat Nabi Ibrahim AS menyeru manusia menunaikan ibadah haji. Di sini juga tempat Nabi Muhammad SAW menyeru manusia menyembah Allah dan diriwayatkan juga di puncak bukit ini mukjizat kebesaran Allah ditunjukkan kepada penduduk Mekah apabila bulan terbelah dua.

Kami seterusnya bergerak ke beberapa buah masjid yang terdapat berhampiran kawasan tersebut seperti Masjid Ar Rayyah (Masjid Bendera) atau dikenali juga sebagai Masjid Kucing. Di masjid inilah Khalid Al Walid mencacakkan bendera tanda kebesaran Islam semasa peristiwa Perjanjian Hudaibiah. Diriwayatkan juga semasa Nabi sedang solat di masjid ini dan ketika sujud, seekor kucing melompat ke atas belakang Baginda. Baginda membiarkan kucing tersebut kerana rasa kasih sayangnya dan hanya bangun dari sujud selepas kucing berkenaan turun dari atas belakang Baginda.

Di sekitar masjid ini terdapatnya Pasar Zink iaitu tempat membeli-belah yang meriah. Kerana masa terhad, Ustaz meminta kami menangguhkan dahulu "sesi membeli-belah" di waktu yang lain. Bau-bauan makanan juga sangat mengujakan selera kami.

Masjid kedua dilawati ialah Masjid Al Syajarah (Masjid Pokok). Diriwayatkan di masjid inilah Nabi Muhammad SAW menunjukkan mukjizat kebesaran Allah kepada jin-jin dengan meminta sepohon pokok berjalan ke hadapan baginda dan hasilnya banyak jin-jin yang segera beriman kepada Allah.

Masjid seterusnya ialah Masjid Al Jinn (Masjid Jin). Menurut riwayatnya di masjid inilah para jin berjanji (berbai'at) untuk beriman kepada Allah. Di masjid ini juga diturunkan Surah Al Jin ayat 1 dan 2 yang bermaksud "Katakanlah (wahai Muhammad) : telah diwahyukan kepadaku bahawa satu rombongan jin telah mendengarkan Al Quran lalu mereka berkata sesungguhnya kami telah mendengar Al Quran yang menakjubkan (1) Kitab yang memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Allah SWT (2)".

Berhampiran dengan masjid ini terletaknya Perkuburan Maa'la. Disinilah bersemadinya isteri kesayangan Nabi, Saiditina Siti Khadijah RA. Kami jemaah perempuan tidak dibenarkan masuk dan hanya melihat dari kawasan yang dikhaskan sahaja. Sistem perkuburan di sini adalah berbentuk ekonomi di mana kubur-kubur akan digali dan digunakan semula mengikut tempoh waktu yang ditetapkan bagi mengatasi masalah kekurangan tanah perkuburan.

Memandangkan hari ini Jumaat, jemaah lelaki bergegas ingin pulang ke hotel untuk membersih diri sebelum menunaikan solat Jumaat. Sekiranya perjalanan datang tadi mengambil masa hampir 4 jam, perjalanan balik hanya dalam tempoh 40 minit sahaja.


Sunday, March 21, 2010

Mengunjungi Bukit-bukit Bersejarah di Mekah (27 Februari 2003)

laluan ke Jabal Nur, tempat terletaknya Gua Hira'

Mina yang sepi

Di Jabal Rahmah, Arafah

di hadapan Masjid Namirah, Arafah

Tepat jam 7.30 pagi bas yang membawa jemaah Kumpulan JT bertolak dari Hotel Al Massa. Dalam perjalanan tersebut, kami berhenti sebentar berhampiran loji zamzam. Kami hanya melihat loji tersebut dari atas bas. Menurut Ustaz TM Fouzi, air zamzam dari telaganya yang terletak di Baitullah akan dipam ke loji ini untuk dibotolkan dan diedarkan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada para jemaah.

Seterusnya kami bergerak ke Jabal Thur. Dari kaki bukit ini kami bergerak perlahan-lahan mendaki beberapa meter. Di puncak bukit inilah terletaknya Gua Thur tempat di mana junjungan kita Nabi Muhammad SAW bersama sahabat baginda Saidina Abu Bakar RAH bersembunyi menyelamatkan diri dari buruan kaum kafir Musyrikin Mekah yang berhajat membunuh Baginda. Baginda dan Saidina Abu Bakar kemudiannya meneruskan perjalanan dari Gua Thur untuk berhijrah ke Madinah.

Seterusnya kami bertolak ke Jabal Rahmah yang terletak di Padang Arafah. Ustaz TM Fouzi menerangkan bahawa mengikut sejarah, Jabal Rahmah merupakan tempat pertemuan semula Nabi Adam AS dan isteri Baginda Siti Hawa di muka bumi ini selepas keluar dari syurga. Mereka bertemu semula selepas 200 tahun terpisah. Di sini kami berdoa memohon perlindungan Allah SWT serta keberkatan hidup kami bersama keluarga. Di kaki Jabal Rahmah terdapat banyak unta yang dihias cantik untuk ditunggangi oleh pelancong. Di sepanjang laluan tangga turun dan naik ke Jabal Rahmah, berbagai gelagat pengemis dapat dilihat. Ada yang cedera, ada yang kudung tangan dan kaki, ada membawa anak-anak kecil.

Kami seterusnya bergerak ke Masjid Namirah yang terletak di Padang Arafah juga. Niat kami untuk melakukan solat Tahiyatul Masjid tidak kesampaian kerana pintu masjid ini berkunci. Sebahagian jemaah mula memasang niat untuk melakukan umrah. Masjid Namirah juga dikenali sebagai Masjid Ibrahim kerana Nabi Ibrahim AS pernah singgah bersembahyang di masjid ini. Diriwayatkan juga sewaktu junjungan kita Nabi Muhammad SAW melakukan Haji Wada', baginda telah menunaikan zuhur dan asar di masjid ini.

Setelah selesai bergambar, kami bergerak melalui Mudzalifah. Wadi Nar yang terletak di sempadan Mudzalifah dan Mina merupakan kawasan di mana burung ababil menggugurkan batu ke atas tentera bergajah pimpinan Abrahah yang ingin menyerang Kota Mekah. Kami tiba di Mina yang sunyi sepi. Di luar musim haji, Mina tidak didiami oleh manusia tetapi mungkin dihuni oleh jin. Justeru itu, Mina dikenali sebagai Kota Jin. Kami melalui semula kawasan Masjid Khaif, kawasan jamrah serta kawasan penempatan jemaah yang berhimpun di Mina untuk ibadat melontar. Masih terbayang betapa sesaknya kawasan ini tempoh hari, tetapi hari ini sepi.

Destinasi terakhir kami ialah ke Jabal Nur yang terletak kira-kira 6 km dari Masjidil Haram. Di puncak gunung inilah terletaknya tempat yang paling penting dalam sejarah Islam itu Gua Hira'. Gua ini merupakan tempat di mana Nabi Muhammad SAW menerima wahyu yang pertama dari Allah melalui malaikat Jibril. Di sinilah baginda diangkat menjadi Rasul untuk membawa syariaat Islam kepada manusia sejagat.

Walaupun ada jemaah yang berminat untuk mendaki, tetapi kerana kesuntukan masa, mereka dinasihatkan untuk mendaki pada waktu malam setelah selesai menunai solat Isya'. Pada waktu tersebut juga, cuaca yang nyaman memudahkan jemaah untuk mendaki bukit dengan selesa.

Kami seterusnya berebut pulang ke Al Massa untuk bersiap-siap menunaikan solat Zohor di Masjidil Haram. Dan seterusnya malam ini, menyempurnakan ibadah umrah sunat.



Wednesday, March 10, 2010

Kunjungan Ke Tempat Bersejarah 1 (25 Februari 2003)

Two Holly Mosques Museum

Ladang unta di Hudaibiah

Tinggalan sejarah di Hudaibiah


Tepat jam 7.30 pagi bas yang membawa jemaah Kumpulan JT (Grup 11 dan 12) bertolak dari Hotel Al Massa. Hari ini merupakan hari pertama kami dibawa mengunjungi tempat-tempat bersejarah di luar dan di dalam Kota Mekah. Di sepanjang perjalanan aku memandang ke kiri dan kanan laluan untuk melihat suasana di luar dari Kota Mekah. Kami sedang menuju ke Hudaibiah yang terletak di luar Kota Mekah.

Sepanjang perjalanan sejauh 25 km itu dipenuhi oleh padang pasir dan bukit-bukit batu. Kelihatan banyak rumah dibina berhampiran dengan bukit-bukit tersebut. Kebanyakan rumah berbentuk kotak dan sangat ringkas binaan luarannya. Rumah-rumah ini dicat dengan warna putih atau warna coklat tanah atau dibiarkan tanpa cat, warna bata biasa sahaja. Mungkin ini kawasan perkampungan masyarakat berpendapatan rendah di Arab Saudi.

Kami tiba di Hudaibiah kira-kira 45 minit kemudian. Jalanraya yang baik dan tanpa kesesakan menjadikan perjalanan ini cepat dan selesa. Hudaibiah merupakan tempat berlangsungnya Perjanjian Hudaibiah di antara Rasullullah saw dan kaum Quraish. Kesan tinggalan sejarah yang masih terdapat di sini ialah tapak masjid lama dan telaga Rasulullah saw. Sebahagian jemaah memasang niat untuk melakukan umrah memandangkan Hudaibiyah merupakan salah miqaat umrah di luar tanah haram Mekah.

Seterusnya kami melawat ladang unta yang juga terletak di Hudaibiyah. Di sini terdapat berpuluh-puluh ekor unta. Beberapa jemaah mengambil kesempatan membeli susu unta yang baru diperah. Memandangkan aku tidak meminati susu, aku tidak langsung berminat untuk membeli susu tersebut.

Angin padang pasir yang bertiup begitu kencang dan kami terpaksa menutup muka untuk mengelakkan pasir memasuki mata.

Kami seterusnya bersedia untuk bertolak ke destinasi berikutnya. Dugaan tiba apabila tayar bas yang kami naiki tenggelam di dalam pasir. Puas pemandu Pak Arab tersebut menekan minyak tetapi bas tidak dapat bergerak, malahan tayar semakin tenggelam ke dalam pasir. Akhirnya para jemaah turun dari bas tersebut untuk mengurangkan beratnya. Jemaah lelaki pula beramai-ramai menolak bas tersebut. Setelah bersusah-payah barulah bas tersebut dapat bergerak.

Kami seterusnya tiba di "Two Holy Mosques Museum" yang menempatkan pelbagai khazanah kebesaran Islam semenjak zaman Rasullullah saw lagi. Semua bahan bersejarah untuk Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi dihimpunkan di sini. Ada pintu Kaabah tahun 1045 H, salinan asal Al Quran tulisan tangan rasm Othmani dari zaman Saidina Othman bin Affan, dinding telaga zamzam tahun 1299 H dll. Ada juga demostrasi membuat kelambu Kaabah oleh beberapa lelaki. Kelihatannya begitu rumit mereka menjahit tulisan ayat-ayat suci Al Quran menggunakan benang emas di atas kain berwarna hitam.

Selesai lawatan tersebut, kami bertolak pulang ke Hotel Al Massa untuk membersihkan diri sebelum masuknya waktu solat Zohor.


Monday, March 8, 2010

Berjalan-jalan Waktu Malam

Kebiasaannya selepas solat Isya', para jemaah akan bergegas pulang ke hotel untuk makan malam. Selepas itu, ada jemaah yang menunaikan umrah, atau kembali ke Masjidil Haram untuk tawaf sunat atau beriktikaf dalam masjid melakukan pelbagai ibadah sunat yang lain. Ada juga yang hanya beristirehat di bilik.

Beberapa kali setelah selesai melakukan tawaf sunat, aku dan Abah akan menyusuri jalan-jalan di sekitar Masjidil Haram untuk melihat suasana Kota Mekah pada waktu malam. Suasana di Mekah masih sejuk. Kebiasaannya suhu yang ditunjukkan di menara jam di Pintu King Abdul Aziz menunjukkan bacaan kurang dari 20C pada waktu malam. Dengan memakai baju tebal, kami berdiri di hadapan Masjidil Haram yang bergemerlapan. Lampu dipasang terang-benderang dari setiap penjuru, dari semua menara. Masjidil Haram merupakan tempat ibadah yang tidak pernah ditutup untuk kunjungan umat Islam. Sentiasa dikunjungi oleh manusia pada setiap masa.

Kebiasaannya kedai-kedai masih dibuka pada waktu ini, walaupun jumlahnya semakin berkurangan. Mungkin disebabkan musim haji telah hampir ke penghujung, ramai jemaah telah meninggalkan Mekah, ramai peniaga telah menutup perniagaan masing-masing.

Aku paling teruja apabila menghampiri kedai-kedai menjual kaset dan CD. Alunan bacaan Al Quran oleh imam-imam Masjidil Haram seperti Sheikh Abdul Rahman As-Sudais dan Sheikh Sa'ad Sa'id Al Ghamidi benar-benar menusuk hati. Walaupun tidak memahami makna ayat yang dibaca ketika itu, kelunakan bacaannya dapat mententeramkan jiwa. Aku membeli beberapa kaset dan CD untuk dibawa pulang.

Aroma minyak atar sentiasa memenuhi ruang udara. Samada di dalam masjid, di sepanjang laluan jalan, di dalam lif hatta di dalam bilik hotel pun. Aku benar-benar merindui nyamannya suasana di Mekah yang dingin dan harum.

Di beberapa tempat pula akan kelihatan ramai jemaah mengunjungi kedai-kedai makan. Aroma rempah nasi arab, kebab dan roti bakar semerbak pada waktu malam. Kadang-kadang kami tidak pulang ke hotel untuk makan malam. Sebaliknya selepas selesai solat Isya', kami akan terus melakukan tawaf sunat. Setelah itu barulah kami singgah di kedai-kedai ini untuk melapik perut. Sesekali ingin bertukar selera dari makanan nusantara kepada makanan arab.

Sesungguhnya suasana samada waktu siang atau malam, mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Walaupun cahaya matahari siang di Mekah begitu terik, tetapi udaranya dingin. Sepanjang dari 22 hingga 25 Februari 2003, cuaca di Mekah diselubungi mendung, tetapi tidak hujan. Ini menyebabkan cuaca semakin dingin, sehingga kami tidak perlu memasang pendingin udara di dalam bilik.

Sesunggunhnya Allah Maha Bijaksana, mengatur cuaca yang pelbagai untuk kita merenung dan mengakui kekuasaan Nya.



Thursday, February 25, 2010

Kota Mekah Dan Aktiviti Jemaah

Setelah selesai perkara yang wajib, kami para jemaah haji yang telah bergelar "Haji dan Hajjah" merasa lega. Kini kami boleh melakukan aktiviti mengikut keperluan masing-masing, tiada lagi jadual khas yang di atur oleh Kumpulan JT.

Jemaah bebas melakukan umrah setiap hari. Kelas fardhu ain diadakan beberapa kali seminggu di ruang restoran hotel yang agak sempit. Jemaah bebas pergi dan balik ke Masjidil Haram bila-bila masa sahaja yang mereka mahu.

Aku dan Abah juga tidak melepaskan peluang meneroka sekitar kawasan kediaman dan Masjidil Haram. Pernah pada satu malam, setelah selesai solat Isya', kami mengambil keputusan mengelilingi Masjidil Haram,...bukan mengelilingi Kaabah! Niat kami untuk melihat keindahan Masjidil Haram dari sudut-sudut yang berbeza. Kami memulakan langkah dari Pintu 1 (Pintu King Abdul Aziz), ke pintu-pintu seterusnya. Apabila berjumpa Pintu Babussalam, kami masuk semula ke Masjidil Haram melaluinya. Dengan niat beriktikaf di dalam masjid, kami duduk sebentar di hadapan pintu tersebut dan jelas kelihatannya Kaabah, Hijr Ismail dan Maqam Ibrahim. Pintu ini sentiasa menjadi rebutan para jemaah untuk memasuki Masjidil Haram. Kami keluar semula dan meneruskan pusingan dan bertemu berbagai lagi pintu lagi seperti Pintu Umrah, Pintu King Fath, Pintu Wada', Pintu Madinah, Pintu Ali dll. Aku difahamkan terdapat 4 pintu utama, 45 pintu kecil dan 9 menara di seluruh Masjidil Haram.

Kami juga akan bersembahyang di merata-rata tempat. Kami pernah sembahyang di halaman Kaabah, di tingkat bawah , tingkat atas dan di bahagian atas sekali iaitu bumbung Masjidil Haram. Escalator disediakan untuk pergi ke tingkat-tingkat selain daripada kemudahan tangga biasa. Bagi aku pengalaman berada di atas bumbung Kaabah paling syahdu. Udara yang dingin dengan langit yang bersih serta suara Imam yang lunak membaca ayat suci Al Quran ketika solat membuatkan aku merasakan aku begitu hampir dengan Allah. Dengan penuh khusyuk aku mengadap Mu Ya Allah, menyerahkan diri kepada Mu Tuhan Ya Rabbi. Maha Suci Engkau yang menerima aku berada di Baitullah ini.

Dari atas juga kami dapat melihat jenazah-jenazah dibawa masuk ke kawasan Hijr Ismail sebelum solat fardhu dimulakan. Selesai solat fardhu, kami akan beramai-ramai melakaukan solat jenazah pula. Sebenarnya di Mekah lah aku pertama kali melakukan solat jenazah.

Sepanjang di Mekah juga kami beberapa kali mengeluarkan wang dari Tabung Haji. Pejabat Tabung haji terletak di beberapa maktab yang disewa oleh Lembaga Tabung Haji. Begitu mudah sekali urusannya. Hanya mengisi borang dan menyerahkan lencana pengenalan diri. Wang diberikan dalam matawang rial. Maklumlah kini sudah tiba waktu untuk membeli-belah.

Aku dan Abah beserta ipar-iparku membeli sejadah, minyak wangi, tasbih dan tudung sebagai buahtangan untuk sahabat handai di Malaysia. Kami telah menghantar melalui perkhidmatan Pos Malaysia. Kiriman seberat 13.4 kg dicaj sebanyak 243 Riyal. Aku hantarkan ke alamat rumah Mak Midah untuk menerima kiriman tersebut. Memandangkan ramai jemaah telah meninggalkan Mekah, aktiviti membeli-belah tidak begitu menyesakkan. Kami boleh tawar-menawar dengan selesa. Kebanyakan penjual Arab ini boleh bertutur bahasa Melayu pasar, "murah..murah", "mari beli", "ini cantik", "Mlayasia baguss".

Aku dan Abah juga telah beberapa kali menghantar baju dan kain ihram untuk dibasuh. Setelah beberapa kali dipakai dan dibasuh, baju-baju melayu dan kurungku berkedut-kedut. Apabila didobi, ianya diseterika semula dengan kemas. Satu yang amat jelas sepanjang berada di tanah suci Mekah ini ialah kami tidak langsung menemui wanita arab berjualan. Jika ditemui membeli-belahpun, mereka semuanya bercadur dan berjubah hitam. Wanita yang berjualan di tepi-tepi jalan adalah wanita dari Indonesia, Thailand (Patani) atau dari Afrika.

Juga paling kerap aku temui ialah pengemis yang sentiasa berada di sepanjang jalan menuju ke Masjidil Haram. Ada yang dewasa, kanak-kanak, lelaki, perempuan, cacat malah bayi sekalipun diletakkan di laluan ini. Dari tingkap hotel kami perhatikan, pengemis ini akan dibawa ke kawasan ini pada waktu pagi dan dijemput pulang pada waktu petang. Aku tidak pasti oleh siapa ... mungkin sindikit? Agak memeningkan, jika kita memberi sedekah kepada si "A", nanti kita akan dikerumuni oleh berbelas-belas pengemis yang lain pula. Walau bagaimanapun, mereka ini dikawal ketat dan tidak dibenar memasuki Masjidil Haram oleh polis yang mengawal jemaah di pintu-pintu masuk.

Ketika itu telaga zam-zam masih boleh dikunjungi. Kami akan masuk ke bahagian bawah Masjidil Haram (dalam kawasan halaman Kaabah) mengikut laluan yang dikhaskan. Di sana terdapat paip-paip air disediakan untuk jemaah meminum air zam-zam yang dipam terus dari telaga zam-zam yang suci. Walau bagaimanapun, aku difahamkan kini ianya telah ditutup kepada jemaah bagi memberi lebih banyak ruang solat didirikan di kawasan halaman Kaabah.

Sepanjang berada di sini juga para jemaah sering diserang demam, selsema dan batuk. Begitu juga dengan Abah dan ipar-iparku. Kami telah mengunjungi klinik-klinik yang disediakan di maktab-maktab yang disewa oleh Lembaga Tabung Haji sebanyak dua kali. Paling menarik semasa kunjungan kami pada 20 Februari 2003, kami telah diminta untuk menjadi 'pelakon' tambahan bagi video korporat Lembaga Tabung Haji. Tidak pasti bila dan di mana gambar kami ditayangkan.

Tuesday, February 23, 2010

Berpindah Hotel (21 Februari 2003)

Pintu Abdul Aziz, perkarangan Masjidil Haram dan perkarangan istana Raja Saudi jelas dari bilik 604, Hotel Al Massa


Bilik 604, Hotel Al Massa, Mekah


Kami berada di Tanah Suci Mekah agak lama, selama 33 hari.

Jemaah mula merungut, janji awal dari Kumpulan JT jarak antara hotel dengan Masjidil Haram hanya 100 meter, tetapi Hotel Ajyad lebih 500 meter. Mula ada yang menyampaikan rasa tidak puashati kepada pengelola, Ustaz Mohamed. Aku dan Abah serta ipar-iparku tidak kisah. Rasanya 500 meter tidaklah begitu jauh.

Setelah semiggu di Hotel Ajyad, kami pun berpindah ke Hotel Al Massa yang terletak betul-betul di hadapan Masjidil Haram. Dari tingkap bilik kami, jelas kelihatan pintu masuk Abdul Aziz (pintu No 1) dan Istana Raja Saudi. Rezeki kami sentiasa baik, di sini kami ditempatkan di Suite 604 yang luas dan mempunyai ruang istirehat yang juga luas dan selesa bersebelahan tempat tidur. Sekali lagi aku memilih katil 'double' untuk aku dan Abah dan 2 katil 'single' untuk ipar-iparku.

Bilik ini juga mempunyai kelengkapan yang sama seperti Hotel Ajyad iaitu mempunyai peti sejuk, televisyen, bekalan air panas dan sejuk. Memandangkan restoran hotel ini agak kecil, makanan dihidangkan di setiap tingkat. Ini lebih memudahkan jemaah memandangkan makanan berada di koridor berhampiran dengan bilik tidur.

Hotel Al Massa setinggi 8 tingkat yang bertaraf 3 bintang ini terletak bersebelahan dengan Hospital Aziziah. Setiap masa kami memdengar siren ambulan membawa pesakit. Hotel ini mempunyai ruang terbuka di atas bumbung untuk memudahkan jemaah menyidai pakaian. Aku dan Abah suka berlegar-legar di ruang atas ini sambil memandang kota Mekah dari segenap arah. Dari satu arah kami melihat Masjidil Haram serta istana Raja Saudi. Dari satu arah lain, kami melihat bangunan-bangunan tinggi seperti Hotel Al Massa juga, yang pastinya bangunan menempatkan ramai jemaah dari seluruh dunia. Dari kejauhan pula kelihatan bangunan rendah-rendah penempatan orang Arab. Kami juga perhatikan bukit-bukit batu berhampiran juga ditebuk dan terdapat rumah kediaman dibina pada dinding bukit-bukit tersebut. Di kejauhan adalah padang pasir dan bukit-bukit yang gondol.

Kerana terlalu dekatnya hotel ini dengan Masjidil haram, semuanya menjadi jelas. laungan azan begituterang. Semasa aku uzur syarie dan tidak dapat ke Masjid untuk bersolat, aku akan duduk di ruang rehat bilik untuk mendengar suara imam di Masjidil haram. Begitu indah bacaan ayat-ayat suci yang dibaca terutama semasa solat subuh.

Pada ketika ini suasana di Mekah semakin tenang. Bilangan jemaah haji semakin berkurangan setiap hari. Tiada lagi kelihatan jemaah yang bersolat di atas jalanraya. Walau bagaimanapun, laman di luar Masjidil Haram masih penuh. Setiap hari, kami melihat berbondong-bondong jemaah menaiki bas meninggalkan Mekah untuk pulang ke negara masing-masing.

Friday, February 19, 2010

Anak-anak Yang Aku Rindu

Sepanjang berada di Tanah Suci Mekah dan Madinah, aku dan Abah akan menghubungi anak-anak 2 kali seminggu. Kebiasaannya kami akan menelefon pada jam 9 pagi waktu Arab Saudi atau lebihkurang pukul 2 petang waktu Malaysia. Aku sengaja memilih waktu ini kerana selalunya pada ketika ini anak-anak telah pun pulang dari sekolah.

Pada tahun 2003, semua jemaah Malaysia tidak dibenarkan membawa telefon bimbit seperti hari ini. Justeru itu pilihan yang ada ialah menggunakan perkhidmatan telefon berbayar. Kedai-kedai telefon terdapat di merata tempat. Kami hanya perlu menyatakan lokasi panggilan dan akan diberikan bilik masing-masing. Bilik kecil berukuran 3 x 3 kaki ini cukup untuk memuatkan aku dan Abah untuk kami berkongsi berbual dengan anak-anak.

Kebiasaannya setiap kali panggilan dibuat, aku dan abah akan bergilir-gilir bercakap dengan Kak Long, Kak Ngah dan Adik. Kadang-kadang aku juga akan bercakap dengan Mak Midah atau Abah bercakap dengan Abah Hamdan. Bayangkan betapa lamanya tempoh panggilan tersebut. Selalunya selesai bercakap, kami perlu membayar sekitar 30 Riyal (pada masa itu tukaran wang adalah RM1 bersamaan 1Riyal).

Suara ceria anak-anak cukup membuat aku berasa lega. Aku tahu mereka semua dijaga dengan baik oleh pengasuh mereka, Mak Midah dan Abah Hamdan. Perasaan rindu sesekali menerpa dalam hati. Bila perasaan ini datang, aku akan menatap gambar-gambar mereka. Tetapi anehnya apabila aku sibuk dengan urusan ibadah, semua rasa kerinduan itu hilang. Allah Maha Pengasih, Dia memberikan aku ruang untuk melakukan ibadah tanpa gangguan.

Walaupun perasaan rindu itu hilang seketika, namun aku sentiasa mengingati anak-anak permata hatiku. Setiap kali aku bertawaf, aku memohon doa untuk kesejahteraan mereka. Setiap kali aku bersolat, aku mendoakan keberkatan hidup mereka. Setiap kali aku mengadap Baitullah, aku mendokan semoga anak-anak ku akan menjadi Hamba Allah yang sempurna ilmunya, amalnya, imannya dan akalnya. Ameen.

UMRAH

Kami melakukan Umrah wajib pada 17 Februari 2003 dengan berniat di Miqat Tanaim yang terletak kira-kira 5 kilometer dari Masjidil Haram. Setelah selesai Umrah ini barulah sempurna Haji Ifrad yang kami lakukan.

Sebenarnya pakej yang ditawarkan oleh Kumpulan JT sangat menarik. Pengangkutan untuk ke Tanaim disediakan setiap hari selepas jam 10 malam. Semua jemaah bebas untuk menunaikan Umrah setiap malam tanpa ada had. Semua jemaah perlu mengikut kemampuan diri masing-masing, ada yang mengerjakan setiap hari, selang sehari atau mungkin sekali seminggu.

Aku dan Abah sendiri memilih untuk melakukan Umrah selang sehari. Masa kami di Mekah begitu panjang. Kami hanya akan bertolak ke Madinah pada 5 Mac 2003. Justeru itu kami membahagikan masa, jika tidak melakukan Umrah, aku dan Abah akan melakukan tawaf sunat atau beriktikaf di dalam Masjidil Haram. Waktu berada di dalam Masjidil Haram kami gunakan untuk melakukan solat-solat sunat atau membaca Al Quran.

Ibadah Umrah semakin lama semakin mudah, kerana bilangan jemaah semakin berkurangan. Jika sebelum ini kami terpaksa bergelut dengan jemaah negara-negara lain untuk melakukan solat sunat Umrah di Masjid Tanaim, kini kami lebih selesa. Ibadah Tawaf juga semakin cepat, kerana kami berada berhampiran Kaabah, jadi pusingan yang dilakukan semakin pendek dan cepat. Ibadah Saie juga semakin selesa, malah kami boleh dengan tenang membaca doa dari buku-buku doa yang dibawa.

Walau bagaimanapun, aku sendiri lebih selesa berdoa mengikut apa yang tersirat di hati, kerana hanya aku yang tahu apa yang benar-benar aku perlukan dan aku memohon perkenan dari Allah. Aku sendiri yang tahu apa dosa yang telah aku lakukan dan memohon keampunan dari Allah. Justeru itu aku dapat berdoa dengan penuh khusyuk, dengan penuh tulus, dengan penuh rendah diri, dengan penuh rasa yakin bahawa Allah itu Maha Mendengar permohonan hambaNya.

Kumpulan JT menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk ibadah Umrah pada waktu malam untuk keselesaan jemaah. Selain dari cuaca yang sejuk dan nyaman, kebiasaannya setelah selesai solat Isya', bilangan jemaah di sekitar Masjidil Haram semakin berkurangan. Suasana begini memberi keselesaan untuk semua jemaah melakukan ibadah yang sempurna.

Wednesday, February 17, 2010

Hotel Ajyad, Mekah

Hotel Ajyad bertaraf 3 bintang terletak tidak jauh dari Pintu 1 (Pintu Abdul Aziz), Masjidil Haram. Bilik kami terletak di hujung dan agak besar. Aku dan Abah berkongsi satu katil besar manakala ipar-ipar ku mendapat katil 'single' masing-masing. Walaupun berempat, tetapi suasana bilik masih selesa. Malah ruang menunggu yang berkembar dengan bilik, kami gunakan sebagai ruang untuk santai bagi membolehkan kami melakukan solat sunat, mengaji Al Quran atau membaca buku-buku agama.

Bilik ini dilengkapi dengan kemudahan bilik air yang luas dan moden. Petugas hotel akan mengemas bilik dan menukar tuala mandi setiap 2 hari. Di bilik juga terdapat kemudahan membancuh air panas, peti sejuk mini dan peti televisyen.

Dari tingkap bilik, jelas kelihatan para jemaah berduyun-duyun berjalan pergi-balik ke Masjidil Haram. Malah pada setiap kali waktu solat fardhu, semua jalan dan lorong akan dipenuhi jemaah yang bersembahyang jemaah mengikut imam di Masjidil Haram.

Memandangkan hotel agak berhampiran dengan Masjidil Haram (kira-kira 1o minit perjalanan), kami akan bertolak sejam lebih awal untuk memastikan mendapat tempat solat yang selesa dalam masjid.

Bagi kami yang membasuh pakaian sendiri, tempat ampaian terbuka disediakan di setiap tingkat. Bagaimanapun, tempatnya sangat kecil dan kami perlu bertimbangrasa sesama sendiri. Contohnya jika pakaian disidai pada waktu pagi, jemaah hendak mengangkat pakaian tersebut pada jam 11 pagi untuk memberi peluang oranglain pula menggunakan ampaian. Cuaca yang panas dan berangin menyebabkan pakaian biasanya akan kering dalam tempoh 2 jam setelah disidai.

Di sini kami diberi kebebasan untuk menjalankan ibadah masing-masing di Masjidil Haram pada bila-bila masa sahaja. Walau bagaimanapun, kelas-kelas bimbingan ugama masih diteruskan oleh ustaz-ustaz dari Kumpulan JT. Ada kuliah selepas Asar dan selepas Isya di dewan yang disediakan di Tingkat 3 hotel ini. Walau bagaimanapun, bilangan jemaah yang mengikuti kuliah ini semakin berkurangan kerana ramai yang lebih duka menghabiskan masa beriktikaf di dalam masjid sambil melakukan pelbagai amalan.

Makan pagi, tengahari, petang dan malam pula dihidangkan di dewan makan Tingkat Bawah Hotel ini. Berhadapan dengan Hotel Ajyad pula penuh dengan kedai-kedai kecil serta penjual-penjual yang berjualan di kaki lima. Aku dan Abah masih belum bersedia untuk membeli belah kerana kami belum selesai mengerjakan Umrah wajib. Bermakna belum lagi sempurna Haji Ifrad yang kami lakukan. Kami berpendapat selesaikan dulu Ibadah yang wajib sebelum melakukan perkara keduniaan yang lain iaitu 'tawaf membeli-belah'.





Semoga Ini Haji Yang Mabrur (15 Februari 2003)

Malam ini, 14 Zuhijjah, kami akan menyelesaikan semua rukun haji yang masih belum dilaksanakan. Selepas solat Isya', kami bergegas balik ke hotel untuk makan malam dan membersihkan diri. Dengan lafaz bismillah, pada pukul 11 malam, kami melanggah ke Masjidil Haram untuk melakukan Tawaf Haji dan Saie Haji. Di hadapan Kaabah, kami berdoa agar dipermudahkan niat kami untuk melakukan ibadah ini. Hanya aku dan Abah melakukan ibadah ini kerana kedua-dua iparku sedang uzur syarie.

Allah memperkenankan doa kami, kami dipermudahkan untuk melakukan tawaf ini.. Memang jumlah jemaah begitu ramai dan berasak-asak di tempat permulaan tawaf. Walau bagaimanapun, untuk pusingan yang seterusnya ianya berjalan lancar.

Dugaan Allah tiba semasa aku sedang tawaf pusingan kelima apabila wudhu' ku terbatal. Terpaksa kami menberhentikan tawaf dan bergerak ke bahagian tepi laman Kaabah. Aku bergegas ke tempat wanita dan mengambil semula wudhu' sambil memohon kepada Allah agar dikekalkan aku dalam wudhu' sehingga selesai aku melakukan ibadah malam ini.

Kami memulakan semula tawaf bagi pusingan ke-5 hingga selesai pusingan ke-7. Selepas itu kami cuba untuk melakukan solat sunat di hadapan Maqam Ibrahim tetapi tidak berjaya kerana tidak dibenarkan oleh pengawal masjid. Mungkin tindakan bersolat di ruang tersebut boleh mengganggu kelancaran jemaah lain yang sedang mengerjakan tawaf. Tetapi pengawal ini kadang-kadang bertindak agak kasar. Aku perhatikan beberapa jemaah yang degil ditarik atau dipukul dengan sejadah. Kami memutuskan untuk bersembahyang sunat di kawasan yang telah disediakan. Semasa sujud aku, aku berdoa dalam hati dengan penuh rasa rendah diri dan menangis dengan penuh keinsafan, memohon Allah mengampunkan dosaku, menerima ibadahku, memberkati kehidupanku dan melindungi hidup dan matiku dengan cahaya iman.

Seterusnya kami bergerak ke kawasan Saie. Seperti juga ibadah tawaf tadi, kawasan permulaan Saie agak sesak. Walau bagaimanapun, perjalanan agak lancar selepas itu. Cuma agak berebut-rebut di bahagian batu-batu bukit Safa dan Marwah kerana kebanyakan jemaah agak berlama-lama berdiri di kawasan yang sempit itu dan mengganggu pergerakan jemaah lain. Aku hampir-hampir tergelincir kerana stokin ku agak licin.

Akhirnya selesai kami melakukan Saie haji 7 kali berulang-alik antara Safa dan Marwah. Selesai ibadah ini kami, kami pun melakukan Tahalul Thani dengan menggunting 3 helai rambut sebagai tanda selesailah sudah ibadah haji kami. Dengan ini, terlepaslah kami dari semua larangan ihram yang dikenakan semenjak 2 minggu lepas.

Semua ibadah di atas kami selesaikan dalam tempoh 3 jam. Keadaan yang bersesak-sesak serta niat kami untuk melakukan ibadah ini tanpa tergesa-gesa dan dilaksanakan sesempurna yang mungkin menyebabkan kami mengambil masa yang lama untuk menyelesaikannya. Sesudah selesai semua ibadah ini, baru aku terasa lelah. Memang benar kata teman-teman yang pernah mengerjakan haji sebelum kami, ibadah haji memerlukan kekuatan fizikal untuk merasakan kepuasan menjalankan ibadah dengan sempurna. Kami meneguk air zamzam sepuas-puasnya sambil mengucapkan syukur kepada kemudahan yang Allah kurniakan kepada kami. Pukul 3 pagi kami bergerak kembali ke Hotel Ajyad untuk membersihkan diri sebelum kembali ke Masjidil Haram untuk solat Subuh.

Semoga ibadah yang telah kami lakukan semata-mata kerana Allah ini, sebagai tanda ketaatan kami kepada perintahMu Ya Allah, Engkau terima sepenuhnya dan Engkau angkat sebagai Haji yang Mabrur. Ameeenn.

Wednesday, February 10, 2010

Hari Terakhir di Mina (14 Februari 2003)

Hari terakhir di Mina
Berhampiran Masjid Khaif, Mina

Awal pagi kami berjalan kaki semula ke Mina. Wah!! Aku tidak sangka stamina ku agak tinggi semasa di tanah suci, Alhamdulillah atas nikmat yang Allah kurniakan. Jika di Malaysia aku tidak pasti mampu berulang-alik 5 kilometer setiap perjalanan, dengan waktu tidor yang tidak menentu. Aku yakin Allah sentiasa memudahkan setiap niat yang ikhlas dari hambaNya.

Keadaan di Mina sudah agak lengang kerana ramai jemaah dari negara lain telah melakukan Nafal Awal. Kami menghabiskan masa di khemah dengan melakukan pelbagai ibadah sunat seperti membaca Al Quran, mendengar ceramah dari Ustaz atau berzikir. Selepas solat Zohor, kami beramai-ramai melakukan lontaran hari terakhir, 13 Zulhijjah. Kami dapat melakukan dengan mudah kerana kebanyakan jemaah yang masih berada di Mina hanya dari Malaysia dan beberapa negara lain sahaja.

Selepas Asar, kami dibawa melawat Masjid Khaif yang terletak di Mina. Masjid yang pernah menjadi tempat persinggahan para Nabi dan Rasul ini hanya dibuka pada musim haji. Memandangkan Mina bukan kawasan penempatan rakyat tempatan, selepas musim haji tiada langsung penghuni mendiami kawasan ini.

Kemudian barulah kami melapangkan masa berjalan-jalan di sekitar kawasan Mina. Walaupun panas agak terik, tetapi tiupan angin amat dingin sehingga mencengkam ke tulang hitam. Kami melihat ramai penjual di sekitar Mina dan tidak melepaskan peluang membeli tasbih yang mempunyai pelbagai bentuk yang unik.

Waktu ini juga aku ambil untuk memandang sekitar Mina dengan sepuas-puasnya. Sekeliling kami adalah bukit-bukit batu putih. Ramai jemaah dari negara asing yang mendiami bukit-bukit ini dengan mendirikan khemah-khemah sementara. Jemaah Malaysia amat beruntung diperuntukkan dengan khemah-khemah yang selesa lengkap dengan kemudahan tandas dan bilik air yang sempurna.

Selepas menunaikan solat Maghrib kami berangkat meninggalkan Mina. Selesailah sudah ibadah melontar yang merupakan syarat wajib haji. Kami menuju ke Hotel Ajyad, Mekah untuk melakukan ibadah seterusnya.