Showing posts with label permainan hati. Show all posts
Showing posts with label permainan hati. Show all posts

Friday, December 19, 2014

Malas, malas, malas

Kenapa aku jadi macam ni?? Pemalas sungguh semenjak dua menjak ni.  Dulu aku kata tak ada masa nak tulis entry kat blog ni sebab sibuk bekerja.  Sekarang dah pencen pun ... takder masa juga??

Dulu aku janji nak tulis satu cerita seminggu ... atau minima 4 cerita sebulan.  Apa dah jadi?? Dah 3 bulan satu entry pun tak ada.  Wahhh!!! ini kes berat. Dah masuk kategori kemalasan melampau. Padahal punyalah banyak kisah yang boleh ditulis ... tapi sebab penyakit M tu dah menguasai diri ... habis punah semua janji.


Ada lagi 12 hari sebelum masuk tahun 2015.  Apa azam aku??? Nak maintain azam tahun 2014,  nak buat satu entry seminggu.  Lagi banyak lagi bagus.  Sebab aku nak pastikan bila aku dah tak ada di dunia ni .... ayat syahdu le pulak (wink, wink),  anak2 aku boleh baca macam2 cerita yang mama mereka tulis tentang mereka, tentang datuk nenek mereka, tentang resipi, tentang tempat2 menarik yang kami pernah pergi dll.  Semoga kenangan indah kami akan kekal .... alahai, sedih le pulak.


Aku harap kali ni janji tak tinggal hanya janji.  YESSSS

Monday, October 4, 2010

Badi Mayat

View Image

Seminggu selepas kematian Arwah Midah, aku mula jadi tidak keruan. Fikiran aku kusut, hati aku sentiasa berdebar-debar. Aku selalu berfikir, adakah ini petanda aku akan mati. Setiap masa hati aku mengingati mati, bagaimana sakratul maut untuk ku, sakit kah, lemas kah, panas kah??? Segera pernafasan ku terasa terhenti .... aku jadi ketakutan. Sesungguhnya mengingati mati itu baik, tetapi tekanannya menyebabkan aku jadi sasau. Mungkin aku takut mengingatkan persiapan bertemu Allah masih belum lengkap, masih banyak dosa yang belum dicuci, masih banyak amalan yang tidak dilaksanakan. Ya Allah, berilah aku kesempatan untuk memperbaiki diriku sebelum bertemu dengan Mu.

Aku cuba melawan perasaan ini dengan pelbagai cara. Solat hajat dan membaca Al Quran terutama Surah Yaasin menjadi amalan ku. Setiap kali aku bersendirian aku cuba membaca ayat Kursi an 3 Qul sebanyak mungkin. Tetapi dugaan ini tidak berkurangan. Malah kadang-kadang amat menyesakkan dada.

Paling menyiksaku adalah waktu malam apabila mata ini enggan tidur walaupun aku sebenarnya mengantuk. Aku habiskan malam ku dengan solat-solat sunat Tahajud, Taubat dan Hajat dan seterusnya membaca Al Quran. Aku menangis merayu supaya Allah melepaskan aku dari siksaan batin ini. Aku memohon keampunan Allah atas segala dosa-dosa yang aku lakukan.

Apabila tidak tertahan lagi, aku meminta Abah membawa aku berjumpa pakar bagi rawatan alternatif. Aku bertemu Ustaz Ahmad Meh dari ANM Penawar di pusat rawatannya yang terletak di Bertam Golf Resort. Di sana Ustaz telah merawatku dan menyatakan daripada penelitiannya aku terkena "Badi mayat".

Badi merupakan suatu penyakit yang mempunyai hubungan khusus dengan spiritual dan roh manusia. Kesan daripada penyakit ini akan menyebabkan seseorang itu hilang kestabilan diri, perasaan yang tidak menentu dan berubah-ubah, rasa lemah, takut, fikiran bercelaru, tidak dapat tidur dan sebagainya yang membawa kepada perubahan tingkahlaku dan perwatakan seseorang. Antara jenis badi adalah seperti badi mayat dan badi binatang buas seperti badi ayam hutan, rusa, pelanduk, ular dan lain-lain.(rujukan dari Blog persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam darussyifa').


Aku diminta untuk meminum air penawar dan mandi menggunakan limau purut bercampur lada hitam, sintuk dan air penawar selama 3 petang berturut-turut. Alhamdulillah dengan izin Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang, perasaan ku semakin pulih dengan nyatanya. Seleraku makan ku kembali dengan tiba-tiba, dan sekaligus menyebabkan gastrik yang menyerangku selama seminggu menjadi pulih. Perasaan ku menjadi semakin damai dan yang penting aku sudah mula mampu tidur dengan lebih tenang.


Walaupun sesekali perasaan tersebut muncul kembali, tetapi segera aku tepis dengan menyibukkan diri dan sentiasa berinteraksi dengan suami dan anak-anak. Sokongan mereka amat banyak membantu aku mengatasi rasa murung dan sepi. Aku teruskan meminum air penawar di samping sentiasa membaca ayat penawar dan pendiding diri seperti ayat Kursi, 3 Qul dan Surah Yaasin. Benarlah ... nikmat paling utama dalam sebuah kehidupan adalah ketenangan hati. Semoga Allah sentiasa memelihara aku, Abah dan anak-anak dari segala mara bahaya. Ameen

Saturday, September 25, 2010

Tekanan Perasaan

Sesekali aku takut ... membayangkan bagaimanakah aku mengakhiri hayatku, dalam kesakitankah, kelemasankah, kepanasankah?? Perasaan ini amat menakutkan .. nafas ku seakan-akan mahu semput, ada jerutan pada pertengahan dadaku, berpeluh-peluh rasa tubuh.

Aku jadi gelisah!!! Bayangan Allahyarhamah Midah di saat akhir hayatnya dalam keadaan lemas bernafas masih terbayang-bayang di mata. Aku jadi murung ... tak ada mood nak makan, tak ada mood nak berbual, tak ada mood segalanya. Sesekali aku menangis terkenangkan Allahyarhamah .. terasa rindu pada suara dan gelak ketawanya. Lebih parah, setiap malam tidurku terganggu. Aku sukar melelapkan mata apabila perasaan cemas melanda semula.

Abah cepat mengesan perubahanku. Dia meminta aku jangan terlalu mengikut perasaan. Aku mesti menerima kenyataan bahawa yang pergi telah pun pergi. Kita yang masih bernafas ini perlu meneruskan hidup dengan memandang ke hadapan.

Aku mula mendapat kesan fizikal dari tekanan tersebut. Seluruh kepala ku berat dan berdenyut-denyut. Bahu, belakang dan dadaku sakit. Ohhh Tuhan ... janganlah aku mendapat penyakit jantung pulak. Aku mesti segera bertindak. Aku segera bertemu doktor. Bacaan tekanan darah kali pertama 160/100, hari ke-2 menurun kepada 145/100. Doktor turut risau dan memberi aku pelbagai ubat. Aku dinasihatkan untuk belajar mengawal emosi.

Apabila tidut tertanggu, aku melakukan qiamulail dengan mendirikan solat tahajud, taubat dan sunat. Aku membaca surah Yaasin. Aku membaca pelbagai doa dari buku-buku agama yang selama ini jarang ku sentuh. Aku berdoa bersungguh-sungguh memohon bantuan Allah untuk menenangkan semula hatiku, melapangkan dadaku, menguatkan imanku, menjauhi aku dari keluh-kesah, melindungi aku dari gangguan syaitan yang dilaknatkan.

Aku juga mengaambil langkah keluar dari rumah dan bergaul dengan teman-teman. Aku pergi ke pejabat lama berjumpa bekas rakan pejabat. Aku ke masjid bertemu rakan-rakan jemaah. aku bertemu dengan jiran-jiran wanitaku. Dengan berbual meluah perasaan dan bergelak ketawa, sebahagian dari beban tekanan perasaan ku melurut jatuh. Teman-teman banyak memberi peransang.

Kini setelah genap seminggu kehilangan Allahyarhamah, aku telah semakin pulih. bacaan tekanan darah ku menurun kepada 130/90 sahaja. Aku telah dapat menikmati tidur malam yang tidak terganggu. Walau bagaimanapun, aku bertekad untuk meneruskan amalanku. Mungkin pemergian Allahyarhamah membawa hikmahnya tersendiri .. untuk aku mengingati mati dan bersedia ke arahnya dan berusaha untuk lebih hampir kepada Allah untuk mendapatkan bantuan dan memohon rahmatNya.

Thursday, June 17, 2010

Malas Menguasai Diri

Sudah berminggu aku tidak menulis blog ini. Bukan itu saja..membaca blog lain pun aku malas. Kenapa ye?? aku pun tak tahu. Penyakit malas ini kalau dah menguasai diri..alamatnya dunia macam terhenti putaran. Beku dan kaku.

Sebenarnya bila penyakit malas datang....aku jadi malas semua perkara. Mungkin susah nak percaya, tapi itulah sebenarnya. Memasak malas, mengemas rumah pun malas, nak makan pun malas, nak ke bilik air untuk melepas hajat pun malas..semua tangguh-tangguh dulu. Bila sudah tidak tahan sangat, baru bancuh air untuk minum, baru ceduk nasi untuk makan, baru buat itu dan ini...sudah terdesak.

Masyaallah..mujur cepat-cepat aku mengawal diri. Kalau aku malas, macamana...siapa nak memasak untuk suami dan anak-anak. Siapa nak mengemas rumah yang dah bersepah-sepah. Ini tidak boleh jadi. Aku kena lawan...dan alhamdulillah berjaya.

Cuma untuk mengadap laptop ini..untuk menjenguk blog ini, aku masih malas. Walaupun banyak kisah baru untuk ditulis. Tunggulah dulu...mood menulis belum datang.

Friday, March 26, 2010

"Mood Swing"

Kenapa aku sekarang??? Apa yang sedang merasuk diri ini??? Asyik dengan perangai buruk ... perengus, sensitif dan cepat merajuk dan cepat bersangka buruk. Mangsa ku bukan orang lain, tetapi Abah dan anak-anak. Kadang-kadang aku tahu perbuatan ini tidak baik .. tetapi kenapa aku masih menurut kata hati.

Ya Allah ampunkan dosa ku. Berikan aku kesabaran, berikan aku perlindungan dari hasutan syaitan. Jauhi aku dari menyakiti hati suamiku dan melukakan hati anak-anakku.

Mungkin ini petanda awal hormon ku telah bercelaru .. petanda akan datangnya fasa menopause dalam diri seorang wanita. Hmm... tahun ini umur ku akan mencecah 48 tahun. Mungkin. Dari pembacaan buku-buku ilmiah aku dapati antara petanda awal seseorang wanita akan menopause ialah pusingan haid yang tidak tetap, darah haid semakin sedikit, sering merasa panas badan yang keterlaluan (hot flashes), mood tidak menentu dan mudah menangis (mood swing), keletihan melampau, susah tidur malam dan pelbagai lagi.

Tetapi itu semua bukan alasan untuk aku melayan kerenah hati yang berbaur-baur. Lalu aku tekadkan hati, aku akan lawan godaan syaitan ini. Aku tidak akan benarkan ia mengawal aku. Aku tidak mahu dia ketawa melihat aku menambah dosa.

Wednesday, March 17, 2010

Bila Cinta Kembali Bertaut

Aku dan Abah kembali berdamai. Itu pun setelah aku mengambil langkah untuk memaksa Abah berbincang secara telus ..."heart to heart talk". Aku bertekad untuk mengambil langkah berdamai sebelum tamat hari ketiga konfrontasi kami.

Aku jernihkan hati ... menganggap semua pengakuan Abah adalah ikhlas. Itu yang dapat aku simpulkan setelah meneliti kejernihan sinar mata dan intonasi suaranya. Aku tidak mahu bermasam muka lebih dari tiga hari .. itu peganganku semenjak dahulu. Aku tidak mahu sengketa ini menggugat ketenteraman aku, Abah dan anak-anak. Tidak rugi kita merendahkan diri, memaafkan dan memohon kemaafan.

Dan .. kini kami berdamai semula. Semua perasaan marah, sedih dan kecil-hati hilang bagai debu. Cinta kami bertaut kembali, malah aku rasakan semakin erat. Setiap selepas solat, aku melakukan sujud syukur. Hanya dengan sifat Rahman dan Rahim dari Allah aku mendapat nikmat ini.

Friday, March 12, 2010

Bila Hati Tidak Tenteram

Sudah 3 hari aku menahan rasa marah. Bukan marah pada orang lain, tapi suami sendiri. Entah mengapa Abah sengajamembuat aku marah, dan tidak mahu mengakui kesalahannya.

Apa yang membuatkan aku begitu marah, tidak perlulah aku ceritakan. Tetapi yang pasti, aku kecewa apabila Abah tidak mahu berkongsi rahsia dengan aku, sebaliknya semua menjadi rahsianya dan kawan-kawannya. Bukankah itu pelik. Kenapa perlu berahsia antara suami dan isteri melainkan perkara itu ada menyentuh perasaan isteri. Aku hanya berteka-teki kerana aku sendiri tidak pasti. Inilah akibatnya apabila amat suka berahsia.

Hari pertama perang dingin ini aku diamkan sahaja. Harapanku Abah akan mengendur dan mengakui kesilapannya. Selalunya Abah yang akan memendekkan konfrontasi. Tetapi kali ini sebaliknya, Abah tanpa rasa bersalah membiarkan aku tertanya-tanya.

Aku tidak suka perang dingin sebegini. Untuk bercakap dengan Abah tidak mungkin. Sebab aku ini agak baran orangnya, aku takut sekiranya percakapanku nanti akan menambah dosa dan merumitkan lagi krisis ini. Lalu aku menghantar email kepada Abah. Aku mencurahkan apa yang terbuku di hati dan apa yang aku harap Abah dapat perbaiki.

Tetapi hampa. Abah terus dengan egonya, berdiam diri. Aku pun ego juga. Ah..susahnya bila ditimpa penyakit ego. Anak-anak yang sudah dewasa segera mencium kelainan hubungan ibu dan bapa mereka. Mereka mengingatkan kami tentang dosa tidak bertegur sapa. Ah malunya aku. Tetapi ego masih menguasai diri.

Untuk mententeramkan hati, aku perbanyakkan membaca Al Quran, membuat solat hajat dan berdoa semoga ikatan perkahwinan ini tidak tergugat dengan krisis yang sekecil ini. Semoga dilembutkan hati Abah untuk mengakui kesilapannya dan dilembutkan hati aku untuk memaafkannya. Aku amat menyayangi ikatan perkahwinan ini.

Tuesday, October 20, 2009

Keluh-kesah Ini

Hari ini 1 Zulkaedah. Selesai sudah Syawal yang penuh keberkatan. Alhamdulillah tahun ini puasa sunat Syawal dapat ku selesaikan tanpa masaalah walaupun emosi aku tidak begitu stabil akhir-akhir ini. Tekanan di tempat kerja membuat aku selalu emosional. Dan emosi yang kalut ini jelas terpancar di wajah, sebab aku tidak pernah tahu bagaimana menyembunyikan emosi.

Semua teman menegur kenapa wajah ku hilang seri. Kenapa wajah ku kelat selalu. Aku cuba menepis semua tanggapan itu. Tidak ada apa-apa, semua okay. Itu selalu jawapan aku. Apa lagi nak aku beritahu?

Hari ini aku nekad. Setelah mendapat restu Abah dan Emak, aku menghantar surat memohon persaraan awal dari Bos. Tapi permohonan aku ditolak bulat-bulat. Sebaliknya aku dileteri kerana menurut Bos aku begitu cepat mengalah pada cabaran, terlalu cepat menarik diri dari sebelum sempat bertarung dan entah apa-apa lagi. Aku tahu Bos ada ilmu saikologi, dia menggunakan pendekatan yang terlalu lembut, hingga aku hampir menangis kesedihan. Aku diberi 3 pilihan, terus berkhidmat dengan beliau, bertukar ke Unit Latihan atau bertukar ke Unit Pentadbiran, tetapi tidak sekali-kali berhenti dari perkhidmatan.

Aku jadi kalut semula. Kalau sebelum ini aku nekad dengan keputusan untuk bersara terus dari perkhidmatan, sekarang hati ini berbelah bagi semula.

Friday, October 2, 2009

Sampai Bila Begini

Telah berkali-kali aku berbincang dengan Abah. Aku dah dapat merasakan bahawa aku telah tidak mampu untuk terus bekerja. Kepala aku sudah tidak mampu untuk berfikir setajam dulu, badan aku sudah tidak mampu bergerak setangkas dulu, lebih lagi hati aku sudah mula hilang semangat untuk bekerja 8 jam sehari di pejabat.

Agaknya ini krisis pertengahan umur. Aku dapati ramai yang masih gembira bekerja walau telah mencapai usia 56 tahun. Tetapi aku belum pun sampai 50 tahun telah menerima simptom ini. Oh.. mampu kah aku menunggu lagi.

Tetapi Abah agak keberatan. Itu yang aku faham dari nada suara dan hujah-hujahnya. Dia mempertikaikan apa yang aku akan buat kalau aku bersara, bagaimana kalau tiba-tiba sakit, tidak ada 'medical coverage' lagi dari majikan. Macam mana dengan anak-anak yang masih belajar, nanti perbelanjaan tidak mencukupi.

Aku balas hujah Abah. Insyaallah mencukupi dengan wang pampasan selama 15 tahun bekerja dengan syarikat, dicampur dengan pencen bulanan dari perkhidmatan dengan kerajaan dahulu. Lagi 2 tahun aku boleh mengeluarkan wang simpanan EPF. Untuk perubatan, aku mempunyai perlindungan insuran yang akan matang apabila aku mencapai usia 55 tahun. Pada ketika itu juga, aku boleh mengeluarkan baki wang EPF. Insyaallah, jumlah tersebut mencukupi sekiranya kita berdisiplin mengawal perbelanjaan.

Dalam 2 tahun lagi Kak Long akan tamat belajar dan akan bekerja. Begitu juga Kak Ngah. Puteri bongsu kita akan mula memasuki institusi pengajian tinggi. Kita telahpun bersedia dengan insuran pendidikan anak-anak kita. Insyaallah kita mampu memberikan anak kita hak mereka untuk mendapat pendidikan terbaik.

Suami ku. Jangan lah biar aku terdera begini. Kadang-kadang aku rasa berdosa kerana pergi dan balik kerja dengan hati yang tidak ikhlas. Berkatkah pendapatan bulanan ku????

Wednesday, September 9, 2009

Bosan..bosan

Kadang-kadang penyakit ini datang juga. Penyakit bosan.

Aku jadi bosan untuk bekerja. Rasanya sejak seminggu ini ... setiap pagi adalah penyiksaan untuk melangkah ke pejabat. Aku pergi dengan hati yang tidak ikhlas untuk mencari rezeki. Di pejabat mata aku tidak lepas memandang jam, mengira bila waktunya untuk pulang.

Di rumah aku menjadi lelah. Ditambah dengan kerja rumah yang sedia menunggu, memasak untuk berbuka, mengemas dapur, memasak untuk sahur. Ahhhh! macamana aku nak keluar dari rasa bosan yang mencengkam ini.

Aku beritahu Abang. Biasanya dia tempat aku melepas perasaan ... seperti biasa juga dia akan nasihat aku, pergilah solat, solat taubat, solat hajat, minta Allah berikan pertolongan. Abang lupa kah aku sedang uzur. Ohhh, mungkin ini sindrom biasa orang datang bulan. Aku cuba memujuk diri.

Aku hanya berdoa dalam hati ... Ya Allah, bersihkan hatiku, jauhkan aku dari bisikan syaitan yang melalaikan, tanamkan sifat ikhlas untuk aku mencari rezeki, semoga rezeki itu penuh keberkatan. Ya Allah, permudahkan jalan hidup ku, jadikan aku hamba Mu yang solehah. Ameen.