Monday, July 23, 2012

Terkenang Keindahan Itu


Hari ni hari ke-3 berpuasa.  Subhanallah, cuaca redup sejak dari pagi.  Terasa nyaman sangat. Berbeza dengan semalam, panas terik dari pagi hingga lewat petang. Hingga anak-anak merungut letih dan lapar.  "Sabar yang,  inilah dugaan Ramadhan. Lagi banyak dugaan, lagi kita sabar, lagi besar pahala".  

Sebenarnya kata-kata itu untuk memujuk diri aku juga.  Aku benar-benar terasa letih, rasa nak melepek ajer.  Kalau ikutkan malas dan letih, aku nak tidor ajer.

Tetapi bila mengenangkan besarnya ganjaran Ramadhan aku pujuk anak-anak untuk pergi menunaikan tarawih.  Mereka akur, tapi dengan muka muncung. Setelah 8 rakaat aku benarkan mereka pulang.  Aku dan Abah sambung sampai habis.

Subhanallah.  Aku pun hairan, dimana hilangnya letih aku siang tadi. Semasa bertarawih, tenagaku datang kembali.  Mungkin setelah berbuka dengan tamar 3 biji, sesenduk nasi dan lauk-pauk (aku tak berani makan banyak takut perut sengkak dan berangin semasa tarawih) dan satu mug minuman nestum, Allah kurniakan semula tenaga.  Aku juga sentiasa berdoa semoga Allah memberikan aku kekuatan fizikal, mental dan iman untuk mengutip kelebihan Ramadhan ini. Siapa tahu, mungkin ini Ramadhan terakhir untuk kita. Wallahualam. Mungkin juga suasana dalam masjid yang dingin dan nyaman memberi kesegaran pada tubuh.  Atau bacaan yang merdu bagi juzuk ke-3 oleh Imam (seorang anak muda) membuatkan aku teruja untuk menghabiskan 20 rakaat solat ini. Semua faktor itulah yang memberi kekuatan kepadaku.

Selain beribadat, memakai telekung untuk shopping, makan-makan atau menziarah tempat bersejarah
adalah perkara biasa di tanah suci Mekah dan Madinah

Satu yang jelas menjadi trend ialah suasana di bualan Ramadhan ini bagaikan berada di tanah suci Mekah dan Madinah.  Hampir 80% jemaah wanita memakai telekung semasa pergi dan balik dari masjid.  Dalam perjalanan pulang dari masjid mereka singgah di kedai 7Eleven, KFC, Pizza Hut atau mini-market dengan telekung tersebut tanpa rasa janggal.  Oranglain terutama bangsa asing juga kelihatan telah dapat menerima suasana ini tanpa rasa memandang pelik. Suasana ini berbeza dengan beberapa tahun lalu, dimana hanya orang-orang yang berumur sahaja yang berbuat demikian.

Ya Allah, indahnya Ramadhan ini.  Kurniakan kami dengan rahmatMu yang melimpah-ruah. Angkatkan segala dosa-dosa kami dan kurniakan kami keredhoanMu.  Terimalah amalan kami dan jadikan kami hambaMu yang mendapat kemenangan hidup di dunia dan akhirat. Ameen

No comments: