Sepanjang berada di Tanah Suci Mekah dan Madinah, aku dan Abah akan menghubungi anak-anak 2 kali seminggu. Kebiasaannya kami akan menelefon pada jam 9 pagi waktu Arab Saudi atau lebihkurang pukul 2 petang waktu Malaysia. Aku sengaja memilih waktu ini kerana selalunya pada ketika ini anak-anak telah pun pulang dari sekolah.
Pada tahun 2003, semua jemaah Malaysia tidak dibenarkan membawa telefon bimbit seperti hari ini. Justeru itu pilihan yang ada ialah menggunakan perkhidmatan telefon berbayar. Kedai-kedai telefon terdapat di merata tempat. Kami hanya perlu menyatakan lokasi panggilan dan akan diberikan bilik masing-masing. Bilik kecil berukuran 3 x 3 kaki ini cukup untuk memuatkan aku dan Abah untuk kami berkongsi berbual dengan anak-anak.
Kebiasaannya setiap kali panggilan dibuat, aku dan abah akan bergilir-gilir bercakap dengan Kak Long, Kak Ngah dan Adik. Kadang-kadang aku juga akan bercakap dengan Mak Midah atau Abah bercakap dengan Abah Hamdan. Bayangkan betapa lamanya tempoh panggilan tersebut. Selalunya selesai bercakap, kami perlu membayar sekitar 30 Riyal (pada masa itu tukaran wang adalah RM1 bersamaan 1Riyal).
Suara ceria anak-anak cukup membuat aku berasa lega. Aku tahu mereka semua dijaga dengan baik oleh pengasuh mereka, Mak Midah dan Abah Hamdan. Perasaan rindu sesekali menerpa dalam hati. Bila perasaan ini datang, aku akan menatap gambar-gambar mereka. Tetapi anehnya apabila aku sibuk dengan urusan ibadah, semua rasa kerinduan itu hilang. Allah Maha Pengasih, Dia memberikan aku ruang untuk melakukan ibadah tanpa gangguan.
Walaupun perasaan rindu itu hilang seketika, namun aku sentiasa mengingati anak-anak permata hatiku. Setiap kali aku bertawaf, aku memohon doa untuk kesejahteraan mereka. Setiap kali aku bersolat, aku mendoakan keberkatan hidup mereka. Setiap kali aku mengadap Baitullah, aku mendokan semoga anak-anak ku akan menjadi Hamba Allah yang sempurna ilmunya, amalnya, imannya dan akalnya. Ameen.
No comments:
Post a Comment