Wednesday, March 31, 2010

Beratnya Kaki Melangkah (5 Mac 2003)


Maqam Ibrahim

Hijr Ismail

Hari ini merupakan hari terakhir kami di Tanah Suci Mekah. Hati aku jadi tidak keruan. Terasa tidak mampu memikirkan saat-saat untuk meninggalkan tanah suci ini setelah lebih sebulan kami berada di sini.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini aku, Abah dan ipar-iparku memperbanyakkan lagi ibadat umrah dan tawaf sunat kami. Rasanya seolah-olah tidak puas untuk kami menatap Kaabah. Semakin dekat tarikh kami meninggalkan Mekah, semakin terasa suntuk waktu untuk beribadat. Memandangkan jemaah haji telah ramai meninggalkan Mekah, kami dapat melakukan tawaf sunat dengan cepat dan selesa. Kami dapat bersolat sunat di dalam kawasan Hijr Ismail, di Multazam dan di belakang Maqam Ibrahim dengan mudah.

Maqam Ibrahim merupakan tempat Nabi Ibrahim AS menyeru menusia untuk mengerjakan ibadah haji. Di dalam binaan bertutup kaca ini, aku dapat melihat dengan jelas tapak kaki baginda semasa berdiri di tempat tersebut. Jemaah digalakkan berdoa di sini kerana ia merupakan salah satu tempat di mana doa mudah dimakbulkan oleh Allah.

Hijr Ismail juga merupakan tempat yang mustajab untuk berdoa. Ia merupakan binaan yang bersambung dengan Kaabah dan bersembahyang di dalam kawasan ini samalah seperti bersembahyang di dalam Kaabah. Multazam pula merupakan dinding Kaabah yang terletak di antara Hajar Aswad dengan pintu Kaabah. Ini juga merupakan tempat tumpuan utama jemaah untuk berdoa selepas selesai bertawaf.

Cuma aku tidak berkesempatan untuk mengucup Hajar Aswad kerana bilangan jemaah yang sentiasa ramai di kawasan tersebut. Mana mungkin aku berasak-asak dengan jemaah lelaki sekadar untuk mengucup batu tersebut. Nanti pahala sunat tidak dapat, dosa bersentuhan dengan bukan mahram yang diterima.

Sehari sebelum meninggalkan Mekah, kami masuk ke Masjidil Haram untuk solat Maghrib dan Isya melalui Pintu Babussalam. Setelah itu kami mengerjakan tawaf sunat sebanyak 2 kali. Rasanya tidak mahu aku berhenti bertawaf. Selesai tawaf, aku memeluk dinding Kaabah dengan penuh kasih-sayang dan menangis tersedu-sedu, terasa rindu menyesak hati .. walaupun belum aku berpisah dengan Rumah Allah ini. Ya Allah .. berikan aku kelapangan rezeki, kesihatan diri dan kemampuan fizikal untuk datang lagi sebagai tetamuMu.

Pada hari terakhir, selepas solat Isya' kami melakukan Tawaf Wada' atau tawaf selamat tinggal. Selesai tawaf kami berjalan perlahan-lahan meninggalkan Masjidil Haram. Mata kami tetap memandang Baitullah sehingga kami berada di luar kawasan masjid. Airmata bercucuran membasahi tudungku. Ya Allah .. berikan aku kesempatan untuk datang kembali. Janganlah ini kali terakhir aku memandang Kaabah ini. Jangan ini kali terakhir aku menjejak kaki di Masjidil Haram ini. Ameen.

Tepat jam 11.00 malam, jemaah Kumpulan 11 hingga 16 bertolak dari Mekah Al Mukarramah menuju ke Madinah Al Munawarah. Hati sedih meninggalkan Mekah tetapi pada waktu yang sama sangat teruja untuk berada di bumi Madinah di mana bersemadinya junjungan kita Nabi Muhammad SAW.


Tuesday, March 30, 2010

Hujan Rahmat

Syukran..syukran.

Telah 4 hari berturut-turut hujan di kawasan utara ini. Kebiasaannya turun pada waktu petang atau malam. Hujan yang turun agak lebat. Pastinya ini hujan rahmat yang Allah turunkan kepada hambaNya yang bersabar menanggung peritnya kemarau selama beberapa bulan lalu.

Sebelum ini suhu yang dicatatkan adalah sekitar 33 hingga 34 Celcius pada waktu siang dan menurun kepada 30 Celcius pada waktu malam. Panas membahang dan perit membakar kulit. Tekak sentiasa dahaga. Kepala selalu migrin. Kipas dan "air-cond" tidak pernah berhenti. Di luar pokok-pokok semakin layu dan kekuningan, tidak cukup bekalan air. Yang nampak ceria hanya bunga kertas pelbagai warna yang menghiasi sekitar bandar dan lebuhraya. Sawah padi pula tanahnya merekah, kering kontang. Di radio dan akhbar pihak berwajib mula meminta rakyat berjimat dalam penggunaan air. Air di empangan seluruh negara semakin surut dan dikhuatiri negara akan menghadapi krisis kekurangan bekalan air.

Justeru apabila hujan turun dengan lebatnya beberapa hari ini, ramai yang gembira mengucap kesyukuran. Rumput dan daun mulai menghijau. Sawah padi mula digenangi air. Cuaca petang lebih nyaman kerana terdapat awan mendung yang menutup sinar matahari. Malam dan pagi terasa begitu dingin.

Alhamdulillah atas nikmatMu Ya Allah.

Friday, March 26, 2010

"Mood Swing"

Kenapa aku sekarang??? Apa yang sedang merasuk diri ini??? Asyik dengan perangai buruk ... perengus, sensitif dan cepat merajuk dan cepat bersangka buruk. Mangsa ku bukan orang lain, tetapi Abah dan anak-anak. Kadang-kadang aku tahu perbuatan ini tidak baik .. tetapi kenapa aku masih menurut kata hati.

Ya Allah ampunkan dosa ku. Berikan aku kesabaran, berikan aku perlindungan dari hasutan syaitan. Jauhi aku dari menyakiti hati suamiku dan melukakan hati anak-anakku.

Mungkin ini petanda awal hormon ku telah bercelaru .. petanda akan datangnya fasa menopause dalam diri seorang wanita. Hmm... tahun ini umur ku akan mencecah 48 tahun. Mungkin. Dari pembacaan buku-buku ilmiah aku dapati antara petanda awal seseorang wanita akan menopause ialah pusingan haid yang tidak tetap, darah haid semakin sedikit, sering merasa panas badan yang keterlaluan (hot flashes), mood tidak menentu dan mudah menangis (mood swing), keletihan melampau, susah tidur malam dan pelbagai lagi.

Tetapi itu semua bukan alasan untuk aku melayan kerenah hati yang berbaur-baur. Lalu aku tekadkan hati, aku akan lawan godaan syaitan ini. Aku tidak akan benarkan ia mengawal aku. Aku tidak mahu dia ketawa melihat aku menambah dosa.

Wednesday, March 24, 2010

Kota Mekah Yang Barakah (28 Februari 2003)

Di perkarangan Masjidil Haram

Mendengar penerangan Ustaz TM Fouzi


Di Masjid Kucing

Kami bergerak dari Al Massa tepat jam 7.15 pagi. Kali tidak menaiki bas, sebaliknya hanya berjalan kaki. Kami memulakan pergerakan menuju ke perkarangan Masjidil Haram. Di sini kami dibawa ke Maktabah Makkatul Mukarramah yang merupakan sebuah perpustakaan. Di tapak bangunan inilah dikatakan terletaknya tapak asal rumah Nabi Muhammad SAW. Kami tertanya-tanya kenapakah bangunan ini seolah-olah terbiar, tidak diperindahkan dan tiada sebarang papan tanda yang menceritakan riwayatnya. Menurut Ustaz TM Fouzi, Kerajaan Arab Saudi sememangnya sengaja berbuat demikian untuk mengelakkan bangunan ini menjadi tumpuan ramai dan memungkinkan berlakunya perbuatan syirik atau pemujaan melampau oleh pengunjung.

Di hadapan Masjidil Haram terletaknya Jabal Abi Qubais, sebuah bukit besar yang di sisinya dibina Istana Raja Arab Saudi yang indah tersergam. Jabal Abi Qubais yang kini telah rosah akibat banyak ditarah mempunyai pelbagai sejarahnya. Disinilah tempat disimpan Hajar Aswad semasa banjir besar melanda Mekah. Di sini tempat Nabi Ibrahim AS menyeru manusia menunaikan ibadah haji. Di sini juga tempat Nabi Muhammad SAW menyeru manusia menyembah Allah dan diriwayatkan juga di puncak bukit ini mukjizat kebesaran Allah ditunjukkan kepada penduduk Mekah apabila bulan terbelah dua.

Kami seterusnya bergerak ke beberapa buah masjid yang terdapat berhampiran kawasan tersebut seperti Masjid Ar Rayyah (Masjid Bendera) atau dikenali juga sebagai Masjid Kucing. Di masjid inilah Khalid Al Walid mencacakkan bendera tanda kebesaran Islam semasa peristiwa Perjanjian Hudaibiah. Diriwayatkan juga semasa Nabi sedang solat di masjid ini dan ketika sujud, seekor kucing melompat ke atas belakang Baginda. Baginda membiarkan kucing tersebut kerana rasa kasih sayangnya dan hanya bangun dari sujud selepas kucing berkenaan turun dari atas belakang Baginda.

Di sekitar masjid ini terdapatnya Pasar Zink iaitu tempat membeli-belah yang meriah. Kerana masa terhad, Ustaz meminta kami menangguhkan dahulu "sesi membeli-belah" di waktu yang lain. Bau-bauan makanan juga sangat mengujakan selera kami.

Masjid kedua dilawati ialah Masjid Al Syajarah (Masjid Pokok). Diriwayatkan di masjid inilah Nabi Muhammad SAW menunjukkan mukjizat kebesaran Allah kepada jin-jin dengan meminta sepohon pokok berjalan ke hadapan baginda dan hasilnya banyak jin-jin yang segera beriman kepada Allah.

Masjid seterusnya ialah Masjid Al Jinn (Masjid Jin). Menurut riwayatnya di masjid inilah para jin berjanji (berbai'at) untuk beriman kepada Allah. Di masjid ini juga diturunkan Surah Al Jin ayat 1 dan 2 yang bermaksud "Katakanlah (wahai Muhammad) : telah diwahyukan kepadaku bahawa satu rombongan jin telah mendengarkan Al Quran lalu mereka berkata sesungguhnya kami telah mendengar Al Quran yang menakjubkan (1) Kitab yang memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Allah SWT (2)".

Berhampiran dengan masjid ini terletaknya Perkuburan Maa'la. Disinilah bersemadinya isteri kesayangan Nabi, Saiditina Siti Khadijah RA. Kami jemaah perempuan tidak dibenarkan masuk dan hanya melihat dari kawasan yang dikhaskan sahaja. Sistem perkuburan di sini adalah berbentuk ekonomi di mana kubur-kubur akan digali dan digunakan semula mengikut tempoh waktu yang ditetapkan bagi mengatasi masalah kekurangan tanah perkuburan.

Memandangkan hari ini Jumaat, jemaah lelaki bergegas ingin pulang ke hotel untuk membersih diri sebelum menunaikan solat Jumaat. Sekiranya perjalanan datang tadi mengambil masa hampir 4 jam, perjalanan balik hanya dalam tempoh 40 minit sahaja.


Sunday, March 21, 2010

Mengunjungi Bukit-bukit Bersejarah di Mekah (27 Februari 2003)

laluan ke Jabal Nur, tempat terletaknya Gua Hira'

Mina yang sepi

Di Jabal Rahmah, Arafah

di hadapan Masjid Namirah, Arafah

Tepat jam 7.30 pagi bas yang membawa jemaah Kumpulan JT bertolak dari Hotel Al Massa. Dalam perjalanan tersebut, kami berhenti sebentar berhampiran loji zamzam. Kami hanya melihat loji tersebut dari atas bas. Menurut Ustaz TM Fouzi, air zamzam dari telaganya yang terletak di Baitullah akan dipam ke loji ini untuk dibotolkan dan diedarkan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada para jemaah.

Seterusnya kami bergerak ke Jabal Thur. Dari kaki bukit ini kami bergerak perlahan-lahan mendaki beberapa meter. Di puncak bukit inilah terletaknya Gua Thur tempat di mana junjungan kita Nabi Muhammad SAW bersama sahabat baginda Saidina Abu Bakar RAH bersembunyi menyelamatkan diri dari buruan kaum kafir Musyrikin Mekah yang berhajat membunuh Baginda. Baginda dan Saidina Abu Bakar kemudiannya meneruskan perjalanan dari Gua Thur untuk berhijrah ke Madinah.

Seterusnya kami bertolak ke Jabal Rahmah yang terletak di Padang Arafah. Ustaz TM Fouzi menerangkan bahawa mengikut sejarah, Jabal Rahmah merupakan tempat pertemuan semula Nabi Adam AS dan isteri Baginda Siti Hawa di muka bumi ini selepas keluar dari syurga. Mereka bertemu semula selepas 200 tahun terpisah. Di sini kami berdoa memohon perlindungan Allah SWT serta keberkatan hidup kami bersama keluarga. Di kaki Jabal Rahmah terdapat banyak unta yang dihias cantik untuk ditunggangi oleh pelancong. Di sepanjang laluan tangga turun dan naik ke Jabal Rahmah, berbagai gelagat pengemis dapat dilihat. Ada yang cedera, ada yang kudung tangan dan kaki, ada membawa anak-anak kecil.

Kami seterusnya bergerak ke Masjid Namirah yang terletak di Padang Arafah juga. Niat kami untuk melakukan solat Tahiyatul Masjid tidak kesampaian kerana pintu masjid ini berkunci. Sebahagian jemaah mula memasang niat untuk melakukan umrah. Masjid Namirah juga dikenali sebagai Masjid Ibrahim kerana Nabi Ibrahim AS pernah singgah bersembahyang di masjid ini. Diriwayatkan juga sewaktu junjungan kita Nabi Muhammad SAW melakukan Haji Wada', baginda telah menunaikan zuhur dan asar di masjid ini.

Setelah selesai bergambar, kami bergerak melalui Mudzalifah. Wadi Nar yang terletak di sempadan Mudzalifah dan Mina merupakan kawasan di mana burung ababil menggugurkan batu ke atas tentera bergajah pimpinan Abrahah yang ingin menyerang Kota Mekah. Kami tiba di Mina yang sunyi sepi. Di luar musim haji, Mina tidak didiami oleh manusia tetapi mungkin dihuni oleh jin. Justeru itu, Mina dikenali sebagai Kota Jin. Kami melalui semula kawasan Masjid Khaif, kawasan jamrah serta kawasan penempatan jemaah yang berhimpun di Mina untuk ibadat melontar. Masih terbayang betapa sesaknya kawasan ini tempoh hari, tetapi hari ini sepi.

Destinasi terakhir kami ialah ke Jabal Nur yang terletak kira-kira 6 km dari Masjidil Haram. Di puncak gunung inilah terletaknya tempat yang paling penting dalam sejarah Islam itu Gua Hira'. Gua ini merupakan tempat di mana Nabi Muhammad SAW menerima wahyu yang pertama dari Allah melalui malaikat Jibril. Di sinilah baginda diangkat menjadi Rasul untuk membawa syariaat Islam kepada manusia sejagat.

Walaupun ada jemaah yang berminat untuk mendaki, tetapi kerana kesuntukan masa, mereka dinasihatkan untuk mendaki pada waktu malam setelah selesai menunai solat Isya'. Pada waktu tersebut juga, cuaca yang nyaman memudahkan jemaah untuk mendaki bukit dengan selesa.

Kami seterusnya berebut pulang ke Al Massa untuk bersiap-siap menunaikan solat Zohor di Masjidil Haram. Dan seterusnya malam ini, menyempurnakan ibadah umrah sunat.



Wednesday, March 17, 2010

Bila Cinta Kembali Bertaut

Aku dan Abah kembali berdamai. Itu pun setelah aku mengambil langkah untuk memaksa Abah berbincang secara telus ..."heart to heart talk". Aku bertekad untuk mengambil langkah berdamai sebelum tamat hari ketiga konfrontasi kami.

Aku jernihkan hati ... menganggap semua pengakuan Abah adalah ikhlas. Itu yang dapat aku simpulkan setelah meneliti kejernihan sinar mata dan intonasi suaranya. Aku tidak mahu bermasam muka lebih dari tiga hari .. itu peganganku semenjak dahulu. Aku tidak mahu sengketa ini menggugat ketenteraman aku, Abah dan anak-anak. Tidak rugi kita merendahkan diri, memaafkan dan memohon kemaafan.

Dan .. kini kami berdamai semula. Semua perasaan marah, sedih dan kecil-hati hilang bagai debu. Cinta kami bertaut kembali, malah aku rasakan semakin erat. Setiap selepas solat, aku melakukan sujud syukur. Hanya dengan sifat Rahman dan Rahim dari Allah aku mendapat nikmat ini.

Friday, March 12, 2010

Bila Hati Tidak Tenteram

Sudah 3 hari aku menahan rasa marah. Bukan marah pada orang lain, tapi suami sendiri. Entah mengapa Abah sengajamembuat aku marah, dan tidak mahu mengakui kesalahannya.

Apa yang membuatkan aku begitu marah, tidak perlulah aku ceritakan. Tetapi yang pasti, aku kecewa apabila Abah tidak mahu berkongsi rahsia dengan aku, sebaliknya semua menjadi rahsianya dan kawan-kawannya. Bukankah itu pelik. Kenapa perlu berahsia antara suami dan isteri melainkan perkara itu ada menyentuh perasaan isteri. Aku hanya berteka-teki kerana aku sendiri tidak pasti. Inilah akibatnya apabila amat suka berahsia.

Hari pertama perang dingin ini aku diamkan sahaja. Harapanku Abah akan mengendur dan mengakui kesilapannya. Selalunya Abah yang akan memendekkan konfrontasi. Tetapi kali ini sebaliknya, Abah tanpa rasa bersalah membiarkan aku tertanya-tanya.

Aku tidak suka perang dingin sebegini. Untuk bercakap dengan Abah tidak mungkin. Sebab aku ini agak baran orangnya, aku takut sekiranya percakapanku nanti akan menambah dosa dan merumitkan lagi krisis ini. Lalu aku menghantar email kepada Abah. Aku mencurahkan apa yang terbuku di hati dan apa yang aku harap Abah dapat perbaiki.

Tetapi hampa. Abah terus dengan egonya, berdiam diri. Aku pun ego juga. Ah..susahnya bila ditimpa penyakit ego. Anak-anak yang sudah dewasa segera mencium kelainan hubungan ibu dan bapa mereka. Mereka mengingatkan kami tentang dosa tidak bertegur sapa. Ah malunya aku. Tetapi ego masih menguasai diri.

Untuk mententeramkan hati, aku perbanyakkan membaca Al Quran, membuat solat hajat dan berdoa semoga ikatan perkahwinan ini tidak tergugat dengan krisis yang sekecil ini. Semoga dilembutkan hati Abah untuk mengakui kesilapannya dan dilembutkan hati aku untuk memaafkannya. Aku amat menyayangi ikatan perkahwinan ini.

Wednesday, March 10, 2010

Kunjungan Ke Tempat Bersejarah 1 (25 Februari 2003)

Two Holly Mosques Museum

Ladang unta di Hudaibiah

Tinggalan sejarah di Hudaibiah


Tepat jam 7.30 pagi bas yang membawa jemaah Kumpulan JT (Grup 11 dan 12) bertolak dari Hotel Al Massa. Hari ini merupakan hari pertama kami dibawa mengunjungi tempat-tempat bersejarah di luar dan di dalam Kota Mekah. Di sepanjang perjalanan aku memandang ke kiri dan kanan laluan untuk melihat suasana di luar dari Kota Mekah. Kami sedang menuju ke Hudaibiah yang terletak di luar Kota Mekah.

Sepanjang perjalanan sejauh 25 km itu dipenuhi oleh padang pasir dan bukit-bukit batu. Kelihatan banyak rumah dibina berhampiran dengan bukit-bukit tersebut. Kebanyakan rumah berbentuk kotak dan sangat ringkas binaan luarannya. Rumah-rumah ini dicat dengan warna putih atau warna coklat tanah atau dibiarkan tanpa cat, warna bata biasa sahaja. Mungkin ini kawasan perkampungan masyarakat berpendapatan rendah di Arab Saudi.

Kami tiba di Hudaibiah kira-kira 45 minit kemudian. Jalanraya yang baik dan tanpa kesesakan menjadikan perjalanan ini cepat dan selesa. Hudaibiah merupakan tempat berlangsungnya Perjanjian Hudaibiah di antara Rasullullah saw dan kaum Quraish. Kesan tinggalan sejarah yang masih terdapat di sini ialah tapak masjid lama dan telaga Rasulullah saw. Sebahagian jemaah memasang niat untuk melakukan umrah memandangkan Hudaibiyah merupakan salah miqaat umrah di luar tanah haram Mekah.

Seterusnya kami melawat ladang unta yang juga terletak di Hudaibiyah. Di sini terdapat berpuluh-puluh ekor unta. Beberapa jemaah mengambil kesempatan membeli susu unta yang baru diperah. Memandangkan aku tidak meminati susu, aku tidak langsung berminat untuk membeli susu tersebut.

Angin padang pasir yang bertiup begitu kencang dan kami terpaksa menutup muka untuk mengelakkan pasir memasuki mata.

Kami seterusnya bersedia untuk bertolak ke destinasi berikutnya. Dugaan tiba apabila tayar bas yang kami naiki tenggelam di dalam pasir. Puas pemandu Pak Arab tersebut menekan minyak tetapi bas tidak dapat bergerak, malahan tayar semakin tenggelam ke dalam pasir. Akhirnya para jemaah turun dari bas tersebut untuk mengurangkan beratnya. Jemaah lelaki pula beramai-ramai menolak bas tersebut. Setelah bersusah-payah barulah bas tersebut dapat bergerak.

Kami seterusnya tiba di "Two Holy Mosques Museum" yang menempatkan pelbagai khazanah kebesaran Islam semenjak zaman Rasullullah saw lagi. Semua bahan bersejarah untuk Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi dihimpunkan di sini. Ada pintu Kaabah tahun 1045 H, salinan asal Al Quran tulisan tangan rasm Othmani dari zaman Saidina Othman bin Affan, dinding telaga zamzam tahun 1299 H dll. Ada juga demostrasi membuat kelambu Kaabah oleh beberapa lelaki. Kelihatannya begitu rumit mereka menjahit tulisan ayat-ayat suci Al Quran menggunakan benang emas di atas kain berwarna hitam.

Selesai lawatan tersebut, kami bertolak pulang ke Hotel Al Massa untuk membersihkan diri sebelum masuknya waktu solat Zohor.


Monday, March 8, 2010

Berjalan-jalan Waktu Malam

Kebiasaannya selepas solat Isya', para jemaah akan bergegas pulang ke hotel untuk makan malam. Selepas itu, ada jemaah yang menunaikan umrah, atau kembali ke Masjidil Haram untuk tawaf sunat atau beriktikaf dalam masjid melakukan pelbagai ibadah sunat yang lain. Ada juga yang hanya beristirehat di bilik.

Beberapa kali setelah selesai melakukan tawaf sunat, aku dan Abah akan menyusuri jalan-jalan di sekitar Masjidil Haram untuk melihat suasana Kota Mekah pada waktu malam. Suasana di Mekah masih sejuk. Kebiasaannya suhu yang ditunjukkan di menara jam di Pintu King Abdul Aziz menunjukkan bacaan kurang dari 20C pada waktu malam. Dengan memakai baju tebal, kami berdiri di hadapan Masjidil Haram yang bergemerlapan. Lampu dipasang terang-benderang dari setiap penjuru, dari semua menara. Masjidil Haram merupakan tempat ibadah yang tidak pernah ditutup untuk kunjungan umat Islam. Sentiasa dikunjungi oleh manusia pada setiap masa.

Kebiasaannya kedai-kedai masih dibuka pada waktu ini, walaupun jumlahnya semakin berkurangan. Mungkin disebabkan musim haji telah hampir ke penghujung, ramai jemaah telah meninggalkan Mekah, ramai peniaga telah menutup perniagaan masing-masing.

Aku paling teruja apabila menghampiri kedai-kedai menjual kaset dan CD. Alunan bacaan Al Quran oleh imam-imam Masjidil Haram seperti Sheikh Abdul Rahman As-Sudais dan Sheikh Sa'ad Sa'id Al Ghamidi benar-benar menusuk hati. Walaupun tidak memahami makna ayat yang dibaca ketika itu, kelunakan bacaannya dapat mententeramkan jiwa. Aku membeli beberapa kaset dan CD untuk dibawa pulang.

Aroma minyak atar sentiasa memenuhi ruang udara. Samada di dalam masjid, di sepanjang laluan jalan, di dalam lif hatta di dalam bilik hotel pun. Aku benar-benar merindui nyamannya suasana di Mekah yang dingin dan harum.

Di beberapa tempat pula akan kelihatan ramai jemaah mengunjungi kedai-kedai makan. Aroma rempah nasi arab, kebab dan roti bakar semerbak pada waktu malam. Kadang-kadang kami tidak pulang ke hotel untuk makan malam. Sebaliknya selepas selesai solat Isya', kami akan terus melakukan tawaf sunat. Setelah itu barulah kami singgah di kedai-kedai ini untuk melapik perut. Sesekali ingin bertukar selera dari makanan nusantara kepada makanan arab.

Sesungguhnya suasana samada waktu siang atau malam, mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Walaupun cahaya matahari siang di Mekah begitu terik, tetapi udaranya dingin. Sepanjang dari 22 hingga 25 Februari 2003, cuaca di Mekah diselubungi mendung, tetapi tidak hujan. Ini menyebabkan cuaca semakin dingin, sehingga kami tidak perlu memasang pendingin udara di dalam bilik.

Sesunggunhnya Allah Maha Bijaksana, mengatur cuaca yang pelbagai untuk kita merenung dan mengakui kekuasaan Nya.



Tuesday, March 2, 2010

Restoran Pokok Sawa

Hari Ahad baru-baru ini kami ke Perlis. Kali terakhir kami ke sana pada tahun 2008.

Aku, Abah dan Adik sahaja yang pergi, Kak Ngah sibuk dengan assignment nya. Dari Alor Setar, kami mengikut jalan Kuala Perlis. Kereta banyak di jalanan. Maklumlah cuti panjang selama 3 hari - cuti Maulidur Rasul pada hari Jumaat diikuti cuti hujung minggu. Jadi ramai rakyat Malaysia yang hidup pnuh makmur mengambil kesempatan untuk bercuti bersama keluarga.

Suasana di Kuala Perlis begitu sibuk dengan pelancung yang baru turun dari feri atau yang berebut untuk menaiki feri ke Pulau Langkawi. Kami membatalkan hasrat untuk makan di Kuala Perlis. Memang Kuala Perlis begitu terkenal dengan laksanya. Aku teringat kenangan semasa aku menuntut di Perlis antara tahun 1975-1979. Sesekali kami pelajar asrama akan ke Kuala Perlis untuk makan laksa yang begitu sedap beserta ais kacang. Kebiasaannya pada hujung bulan apabila wang saku telah dimasukkan ke dalam akaun, jadi kami dapat makan agak mewah.

Waktu itu, kedai-kedai makan terletak betul-betul di atas sungai. Sambil makan kami menikmati nyamannya angin laut yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Kami menghirup laksa dengan kuah pekat, bercampur telur rebus dan potongan cili padi. Aroma laksa bercampur dengan bau air laut. Sesekali terasa gerai bergegar mengikut alun air yang bergerak di bawahnya. Sungguh penuh nostalgia. Aku tidak pasti samada gerai-gerai tersebut masih berada di tempat asalnya.

Kami meneruskan perjalanan ke Jalan Mata Air. Tidak susah mencari Restoran Pokok Sawa. Dari jauh sudah kelihatan banyak kereta berhenti di kiri dan kanan jalan. Ketika itu jam menunjukkan pukul 12.20 tengah hari. Orang mula memenuhi restoran tersebut. Mujurnya meja yang disediakan sangat banyak dan dapat menampung pengunjung yang silih berganti.

Tengahari itu kami menikmati keli dan pari bakar dicicah air asam, masak lemak labu, ulam dan sambal belacan, kerabu taugeh dengan pucuk paku, pajeri nenas dan teh o ais limau. Fuh... sedap sungguh keli bakar. Lemak dan tidak berbau hanyir. Dan harga makan tengahari itu amat munasabah, hanya RM28.00.

Sebetulnya banyak lagi lauk-lauk yang disediakan dan aku hampir hilang kawalan nafsu. Semua nampak sedap dan menggamit selera. Ada masakan daging, ayam, telur, ikan, sotong dankerang/siput yang dimasak dengan pelbagai cara samada masak kari, masak lemak, asam pedas, masak kicap, masak kurma dan sebagainya.

Sekiranya aku ke Perlis lagi, mungkin aku akan mencuba makanan yang lain pula.

Setelah perut kenyang, kami pun meneruskan perjalanan ke Padang Besar untuk menjamu mata pula.