Wednesday, March 31, 2010

Beratnya Kaki Melangkah (5 Mac 2003)


Maqam Ibrahim

Hijr Ismail

Hari ini merupakan hari terakhir kami di Tanah Suci Mekah. Hati aku jadi tidak keruan. Terasa tidak mampu memikirkan saat-saat untuk meninggalkan tanah suci ini setelah lebih sebulan kami berada di sini.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini aku, Abah dan ipar-iparku memperbanyakkan lagi ibadat umrah dan tawaf sunat kami. Rasanya seolah-olah tidak puas untuk kami menatap Kaabah. Semakin dekat tarikh kami meninggalkan Mekah, semakin terasa suntuk waktu untuk beribadat. Memandangkan jemaah haji telah ramai meninggalkan Mekah, kami dapat melakukan tawaf sunat dengan cepat dan selesa. Kami dapat bersolat sunat di dalam kawasan Hijr Ismail, di Multazam dan di belakang Maqam Ibrahim dengan mudah.

Maqam Ibrahim merupakan tempat Nabi Ibrahim AS menyeru menusia untuk mengerjakan ibadah haji. Di dalam binaan bertutup kaca ini, aku dapat melihat dengan jelas tapak kaki baginda semasa berdiri di tempat tersebut. Jemaah digalakkan berdoa di sini kerana ia merupakan salah satu tempat di mana doa mudah dimakbulkan oleh Allah.

Hijr Ismail juga merupakan tempat yang mustajab untuk berdoa. Ia merupakan binaan yang bersambung dengan Kaabah dan bersembahyang di dalam kawasan ini samalah seperti bersembahyang di dalam Kaabah. Multazam pula merupakan dinding Kaabah yang terletak di antara Hajar Aswad dengan pintu Kaabah. Ini juga merupakan tempat tumpuan utama jemaah untuk berdoa selepas selesai bertawaf.

Cuma aku tidak berkesempatan untuk mengucup Hajar Aswad kerana bilangan jemaah yang sentiasa ramai di kawasan tersebut. Mana mungkin aku berasak-asak dengan jemaah lelaki sekadar untuk mengucup batu tersebut. Nanti pahala sunat tidak dapat, dosa bersentuhan dengan bukan mahram yang diterima.

Sehari sebelum meninggalkan Mekah, kami masuk ke Masjidil Haram untuk solat Maghrib dan Isya melalui Pintu Babussalam. Setelah itu kami mengerjakan tawaf sunat sebanyak 2 kali. Rasanya tidak mahu aku berhenti bertawaf. Selesai tawaf, aku memeluk dinding Kaabah dengan penuh kasih-sayang dan menangis tersedu-sedu, terasa rindu menyesak hati .. walaupun belum aku berpisah dengan Rumah Allah ini. Ya Allah .. berikan aku kelapangan rezeki, kesihatan diri dan kemampuan fizikal untuk datang lagi sebagai tetamuMu.

Pada hari terakhir, selepas solat Isya' kami melakukan Tawaf Wada' atau tawaf selamat tinggal. Selesai tawaf kami berjalan perlahan-lahan meninggalkan Masjidil Haram. Mata kami tetap memandang Baitullah sehingga kami berada di luar kawasan masjid. Airmata bercucuran membasahi tudungku. Ya Allah .. berikan aku kesempatan untuk datang kembali. Janganlah ini kali terakhir aku memandang Kaabah ini. Jangan ini kali terakhir aku menjejak kaki di Masjidil Haram ini. Ameen.

Tepat jam 11.00 malam, jemaah Kumpulan 11 hingga 16 bertolak dari Mekah Al Mukarramah menuju ke Madinah Al Munawarah. Hati sedih meninggalkan Mekah tetapi pada waktu yang sama sangat teruja untuk berada di bumi Madinah di mana bersemadinya junjungan kita Nabi Muhammad SAW.


No comments: