Monday, May 31, 2010

Kenduri di Felda Sungai Kelamah

Rombongan dari Utara meraikan mempelai


Gadis pingitan membawa hantaran

Ini kali pertama aku ke Gemas. Di luar jangkaan ku, Gemas merupakan sebuah pekan yang lengkap dengan semua kemudahan asas. Ada 3 bank utama di sini iaitu Maybank, Bank Simpanan Nasional dan Public Bank. Ada hotel dan rumah rehat. Paling terkenal ialah Stesen Keretapi Gemas yang masih mengekalkan bentuk asalnya.

Kami menginap di Hotel Tropicana Gemas yang terletak dalam deretan rumah kedai. Hotel ini baru dibuka dan semua kelengkapan di dalamnya masih baru. Tilam dan bantalnya masih keras, tualanya masih segar, lantainya masih bersih. Kemudahan yang disediakan di bilik sangat asas seperti ada pendingin udara, mandian panas dan sejuk serta peti televisyen. Tiada peti sejuk, tiada telefon dan kemudahan membancuh air panas. Tetamu diberi air mineral secara percuma. Tetapi aku dan anak-anak tidak merungut asalkan bilik bersih dan selesa, kemudahan yang ada sudah memadai dan sepadan dengan harga yang dikenakan.

Pada hari pertama kami di sana (Sabtu 29 Mei 2010), kami menghadiri majlis akad nikah yang diadakan pada jam 5 petang di rumah pengantin perempuan di Felda Sungai Kelamah yang terletak kira-kira 10 kilometer dari hotel. Pihak pengantin lelaki datang dengan 7 buah kereta. Majlis berjalan dengan sederhana dan kami terhibur dengan telatah Tok Kadhi yang peramah dan kelakar. Selesai majlis akad nikah, kami menjamu selera dengan nasi puteh berlauk rendang ayam kampung, gulai pisang, sambal tumis ikan bilis dan ayam masak lemak cili padi. Pedas tapi sedap. Kebetulan pula perut memang lapar setelah menempuh perjalanan beratus batu dari utara sejak jam 7 pagi lagi.

Pada hari kedua, kami tiba di rumah pengantin perempuan dengan membawa pengantin lelaki berserta 9 dulang hantaran. Untuk anak saudara ini, aku dan Abah menyediakan hantaran berupa sejadah. Setiba di rumah pengantin perempuan, kami diiringi pukulan kompang masuk ke dalam rumah untuk majlis bersanding dan merenjis. Aku paling segan bila disuruh merenjis. maklumlah..perlu tertonggeng-tonggeng mengambil air mawar, lepas itu bunga rampai dan lepas itu beras kunyit. Bayangkan betapa tetamu perlu memandang kepada "bumper" kita. Aduhhh.

Selesai bersanding tiba saat yang ditunggu-tunggu iaitu menjamu selera di meja pengantin. Hidangan meja pengantin tentulah istimewa dengan nasi minyak, lauk ayam rendang, gulai daging, udang goreng, hati masak kicap, sayur campur, tapai pulut dan buah-buahan.

Kami bertolak meninggalkan rumah pengantin perempuan tepat jam 3 petang untuk menuju destinasi masing-masing. Ada yang bertolak balik ke Pulau Pinang atau Kedah, ada yang singgah di Nilai dan ada yang singgah di Shah Alam.

Buat Hurman dan Monaliza...selamat pengnatin baru dan selamat menempuh alam berumahtangga.

Tuesday, May 25, 2010

Di Beijing....

Selama 7 hari 6 malam kembara perjalanan ke bumi Beijing, aku perhatikan beberapa perkara untuk diambil perhatian :-
  1. tukaran wang asingnya mudah...RM1 sama dengan 2 Yuen, jadi kalau bawa RM2 ribu poket kita penuh dengan 4 ribu Yuen.
  2. masa di Beijing sama dengan masa di Malaysia, justeru tidak perlu mengubahsuai waktu pada jam tangan masing-masing
  3. masalah bahasa masih ketara kerana kebanyakan penduduknya tidak mampu bertutur atau memahami Bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun kami sering terperanjat kerana kebanyakan penjual di bazar mampu bertutur Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu "broken" tetapi sudah cukup untuk memudahkan urusan tawar-menawar. Kebanyakan jurucakap di tempat-tempat pelancongan yang kami lawati mampu bertutur Bahasa Indonesia dengan fasih dan teratur sekali. Fenomena ini menunjukkan betapa ramainya pelancong dari negara-negara Nusantara seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei.
  4. restoran dan kedai menjual barangan halal kebanyakannya berwarna hijau
  5. teh hijau adalah minuman wajib yang dihidangkan secara free-flow pada setiap waktu makan.
  6. tidak terdapat kiosk atau kedai-kedai atau gerai di tepi-tepi jalan. Kopi yang dijual di kiosk di supermarket pula agak mahal harganya
  7. ikan yang dihidangkan adalah ikan sungai. Sukar memperolehi makanan laut seperti udang, sotong atau ikan laut yang jika adapun akan dijual dengan harga yang tinggi
  8. hidangan utama ialah daging lembu, ayam dan sayur-sayuran. Ia dimasak secara goreng, merenih atau kukus. Menu wajib ialah telur dadar
  9. tidak kelihatan polis biasa atau polis trafik di jalanraya
  10. kebanyakan lebuhraya atau jalanraya di Beijing adalah lurus, tidak banyak selekoh serta tidak banyak simpang atau lorong
  11. tidak kelihatan lori tangki, lori kontena, lori bawa sayur atau apa-apa lori di atas jalanraya dalam bandaraya Beijing. Lori dibenarkan beroperasi pada waktu malam sahaja
  12. tiada motosikal di jalanrayanya, tetapi banyak basikal. Selain daripada kayuhan biasa, kebanyakan basikal dilengkapi dengan kuasa bateri
  13. kebanyakan kereta di Beijing adalah kereta import jenama mahal seperti Volkswagen, Audi dan Toyota. Cukai membawa masuk kereta import adalah rendah
  14. pengangkutan awam yang utama di Beijing ialah bas. Terdapat bas yang menggunakan kuasa elektrik di laluan khas di sekitar kawasan pelancongan. Ada juga bas 40 tempat duduk yang disambung dua menjadikan kapasitinya meningkat dan mampu memuat lebih 80 orang penumpang pada satu-satu masa
  15. tidak terdapat anjing-anjing liar yang berkeliaran
  16. tidak kelihatan remaja melepak
  17. sukar bertemu orang Beijing yang obese
  18. wajah kebanyakan warga Beijing menarik, mereka tinggi lampai, berhidung mancung dan raut wajah mereka "sharp feature"
  19. kebanyakan tandas di tempat-tempat yang dilawati adalah bersih tetapi tidak menyediakan kemudahan air untuk bersuci. Kami terpaksa mengisi air dalam botol mineral sebelum memasuki tandas
  20. kebanyakan masjid terjaga rapi dan bersih
  21. tidak kelihatan tokong di merata tempat seperti di negara kita, sebaliknya dibina di kawasan yang ditetapkan
  22. kami di Beijing kira-kira 10 hari sebelum Tahun Baru Cina (TBC) dan agak hairan melihatkan tidak jelas sambutannya. Di supermarket, bazar atau jalanraya, tidak banyak tanda-tanda menunjukkan penduduk Beijing akan menyambut perayaan tersebut. Tidak juga kedengaran lagu-lagu menyambut TBC dipasang di supemarket. Keadaan ini amat berbeza berbanding di Malaysia.
Begitulah indahnya budaya dan cara hidup pelbagai bangsa di dunia ini yang jika kita amati sangat menaik sekali. Mana yang baik eluk kita amalkan sebagai cara hidup kita juga.

Thursday, May 20, 2010

Hari Terakhir di Beijing (3 Februari 2010)

Masjid Niujie kaya dengan keindahan senibina China

Ruang solat yang luas dan mendamaikan

Pagi ini begitu dingin, -3 Celcius. Ada teman-teman yang mula diserang selsema dan mendapat simptom asthma. Kami juga sebenarnya sudah diserang penyakit rindu..rindu kepada anak-anak, rumah sendiri, makanan Malaysia dsbnya.

Kami keluar agak lewat pagi ini kerana ramai yang ingin mengemas beg. Aku sendiri mendapati perlu membeli sebuah lagi beg kerana banyak lagi barang yang bertabur di atas lantai bilik. Wah!! datang dengan 2 beg, balik membawa 4 beg.

Jalanraya pada pukul 9 pagi sangat sesak. Aku mengambil peluang melihat Beijing yang amat membangun. Jalanrayanya luas dan lurus dan sangat bersih. Sungai-sungai semua membeku dan sisa-sisa salji masih terkumpul di pinggir jalan. Rakyat China nampak begitu moden, terutama kaum wanita yang memakai fesyen terkini, lebih fashionable dari rakyat Malaysia. Tiada lagi imej pakaian serba hitam atau kelabu seperti di zaman komunis dahulu.

Pukul 10.30 pagi kami tiba di Pearl Palace. Di sini kami diberi penerangan tentang ternakan tiram mutiara, jenis-jenis mutiara dan pelbagai kegunaan mutiara sebelum dibawa melawat galeri mutiara. Aku membeli pearl cream kegunaan siang dan malam. Apabila memakainya, wajah terasa begitu sejuk dan nyaman.

Makan tengahari kami ialah di Jude Huatian, restoran Muslim yang tertua di Beijing. Begitu ramai orang makan pada tengahari ini menyebabkan meja kumpulan kami terpisah agak jauh antara satu sama lain.

Selepas makan tengahari, kami bergerak ke Nuijie Mosque. Masjid ini merupakan masjid tertua di Beijing yang dibina pada tahun 996M oleh pendawah Arab bernama Nasurutan. Semasa pemerintahan Dinasti Yuan, Ming dan Qing, Nuijie Mosque telah melalui proses ubahsuai dan pembesaran. Masjid berkeluasan 6,000 meter persegi ini menempatkan dewan solat, dewan ceramah, pejabat-pejabat, ruang wuduk dan pusara mubaligh Islam. Masjid ini menggabungkan senibina Arab dan istana klasik China. Pada tahun 1988, kerajaan China telah mengisytiharkan Nuijie Mosque sebagai khazanah sejarah China.

Setelah puas berada di masjid yang indah dan barkah ini, kami bergerak untuk membeli-belah lagi. Aku perhatikan bahawa kawasan di sekeliling Nuijie Mosque merupakan kawasan penempatan penduduk Islam. Banyak kedai-kedai berwarna hijau yang menjual produk halal terdapat di kiri dan kanan jalanraya. Kebanyakan penduduk yang ditemui di kawasan ini juga mempunyai wajah yang bercampur-campur antara wajah China dan wajah Uighur.

Kami singgah sekali lagi di Pearl Market selama 1 jam sebelum pergi ke Russian Market selama 1 jam lagi. Sesi shopping yang terakhir ialah di Yachow Market. Sekali lagi bas penuh dengan pelbagai barangan. Aku paling banyak membeli di Russian Market yang menjual alas meja yang begitu cantik dan murah. Penjualnya, Aishah meletakkan harga yang begitu murah dan memberi hadiah kepada setiap pembelinya. Dan pastinya aku dan Abah tidak lupa membeli sebuah lagi beg beroda berharga RM30 di Yachow Market.

Selepas makan malam di Rose Restaurant, kami bergerak pulang ke hotel untuk mengemas pakaian dan barang dagangan masing-masing. Besuk pada jam 6 pagi kami perlu bertolak ke lapangan terbang untuk penerbangan pulang ke malaysia pada pukul 10 pagi.

I

Shopping! Shopping! ( 2 Februari 2010)

Hari ini khas untuk shopping. Inilah acara yang ditunggu-tunggu oleh sebahagian besar anggota rombongan. Ada yang mahu membeli barangan untuk perkahwinan anak, untuk cenderamata atau untuk kegunaan sendiri seperti cadar, kain sutera, alas meja, pakaian, beg, kasut, kamera, telefon bimbit dll.

Pagi dimulai dengan lawatan ke kilang aksesori wanita daripada mutiara dan kristal. Kilang ini dimiliki oleh orang Malaysia. Beliau menyambut kami dengan girang dan menghidangkan kami dengan teh panas lalu memanggil kami dengan panggilan "saudara-mara saya". Aku rasa terharu, bagaimana apabila berada jauh dari tanahair, kita merasa ikatan yang kuat walaupun kami berlainan bangsa.

Lawatan seterusnya ialah ke Dr Tea, sebuah kedai yang menjual pelbagai jenis teh. Ada green tea, black tea, oulong tea dsbnya. Tetapi mungkin teh herba bukan selera orang Malaysia, tidak ramai yang membeli teh di sini.

Kami kemudiannya makan tengah hari sebelum berhenti solat di Masjid Nan Dou Ya, sebuah masjid tua berusia lebih 300 tahun. Tidak banyak maklumat yang boleh diperolehi tentang masjid yang indah ini.

Setelah itu acara membeli-belah bermula di Silk Street selama 2 jam diikuti dengan Pearl Market selama 2 jam lagi. Walaupn namanya Pearl Market, tetapi pasar ini sebenarnya menjual pelbagai barangan seperti yang terdapat di bazar-bazar.

Setelah puas membeli-belah, bas menjadi sesak dengan barangan yang dibeli. Encik Anuar hanya tersenyum sambil menggelangkan kepala. Memang orang Malaysia mempunyai selera membeli-belah yang tinggi.

Makan malam hari ini agak lewat iaitu pukul 7.30 malam. Kebiasaannya kami makan pada pukul 6.30 petang. Kali ini kami makan di Roast Duck Restaurant. Sebenarnya selera aku dan teman-teman telah mula luntur. Kami mula merindui kari dan sambal tumis setelah 5 hari asyik makan menu masakan China. Memandangkan tiada pilihan, kami makan apa sahaja yang dihidangkan asalkan halal.

Dalam perjalanan balik ke hotel, kami melintasi bandaraya Beijing. Pemandangan waktu malam sungguh indah, semua bangunan dihiasi lampu-lampu yang bergerak ke atas ke bawah, ke kiri dan kanan. Beijing dipenuhi oleh bangunan tinggi pencakar langit. Penduduknya menginap di rumah-rumah pangsa yang berharga sangat tinggi. Tidak banyak rumah banglo atau teres di atas tanah kecuali di kawasan kediaman elit yang begitu sedikit jumlahnya.

Beijing kini berjaya menarik ramai pelabur luar apabila banyak hotel bertaraf antarabangsa beroperasi di sini seperti Regent, Hilton, Shangri-la, Ascott Raffles, Marriott Hotel, Crown Plaza dll. Kini pelancong dan pelabur tidak lagi takut menjejakkan kaki atau berurusan dengan China yang sebelum ini begitu sinonim dengan imej negara komunisnya.

Monday, May 17, 2010

Summer Palace Yang Indah (1 Februari 2010)

Maharani (bukan gundik) bersemanyam di Summer Palace

Rombongan Al-Jannah di Summer Palace


Kunjungan pertama pagi ini ialah ke Guo Ao Neng Liang Ti Yan Zhong Xin (amboi panjangnya), sebuah pusat refleksologi yang terletak di Pusat Gimnasium Olimpik Beijing. Di sini kami diberikan ceramah dalam Bahasa Indonesia mengenai penyakit-penyakit yang biasa terdapat dalam tubuh, penyebab dan perubatan yang diperlukan. Semua ahli rombongan Al Jannah diberikan urutan refleksologi secara percuma. Kami juga diberitau mengenai penyakit yang terdapat dalam tubuh masing-masing. Ini menyebabkan ramai yang kecut perut. Akhirnya ramai yang terpaksa berbelanja untuk membeli ubat-ubatan berasaskan herba atas nasihat pakar-pakar urut yang kebanyakannya berbangsa Tibet ini.

Kami meneruskan perjalanan ke Summer Palace dan tiba di sana pada jam 10.00 pagi. Setibanya kami di tepian tasek, wahhh....kami menjadi begitu terpegun melihat betapa indahnya ciptaan Allah, seolah-olah kami sedang memandang sebuah lukisan besar yang sangat cantek. Memandangkan sekarang musim dingin, pemandangan di sini amat berbeza dengan keadaannya semasa musim panas atau musim bunga, yang menurut Encik Anuar lebih terserlah keindahannya. Tasek Kunming yang luas kini membeku dan ramai pelancong yang berjalan di atas permukaannya.

Summer Palace merupakan istana percutian yang terakhir dibina oleh Maharaja China. Banyak istana, pagoda, kuil, tempat-tempat istirehat dan menara dibina di atas bukit-bukit yang berdekatan atau di atas pulau-pulau yang banyak di sekitar tasek tersebut. Keadaan ini mengujudkan lanskap yang unik dan klasik. Pulau-pulau ini dihubungkan dengan jambatan-jambatan yang panjang dan indah serta dihiasi dengan ukiran singa.

Selepas makan tengahari dan solat, kami memulakan acara menbeli-belah yang pertama di Sunny Gold Street Market. Setelah 2 jam di sana kami pergi pula ke Yashow Clothing Market. Di kedua-dua pasar ini pelbagai barangan dapat dibeli seperti pakaian sejuk, beg, baju, kasut, aksesori dan sebagainya. Menariknya kebanyakan penjualnya adalah wanita muda yang boleh bertutur bahasa Melayu!!! Menurut Encik Anuar, kebanyakan amoi ini mempelajari bahasa Melayu kerana begitu ramainya rakyat Malaysia dan Indonesia yang berkunjung ke Beijing.

Harga yang diletakkan amat tinggi dan kita perlu berani menawar kepada harga yang dianggap munasabah dan perlu sedia bermain tarik tali untuk mendapatkan harga yang ditetapkan. Amoi akan memarahi kita dan mengatakan kita "crazy" tetapi apabila kita mula melangkah untuk pergi ke kedai yang lain, kebiasaannya mereka akan mengalah dan memberikan harga yang kita mahukan. Tetapi hati kita sebagai pembeli mesti keras, kerana amoi ini kebiasaannya tidak mengalah dan akan terus memujuk untuk menaikkan harga sedikit demi sedikt.

Selepas penat membeli-belah kami bertolak ke Rose Restaurant, sebuah restoran Xinjiang Muslim untuk makan malam. Semasa makan, kami dihiburkan dengan tarian gelek oleh gadis-gadis dari salah sebuah wilayah China yang berkemungkinan berjiran dengan India atau Rusia memandangkan wajah mereka yang unik. Lenggang lengguk gadis-gadis ini sebenarnya mengganggu konsentrasi kami untuk makan..ha ha.

Friday, May 14, 2010

Tembok Besar China (31 Januari 2010)

Di kaki Tembok Besar China

Tembok Besar China, salah satu keajaiban dunia

Destinasi pertama hari ini ialah kilang Jade Jin Si Wei Jewellery. Kilang ini merupakan tempat memproses dan menjual barangan berasaskan jed. Semasa lawatan kami, kilang ini sedang dalam proses ubahsuai dan aku hampir pitam dan muntah kerana terhidu bau varnish yang amat menusuk hidung.

Semasa taklimat kami ditunjukkan cara-cara membezakan antara jed asli, kaca dan plastik. Kami kemudiannya dibawa melawat galeri yang luas untuk menjamu mata atau membeli-belah. Aku membeli 4 utas gelang dan seutas rantai jed.

Jed diperolehi dalam pelbagai warna seperti hijau tua, hijau muda, kuning, coklat, putih dll . Terdapat jed keras dan jed lembut, yang akan diukir sebagai barangan kemas, perhiasan rumah atau kegunaan di rumah ibadat.

Kemudiannya kami mengunjungi kilang kristal yang terletak bersebelahan dengan kilang jed tadi. Memandangkan badanku terasa tidak begitu sihat, aku hanya berehat di tempat yang dikhaskan untuk tetamu. Hilang seleraku untuk membeli.

Kami bertolak melalui lebuhraya ke arah Tembok Besar China. Memandangkan jam telah menunjukkan jam 11.30 pagi, kami berhenti untuk makan tengahari dan seterusnya menunaikan solat di surau yang disediakan di restoran tersebut. Dari tingkap surau, sayup-sayup kelihatan Tembok Besar China.

Perjalanan ke Tembok Besar China sungguh mengujakan. Aku teringatkan kata-kata, "kalau sampai ke China tetapi tidak menjejak kaki ke Tembok Besar China, samalah seperti belum sampai ke China". Tembok ini juga diiktirafkan sebagai salah satu dari 7 Keajaiban Dunia. Tiba di sana kami berkumpul mengambil gambar beramai-ramai di kaki tembok sebelum mencuba mendakinya setinggi yang mungkin. Memandangkan aku baru sahaja sembuh dari pembedahan apendiks, aku tidak berani memaksa diri walaupun aku mampu pergi agak tinggi. Akhirnya aku dan Abah hanya tiba ke Post No. 2 sahaja.

Berada di atasnya, perasaanku agak berbaur. Sedih bercampur kagum. Tidak dapat aku bayangkan bagaimana manusia di zaman 2,700 tahun yang lalu mampu membina struktur yang begini teguh, lengkap dengan kubu dan bilik istirehat pengawal, cukup tinggi dan sukar ditembusi musuh, sepanjang 50 ribu kilometer merentasi 16 wilayah di negara China. Tembok Besar China kelihatan melengkar merentasi gunung-gunung yang tinggi di sekeliling kami.

Memandangkan kini penghujung musim dingin, angin yang bertiup di pergunungan ini amat sejuk. Sisa salji masih kelihatan di lereng-lereng gunung. Walaupun matahari bersinar terang, cuaca terasa begitu nyaman sekali.

Setelah dua jam berada di sana, kami bertolak menuju ke Bei Jing Bao Shu Tang Sci-Tech Pharmaceutical. Seorang gadis China yang bertugas memberi taklimat kepada kami dalam bahasa Indonesia yang amat fasih. Di sini dijual pelbagai ubat-ubatan Cina berasaskan herba. Aku membeli sebotol krim ajaib Baofuling bernilai 250 yuan. Dikatakan krim ini amat mujarab untuk mengubat alergi, gigitan serangga, sakit otot dan melecur.

Kami terus bertolak balik ke Beijing dalam keadaan yang amat letih. Hampir semua orang tertidur sepanjang perjalanan. Apabila kami tiba di Xinjiang Food Restaurant, jam sudah pukul 6.30 petang dan hari telah begitu gelap. Makanan malam terasa begitu lazat sekali, menyebabkan kami semua begitu berselera makan, hingga semua pinggan menjadi licin

Monday, May 10, 2010

Beijing Pertemuan Moden dan Traditional (30 Januari 2010)

Di Dataran Tiananmen

Forbidden City atau Muzium Istana

Salji di Forbidden City

Stadium Sarang Burung

Pagi-pagi lagi kami sudah menunggu di lobi hotel dengan pakaian tebal masing-masing. Lengkap dengan sarung tangan, topi dan mafla. Cuaca begitu dingin, mencecah -6 Celcius. Bas terpaksa di pasang heater. Setiap kali berbual, wap akan keluar berkepul-kepul dari mulut.

Destinasi pertama pagi ini ialah Dataran Tiananmen. Dataran ini dianggap kawasan lapangan terbuka yang paling luas terletak dalam kawasan perbandaran, diangarkan seluas 40 hektar persegi. Di sinilah Mao Zedong melakukan Perisytiharan Republik China pada tahun 1949. Malah di sini juga sering dijalankan perbagai upacara perbarisan ketenteraan sempena sambutan kebesaran negara. Namun di mata dunia Dataran Tiananmen diingati sebagai tempat berlakunya pertumpahan darah yang dahsyat pada tahun 1989 apabila begitu ramai penunjuk perasaan ditembak oleh tentera kerajaan. China mengambil masa yang lama untuk memulihkan imejnya dan kini Beijing berjaya menjadi sebuah kota pelancongan yang berkembang pesat.

Kami menghabiskan masa bergambar di hadapan gambar Mao Zedong yang besar. Kami menjadi tumpuan pelancong lain yang tidak putus-putus turut mengabadikan gambar kami dalam kamera mereka. Agaknya kami dilihat begitu unik, kumpulan Muslim yang mempunyai pelbagai bentuk wajah, Melayu, iras China dan iras India. Itulah harmoninya rakyat Malaysia.

Seterusnya kami bergerak menuju ke Forbidden City atau kini dikenali sebagai Muzium Istana. Kompleks seluas 720 ribu meter persegi ini merupakan kompleks istana paling besar di dunia dan merupakan pusat pemerintahan Dinasti Ming dan Qing dari tahun 1368 sehingga 1911. Terpesona melihat bagaimana pada abad-abad yang lalu manusia tanpa bantuan teknologi moden mampu membina kompleks istana yang begitu besar, indah, teratur dan teguh. Kompleks ini terdiri dari dari dua lapisan iaitu lapisan luar yang merupakan tempat aktiviti pentadbiran manakala lapisan dalam merupakan tempat kediaman Maharaja dan ahli keluarga. Terdapat 9,999 buah bilik di istana ini.

Menurut Encik Anuar dari permulaan Dataran Tiananmen di utara sehingga ke pintu keluar Forbidden City di selatan, kami telah berjalan lebih dari 7 kilometer. Memandangkan kompleks ini begitu besar, kami hanya melintasinya secara sepintas lalu dan singgah di tempat-tempat yang menarik sahaja.

Seterusnya kami makan tengah hari di sebuah lagi Restoran China Muslim. Setelah hampir 6 jam terdedah kepada udara sejuk mencecah tulang hitam, kami menjadi begitu lapar. Sekejap sahaja makanan panas yang dihidangkan selesai kami makan.

Setelah itu kami berhenti solat di sebuah masjid yang kecil tetapi sangat terjaga rapi iaitu Masjid An Hua Qiao. Terasa begitu nyamannya mengadap Allah dalam masjid ini dengan dikelilingi oleh saudara Muslim berbangsa China. Walaupun kami tidak dapat berkomunikasi antara satu sama lain, tapi senyuman ikhlas serta ucapan salam yang diberikan sudah cukup membayangkan betapa mereka meraikan kedatangan kami.

Destinasi seterusnya ialah Dizhen Silk Store. Di sini kami ditunjukkan proses dari penternakan ulat sutera sehingga kepada siapnya helaian kain sutera yang mewah. Begitu rumit sekali prosesnya. Beberapa ahli rombongan telah membeli kain sutera untuk dibuat pakaian, cadar dan selimut sutera.

Kami kemudiannya bertolak ke Stadium Sarang Burung. Di sinilah berlangsungnya Sukan Olimpik ke-29 pada tahun 2008. Struktur stadium ini adalah terdiri daripada batang-batang keluli yang begitu teguh. Bersebelahan stadium ini ialah Pusat Akuatik Beijing yang juga mempunyai rekabentuk yang unik. Udara petang begitu dingin dan ramai ahli rombongan berserta pelancong lain yang mengambil kesempatan berjalan di atas permukaan tasik yang beku di hadapan stadium ini.

Kami seterusnya bertolak ke Beijing Theater untuk menyaksikan pertunjukan akrobatik. Seram sejuk menyaksikan aksi-aksi berani anak-anak muda yang begitu terlatih melompat, memanjat, bergayut, mengangkat berat dan sebagainya.

Destanasi terakhir hari ini makan malam di sebuah Restoran China Muslim Zhinjiang. Menu malam ini agak pedas dan menepati selera kami dari Pulau Pinang. Walaupun jam baru pukul 7, tetapi di luar cuaca begitu gelap seolah-olah jam 8 malam di Malaysia.

Sekembali di hotel, jam baru pukul 8. Kami mengambil keputusan untuk keluar membeli barangan keperluan Supermarket Ito Yokado. Begitu sukar untuk berinteraksi dengan pemandu teksi dan penjual supermarket yang rata-rata tidak tahu berbahasa Inggeris. Terpaksa kami menulis di atas kertas atau menggunakan isyarat tangan sahaja. Supermarket di sini ditutup pada jam 10 malam. Kami bergegas membeli keperluan masing-masing. Aku dan Abah membeli sebuah kamera Sony dan Nescafe 3 in 1. Setelah 2 hari di sini aku mula ketagihan kafein memandangkan minuman yag dihidangkan semasa makan pagi, tengahari atau malam hanyalah teh Cina yang tawar.


Thursday, May 6, 2010

Menjejak Kaki di Bumi Beijing (29 Januari 2010)

Transit di Hongkong International Airport

Atas tren di Beijing Capital International Airport

Aku telah bersara hampir 6 bulan. Rasanya aku perlu hadiahkan sesuatu kepada diri ini setelah lebih 25 tahun mengabdikan diri mencari rezeki. Aku ajak Abah untuk memenuhi impianku melihat dunia. Tempat pertama kami kunjungi ialah Beijing. Insyaallah, sekiranya ada rezeki, dipanjangkan umur dan tubuh badan pun sihat, mungkin aku akan pergi ke destinasi impian seterusnya seperti Mesir, Turki, Indonesia dan merata-rata lagi. Semuanya dengan nawaitu..untuk menikmati keindahan bumi Allah, menyaksikan kebesaranNya mencipta alam dalam bentuk yang pelbagai.

Tepat jam 8.05 pagi, aku dan Abah serta 40 anggota rombongan Kumpulan Al-Jannah berlepas dari lapangan Terbang Bayan Lepas menaiki pesawat Cathay Pacific CX692. Kami tiba di Hongkong International Airport pada jam 11.00 pagi untuk transit ke Beijing. Cuaca agak dingin.

Di sini kami berjalan agak jauh untuk ke Pintu 26. Memandangkan penerbangan hanya akan berlepas pada jam 2.30 petang, kami mengambil peluang untuk berehat dan membersihkan diri di tandas. Kami melaksanakan solat Jamak Qasar bagi Zohor dan Asar di satu sudut berdekatan Pintu 26.

Aku perhatikan lapangan terbang ini begitu sibuk. Setiap beberapa minit akan kelihatan kapalterbang turun atau naik di landasan. Lapangan terbangnya juga begitu bersih termasuk tandasnya. Tiada bauan hancing atau lantai basah, seorang pekerja akan sentiasa berada dalam tandas dan segera mengemop setiap air yang yang jatuh ke lantai. Aku tertanya-tanya bilakah keadaan ini akan berlaku di Malaysia.

Tepat jam 2 petang kami masuk ke dalam pesawat Dragon Air untuk penerbangan ke Beijing. Suasana agak kecoh apabila beberapa ahli rombongan al Jannah mahu bertukar tempat duduk untuk bersama ahli keluarga masing-masing. Ini tidak disenangi oleh petugas pesawat tersebut. Terpaksalah Ketua Rombongan, Encik Amiruddin mengatur pertukaran secara bersembunyi untuk mengelakkan kemarahan para petugas. Dari udara, aku melihat bumi Hongkong menyerupai Pulau Pinang, dipenuhi bangunan tinggi yang didirikan berhampiran laut.

Kami tiba di Beijing pada jam 5 petang. Beijing Capital Interntional Airport (BCIA) sangat besar, yang ke-3 paling sibuk di dunia. Pergerakan kami dari satu terminal ke terminal seterusnya perlu menaiki tren yang memakan masa lebih 20 minit perjalanan. Terminal 3 baru sahaja dibina sempena Sukan Olimpik di Beijing dan terminal ini sangat cantik, bersih dan moden.

Setelah selesai semua urusan dengan Kastam dan Imigresen, kami keluar dari BCIA dan disambut oleh pemandu pelancong, Mr Lin Ding atau kami panggil Encik Anuar sepanjang kami berada di Beijing. Waktu itu jam baru menunjukkan pukul 6.30 petang tetapi hari sudah gelap seolah-olah jam 8 malam di Malaysia. Bulan mengambang kelihatan besar di langit. Cuaca pula begitu sejuk dan kami terpaksa menyarung baju tebal masing-masing.

Kami menaiki bas menuju ke restoran untuk makan malam. Sepanjang perjalanan, Encik Anuar mengalu-ngalukan ketibaan kami dan menceritakan secara ringkas mengenai BCIA yang baru kami tinggalkan. Encik Anuar amat fasih berbahasa Malaysia. Menurut bekas juruhebah yang berkelulusan dari Amerika Syarikat ini, beliau asalnya belajar bahasa Indonesia tetapi mendalami bahasa Malaysia melalui pembacaan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian on-line. Bahasa Malaysia yang digunakan oleh beliau sangat tinggi standardnya, yang mungkin kita orang Melayu sendiri tidak mampu melakukannya.

Kami tiba di Restoran Sailamah dan menjamu selera makanan Cina Muslim yang terdiri dari ikan, ayam dan sayur-sayuran. Kerana terlalu letih, aku agak kurang berselera untuk makan walaupun makanan yang dihidangkan menarik dan sedap.

Selesai makan kami dibawa ke Shanshui Trends Hotel. Hotel ini mungkin bertaraf 3 bintang dan agak terpencil di kawasan perumahan awam. Kelengkapan biliknya sangat asas tetapi bersih. Tetapi yang sangat mengejutkan aku ialah bilik airnya berdinding kaca lutcahaya (translucent), bayangan pergerakan tubuh badan amat jelas. Mujur aku berkongsi bilik dengan Abah, kalau dengan anak-anak atau kawan perempuan yang lain, hmm...tentu malu sekali.

Malam kami berakhir awal, jam 10 malam kami telah tertidur.

Monday, May 3, 2010

First of May

Red Roses Lefiores


1 Mei 2010..usia melangkah setahap lagi....nombornya semakin besar.

Syukur kepada Allah, diberikan aku peluang untuk menghirup nikmat kehidupan sehingga umur hampir mencapai setengah abad. Ini bonus untuk aku berusaha menjadi manusia yang lebih baik. Setiap hari yang mendatang mesti aku isi dengan kebaikan, semoga dapat mengatasi segala dosa yang yang dikutip sebelum ini.

Apa doa ku pada pagi ini? Banyak .. memohon Allah berikan keberkatan hidup di dunia dan akhirat, menjadikan aku lebih tekun beribadat, menjadikan aku manusia yang lebih baik dari sebelum ini..semua permohonan ku mahu yang terbaik sahaja...untuk diri sendiri, suami ku, kedua ibu bapaku dan anak-anak ku. Semoga Allah menerima doaku.

Satu yang paling pasti, tahun ini lebih meriah. Semenjak aku berhubung semula dengan teman-teman melalui FB, baru teman-teman ini perasan tarikh lahirku. Berduyun-duyun mesej yang masuk ke FB, semua dengan doa yang sama..memohon yang terbaik untuk kehidupan ku. Terima kasih semua.