Selama 7 hari 6 malam kembara perjalanan ke bumi Beijing, aku perhatikan beberapa perkara untuk diambil perhatian :-
- tukaran wang asingnya mudah...RM1 sama dengan 2 Yuen, jadi kalau bawa RM2 ribu poket kita penuh dengan 4 ribu Yuen.
- masa di Beijing sama dengan masa di Malaysia, justeru tidak perlu mengubahsuai waktu pada jam tangan masing-masing
- masalah bahasa masih ketara kerana kebanyakan penduduknya tidak mampu bertutur atau memahami Bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun kami sering terperanjat kerana kebanyakan penjual di bazar mampu bertutur Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu "broken" tetapi sudah cukup untuk memudahkan urusan tawar-menawar. Kebanyakan jurucakap di tempat-tempat pelancongan yang kami lawati mampu bertutur Bahasa Indonesia dengan fasih dan teratur sekali. Fenomena ini menunjukkan betapa ramainya pelancong dari negara-negara Nusantara seperti Malaysia, Indonesia dan Brunei.
- restoran dan kedai menjual barangan halal kebanyakannya berwarna hijau
- teh hijau adalah minuman wajib yang dihidangkan secara free-flow pada setiap waktu makan.
- tidak terdapat kiosk atau kedai-kedai atau gerai di tepi-tepi jalan. Kopi yang dijual di kiosk di supermarket pula agak mahal harganya
- ikan yang dihidangkan adalah ikan sungai. Sukar memperolehi makanan laut seperti udang, sotong atau ikan laut yang jika adapun akan dijual dengan harga yang tinggi
- hidangan utama ialah daging lembu, ayam dan sayur-sayuran. Ia dimasak secara goreng, merenih atau kukus. Menu wajib ialah telur dadar
- tidak kelihatan polis biasa atau polis trafik di jalanraya
- kebanyakan lebuhraya atau jalanraya di Beijing adalah lurus, tidak banyak selekoh serta tidak banyak simpang atau lorong
- tidak kelihatan lori tangki, lori kontena, lori bawa sayur atau apa-apa lori di atas jalanraya dalam bandaraya Beijing. Lori dibenarkan beroperasi pada waktu malam sahaja
- tiada motosikal di jalanrayanya, tetapi banyak basikal. Selain daripada kayuhan biasa, kebanyakan basikal dilengkapi dengan kuasa bateri
- kebanyakan kereta di Beijing adalah kereta import jenama mahal seperti Volkswagen, Audi dan Toyota. Cukai membawa masuk kereta import adalah rendah
- pengangkutan awam yang utama di Beijing ialah bas. Terdapat bas yang menggunakan kuasa elektrik di laluan khas di sekitar kawasan pelancongan. Ada juga bas 40 tempat duduk yang disambung dua menjadikan kapasitinya meningkat dan mampu memuat lebih 80 orang penumpang pada satu-satu masa
- tidak terdapat anjing-anjing liar yang berkeliaran
- tidak kelihatan remaja melepak
- sukar bertemu orang Beijing yang obese
- wajah kebanyakan warga Beijing menarik, mereka tinggi lampai, berhidung mancung dan raut wajah mereka "sharp feature"
- kebanyakan tandas di tempat-tempat yang dilawati adalah bersih tetapi tidak menyediakan kemudahan air untuk bersuci. Kami terpaksa mengisi air dalam botol mineral sebelum memasuki tandas
- kebanyakan masjid terjaga rapi dan bersih
- tidak kelihatan tokong di merata tempat seperti di negara kita, sebaliknya dibina di kawasan yang ditetapkan
- kami di Beijing kira-kira 10 hari sebelum Tahun Baru Cina (TBC) dan agak hairan melihatkan tidak jelas sambutannya. Di supermarket, bazar atau jalanraya, tidak banyak tanda-tanda menunjukkan penduduk Beijing akan menyambut perayaan tersebut. Tidak juga kedengaran lagu-lagu menyambut TBC dipasang di supemarket. Keadaan ini amat berbeza berbanding di Malaysia.
Begitulah indahnya budaya dan cara hidup pelbagai bangsa di dunia ini yang jika kita amati sangat menaik sekali. Mana yang baik eluk kita amalkan sebagai cara hidup kita juga.
No comments:
Post a Comment