Wednesday, July 28, 2010

Solat Tasbih

Masa begitu cepat berjalan...malah seakan berlari. Syaaban sudah lebih 15 hari, kelmarin Nisfu Syaaban. Sedikit lagi Ramadhan akan tiba..bulan penuh rahmat.

Masjid Perai mengadakan solat Sunat Tasbih untuk para Muslimah. Mulai jam 2.45 petang, berduyun-duyun Muslimah masuk ke masjid. Selesai solat Sunat Masjid, kami beriktikaf. Ada yang membaca Surah Yaasin, ada yang berzikir, ada juga yang berbual. Pukul 3.30 petang, Ustazah Azizah tiba. Selesai menunaikan solat Sunat Masjid, beliau memberi taklimat kepada Muslimah cara-cara menunaikan solat Sunat Tasbih. Diulang beberapa kali supaya semua Muslimah faham dan dapat melakukannya dengan sempurna.

Tepat 3.30 petang, kami memulakan solat Sunat Tasbih. Terdapat hampir 100 orang hadir kali ini. Semua tidak mahu melepaskan nikmat menunaikan solat sunat ini. Kami bertasbih memuji kebesaran Allah :Subhanallah walhamdulillah wala illah haillallah wallah hu akbar" berulang-ulang sebanyak 300 kali. Hati merasa sayu mengenangkan kebesaran Allah SWT yang mengurniakan nikmat tanpa henti kepada aku hambaNya yang hina.

Selesai solat, kami berselawat memuji kebesaran Nabi SAW. Seterusnya kami mengerjakan sujud syukur sebelum di akhiri dengan doa memohon keampunan dari Allah, memohon diberi kekuatan menghadapi dugaan duniawi, memohon diketemukan dengan Ramadhan Al Mubarrak dan memohon kebaikan dunia dan akhirat. Sekali lagi, aku tidak dapat menahan airmata yang mengalir memohon keredhaan Allah Yang Esa.

Kemudiannya kami saling bersalaman dan memohon kemaafan sebelum bersama-sama menjamu selera dengan juadah yang disediakan.

Tuesday, July 27, 2010

Slip Disc

Lumbar disc

MRI scan of large herniation (on the right) of the disc between the L4-L5 vertebrae.

Lumbar disc herniations occur in the lower back, most often between the fourth and fifth lumbar vertebral bodies or between the fifth and the sacrum. Symptoms can affect the lower back,buttocks, thigh, and may radiate into the foot and/or toe. The sciatic nerve is the most commonly affected nerve, causing symptoms of sciatica. The femoral nerve can also be affected[11] and cause the patient to experience a numb, tingling feeling throughout one or both legs and even feet or even a burning feeling in the hips and legs.


(maklumat dari Wikipedia Encyclopedia)


Sakit belakang ini sebenarnya telah lama aku rasai. Mungkin sudah 2 atau 3 tahun. Tetapi seperti biasa aku bersikap ambil mudah, sebab selepas beberapa ketika kesakitan itu akan hilang. Setelah disapu minyak urat atau memakan beberapa biji "painkiller', ianya hilang dengan sendiri.


Sebenarnya juga aku telah beberapa kali jatuh terduduk. Semasa kecil atau remaja tidak terkira bilangannya kerana aku termasuk dalam golongan yang aktif. Sering aku terjatuh semasa bermain netbal atau volleyball. Tetapi apabila aku jatuh pada usia 40an, ia meninggalkan kesan yang amat tidak baik. Sakit belakang ku semakin teruk selepas aku jatuh terduduk di pejabat kira-kira setahun yang lalu. Semua rakan sepejabat terkejut melihat "nangka busuk" ini jatuh. Mujurnya permukaan lantai beralas permaidani tebal. Selepas jatuh aku hanya merasa sengal-sengal ringan dan ianya hilang dalam masa 2 hari. Aku berasa lega semula.


Walau bagaimanapun, kira-kira 3 bulan yang lepas aku menerima kesan yang sangat menakutkan. Selain dari sakit belakang, aku juga berasa sakit di punggung sebelah kanan. Seluruh kaki kanan mulai dari lutut hingga ke tapak kaki selalu sakit terutama di bahagian betis dan tumit. Malah kadang-kadang terasa kebas. Aku terpaksa menghentikan aktiviti berjalan kaki setiap pagi mengelilingi kawasan taman perumahan ini.


Aku berjumpa doktor di klinik panel. Pelbagai ubat urat, angin dan penahan sakit diberikan. Selepas seminggu, apabila didapati tiada perubahan, ubat tersebut diganti kepada yang baru. Selepas seminggu lagi apabila tidak juga berkesan, doktor menyarankan aku menjalani terapi mesin elektromagnet selama 5 hari hari berturut-turut. Apabila didapati itupun tidak memberi kesan positif, doktor tiada pilihan melainkan merujuk aku kepada pakar.


Aku pergi ke KPJ Speacialist Centre untuk berjumpa Pakar Ortopedik. Hospital ini baru saja dibuka pada tahun ini dan ianya berkonsep seperti hotel yang mesra pelanggan. Aku berjumpa Dr Yaakub dan beliau meminta aku menjalani MRI. Ianya merupakan pengalaman yang menakutkan apabila aku perlu memasuki "keranda kecil" yang menyebabkan aku hampir lemas. Segera aku menenangkan diri beristifar dan berselawat. Alhamdulillah selepas bergelut beberapa minit kelemasan, akhirnya aku berasa tenang. Prosedur MRI memakan masa selama hampir 20 minit dengan bunyi bising mesin tersebut beroperasi. Walaupun aku dibekalkan dengan earphone yang mendendangkan lagu-lagu merdu, tetapi bunyi bising tersebut masih jelas mengganggu ketenangan.


Hasil imbasan MRI, Dr Yaakub menerangkan bahawa aku mempunyai masalah pada tulang lumbar L4 dan L5 di mana disc yang memisahkan kedua-dua tulang ini telah keluar sedikit dari kedudukannya dan menekan saraf tunjang yang terletak berhampirannya. Keadaan ini menyebabkan saraf tersebut terhimpit dan memberi kesan sakit, kebas dan ngilu pada bahagian tulang belakang dan seterusnya merebak hingga ke kaki. Dia menyarankan aku menjalani fisioterapi dan memakan ubat sebelum datang semula bertemu beliau selepas 14 hari.


Aku berdoa agar kesakitan ini dapat dihentikan dengan kedua-dua rawatan tersebut. Sekiranya tidak berjaya, aku tidak mempunyai pilihan lain selain menjalani pembedahan untuk membetulkan semula kedudukan disc yang terkeluar itu.


Monday, July 19, 2010

Dalilah Tamrin


Al Fatihah.

RADEN GALOH

Raden Galoh
"Breast Cancer Metastasis is a Test of My Faith, Love and Resilience"


Semasa menulis ini air mata aku berguguran tanpa henti. Akhirnya janjinya dengan Allah tiba, Allahyarhamah Dalilah Tamrin pergi meninggalkan kita semua pada awal pagi ini di Hospital Kula Lumpur setelah bertarung dengan kanser selama beberapa tahun.

Aku tidak pernah bertemu dengan Allahyarham, tetapi aku adalah pengikut setia blog Allahyarhamah iaitu Raden Galoh of "One Breast Bouncing" semenjak beberapa tahun yang lalu. Seolah-olahnya aku kenal siapa Dalilah Tamrin, keluarganya, penyakitnya, rawatan yang diterimanya, kesakitannya, zikir-zikirnya, rintihannya...terasa begitu akrab. Selalu aku turut menangis apabila membaca cerita sedih dan kepayahan Allahyarhamah menghadapi kesakitan yang dihadapi. Tetapi Allahyarhamah dalam kesedihan dan kesakitannya akan segera bangun dan sentiasa bersikap positif dan berserah kepada Allah atas setiap penderitaan yang ditanggungnya. Aku benar-benar kagum dengan kekuatannya.

Buat Raden Galuh: Innalillah hiwainnalillah hirrajiun. Semoga rohmu ditempatkan bersama-sama orang yang mendapat keredhaan Allah. Terima kasih kerana banyak berkongsi ilmu dengan kami, terima kasih kerana sering jujur dengan kami, blog Raden akan kami simpan untuk rujukan dan panduan.

Al Fatihah.

Sunday, July 18, 2010

Kenduri Muafakat

Kenduri muafakat atau gotong-royong sesama penduduk suatu budaya yang asing di kawasan bandar. Selama ini semua kenduri menggunakan khidmat katering. Justeru itu apabila jiranku, Haji Hashim bercadang untuk mengadakan kenduri muafakat meraikan perkahwinan 2 anak lelakinya semalam, kami semua terkedu. Biar betul!!!

Tapi itulah yang kami lakukan. Mulai petang hari Khamis kami telah berkumpul di rumah Kak Ros untuk bergotong-royong mengupas bawang besar, halia dan bawang putih. rasanya 30 kilo bawang besar, 8 kilo halia dan entah berapa kilo bawang putih. Kami semua bermandi air mata dan kepedihan tangan menahan pijar bawang dan halia. Haji Hashim menyediakan jamuan bihun dan kuih-muih buat kami semua. Sengaja kami memilih rumah Kak Ros kerana kawasan tepinya rumahnya yang luas dan selesa. Tiada kerja dapat dibuat di dalam rumah Haji Hashim yang penuh sesak dengan pelbagai barangan kenduri-kendara.

Pada malamnya pula kami bergotong-royong membungkus gula-gula, maruku dan jeli sebagai buah-tangan kepada tetamu yang akan hadir.

Sementara bergotong-royong kami bergurau-senda dan usik-mengusik sesama kaum ibu. Baru aku dapat merasakan nikmat eratnya hubungan kejiranan ini. Selama ini aku begitu sibuk dengan urusan pejabat sehingga aku selalu kehilangan peluang seperti ini.

Esuknya pagi Jumaat, kami berkumpul di rumah Mak Yam pula untuk merebus telur dan membuat bunga telur. Memandangkan hari ini Jumaat, kami terpaksa berhenti awal kerana masing-masing perlu pulang untuk menyambut anak-anak yang pulang dari sekolah. Gotong-royong tersebut hanya disambung semula pada pukul 4 petang dengan menyiang sayur-sayuran seperti kacang buncis, terung biru, karot dan kentang. Petang ini Mak Yam bermurah hati menyediakan jamuan mee udang yang lazat untuk kami.

Apabila tiba waktu maghrib kami terpaksa berhenti. Memandangkan tubuh ku letih, rasanya tidak mampu untuk menyediakan hidangan makan malam. Aku dan Puteri Tengah bergegas membeli kueteow kerang untuk makan malam. Sebenarnya, aku sendiri sudah kenyang setelah makan mee udang Mak Yam petang tadi.

Besuknya tepat pukul 7 pagi, kerja-kerja memasak dimulakan oleh 3 chef Taman Inderawasih ini. Mak Yam memasak daging masak hitam, kalia buncis, hati goreng berlada dan bubur pulut hitam. Mak Jah pula menyediakan dalca manakala tuan rumah sendiri memasak nasi minyak. Aku dan jiran-jiran wanita yang lain membantu memotong bahan-bahan yang hendak dimasak. Setelah itu kami membantu Kak Nab menyediakan lauk pengantin seperti bawang 3 rasa dan udang goreng. Kaum lelaki pula membantu menyusun kerusi-meja di bawah 4 buah khemah yang didirikan di atas jalan-raya.

Semuanya selesai pada pukul 11 pagi dan tetamu mula tiba pada jam 12 tengah hari. Hidangan disediakan secara buffet dan para petugas hanya perlu memastikan semua makanan sentiasa ada dalam bekas-bekas hidangan yang disediakan. Syukur Alhamdulillah, cuaca hari ini begitu baik, walaupun sebelum ini hampir setiap hari hujan akan turun pada sebelah tengah hari.

Majlis kenduri tamat pada pukul 5 petang. Sekali lagi kami bergotong-royong mengemas barang-barang yang digunakan, menyimpan semula kerusi meja dan membersihkan kawasan sekitar. Kami menyapu dan mengutip sampah-sarap beramai-ramai. Pada pukul 6 petang hujan turun dengan lebatnya. Maha Suci Allah, yang memudahkan urusan kami.

Sunday, July 11, 2010

Kecintaan Pada Buku


File:Mockingbirdfirst.JPG


Tidak sedar sudah 9 bulan aku menjadi suri sepenuh masa. Begitu pantasnya masa berlalu.

Seperti janji ku dulu, masa lapang yang ada sebagai suri ini akan aku isi dengan hobi..nikmat yang sebelum ini tidak dapat aku kecapi sepenuhnya. Aku sebenarnya tidak ada banyak hobi selain membaca, mendengar muzik dan menulis. Cuma kini aku perlu mencipta "hobi baru" - aku perlu selitkan aktiviti lain supaya masa lapang yang banyak ini dapat ku manafaatkan untuk keperluan dunia dan akhirat. Setiap hari perlu ada pengisian rohani, perlu mencari jalan menambah ikatan silaturrahim, perlu menjaga kesihatan diri.

Ramai teman yang terkejut apabila aku katakan aku tidak berminat menonton TV.. aku tidak minat menonton drama dan aku tidak minat menjadi menjadi pengikut setia cerita bersiri Melayu, sinetron Indonesia atau cerita Korea.

Bila menyebut tentang membaca, aku benar-benar menjadikannya santapan harian. Setiap pagi, akhbar utusan Malaysia dan The news Strait Times akan aku belek tanpa jemu. Waktu petang, sekiranya tiada aktiviti kerohanian, aku akan membaca blog..tidak kira blog santai atau politik. Waktu malam, aku akan membaca novel.

Aku mula menjadi Ahli Perpustakaan Negeri Pulau Pinang pada tarikh aku bersara dulu. Dan sehingga kini aku telah membaca 12 buah buku, yang kebanyakannya berkisar kepada biografi serta cerita-cerita yang mudah. Tujuan aku cuma satu, sekadar untuk mengisi masa lapang dan memastikan aku tidak terlupa kepada nahu bahasa atau grammar yang baik. Tapi bukan untuk berlagak..aku hanya membaca buku bahasa Inggeris. Aku percaya kekerapan membaca buku bahasa Inggeris akan membantu aku mengekalkan keupayaan berbahasa Inggeris dan meningkatkan kemampuan vocabulary dan grammar.

Antara buku yang paling menarik perhatianku ialah To Kill a Mockingbird (Harper Lee), The Boy Who Would Be King (Earl Greenwood & Kathleen Tracy) dan The Miracle of Grace (Kate Kerrigan). Penulisan buku ini agak mudah, mesejnya yang jelas dan menyentuh perasaan.

Sekarang aku sedang menghabiskan The Shape of Love (Gelsey Kirkland & Greg Lawrence) yang mengisahkan tentang kehidupan seorang balerina bernama Gelsey Kirkland.

Cuma aku berharap selepas ini, aku akan mengambil inisiatif untuk mula berjinak-jinak dengan buku-buku keagamaan pula. Aku ingin mula membaca tafsir Al Quran dan mendapat manafaat darinya. Insyaallah.

Saturday, July 10, 2010

Toy Story 3


Cuti sekolah baru-baru ini aku bersama Puteri Tengah dan Puteri Bongsu menonton Toy Story 3 di Sunway Carnival Mall. Kebetulan ketika itu cuti sekolah, pawagam penuh. Kebanyakannya pelajar sekolah dan kanak-kanak tadika yang ditemani oleh guru masing-masing. Kerana malas untuk datang pada waktu lain, kami terpaksa duduk di tempat yang masih kosong iaitu barisan kedua berhadapan skrin. Aduhhh!!

Toy Story 3 merupakan filem animasi 3D. Untuk mendapatkan kesan 3D yang maksimum, semua penonton perlu memakai kacamata khas seperti 'google', amat menyiksa bagi aku yang berkacamata.

Toy Story 3 mengisahkan Andy yang berumur 17 tahun sedang mengadakan persiapan untuk memasuki kolej. Antara barang yang perlu ditinggalkan ialah permainan kesayangannya. Dari sini bermula episod pengembaraan barangan permainan tersebut yang menyelitkan unsur sedih, marah, suspen, teruja dan berakhir semula dengan sedih bercampur gembira.

Benar..perpisahan dengan barangan kesayangan bukanlah satu tindakan yang mudah..walaupun ianya hanya sebuah patong yang tidak bernyawa. Emosi si pemilik amat tersentuh untuk meninggalkan barangan kesayangannya. Semasa keluar dari pawagam, aku masih menyapu air mata yang bersisa.

Monday, July 5, 2010

PENANG - NAKHORN SI THAMARRAT




Sebahagian maklumat yang terdapat di Muzium Nakhorn Si Thammarat

Aku perlukan catatkan ini supaya anak-anak faham kenapa mereka yang tinggal di Pulau Pinang ada hubungan dengan sekelompok masyarakat Melayu Islam di Nakhorn Si Thammarat.

Menurut golongan tua yang dirujuk, semenjak beberapa zaman dahulu, orang-orang Melayu yang berasal dari Langkawi telah berpindah ke Siam. Ada yang menetap di Phuket, Legor (kini dikenali sebagai Nakhorn Si Tammarat), Pattani dan lain-lain tempat lagi. Ada yang berhijrah secara sukarela dan ada juga yang secara paksa. Pada ketika itu, Kedah berada di bawah jajahan takluk Kerajaan Siam. Mereka berhijrah dengan membawa bersama-sama mereka budaya hidup dan agama yang dianuti, agama Islam yang suci. Satu lagi sebab kenapa orang Melayu Islam berada di Siam adalah kerana dengan penyerahan Stoi yang terletak berdekatan dengan Perlis yang dulunya merupakan sebahagian daripada Kedah (Perlis juga merupakan sebahagian daripada Kedah dulunya) kepada kerajaan Siam semasa Perjanjian Bangkok pada tahun 1909.

Sejarah perhubungan keluarga di Pulau Pinang dan Siam bermula dengan perkahwinan Rafeah iaitu anak kepada Allahyarham Haji Ismail yang merupakan keturunan Melayu Islam yang menetap di Pekan Ban Mai Telak Keak dengan Hj Ahmad (juga dikenali sebagai Tok Mamak), iaitu anak kepada Hajjah Rehmah, seorang usahawan wanita yang berasal dari Sumatera dan juga pelopor kepada pembukaan kampung Jalan Hajjah Rehmah di Jelutong, Pulau Pinang. Rafeah merupakan salah seorang daripada beberapa orang isteri Hj Ahmad. Hj Ahmad sering berkunjung ke Siam khususnya daerah Legor kerana menjalankan perniagaan pinggan mangkuk. Hj Ahmad sebelum ini telah berkahwin dengan Hajjah Kalsom yang merupakan ibu kepada Hajjah Mariam bt Ahmad (lebih dikenali sebagai Mami Mariam) dan juga pernah berkahwin dengan seorang perempuan di Gelugor tetapi tidak mempunyai anak.

Perkongsian hidup antara Hajjah Rafeah dengan Hj Ahmad telah melahirkan 6 orang anak iaitu dua lelaki dan 4 perempuan tetapi seorang daripada anak lelakinya telah meninggal dunia pada usia yang masih muda. Anak-anak yang lain adalah Shamsuddin, Sopiah, Fatimah (menetap di Kelantan), Zaleha Bee ( ibu kepada Abah) , Maimunah dan Rehmah (telah meninggal dunia).

Perhubungan antara keluarga di Pulau Pinang dengan keluarga di Nakhorn Si Thammarat dirapatkan lagi apabila Hj Ya’cub yang merupakan abang kepada Hajjah Rafeah telah mengahwinkan anaknya Hasbullah Hj Ya’cub dengan Maimunah Hj Ahmad (perkahwinan antara sepupu). Walau bagaimanapun, begitu perkahwinan ini tidak begitu disukai oleh Hajjah Rafeah atas sebab-sebab tertentu.

Anak-anak Hj Ismail terdiri daripada Hj Ya’cub, Mak Lang, Mak Ngah, Hajjah Rafeah, Chu Embun dan Chu Yet, sayangnya semuanya telah meninggal dunia. Haji Yaakub (1892 - 1971) merupakan seorang guru agama yang sangat disegani. Beliau dikenali juga sebagai Haji Yaakub Legor atau Haji Yaakub Sumali pernah mengajar agama di Masjid Muhammadi, Kota Bharu Kelantan selama 17 tahun sebelum berhijrah ke Mekah selama beberapa tahun. Sekembalinya beliau dari Mekah, Allahyarham telah membuka sekolah pondok di Legor dan turut dilantik sebagai Mufti. Beliau merupakan seorang pendakwah Islam yang sangat aktif terutamanya di Selatan Thai sehinggakan pernah

dikatakan hentakan kakinya sahaja pernah menyebabkan air keluar dari tanah semasa beliau berusaha mempertahankan orang Islam dari serangan tentera Thai (sepertimana yang tertulis dalam salah satu majalah berikut - Bicara atau Wawancara atau Hidayah). Sumbangannya dalam bidang agama dan kerjasama dengan kerajaan Siam menyebabkan gambar dan sejarah beliau diabadikan di Muzium Nakhorn Si Thammarat malah beliau merupakan satu-satunya tokoh Islam yang dipaparkan di situ.

Allahyarham Hj Yaacub mempunyai 17 orang anak (hasil perkahwinannya dengan beberapa orang isteri) yang menetap di beberapa tempat di Thailand dan Malaysia iaitu di Pulau Pinang dan Kelantan. Salah seorang daripada mereka ialah Pakcik Hasbullah yang menetap di Jelutong, Pulau Pinang setelah berkahwin dengan Maimunah.

Ibu kepada Pakcik Hasbullah berasal dari Kelantan dan menetap di Siam setelah berkahwin sehinggalah ke saat kematiannya. Antara anak Hj Ya’cub yang lain ialah aruah Hj Imran dan Haji Hasan (atau lebih dikenali sebagai Ayah Haji), iaitu saudara berlainan ibu dengan Hasbullah.

Hubungan antara keluarga di Nakhorn dengan Penang menjadi erat kerana berlakunya kunjungan antara keluarga terutamanya dari sebelah anak saudara Hasbullah iaitu dari keturunan Haji Husin (yang merupakan abang kepada Hasbullah) yang bernama Raihan Sumali. Antara anak-anak Hj Husain yang lain ialah Shakirin Sumalee, Hani, Duriah (yg kesemuanya menetap di Legor), Sokdah dan Salehin (menetap di Kelantan). Diharapkan hubungan persaudaraan ini tidak terputus malah dieratkan lagi dengan melakukan kunjungan secara berkala ke Thailand oleh generasi sekarang dan seterusnya supaya pertalian keluarga besar yang ada di kedua-dua negara ini tetap wujud dan saling berinteraksi walaupun hanya di alam siber.

Justeru itu, anak-anak harus memahami bahawa pertalian darah antara mereka dengan saudara-mara di Nakhorn Si Thammarat adalah perkongsian moyang yang sama. Aku harap mereka akan terus mempertahankan hubungan silaturrahim dengan keluraga di sana dan keluarga lain di Malaysia.

Friday, July 2, 2010

Perjalanan Pulang (9 Jun 2010)

Panjang umur kita berjumpa lagi..Ameen

Keluarga Malaysia-Thailand dalam kenangan

Haji Yaakub Sumali (Sumalee), Mufti Wilayah Nakhorn Si Thamarrat

Artikel mengenai perkembangan Islam di Nakhorn

Ingin bersua..dengan dinda..yang ku puja
Di mana..bagaimana..dan bila...ohhhh cintaku...ingin bersua...
Ingin bersua...

Begitu lantunan suara pemilik restoran ini..Hj Ameen

Perut sudah kenyang..bergambar bersama pemilik Yemeen Foodgarden


Pagi ini kami bersiap-siap mengemas barang dan menyusunnya dengan rapi di dalam van. Setelah itu kami menjamu selera dengan beriyani Nakhorn yang sungguh sedap berperisa. kali ini kami berkelah di serambi rumah Raihan Sumalee.

Bila tiba saat untuk berpisah, hati terasa sayu. Kalau ada umur panjang, dapat kita berjumpa lagi. Walau terbatas komunikasi kerana masalah bahasa, senyum ikhlas dari keluarga Sumalee cukup menyentuh hati kami. Kami meninggalkan perkampungan ini dengan hati bercampur-baur, sedih, gembira, puashati dsbnya.

Kenderaan Raihan memandu arah membawa kami ke City Museum, Nakhorn Si Thammarat. Di sini kami dibeli taklimat oleh petugas muzium ini mengenai sejarah Nakhorn yang sebelum ini dikenali dengan pelbagai nama seperti Tambralinga dan Ligor. Di sini juga kami dapat menyaksikan sejarah kedatangan Islam ke wilayah ini termasuk biodata Haji Yaakub Sumalee atau Haji Yaakub Legor (1892 - 1971), Mufti pertama di sini.

Kami kemudiannya menyaksikan pentomen peristiwa ribut taufan yang amat besar yang melanda Taloompuk dan beberapa daerah berhampirannya pada tahun 1962 yang mengorbankan beribu-ribu nyawa. Tragedi Taloompuk pernah abadikan dalam sebuah filem Thailand pada tahun 2002.

Setelah puas meninjau pelbagai sejarah yang dicatatkan di muzium ini, pada pukul 11 pagi kami bergerak menuju ke Hatyai. Sepanjang perjalanan keluar dari sini, aku perhatikan Nakhorn Si Thammarat merupakan sebuah bandar yang besar dan mempunyai semua kelengkapan seperti muzium, stadium, hospital, sekolah-sekolah dsbnya. Perjalanan agak membosankan. Jarak perjalanan hampir 200 km melalui kawasan hutan, ladang dan perkampungan. Tetapi jalanrayanya lurus dan mendatar, membuatkan kami semua rasa begitu selesa melelapkan mata sepanjang perjalanan.

Kami tiba di Yemeen Foodgarden untuk makan tengah hari. Restoran ini dimiliki oleh Hj Ameen dan dikelilingi oleh pokok buah-buahan. Sementrara menanti hidangan disediakan kami makan buah rambutan, langsat dan pisang yang dihidangkan secara percuma. Kami juga sempat bersolat di surau terbuka yang terletak di bahagian belakang restoran ini.

Semasa kami menjamu selera, Hj Ameen dengan senang hati menghiburkan kami dengan bermain organ dan menyanyikan lagu-lagu evergreen Melayu dan Inggeris seperti Ingin Bersua (DJ Dave). Suara merdunya menyebabkan kami terpegun.

Selesai makan kami bergerak menuju ke Hatyai. Dalam perjalanan kami berhenti di hadapan Masjid Songkhla yang kelihatan baru sahaja disiapkan serta di Prince University of Songkhla (tempat kerja Saudara Raihan). Memandangkan hujan turun dengan lebatnya, kami hanya meninjau dari atas van sahaja sebelum bergerak ke Hatyai yang terletak kira-kira 20 km dari universiti tersebut.

Di Hatyai kami telah singgah di sebuah bazar yang menjual pelbagai barangan seperti buah-buahan, pakaian, barangan kulit dan aksesori wanita. Aku dapati penjual di bazar ini tidak mesra pelanggan dan tidak mahu bertolak-ansur untuk tawar-menawar. Kerana sakit hati, kami tidak membeli banyak barang di sini.

Setelah itu kami mengucapkan selamat berpisah kepada Raihan dan isterinya Fouziah yang begitu banyak berkorban masa dan tenaga meraikan kunjungan kami kali ini. Semoga Allah membalas jasabaik mereka berdua.

Sebelum meneruskan perjalanan ke Sadao, kami berhenti makan di sebuah restoran menjual nasi ayam. Dari Hatyai kami mengambil masa lebihkurang 30 minit untuk sampai ke Sadao pada pukul 8 malam. Terima kasih Uddin, pemandu yang telah bersama-sama kami selama 5 hari 4 malam menjelajahi bumi Thailand.