Panjang umur kita berjumpa lagi..Ameen
Di mana..bagaimana..dan bila...ohhhh cintaku...ingin bersua...
Ingin bersua...
Begitu lantunan suara pemilik restoran ini..Hj Ameen
Pagi ini kami bersiap-siap mengemas barang dan menyusunnya dengan rapi di dalam van. Setelah itu kami menjamu selera dengan beriyani Nakhorn yang sungguh sedap berperisa. kali ini kami berkelah di serambi rumah Raihan Sumalee.
Bila tiba saat untuk berpisah, hati terasa sayu. Kalau ada umur panjang, dapat kita berjumpa lagi. Walau terbatas komunikasi kerana masalah bahasa, senyum ikhlas dari keluarga Sumalee cukup menyentuh hati kami. Kami meninggalkan perkampungan ini dengan hati bercampur-baur, sedih, gembira, puashati dsbnya.
Kenderaan Raihan memandu arah membawa kami ke City Museum, Nakhorn Si Thammarat. Di sini kami dibeli taklimat oleh petugas muzium ini mengenai sejarah Nakhorn yang sebelum ini dikenali dengan pelbagai nama seperti Tambralinga dan Ligor. Di sini juga kami dapat menyaksikan sejarah kedatangan Islam ke wilayah ini termasuk biodata Haji Yaakub Sumalee atau Haji Yaakub Legor (1892 - 1971), Mufti pertama di sini.
Kami kemudiannya menyaksikan pentomen peristiwa ribut taufan yang amat besar yang melanda Taloompuk dan beberapa daerah berhampirannya pada tahun 1962 yang mengorbankan beribu-ribu nyawa. Tragedi Taloompuk pernah abadikan dalam sebuah filem Thailand pada tahun 2002.
Setelah puas meninjau pelbagai sejarah yang dicatatkan di muzium ini, pada pukul 11 pagi kami bergerak menuju ke Hatyai. Sepanjang perjalanan keluar dari sini, aku perhatikan Nakhorn Si Thammarat merupakan sebuah bandar yang besar dan mempunyai semua kelengkapan seperti muzium, stadium, hospital, sekolah-sekolah dsbnya. Perjalanan agak membosankan. Jarak perjalanan hampir 200 km melalui kawasan hutan, ladang dan perkampungan. Tetapi jalanrayanya lurus dan mendatar, membuatkan kami semua rasa begitu selesa melelapkan mata sepanjang perjalanan.
Kami tiba di Yemeen Foodgarden untuk makan tengah hari. Restoran ini dimiliki oleh Hj Ameen dan dikelilingi oleh pokok buah-buahan. Sementrara menanti hidangan disediakan kami makan buah rambutan, langsat dan pisang yang dihidangkan secara percuma. Kami juga sempat bersolat di surau terbuka yang terletak di bahagian belakang restoran ini.
Semasa kami menjamu selera, Hj Ameen dengan senang hati menghiburkan kami dengan bermain organ dan menyanyikan lagu-lagu evergreen Melayu dan Inggeris seperti Ingin Bersua (DJ Dave). Suara merdunya menyebabkan kami terpegun.
Selesai makan kami bergerak menuju ke Hatyai. Dalam perjalanan kami berhenti di hadapan Masjid Songkhla yang kelihatan baru sahaja disiapkan serta di Prince University of Songkhla (tempat kerja Saudara Raihan). Memandangkan hujan turun dengan lebatnya, kami hanya meninjau dari atas van sahaja sebelum bergerak ke Hatyai yang terletak kira-kira 20 km dari universiti tersebut.
Di Hatyai kami telah singgah di sebuah bazar yang menjual pelbagai barangan seperti buah-buahan, pakaian, barangan kulit dan aksesori wanita. Aku dapati penjual di bazar ini tidak mesra pelanggan dan tidak mahu bertolak-ansur untuk tawar-menawar. Kerana sakit hati, kami tidak membeli banyak barang di sini.
Setelah itu kami mengucapkan selamat berpisah kepada Raihan dan isterinya Fouziah yang begitu banyak berkorban masa dan tenaga meraikan kunjungan kami kali ini. Semoga Allah membalas jasabaik mereka berdua.
Sebelum meneruskan perjalanan ke Sadao, kami berhenti makan di sebuah restoran menjual nasi ayam. Dari Hatyai kami mengambil masa lebihkurang 30 minit untuk sampai ke Sadao pada pukul 8 malam. Terima kasih Uddin, pemandu yang telah bersama-sama kami selama 5 hari 4 malam menjelajahi bumi Thailand.
No comments:
Post a Comment