Monday, August 30, 2010

Hijjaz - Fatamorgana

Lagu ini merupakan salah sebuah nasyid yang sangat aku minati. Selain dari mesej yang disampaikan, suara lunak penyanyinya dan irama merdu lagu ini tidak jemu didengar.

Wednesday, August 25, 2010

broery marantika - biarlah bulan bicara

Aku merupakan peminat mendiang Broery, semenjak aku di sekolah menengah hinggalah kini. Lagu-lagunya penuh puitis dan tak jemu didengar berulang kali. Bagi aku..dia ada auranya yang tersendiri, suara yang power, wajah yang tidak hensem tapi menarik dipandang. Bagi aku, setelah mendiang meninggal dunia, tidak ada penyanyi pelapis yang mempunyai suara sepertinya...hanya dia satu-satunya.

Tuesday, August 24, 2010

Ngauman Itu

Sudah 3 malam berturut-turut pesawat-pesawat itu melintasi kawasan rumah kami. Masa pilihan ialah jam 2 pagi, 3 pagi atau 4 pagi. Mengaum berulang-alik. Aku tidak pasti jenis pesawat yang terbang itu, yang pastinya jenis yang canggih melintas laju meninggalkan bunyi ngauman yang bingit.

Tapi mesti kah kita marah kerana tidur terganggu? Mungkin bagi ibu yang mempunyai anak kecil, mungkin bagi orang yang sakit dan perlukan rehat yang cukup, mungkin bagi pekerja atau pelajar yang perlu tidor yang nyenyak supaya besuk tidak mengantuk. Tetapi bukan semua orang terjaga, Abah di sebelah ku tidor nyenyak dengan mimpi dan dengkurnya. Tidak sedar langsung. Untungnya Abah mendapat rezeki tidur yang sempurna.

Ahhh..jangan marah. Bukankah operasi latihan ini merupakan keperluan negara. TUDM perlu melatih pilotnya supaya boleh memandu pesawat dalam apa juga situasi, siang atau malam, cuaca naik atau hujan lebat. Ini perihal kepentingan negara. Jangan marah pilot itu. Nauzubillah .. jangan maki hamun mereka, jangan doakan keburukan kepada mereka. Pilot ini hanya menurut perintah ketua mereka. Ketua mereka pula perlu sentiasa memastikan pilot TUDM cekap. Kalau diberi pilihan, rasanya pilot-pilottersebut pun lebih suka tidor nyenyak di rumah masing-masing.

Terimalah hakikat bahawa inilah "kelebihan" membeli rumah berhampiran pangkalan TUDM (walaupun sebetulnya jarak rumah ku kira-kira 15 km dari pangkalan tersebut tetapi perumahan ini merupakan laluan penerbangan pesawat TUDM). Lagipun, bukanlah setiap hari operasi ini berlangsung, mungkin hanya beberapa kali setahun.

sementara itu bersabarlah.

Tuesday, August 17, 2010

Begitu Pantasnya.....

Umat Islam bertarawih merebut keberkatan Ramadhan

Masyaallah.

Hari ini genap 7 hari berpuasa. Terasa begitu pantasnya masa berlalu. Dari pagi membawa ke petang juga tidak terasa masa berjalan, tambahan pula apabila diri sentiasa disibukkan dengan pelbagai aktiviti.

Setakat ini aku masih patuh dengan jadual mengaji Al Quran, satu hari satu juzuk. 4 mukasurat setiap waktu Subuh, Dhuha, Zohor, Asar dan Maghrib. Waktu Isya biasanya tidak berkesempatan kerana menunaikan ibadah sunat Tarawih. Aku berharap dapat khatam 30 juzuk (melainkan atas sebab uzur shari'e).

Alhamdulillah juga, sehingga kini aku dan Abah patuh menunaikan ibadah Tarawih. Cuma anak-anak liat tidak mahu pergi ke masjid, dengan pelbagai alasan diberi. Walhal bertarawih di masjid amat indah dan selesa...bertemu ramai jemaah, dapat pahala iktikaf masjid...lagipun masjid ini ada air-cond....hmmm. Bagi memastikan mereka juga tidak ketinggalan mendapat keberkatan Tarawih, kami berjemaah di rumah setiap malam Sabtu dan Ahad. Puteri Kedua mengambil tugas tetap mengalunkan qamat. Kami 3 beranak berbaris dalam satu saf di belakang Abah.

Satu lagi pencapaian ku tahun ini, aku belum lagi menjejak kaki ke pasar Ramadhan. Masih rajin mencuba resipi sendiri. Tapi anak-anak sudah mula berbunyi..teringin nak makan sate, kebab, nasi kandar. Ohhh..mungkin selepas ini aku perlu mengatur langkah ke beberapa pasar Ramadhan yang meriah di daerah ini. Yang pastinya budget bulanan akan lari. Paling aku takut akan berlakunya pembaziran. Maklumlah semua makanan nampak sedap belaka, semua hendak diborong.....tetapi ruang perut terhad.

Apa pun, dalam setiap sujudku, aku berdoa semoga Allah memberikan aku kesabaran, iman dan kesihatan tubuh badan, semoga aku dapat melaksanakan ibadat ini dengan sempurnanya sepanjang bulan Ramadhan dan untuk bulan-bulan yang seterusnya. Ameen.

Wednesday, August 11, 2010

Ya Marhaban Ya Ramadhan Al Mubarak

Hari pertama puasa di bulan Ramadhan tahun 1431 Hijrah.

Semalam telah selamat menjalankan ibadat tarawih. Seperti tahun-tahun sebelumnya, aku mengerjakan ibadah ini dengan melakukan sunat tarawih 8 rakaat diikuti 3 rakaat witir. Jangan berbalah tentang 8 atau 20 rakaat, setiap ibadah itu mempunyai fadhilatnya sendiri, setiap ketetapan itu mempunyai dalilnya sendiri.

Pagi ini mula bersahur. Aku bangun jam 4.45 pagi. Memanaskan pajeri, menggoreng ikan bilis dan bawang, kemudian dicampur kicap manis dan menggoreng sotong celup tepung. Pagi pertama agaknya, anak-anak dan Abah berselera makan, hinggakan nasi dimasak tidak cukup untuk ditambah lebih dari sekali.

Selepas solat subuh sempat membaca Al Quran. Aku berdoa semoga Allah menjadikan Ramadhan ini yang terbaik untuk ku, semoga sihat tubuh badan, kuat iman dan dilindungi dari sifat-sifat keji sepanjang menjalani ibadah Ramadhan ini dan seterusnya berkekalan sepanjang hidup. Ameen.

Friday, August 6, 2010

Kehilangan


Aku benar-benar rasa kehilangan. Saban hari bila aku melayari internet, aku pasti singgah di beberapa laman blog kegemaran ku. Aku jadi ketagih untuk membaca perkembangan terkini atau artikel-artikel sensasi yang ditulis oleh penulis-penulis kegemaran ku itu. Kadang-kadang aku jadi marah, sedih atau benci. Ada ketikanya aku menangis dan ada ketika lagi aku ketawa kesaorangan.

Tapi kini aku telah menghadapi 2 kehilangan. Aku tidak lagi dapat menangis bersama Radin Galoh setelah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 19 Julai yang lalu. Cuma kini sesekali aku terus membaca catatan yang Allahyarhamah ditinggalkan dalam blog http://onebreastbouncing. blogspot.com. Semoga rohnya berbahagia di sana. Al Fatihah.

Aku juga kehilangan blog Mamasita setelah ianya ditutup beberapa hari lepas. Tulisan beliau dalam http://mamasita-mamamia.blospot.com sangat aku rindui kerana ianya berkisar tentang kehidupan harian wanita. Ada sedih dan lucu. Paling akhir beliau berperang perasaan apabila hubungan beliau dan suami diuji. Semoga Mamasita tabah menghadapi hari-hari yang mendatang. Aku berharap beliau akan membuka semula blog beliau setelah keadaan kembali seperti biasa semula.

Aku berharap aku tidak akan kehilangan lebih banyak blog yang aku sukai. Tetapi siapalah kita untuk mengatur kehidupan ini.

Tuesday, August 3, 2010

Penangan Pukau

Syyyyyyy............ini satu rahsia yang telah begitu lama tersimpan. Hampir 15 tahun yang lalu. Tiada siapa pun tahu rahsia ini, sebab aku merasa malu pada diri sendiri untuk menceritakan pengalaman pahit ini.

Hari itu aku tidak bekerja. Aku tidak ingat kenapa aku bercuti hari itu..mungkin untuk membeli-belah agaknya. Pagi itu kira-kira jam 10 atau 11 pagi, aku berkunjung ke Pakson yang terletak di Kompleks Bas Butterworth (kompleks ini telah musnah dalam kebakaran pada tahun 2001). Sedang aku membelek-belek barangan yang tersusun di rak pakaian kanak-kanak, aku terasa bahu ku dicuit dari belakang. Aku segera berpaling dan melihat seorang lelaki berdiri berhampiranku. Lelaki pertengahan umur, berbadan kecil dan berkulit gelap itu segera memberi salam kepada ku (aku sebut dia sebagai X - lihat!!! rasa marah aku kepadanya menyebabkan aku masih ingat lagi sedikit sebanyak perawakan X ini). Aku dengan perasaan serba-salah menjawab salam itu. X mengajak aku mengikutnya. Aku menolak pelawaannya. Tetapi dia tidak berputus-asa, segera dia menunjukkan kepada ku sebiji batu berwarna gelap kepada ku, katanya ini batu geliga ajaib. Dari penglihatan kasarnya aku mempunyai penyakit serius. Dengan menggunakan batu ajaib tersebut, penyakitku pasti akan lega. X mengajak ku pergi minum di kedai berhampiran untuk menunjukkan khasiat batu tersebut.

Hati ku berkata "jangan, jangan"....tetapi anehnya kaki ku mengikut sahaja langkah X. Di kedai tersebut, dia memesan minuman dan secawan air kosong. Tidak lama kemudian, seorang lelaki yang sama usia dengannya datang duduk bersama kami. Aku pasti dia ini adalah kawan X (aku sebut dia sebagai Y).

Y memasukkan sebiji batu putih ke dalam cawan yang juga kebetulan berwarna putih. Dia menggoyang-goyangkan cawan tersebut seolah-olah memastikan air dan batu tadi menjadi sebati. Dia menunjukkan kepada ku..sah, tiada sebarang perubahan warna. Dia meminta aku mengacau air bercampur batu tadi dengan jari hantu sebelah kanan. Tiba-tiba saja air tersebut bertukar menjadi kuning..terus kepada coklat dan akhir sekali hitam. Aku menjadi panik dan ketakutan. Menurut Y itu tandanya dalam tubuh badan ku ada penyakit yang sangat merbahaya dan perlu dirawat segera.

X segera mententeramkan aku, katanya jangan takut, batu geliga yang ada padanya mampu menghilangkan semua penyakit. Dia memasukkan batu geliga berwarna gelap ke dalam cawan itu dan meminta aku mengacaunya sekali lagi. Secara perlahan-lahan air di dalam cawan itu bertukar menjadi jernih semula. X dan Y memujuk aku membeli batu tersebut yang berharga RM700. Aku katakan aku tidak mempunyai wang. Mereka meminta aku berusaha mendapatkan wang tersebut dengan apa cara sekalipun.

Bagaikan orang bodoh aku bersetuju mengeluarkan wang di ATM bank yang terletak di kompleks tersebut. Kebetulan baki yang ada dalam bank ketika itu hanyalah RM250. Aku dengan sukarelanya bersetuju menyerahkan gelang yang aku pakai kepada kedua-dua lelaki tersebut. Mereka kemudiannya menyerahkan batu geliga yang dibalut dalam kain berwarna putih kepadaku. Aku disyaratkan tidak membuka bungkusan tersebut dalam masa 3 hari. Aku hanya mengangguk lesu.

Mereka kemudiannya berlalu pergi meninggalkan aku termangu-mangu. Aku masih terasa khayal, tidak tahu apa yang patut aku lakukan. Dalam keadaan separuh khayal itu, aku mengambil teksi pulang ke rumah.

Untuk beberapa hari selepas itu, aku masih dalam keadaan keliru. Hatiku teringin memberitahu suamiku, tetapi lidah terasa kelu. Sebahagian hatiku mengatakan aku ditipu, tetapi sebahagian lagi meminta aku supaya mendiamkan perkara ini.

Selepasa 3 hari, aku membuka bungkusan kain tersebut. Alangkah terkejutnya aku, di dalam kain tersebut bukan batu geliga gelap, tetapi batu berwarna putih, entahkan batu yang dikutip di tepi sahaja. Tiba-tiba aku rasa bagaikan terbangun dari mimpi. Aku segera beristifar dan membaling batu tersebut ke dalam tong sampah. Dalam penyesalan yang amat sangat, aku segera melakukan solat taubat, meminta keampunan Allah, meminta aku dilindungi dari dugaan seperti ini lagi. Bersyukur kerana aku hanya kehilangan RM700 dan diriku tidak diapa-apakan. Aku memohon supaya aku tidak tergolong dalam golongan yang menyengutukan Allah. Ya Allah, terimalah taubatku.