Umat Islam bertarawih merebut keberkatan Ramadhan
Masyaallah.
Hari ini genap 7 hari berpuasa. Terasa begitu pantasnya masa berlalu. Dari pagi membawa ke petang juga tidak terasa masa berjalan, tambahan pula apabila diri sentiasa disibukkan dengan pelbagai aktiviti.
Setakat ini aku masih patuh dengan jadual mengaji Al Quran, satu hari satu juzuk. 4 mukasurat setiap waktu Subuh, Dhuha, Zohor, Asar dan Maghrib. Waktu Isya biasanya tidak berkesempatan kerana menunaikan ibadah sunat Tarawih. Aku berharap dapat khatam 30 juzuk (melainkan atas sebab uzur shari'e).
Alhamdulillah juga, sehingga kini aku dan Abah patuh menunaikan ibadah Tarawih. Cuma anak-anak liat tidak mahu pergi ke masjid, dengan pelbagai alasan diberi. Walhal bertarawih di masjid amat indah dan selesa...bertemu ramai jemaah, dapat pahala iktikaf masjid...lagipun masjid ini ada air-cond....hmmm. Bagi memastikan mereka juga tidak ketinggalan mendapat keberkatan Tarawih, kami berjemaah di rumah setiap malam Sabtu dan Ahad. Puteri Kedua mengambil tugas tetap mengalunkan qamat. Kami 3 beranak berbaris dalam satu saf di belakang Abah.
Satu lagi pencapaian ku tahun ini, aku belum lagi menjejak kaki ke pasar Ramadhan. Masih rajin mencuba resipi sendiri. Tapi anak-anak sudah mula berbunyi..teringin nak makan sate, kebab, nasi kandar. Ohhh..mungkin selepas ini aku perlu mengatur langkah ke beberapa pasar Ramadhan yang meriah di daerah ini. Yang pastinya budget bulanan akan lari. Paling aku takut akan berlakunya pembaziran. Maklumlah semua makanan nampak sedap belaka, semua hendak diborong.....tetapi ruang perut terhad.
Apa pun, dalam setiap sujudku, aku berdoa semoga Allah memberikan aku kesabaran, iman dan kesihatan tubuh badan, semoga aku dapat melaksanakan ibadat ini dengan sempurnanya sepanjang bulan Ramadhan dan untuk bulan-bulan yang seterusnya. Ameen.
No comments:
Post a Comment