Saturday, September 25, 2010

Ungu-Para Pencari-Mu

Sebenarnya aku bukanlah peminat sinetron Indonesia.

Tetapi semenjak Ramadhan kali ini, aku jadi penanti setia Sinetron "Para Pencari Tuhan". Setiap malam selesai sahaja tarawih, aku dan Abah akan duduk di hadapan TV untuk menontonnya. Sinetron yang diadun dengan mudah dan bersahaja dipenuhi unsur dakwah, komedi dan sesekali kesedihan.

Walaupun sebenarnya agak sukar memahami bahasa Indonesia yang pekat, tetapi rasanya aku masih boleh memahami jalan cerita setiap siri yang ditonton.

Dan lagu Para Pencari Mu oleh kumpuln Ungu ini merupakan lagu tema untuk sinetron tersebut. Indah lagunya.

AS

Tekanan Perasaan

Sesekali aku takut ... membayangkan bagaimanakah aku mengakhiri hayatku, dalam kesakitankah, kelemasankah, kepanasankah?? Perasaan ini amat menakutkan .. nafas ku seakan-akan mahu semput, ada jerutan pada pertengahan dadaku, berpeluh-peluh rasa tubuh.

Aku jadi gelisah!!! Bayangan Allahyarhamah Midah di saat akhir hayatnya dalam keadaan lemas bernafas masih terbayang-bayang di mata. Aku jadi murung ... tak ada mood nak makan, tak ada mood nak berbual, tak ada mood segalanya. Sesekali aku menangis terkenangkan Allahyarhamah .. terasa rindu pada suara dan gelak ketawanya. Lebih parah, setiap malam tidurku terganggu. Aku sukar melelapkan mata apabila perasaan cemas melanda semula.

Abah cepat mengesan perubahanku. Dia meminta aku jangan terlalu mengikut perasaan. Aku mesti menerima kenyataan bahawa yang pergi telah pun pergi. Kita yang masih bernafas ini perlu meneruskan hidup dengan memandang ke hadapan.

Aku mula mendapat kesan fizikal dari tekanan tersebut. Seluruh kepala ku berat dan berdenyut-denyut. Bahu, belakang dan dadaku sakit. Ohhh Tuhan ... janganlah aku mendapat penyakit jantung pulak. Aku mesti segera bertindak. Aku segera bertemu doktor. Bacaan tekanan darah kali pertama 160/100, hari ke-2 menurun kepada 145/100. Doktor turut risau dan memberi aku pelbagai ubat. Aku dinasihatkan untuk belajar mengawal emosi.

Apabila tidut tertanggu, aku melakukan qiamulail dengan mendirikan solat tahajud, taubat dan sunat. Aku membaca surah Yaasin. Aku membaca pelbagai doa dari buku-buku agama yang selama ini jarang ku sentuh. Aku berdoa bersungguh-sungguh memohon bantuan Allah untuk menenangkan semula hatiku, melapangkan dadaku, menguatkan imanku, menjauhi aku dari keluh-kesah, melindungi aku dari gangguan syaitan yang dilaknatkan.

Aku juga mengaambil langkah keluar dari rumah dan bergaul dengan teman-teman. Aku pergi ke pejabat lama berjumpa bekas rakan pejabat. Aku ke masjid bertemu rakan-rakan jemaah. aku bertemu dengan jiran-jiran wanitaku. Dengan berbual meluah perasaan dan bergelak ketawa, sebahagian dari beban tekanan perasaan ku melurut jatuh. Teman-teman banyak memberi peransang.

Kini setelah genap seminggu kehilangan Allahyarhamah, aku telah semakin pulih. bacaan tekanan darah ku menurun kepada 130/90 sahaja. Aku telah dapat menikmati tidur malam yang tidak terganggu. Walau bagaimanapun, aku bertekad untuk meneruskan amalanku. Mungkin pemergian Allahyarhamah membawa hikmahnya tersendiri .. untuk aku mengingati mati dan bersedia ke arahnya dan berusaha untuk lebih hampir kepada Allah untuk mendapatkan bantuan dan memohon rahmatNya.

Tuesday, September 21, 2010

Kematian Seorang Sahabat, Jiran dan Saudara Yang Dikasihi

Kenangan bersama Arwah (kanan sekali) sebelum aku berangkat ke Tanah Suci

Pagi itu aku dan Abah kalut di dapur. Abah mengeluarkan mangkuk dan gelas dari kabinet dapur dan membersihkannya. Aku pula sibuk menumis di kiri - rempah untuk mi kari dan di kanan - ramuan untuk spaghetti. Selepas Zohor nanti tetamu akan datang untuk rumah terbuka. Hari ini 18 September 2010, genap 9 Syawal.

Sebentar kemudian Puteri Tengah dan Puteri Bongsu ku meminta izin untuk pergi ke Klinik Bersatu. Emak Midah meminta mereka membelikan ubat penat untuknya dari klinik tersebut. 20 minit kemudian mereka pulang dan menyerahkan ubat tersebut kepada Hanis, anak bongsu Emak Midah.

Kira-kira 10 minit kemudian Hanis menelefon semula dan meminta aku segera ke rumahnya. Segera aku menyalin memakai abaya (sebelumnya aku memasak dgn memakan baju tidor sahaja) dan bertudung sebelum melangkah ke rumah jiranku itu.

Alangkah terperanjatnya aku melihat Midah, badannya bermandi peluh dan sedang kepayahan menyedut ubat penat. Aku segera menyarankannya ke hospital. Dia hanya menyebut "ambulan ... panggil ambulan". Aku panik dan segera menuju ke pintu. Tetapi berpatah balik menuju ke telefon di rumah tersebut. Tangan aku terketar-ketar mendail 911 .. tiada jawapan. 999 - panggilan ku dijawab. Operator tersebut mengambil semua maklumat peribadi seperti alamat rumah, nombor telefon dan maklumat pesakit sebelum menyambungkan aku kepada seorang lagi petugas. Sekali lagi aku diminta memberi semua maklumat tadi. Hati aku mula berang. Disertai rasa risau dan panik melihatkan Midah yang semakin tenat.

Dalam kelamkabut itu, kedua-dua anak Midah yang ketika itu berada di luar kembali ke rumah. Farah seorang guru di Kelantan sedang berada berhampiran pusat servis kereta sebagai persiapan untuk perjalanan pulang ke Kelantan selepas solat Zohor kelak. Safwan seorang anggota keselamatan pelabuhan tiba dengan kenderaan Polis Pelabuhan.

Aku segera memutuskan talian yg sedang dibuat dan menggesa Farah dan Safwan segera membawa emak mereka ke hospital. Sewaktu itu, Midah telah menepis peralatan pernafasannya dan duduk menyembamkan wajahnya ke sofa. Kami segera mengangkatnya ke dalam kenderaan Polis Pelabuhan dan bergegas menuju ke Bagan Specialist Hospital.

Tanpa sempat memberitahu Abah atau membawa telefon bimbit, aku turut sama ke hospital tersebut. Aku pegang kepala Midah, aku tak mampu memangkunya kerana berat badannya yang tidak bermaya. Aku bisikkan kata-kata, "Midah ... bertahan Midah. Ingat Allah. Allah hu Akbar, Allah hu Akhbar, Allah hu Akhbar". Itulah perkataan yang ku ulang-ulang aku berharap Midah mendengarnya. Aku juga cuba mententeramkan diri sendiri dengan kalimah Allah itu. Tubuh Midah begitu dingin, wajahnya putih pucat. Ya Allah ... janganlah kau ambil nyawa sahabatku ini. Allah hu Akhbar, kasihanilah kami, Allah hu Akhbar.

Setiba di hospital, pasukan penyelamat dari Emergency Unit segera berkejar dan menbawanya ke bilik kecemasan. Aku, Safwan, Farah dan Hanis menunggu di luar bilik rawatan. Aku cuba tenangkan anak-anak ini ... yang telah kehilangan ayah mereka 7 tahun yang lalu. Aku minta mereka mendoakan yang terbaik untuk ibu mereka.
Penantian ini amat menyiksakan. Dengan telefon bimbit Farah, aku menelefon Abah meminta menghantar keperluan peribadiku seperti telefon bimbit, seluar panjang (aku tidak memakai seluar di dalam abaya terbelah yang sering terselak semasa kelamkabut tadi - semoga Allah mengampuni aku).

Setelah 30 minit, Doktor memanggil kami masuk ke bilik rawatan. Aku lihat Midah terbaring kaku, beberapa wayar bersambung di mulut dan tangannya. Dengan berhemah dan penuh simpati, Dr Tan memberitahu kami Midah tidak dapat diselamatkan. Allah hu Akhbar .. hampir sahaja aku terduduk tetapi aku perlu kuat berbanding ketiga-tiga anak Arwah yang sedang menangis penuh dukacita. Aku meminta mereka bersabar dan sedekahkan Fatihah kepada Arwah. Perlahan-lahan aku hampiri jasad Midah, selamt jalan sahabatku ... semoga engkau ditempatkan di sisi orang-orang yang beriman. Aku lurut matanya agar tertutup rapat.

Waktu itu Puteri Tengah dan Puteri Bongsu tiba menbawa telefon bimbitku. Anak-anak ini juga tidak dapat menahan sedu kehilangan orang yang mereka kasihi. Segera aku hubungi Abah meminta melakukan persiapan sewajarnya. Menguruskan van jenazah, membersihkan rumah Arwah dan menguruskan tempat pengkebumian. Ku arahkan kedua-dua puteriku membawa balik kunci rumah Arwah untuk persediaan menyambut jenazah.

Setengah jam kemudian jenazah dibenarkan dibawa pulang dan kereta jenazah tiba dari Masjid Perai. Aku gunakan kesempatan yang ada menghantar SMS memaklumkan berita kematian ini kepada semua kenalan Arwah. Jenazah selamat dibawa pulang ke rumah pada jam 11 pagi.

Begitu beruntungnya Arwah, semua jiran tetangga turun memberikan bantuan. Ada yang mengemas rumah, memasangkan katil, membentangkan tikar, menyediakan peralatan mandi dan membawa ayat-ayat Al Quran. Saudara-mara dan sahabat handai datang beramai-ramai untuk memberikan penghormatan terakhir.

Tepat jam 4 petang, jenazah selesai diuruskan dan dibawa ke Masjid Perai untuk disembahyangkan sebelum disemadikan di Perkuburan Islam Bagan Dalam, berhampiran dengan kubur Arwah suaminya, Allahyarham Hamdan Firdaus yang meninggal pada malam 27 Ramadhan tahun 2003.

*********************************************************************************

Allahyarhamah Siti Saodah binti Harun (atau lebih mesra dipanggil MIDAH) telah menjadi jiranku semenjak tahun 1987. Arwah suami isteri amat berjasa besar kepada aku dan keluarga. Dialah yang menjaga anak-anakku selama aku berkerja, bermula dari kelahiran Kak Long pada tahun 1988 sehinggalah semasa aku berhenti kerja pada tahun 2009 - 21 tahun. Bayangkan betapa akrabnya anak-anak ku dengan Arwah. Sehingga mereka memanggilnya EMAK.

Aku amat terhutang budi kepada Arwah suami isteri. Tanpa jasabaik mereka, tidak mungkin aku dapat bekerja dengan tenteram. Mereka berdua juga begitu ikhlas menjaga anak-anak ku semasa aku dan Abah menunaikan haji ke Mekah pada tahun 2003. Dapatlah kami melakukan ibadah dengan tenang tanpa ada rasa risau akan keselamatan dan kebajikan anak-anak yang ditinggalkan.

Arwah Midah juga terkenal dengan sikap pemurahnya. Bersedekah makanan adalah menjadi amalannya. Sepanjang bulan Ramadhan beberapa kali kami disedekahkan dengan juadah yang dimasak atau dibeli. Semoga Allah menempatkan rohnya bersama orang-orang yang solehah.

Aku juga kehilangan teman yang mesra. Selama aku berkerja dulu, hubungan kami tidak begitu rapat. Setelah aku berhenti kerja, kami menjadikan aktiviti berjalan kaki di sekitar kawasan taman perumahan ini sebagai rutin harian bermula jam 8.30 pagi. Setiap hari Rabu pula, kami akan ke market Seberang Jaya untuk membeli barangan basah untuk kegunaan mingguan. Semasa tempoh inilah, pelbagai rahsia kehidupan kami kongsi bersama. Pelbagai luahan perasaan Arwah dapat aku dengar. Aku sering memberikannya kata-kata semangat, meminta nya bersabar dengan apa sahaja dugaan yang mendatang. Kini aku benar-benar terasa kehilangannya.

Yang selalu menjadi kerisauan Arwah ialah nasib anak bongsunya Hanis sekiranya ditakdirkan nyawanya diambil Allah sekarang. Hanis baru sahaja berumur 12 tahun. Kasihan anak ini. Dia kehilangan bapa pada usia 6 tahun dan kehilangan ibu pada usia 12 tahun. Lebih tragik lagi, dia akan menghadapi peperiksaan besar Ujian Penilaian Sekolah Rendah 4 hari selepas kematian ibunya. Semoga Allah memberikan jiwa yang besar pada anak ini. Insyaallah .. aku tidak akan membiarkan anak ini teraniaya .. dia adalah amanah dan dugaan dari Allah untuk saudara-mara dan jiran tetangga yang ditinggalkan.

AL FATEHAH



Friday, September 17, 2010

Hari Raya Merapat Silaturrahim

Bersama bonda saudara - Tok Su (kiri) dan Tok Cak

Berkumpul di rumah ayahanda saudara - Tok Din

Hari raya tahun ini jatuh pada hari Jumaat.

Sebelum solat sunat Aidil Fitri, aku menyiapkan makanan kegemaran keluarga ... nasi tomato, kari tulang, ayam masak merah dan salad. Ada uga ketupat dan rendang. Puas hati melihat semua anak-anak dan suami menikmati jamuan ringkas pagi ini.

Kemudiannya kami menziarahi pusara ibu dan ayah mertua di Jelutong. Ku panjatkan doa buat keduanya sebagai tanda kasih dan terhutang budi kerana telah berjaya mendidik Abah menjadi suami dan ayah yang membahagiakan aku dan anak-anak ku. Peribadi Abah adalah gabungan kelembutan arwah ibu mertua ku dan ketegasan arwah bapa mertua ku.

Setelah solat Jumaat, bermulalah sesi lawatan rumah ke rumah di sekitar Jelutong dan Relau. Inilah saat yang aku selalu nantikan. Aku gembira berkunjung ke rumah saudara-mara. Bukan juadah hidangan yang aku harapkan, tetapi mengenali saudara-mara dan merapatkan semula silaturrahim adalah agenda utama kunjungan di hari raya. Walaupun mereka adalah saudara-mara Abah, tetapi apabila aku mengahwini Abah, aku bertekad untuk menjadi sebahagian daripada keluarganya. Justeru itu, aku perlu menolak ke tepi rasa tidak selesa, iri hati, berburuk sangka atau lain-lain sikap buruh yang boleh merosakkan hubungan aku dan Abah.

Pada hari raya ketiga dan keempat pula, aku kembali ke rumah Emak di Perak. Kami mengunjungi bapa dan ibu saudaraku yang kesemuanya telah memasuki usia emas. Jelas terpancar cahaya kegembiraan di wajah mereka menerima kunjungan anak buah mereka. Aku amat berharap agar anak-anak ku kelak akan meneruskan tradisi ini di masa hadapan. Janganlah ikatan silaturrahim yang sedia terjalin kini diputuskan kelak. Betapa ruginya kita kehilangan saudara-mara, malah amat dikutuk dalam Islam manusia yang sengaja memutuskan silaturrahim.


Wednesday, September 8, 2010

Selamat Hari Raya - Berakhirnya Ramadhan


Penyimpan Mohor Besar Raja-raja baru saja mengumumkan Aidil Fitri akan disambut lusa, Jumaat 10 September 2010. Malam ini merupakan malam terakhir untuk umat Islam menunaikan sunat tarawih dan bersahur. Sayang sekali, aku terlepas detik-detik keemasan ini. Besuk genap 9 hari aku tak berpuasa. Siap..aku perlu qada puasa 9 hari juga.

Tahun ini merupakan kali pertama aku menyambut hari raya sebagai seorang suri rumah. Rupanya lebih meletihkan berbanding semasa aku bekerja dahulu. Dulu, semua kuih aku beli sahaja, beratus-ratus ringgit melayang ... biskut, kacang, kuih-kuih lama malah ketupat aku tempah sahaja. Makanan berbuka pun selalu aku beli di pasar Ramadhan. Untuk hari raya, aku cuma menyediakan rendang dan kek sahaja.

Tetapi tahun ini aku sediakan hampir semua. Dengan 3 puteri permata hatiku, kami bergotong-royong menyediakan kuih hari raya, kuih berbuka puasa dan lauk-pauk berbuka puasa. Aku juga mencuci sendiri semua langsir, memberus lantai di depan pintu masuk ruang tamu dan memujuk anak-anak dara ku untuk mencuci karpet, tingkap dan menyalin cadar masing-masing. Aduh, memang memenatkan.

Aku sudah berkira-kira .. apa menu pada pagi hari raya. Yang menjadi kemestian tentunya ketupat dan rendang daging. Aku merancang untuk menyediakan nasi tomato, gulai tulang, udang goreng kicap dan ayam masak merah. Semua bahan mentah dan kering telah aku beli hari ini. Aku tidak mahu bersesak-sesak di pasar pada pagi besuk. Mulai jam 10 pagi besuk, aku akan bersilat di dapur.

Cuma aku kurang merasa kemeriahan kali ini kerana kurangnya menerima kad-kad raya. Teman-teman ramai yang menghantar ucapan elektronik samada menerusi SMS, email atau pun Facebook. Secara peribadinya aku lebih gembira menerima kad hari raya yang siap ditulis tangan dan bertandatangan, lebih terasa 'personal touch' si pengirim. Tetapi aku perlu akur, semua orang telah berubah, ditambah dengan kos penghantaran kad yang tinggi. Mulai tahun ini setem untuk kad hari raya telah dinaikkan kepada 50 sen berbanding 30 sen pada tahun sebelumnya. Aku juga faham, Pos Malaysia tidak selamanya mampu mengekalkan setem pada harga lama yang rendah sedangkan pelbagai kos operasi semakin meningkat.

Oh ... rasanya tak sabar-sabar aku untuk mendengar laungan takbir yang mendayu-dayu. Tetapi pada masa yang sama aku merasa sedih kerana Ramadhan akan berlalu. Ya Allah .. engkau panjangkan usia kami, kurniakan kami dengan kesihatan tubuh badan, temukan kami dengan Ramadhan pada tahun-tahun yang akan datang. Ameen

Friday, September 3, 2010

Lailatul Qadar Yang Dinanti

Semua Muslim mengharapkan bertemu Lailatul Qadar dan merebut kelebihannya

10 malam terakhir Ramadhan memang dinanti. Di sana terletaknya sebutir mutiara disebut sebagai Lailatul Qadar, malam di mana Allah menurunkan rahmatNya kepada hambaNya yang bertakwa.

MALAM LAILATUL-QADAR

Malam Lailatul-Qadar sunat dicari, kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah S.W.T. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam termasuk malam Jumaat.

Allah S.W.T. berfirman dalam Surah Al-Qadr 97: Ayat 3. Maksudnya: "Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu malam". Ertinya menghidupkan malam Lailatul-Qadar dengan mengerjakan ibadah adalah lebih baik daripada beribadah pada seribu bulan yang tidak ada Lailatul-Qadar seperti sabda Nabi s.a.w.: Maksudnya: "Sesiapa menghidupkan malam Lailatul-Qadar kerana beriman serta mencari pahala yang dijanjikan akan mendapat pengampunan daripada dosa-dosa yang telah lalu".

Diriwayatkan daripada Saiyidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w. apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadhan, Baginda menghidupkan malam-malamnya dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya. Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan: Maksudnya: "Rasulullah s.a.w. berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam lain".

Malam Lailatul-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: "Carilah malam Lailatul-Qadar pada sepuluh akhir bulan Ramadhan dalam malam ganjil".

Pendapat yang terkuat mengikut para ulama' bahawa malam Lailatul Qadar terkena pada malam 27 Ramadhan. Menurut Abu Ka'ab katanya, "Demi Allah sesungguhnya Ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatul-Qadar jatuh dalam bulan Ramadhan manakala Lailatul-Qadar pula terjatuh pada malam 27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbangkan kamu tidak lagi berusaha mencarinya".

Daripada Riwayat Mu'awiyah: Maksudnya: "Bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda dalam malam lailatul-qadar iaitu malam ke-27". Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada Lailatul-Qadar.

Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah Hadith daripada Ibn Umar r.a yang berbunyi: Maksudnya: "Sesiapa yang mencari Lailatul-Qadar , dia hendaklah mencarinya pada malam yang ke-27, carilah kamu malam Lailatul-Qadar pada malam yang ke-27".

Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah, katanya, "Ya Rasulullah s.a.w. andainya aku mendapati malam Lailatul-Qadar, apakah doa yang patut aku bacakan?" Rasulullah s.a.w. berdoa dengan doa: Maksudnya: "Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh itu berilah keampunan-Mu untukku".

Petikan dari :
FIQH & Perundangan Islam Jilid II Wahbah al-Zuhaili Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.