Thursday, October 28, 2010

Kasihan Jiran Ku

View Image
Gunung Merapi kini sedang mengganas

Setiap hari hati merasa sedih dan pilu. Samada membaca akhbar atau menonton TV, aku rasa terganggu. Kasihan sungguh melihat jiran ku, tanpa henti ditimpa musibah. Di Sumatera dengan tsunaminya, di Jawa dengan letupan Gunung Merapi. Ramai telah menjadi korban dan ramai juga yang menderita cedera parah dan kehilangan ahli keluarga tersayang dan harta benda.

Walaupun sebelum ini hati panas melihatkan gelagat pendek akal penyokong kumpulan Bendera yang menghina Malaysia, tetapi mereka yang ditimpa musibah ini tidak harus dibiarkan sendirian. Biarkan saja Bendera dengan agenda bodoh mereka. Mungkin kini mereka pun sudah pulang ke kampung masing-masing setelah tiada lagi menerima dana untuk melakukan demontrasi bodoh mereka.

Tetapi jangan dihukum mereka yang tidak bersalah yang menjadi mangsa bencana alam ini. Marilah kita bantu mereka. Jika tidak dapat memberi bantuan tenaga, kita boleh menderma melalui tabung-tabung yang kebiasaannya akan dibuka oleh syarikat-syarikat media utama Malaysia atau NGO. Atau seringan-ringan bantuan, berdoalah untuk kesejahteraan mereka.

Kita bermohon kepada Allah supaya memberi perlindungan kepada mereka, menyelamatkan mereka dari sebarang musibah lain, memberi kekuatan iman kepada mereka yang beragama Islam dan menyelamatkan kita juga dari menerima musibah yang sama. Ameen

Thursday, October 21, 2010

Spaghetti Taruh Belacan

Timun dipotong bulat dan nipis

Kemudian dihiris halus-halus

Sedia untuk dimakan...yummy

Aku suka makan spaghetti. Begitu juga dengan Abah dan Puteri Bongsu. Tetapi kami tak begitu gemar spaghetti yang dijual di restoran-restoran, tidak memenuhi citarasa kami. Citarasa kami citarasa Melayu, nak yang terasa pedas. Masin serta manis dan masamnya secukup rasa. Bukan yang penuh dengan rasa masam tomato.

Tapi bukannya aku berniat mempertikaikan rasa bolognese spaghetti. Sudah sememangnya resipi asalnya dari Itali penuh dengan tomato paste, tomato soup, parmesan cheese, olive oil dll bahan yang asing dalam masakan Melayu.

Tetapi resipi aku ini penuh dengan citarasa Melayu. Mungkin orang Itali akan terbeliak mata atau pengsan menjamahnya.

Bahannya mudah didapati di pasar basah :-

500 gm Ayam atau daging cincang (atau isi ayam tanpa tulang dipotong kecil-kecil dan dimasukkan ke dalam blender)
2 senduk Cili kering kisar
3 senduk kisaran bawang merah/besar dengan bawang putih (nisbah bawang merah dengan bawang putih tu kenalah agak-agak sendiri)
2 tin besar kacang panggang
1 tin besar sup tomato
1/2 tin susu cair
belacan
garam
gula
lada hitam kisar kasar
minyak masak
1 paket spaghetti
air mengikut keperluan, sekiranya mahu kuah pekat guna sedikit sahaja air, sekiranya suka banyak kuah guna air lebih, asal tidak jadi cair beroi-beroi, tidak sedap beb)

Hiasan

telur rebus
daun sup + daun bawang
bawang goreng
bawang besar warna kuning
timun
cili merah

Cara memasak

Panaskan minyak. Bila sudah panas, tumiskan cili kering, bawang kisar dan belacan hingga garing. Masukkan sedikit air supaya tidak melekat pada periuk. Bila telah garing, masukkan kisaran daging atau ayam dengan sedikit air. Kacau rata supaya daging tidak berketul2. Biarkan hingga daging benar-benar masak dan sebati.

Masukkan sup tomato, kacang panggang, susu cair dan air sekiranya perlu. Boleh diperisakan dengan gula, garam dan lada hitam. Masak hingga kuahnya pekat dan sebati dan sesuai rasanya.

Sementara itu rebus spaghetti mengikut peraturan yang tertulis pada pembungkus, sejatkan dan dihidangkan dalam bekasnya.

Telur dipotong empat. Cili merah serta daun sup dan daun bawang dipotong halus. Bawang kuning dibelah 2 dan dihiris nipis-nipis (seperti bawang untuk laksa). Timun dibuang kulit. Potong bulat-bulat mengelilingi timun dan seterusnya dihiris halus-halus (bijinya tidak diperlukan).

Letakkan spaghetti dalam mangkuk. Tuangkan kuah secukupnya. Hias dengan timun, bawang kuning, telur, cili merah, daun sup + daun bawang dan bawang goreng. Sedia untuk dimakan. Slurrrrrp

Wednesday, October 13, 2010

Anak Dara 20 Tahun

satu babak filem Magika

12 Oktober 2010 merupakan hari jadi ke-20 buat Puteri Tengah. Sayang ... Mama doakan agar anak Mama sempurna hidupnya di dunia danm akhirat, supaya perjalanan hidup anak Mama dipermudahkan dan penuh dengan keberkatan. Mama doakan juga anak Mama jadi anak yang solehah yang akan berbakti kepada Mama dan Abah apabila kami tua kelak dan mendoakan setelah kami tiada di dunia nanti. Mama ... ooo begitu banyak sekali doa untuk Puteri Tengah serta kakak dan adiknya. Setiap kali lepas menunaikan solat, aku tidak berhenti mendoakan ketiga-tiga Permata Hati kesayangan Mama.

Sempena hari berbahagia ini, Mama membawa anak-anak Mama dan Hanis (anak arwah Emak Midah) keluar untuk menonton wayang. Cerita Magika sentuhan KRU sungguh menarik. Filem yang dilakonkan oleh nama-nama besar dalam industri seni Malaysia seperti M. Nasir, Jalaluddin Hassan, Fauziah Ahmad Daud, Aznil Nawawi, Maya Karin dll merupakan filem muzikal berunsur fantasi yang mempunyai teknik fotografi yang sungguh menarik. Selama 90 minit menonton filem tersebut tidak langsung terasa bosan.

Selepas selesai menonton, kami makan tengahari di Kenny Rogers Roaster. Akibat terlalu kenyang, semuanya tidak mahu menjamah sebarang makanan pada waktu malam. Kesian Abah, terpaksalah aku menemankannya makan.

Saturday, October 9, 2010

Roti Jala Kari Ayam

cubaan pertama.....

sedia untuk dimakan.......

Entah apa mimpi kami anak beranak. Tengah hari ini kami makan roti jala dengan kari ayam saja. Inilah pertama kali aku membuat sendiri roti jala. Walaupun resipinya cukup mudah, tetapi aku tidak pernah cuba membuatnya sendiri. Selalunya aku bungkus sahaja dari kedai.

Bersama Puteri Tengah, kami memulakan operasi masuk dapur pukul 11 pagi. Aku menyediakan gulai ayam dengan kentang. Ayam dan kentang aku potong kecil-kecil. Kuahnya pula pekat. Tetapi rasanya aku perlu melebihkan sedikit pedasnya, baru ada umph.

Resipi roti jala kami ambil internet saja :-

500 gm tepung gandum
setengah tin susu cair
2 tin (bekas susu cair tadi) air
2 biji telur ayam
sedikit garam dan serbuk kunyit

Gaulkan semua bahan hingga sebati. Putar dalam blender dan tapis. Lenserkan minyak atas kuali leper. Bila sudah cukup panas, dengan menggunakan acuan roti jala, putar-putarkan bancuhan mengikut arah bulatan. Roti jala yang nipis cepat masak dan tidak perlu diterbalikkkan. Apabila bahagian bawah roti berwarna kekuningan, lipatkan atau gulung roti tersebut. Jika terlambat, roti akan menjadi garing.

Memang mudah. Tetapi buat yang pertama kali mencuba, bentuk jalanya tidak begitu cantik. Kadang-kadang ianya kelihatan seperti lempeng, kadang-kadang pula seperti singlet koyak. Tetapi setelah berkali-kali mencuba, roti jala yang dihasilkan oleh Puteri Tengah menjadi semakin cantik.

Wednesday, October 6, 2010

PMR Untuk Puteri Bongsu

Hari ini hari ke-2 PMR. Puteri Bongsu nampak bersemangat untuk menghadapi peperiksaan ini. Semua pakaian dan perkakasan peperiksaan telah siap semenjak hari Ahad lagi.

Semalam hari pertama adalah peperiksaan bagi kertas Bahasa Melayu dan Pengajian Islam. Hari ini Bahasa Inggeris dan Geografi. Aku berdoa siang dan malam semoga Puteri Bongsu dapat menghadapi peperiksaan ini dengan tenang dan dapat menjawab semua soalan dengan baik. Dia telah berusaha, aku dan Abah juga telah berusaha sebagai ibu dan bapa, selebihnya kami serahkan kepada Allah swt.

Semalam, Puteri Bongsu buat perangai. Dia mengeluarkan semua kertas soalan Bahasa Melayu dan Pengajian Islam dan meminta aku dan kakak-kakaknya menyemak jawapan. Kami enggan berbuat demikian. "Jangan adik .. yang dah lepas biarkan lepas, kita tunggu aje keputusannya nanti. Sekarang ini .. adik tumpu untuk peperiksaan esuk , lusa dan seterusnya. Nanti kalau adik tengok banyak jawapan betul, adik jadi over-confident. Kalau banyak jawapan salah, nanti adik jadi frust dan tak ada mood nak jawab kertas yang lain". Aku berhujah memujuknya. Mukanya masam saja, tentunya marah kepada aku dan kakak-kakaknya kerana tidak mahu bekerjasama menyemak jawapannya.

Ya Allah Ya Tuhan ku, aku memohon bantuanMu Ya Allah, peliharalah zuriat ku ini. Berikanlah dia kemudahan menghadapi peperiksaan ini, terangkanlah hatinya, kurniakan dengan kepintaran berfikir. Semoga dia berjaya mendapat keputusan cemerlang. Jauhilah dia dari rasa cemas dan resah menghadapi peperiksaan ini. Semoga dia menjadi anak cemerlang hidupnya di dunia dan akhirat. Ameen

Tuesday, October 5, 2010

Haji Menuju ALLAH - Raihan

Labbaikallah hummalabbaik ... hambaMu datang menyahut panggilanMu Ya Allah, hambaMu datang menyahut panggilanMu. yang tiada sekutu bagiMu. HambaMu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaanMu, tidak ada sekutu bagiMu.

Setiap kali mendengar lafaz Talbiah ini, hatiku merindui Baitullah dan Raudhah. Selesai menunaikan ibadah haji pada tahun 2003, sehingga kini aku masih belum berkesempatan untuk ke sana lagi.

Ya Allah Ya Tuhan ku ... engkau murahkanlah rezeki untuk ku, engkau kurniakanlah kesihatan yang baik untuk ku, engkau permudahkan laluan aku untuk kembali ke tanah suci Mekah dan Madinah. Hanya Engkau Yang Maha Pemurah, Yang Maha Mendengar doa ku.


Monday, October 4, 2010

Badi Mayat

View Image

Seminggu selepas kematian Arwah Midah, aku mula jadi tidak keruan. Fikiran aku kusut, hati aku sentiasa berdebar-debar. Aku selalu berfikir, adakah ini petanda aku akan mati. Setiap masa hati aku mengingati mati, bagaimana sakratul maut untuk ku, sakit kah, lemas kah, panas kah??? Segera pernafasan ku terasa terhenti .... aku jadi ketakutan. Sesungguhnya mengingati mati itu baik, tetapi tekanannya menyebabkan aku jadi sasau. Mungkin aku takut mengingatkan persiapan bertemu Allah masih belum lengkap, masih banyak dosa yang belum dicuci, masih banyak amalan yang tidak dilaksanakan. Ya Allah, berilah aku kesempatan untuk memperbaiki diriku sebelum bertemu dengan Mu.

Aku cuba melawan perasaan ini dengan pelbagai cara. Solat hajat dan membaca Al Quran terutama Surah Yaasin menjadi amalan ku. Setiap kali aku bersendirian aku cuba membaca ayat Kursi an 3 Qul sebanyak mungkin. Tetapi dugaan ini tidak berkurangan. Malah kadang-kadang amat menyesakkan dada.

Paling menyiksaku adalah waktu malam apabila mata ini enggan tidur walaupun aku sebenarnya mengantuk. Aku habiskan malam ku dengan solat-solat sunat Tahajud, Taubat dan Hajat dan seterusnya membaca Al Quran. Aku menangis merayu supaya Allah melepaskan aku dari siksaan batin ini. Aku memohon keampunan Allah atas segala dosa-dosa yang aku lakukan.

Apabila tidak tertahan lagi, aku meminta Abah membawa aku berjumpa pakar bagi rawatan alternatif. Aku bertemu Ustaz Ahmad Meh dari ANM Penawar di pusat rawatannya yang terletak di Bertam Golf Resort. Di sana Ustaz telah merawatku dan menyatakan daripada penelitiannya aku terkena "Badi mayat".

Badi merupakan suatu penyakit yang mempunyai hubungan khusus dengan spiritual dan roh manusia. Kesan daripada penyakit ini akan menyebabkan seseorang itu hilang kestabilan diri, perasaan yang tidak menentu dan berubah-ubah, rasa lemah, takut, fikiran bercelaru, tidak dapat tidur dan sebagainya yang membawa kepada perubahan tingkahlaku dan perwatakan seseorang. Antara jenis badi adalah seperti badi mayat dan badi binatang buas seperti badi ayam hutan, rusa, pelanduk, ular dan lain-lain.(rujukan dari Blog persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam darussyifa').


Aku diminta untuk meminum air penawar dan mandi menggunakan limau purut bercampur lada hitam, sintuk dan air penawar selama 3 petang berturut-turut. Alhamdulillah dengan izin Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang, perasaan ku semakin pulih dengan nyatanya. Seleraku makan ku kembali dengan tiba-tiba, dan sekaligus menyebabkan gastrik yang menyerangku selama seminggu menjadi pulih. Perasaan ku menjadi semakin damai dan yang penting aku sudah mula mampu tidur dengan lebih tenang.


Walaupun sesekali perasaan tersebut muncul kembali, tetapi segera aku tepis dengan menyibukkan diri dan sentiasa berinteraksi dengan suami dan anak-anak. Sokongan mereka amat banyak membantu aku mengatasi rasa murung dan sepi. Aku teruskan meminum air penawar di samping sentiasa membaca ayat penawar dan pendiding diri seperti ayat Kursi, 3 Qul dan Surah Yaasin. Benarlah ... nikmat paling utama dalam sebuah kehidupan adalah ketenangan hati. Semoga Allah sentiasa memelihara aku, Abah dan anak-anak dari segala mara bahaya. Ameen