Wednesday, November 30, 2011

Spectrum Creation


Setelah 2 tahun menjadi penganggur terhormat dan merasai nikmat menjadi surirumah sepenuh masa yang masa sehariannya dihabiskan dengan menjadi tukang masak, tukang cuci, tukang gosok baju dan pemandu, aku mula merasakan patut memulakan sesuatu yang baru.  Sementara duduk diam-diam di rumah, rasanya perlu aku mengisi masa dengan sesuatu yang aku suka sambil menambah tabungan.  Apa lagi, nak berniagalah nampaknya.

Berminggu-minggu aku, Abah dan anak-anak mengadakan sesi "brain storming" bentuk perniagaan yang harus diceburi.  Syarat-syarat yang aku tetapkan ialah perniagaan ini tidak memerlukan modal yang banyak, mudah mendapat pelanggan, mudah mendapat bekalan, tidak membataskan aku untuk meneruskan aktiviti bermasyarakat dan menyertai majlis ilmu.  Anak-anak mencadangkan aku menjalankan perniagaan secara online .... yang merupakan trend perniagaan masakini.

Hrmmm, bagus juga tu.  Tak perlu menyewa ruang perniagaan. Tidak perlu pembantu kedai.  Dan paling seronok, kalau barangan tidak terjual .... boleh diagih-agih kepada anak-anak untuk kegunaan sendiri.  Masyaallah, boleh bankrap kalau macam tu.  No, no, no ... fokus untuk mulakan perniagaan ini.  Kalau online tak jalan, aku kena buat "door to door"pulak,  bawa ke pejabat lama, tunjuk muka welfare pada kawan-kawan lama, pujuk le beli sehelai dua.  Atau minta sepupu tolong jual di kawasan perumahan mereka.  Nanti aku kena bagi komisyen pada mereka.  Kena ada Plan B!!!!


Justeru itu, sempena Maal Hijrah 1433, aku dengan rasminya melancarkan Spectrum Creation untuk rakan-rakan maya. sila klik sini

Saturday, November 26, 2011

Salam Maal Hijrah

Sunshine


Mesej dalam inbox yang amat menarik untuk dikongsi  :-

Beruntunglah orang yang menjadi lebih baik dari semalam,  rugilah orang yang masih kekal seperti semalam dan celakalah bagi orang yang menjadi lebih teruk dari semalam.

Mudah-mudahan kedatangan Maal Hijrah ini memberi kita keazaman dan semangat baru untuk berusaha mencari keberkatan dan keredhaan Allah SWT.

Salam Maal Hijrah untuk semua.

Tuesday, November 22, 2011

Yeaaa .... Kita Menang


Lega dan bangga. Itulah perasaan aku setelah tamat permainan semalam.  Macamana tak lega, lebih 2 jam jantung aku bergerak kencang ....dup dup dup.  Perut terasa senak teramat.  Tak pasti pula berapa bacaan tekanan darah sepanjang tempoh permainan tersebut.  Memang mendebarkan sehingga ada ketikanya aku tidak mampu lagi menanggung ledakan adrenalin yang menyebabkan aku masuk ke bilik tidur dan pura-pura membaca majalah.  Tetapi suara riuh Abah dan anak-anak menyebabkan aku kembali mengadap TV.

Akhirnya Malaysia menang 4-3 menerusi tendangan penalti setelah terikat seri 1-1 sepanjang 120 minit permainan.  Pemain Malaysia terus gah walaupun menerima tekanan yang bukan sedikit akibat diganggu peminat fanatik Indonesia di luar dan di dalam Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.  Kesiannya mereka terpaksa diangkut dengan Baracuda (kereta perisai tentera Indonesia) untuk keluar dan masuk stadium.  Malah penyokong Malaysia juga terpaksa diberi kawalan rapi oleh pihak berkuasa Indonesia untuk mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.  Bayangkan betapa 100,000 penyokong Indonesia memberi sokongan padu kepada pasukan mereka dan mengejek pasukan Malaysia. Mungkin sorakan dan ejekan itulah yang membakar semangat pemain-pemain Malaysia untuk memastikan Jalur Gemilang berkibar megah di stadium tersebut. Syabas.

Kemenangan ini memberikan Malaysia pingat emas ke-59 bagi sukan SEA ke-26 yang dihoskan oleh Indonesia.  

Sememangnya kita wajar berbangga dengan kemenangan ini serta kemenangan peserta-peserta olahraga, berbasikal trek, renang berirama, menembak, luncur air dan acara-acara sukan yang lain yang berjaya meletakkan Malaysia di tangga ke-4 selepas Indonesia, Thailand dan Vietnam.  Syabas sekali lagi.

Thursday, November 17, 2011

Dinginnya Fraser Hill

Petang yang dingin dan berkabus
Setibanya kami di Raub, aku terpandang papan tanda menunjuk ke arah Fraser Hill, yang jauhnya hanya 39 km sahaja dari Raub.  Ahhh .... dah dekat sangat, apa kata kita bermalam di sana sahaja malam ini.  Abah bersetuju.  Ini merupakan kali pertama kami berdua berkunjung kebukit peranginan ini.

Walaupun jaraknya dekat tetapi kami mengambil masa hampir 1 jam untuk sampai ke puncak. Jalannya bengkang-bengkok bagaikan ular dipalu.  Selekohnya tajam dan rapat antara satu sama lain. Aku menjadi pening dan hampir saja termuntah.  Setibanya di Pekan Fraser Hill, kami mula meninjau-ninjau tempat penginapan yang terdapat di sana. Akhirnya kami memilih Shahzan Inn, sebuah hotel 3 bintang yang terletak di atas bukit berhampiran pekan.  Bilik kami mengadap ke arah Fraser Hill Golf Club.  Memandangkan kami menginap pada hari biasa, kadar bilik dikurangkan sebanyak 50%.

Tatkala memandang keluar dari balkoni bilik, keletihan yang tadi melemahkan semangat aku, segera terbang entah ke mana.  Fraser Hill memang indah dan penuh nyaman. Udaranya bersih tanpa pencemaran.  Alam sekitarnya masih dipenuhi kayu-kayan dan paku-pakis yang menghijau tanpa pencerobohan alam yang rakus.  Suasana ini amat berbeza dengan Cameron Highland yang sudah hilang keindahannya.  Bukit di Cameron Highland sudah hilang kehijauannya diganti dengan ratusan binaan plastik milik pekebun sayur (dari jauh kelihatannya seperti deretan keranda putih).

Deretan "keranda putih" menghiasi bukit-bukit di Cameron Highland
Hutan yang masih terjaga baik menggamit minat "forest trekker"
Keesukan paginya aku dan Abah mengambil peluang menjelajah ke seluruh kawasan bukit peranginan tersebut. Bunga-bunga sedang berkembang mekar. Kabus yang dingin menyelimuti bukit setinggi 1,500 meter dari aras laut memberikan suasana sungguh menyamankan.  Paling gembira aku masih dapat mendengar bunyi unggas bersahutan dari hutan di persekitaran.  Bangunan-bangunan lama dengan binaan ala kolonial (tahun 1919) masih dipelihara dengan baik dan berfungsi sepenuhnya dengan dijadikan sebagai Balai Polis dan Pejabat Pos.

Bangunan kolonial yang cantik senibinanya
Bunga-bunga cantik berkembang memukau mata
Satu fakta yang mengejutkan aku, rupanya Fraser Hill milik bersama Negeri Pahang dan Negeri Selangor.  Sepanjnag berada di kawasan pekan Fraser Hill, jelas kelihatan ianya berada di bawah seliaan Majlis Perbandaran Raub.  Bagaimanapun apabila kami pergi ke satu kawasan di pinggir bukit tersebut, kami terjumpa sebuah sekolah cina dan empangan di bawah seliaan kerajaan Negeri Selangor. Ohhh ... lemahnya pengetahuan geografi aku.

Perjalanan turun dari Fraser Hill ke Raub lebih menenangkan. Abah hanya perlu menjaga brek dan mengawal stereng mengikut lengkok kiri dan kanan jalan menurun yang agak sempit.  Dan semakin kami menghampiri Raub, kelihatan banyak buah durian yang bergayut di pokok yang ditanam di pinggir bukit berhampiran jalanraya. Wah, beberapa minggu lagi penduduk Raub akan berpesta dengan duriannya.

Wednesday, November 16, 2011

Laluan Baru Simpang Pulai - Cameron Highland - Raub

Laluan 2 lorong menyusuri lereng bukit
Aku mendapat maklumat mengenai ujudnya laluan baru ini setelah melayari Google.  Belum ramai orang yang tahu tentang laluan ini, agaknya kerana laluan ini belum digazet.

Memandangkan ini kali pertama aku hendak ke Raub, aku perlu membuat kajian mengenai laluan mana yang perlu diambil dari Pulau Pinang ... yang pastinya laluan tersebut mestilah cepat, selamat, selesa dan menjimatkan.  Inilah jasa perkembangan teknologi, semuanya jadi mudah. Google aje, semua maklumat terbentang depan mata. Terpulanglah kepada diri sendiri menilai dan membuat pilihan.  

Akhirnya aku mendapat 4 laluan alternatif :-

1.   dari Pulau Pinang exit Lebuhraya di Simpang Pulai menuju Cameron Highland.  Terus ke Ringlet, ambil simpang kiri ke arah Lembah Bertam dan terus memandu laluan baru merentasi Pos Betau sehingga ke Sungai Koyan.  Dari Sungai Koyan ambil simpang arah kanan menuju ke Raub.

2.  dari Pulau Pinang exit Lebuhraya di Simpang Pulai menuju Cameron Highland.  Setibanya di  Kampung Raja terus bergerak ke arah Gua Musang.  Di persimpangan Gua Musang, ambil arah ke Kuala Lipis terus bergerak dan ambil arah ke Raub.

3.  dari Pulau Pinang exit Lebuhraya di Tanjung Malim, bergerak menuju ke Kuala Kubu Baru, mendaki Bukit Fraser, turun Bukit Fraser dan memandu terus ke arah Raub.

4.  dari Pulau Pinang exit di Lebuhraya arah Kuantan memasuki Karak Highway. Exit Lebuhraya di arah Bentong-Raub.

Setelah ditimbang kati dan tahilnya, aku memilih alternatif 1.  Ini perjalanan paling cepat dan menjimatkan dari Pulau Pinang.  Jarak perjalanan adalah lebihkurang 700 km, tol yang perlu dibayar hanya RM37.20 dan minyak pula tidak sampai pun RM100.00.

Laluan Ringlet ke Sungai Koyan menawarkan pemandangan alam semulajadi yang menghijau.  Kenderaan yang lalulalang juga tidak begitu banyak (mungkin kerana aku menggunakan laluan ini bukan pada hujung minggu). Had laju yang dibenarkan hanya 50 km/jam.  Pemanduan perlu berhati-hati kerana di kebanyakan tempat mempunyai selekoh yang tajam dan apabila cuaca kurang baik, kabus juga mungkin menghalang jarak pandangan. Terdapat  kejadian tanah runtuh di beberapa kawasan lereng dan kon penanda telah diletakkan di kawasan tersebut.

Banjaran berbalam-balam mengasyikkan pemandangan

Pemanduan selesa dan aman kerana tidak banyak kenderaan
Kualiti jalan juga boleh tahan, cuma terdapat beberapa  kawasan yang diturap dengan simen dan sebahagian lagi dengan tar.  Dengan kelajuan antara 60 hingga 80 km/jam (maaf kekadang aku memandu tanpa sedar terlajak laju di kawasan yang agak lurus ... alasan untuk mengelak rasa bersalah), masa diambil adalah kira-kira 1 jam 30 minit untuk perjalanan antara Sungai Koyan dan Ringlet.

Cubalah .... satu pengalaman baru yang menarik. 

Wednesday, November 9, 2011

Sindrom Hujung Tahun

Puteri Bongsu (PB)  : Periksa hujung tahun dah selesai.  Tak pergi sekolah pun tak per.

Mama (M)   :  Tapi keputusan periksa belum dapat lagi kan?  Pergi le ke sekolah, kut hari ni cikgu bagi keputusan, boleh le tengok pencapaian adik. Mana subjek yang lemah, kena le pulun masa cuti panjang ni.

PB  :  Buku teks semua dah serah kat sekolah. Bukan nak buat apa pun duduk dalam kelas. Bersembang jer.  Budak lelaki dok mengacau jer.

M  :  Bawa le buku sendiri ke sekolah. Buku latihan ke.  Kan mama dah beli buku latihan Add Math dengan Science.  Atau baca le novel, asah skil penulisan masa SPM nanti.  Atau pergi le ke Pusat Sumber untuk baca buku.  Duduk rumah nanti Adik asyik mengadap komputer dengan TV jer.

PB  :  Cikgu bukan masuk kelas pun.  Kalau masuk pun ambil kedatangan jer.

M  :  Haaa ... itu lah sebab penting pergi sekolah, sebab cikgu ambil kedatangan.  Macamana kalau kedatangan hujung tahun ni kosong,  nanti Adik kena buang sekolah. Waktu ni gunakan masa terluang tu buat latihan subjek yang Adik dengan geng Adik rasa lemah.  Lepas tu pergi ke bilik guru jumpa cikgu. Minta cikgu ajarkan Adik sampai faham.

PB  :  Nanti cikgu marah .... kata kami kacau depa pulak.

M  :  Issyyy tak de lah. Cikgu paling suka kalau anak murid rajin  bertanya. Itu maknanya murid tu perihatin tentang masa depan dia.

PB  :  Alaaa  Mama nihhhh ... Mama tak faham le.

M  :   Pasal apa pulak Mama tak faham. Mama dulupun sekolah juga. Jadi pengawas lagi, disiplin tinggi tau ... no way nak ponteng kelas. Kalau ambil nama orang ponteng kelas ...  itu memang tugas mama.

PB  :  patut la

Wednesday, November 2, 2011

Desy Ratnasari - Tenda Biru



Lama tak layan lagu-lagu feveret ni. Lagu Tenda Biru ni memang aku suka sejak dulu, terutama irama dan suara penyanyinya. Maaf ye, lirik  lagu tu tak ada kena mengena dengan aku. Tak pernah le pulak boyfriend cabut lari tinggalkan aku untuk kahwin dengan orang lain ... hehehehe.

Dulu, masa lagu ni tengah top, aku pun melalak sama dengan penuh perasaan.  Nasiblah kalau ada teman atau jiran yang bengkak hati dengar vokal hancur ni.  Aku tak pernah pergi kelas vokal pun.  Saja syok sendiri melepas tension.

So, layan ajelah.