Thursday, March 22, 2012

Tensionnnn .....


Tension Face 

Dia ni memang cerewet.  Dari hari pertama dia (senang ku sebut Cik X) menghubungi aku menerusi email untuk membeli tudung, aku sudah dapat membaca karekternya.  Pelbagai soalan ditanya. Remeh-temeh pulak tu.  Tetapi berpegang kepada konsep khidmat pelanggan yang aku belajar dulu, pelanggan itu perlu dilayan sebaik mungkin, maka aku pun layan.  Kalau tak layan nanti, dia lari. Rugi satu pelanggan, pelanggan tu rezeki. Lebih teruk kalau dia war-warkan jangan beli dari kedai aku, kes nanya tu.

Setelah hampir 12 email pergi dan balik, akhirnya Cik X bersetuju membeli 3 helai tudung dari aku. Alhamdulillah.  Aku pun bersangka-baik.  Memang itu hak pembeli. Aku pun setuju  ... bukan senang-senang nak keluar duit. Maklum bisnes on-line, pembeli tak boleh tengok kain secara fizikal, boleh tengok visual jer. Tak boleh nak gentel kain tu untuk tentukan ianya lembut atau keras, halus atau kasar. 

Tetapi aku sebagai penjual pun tahu tanggungjawab aku. Aku akan cuba memberi maklumat sebanyak mungkin. Aku tak boleh menipu pembeli kalau mahu mereka datang semula.  Kalau lembut aku sebut lembut. Kalau jarang dan perlu lining, aku akan beritahu.  Cuma kadang-kadang aku menhadapi masalah untuk memberitahu warna sehelai kain secara jelas (aku buta warna ker???).  Setiap warna teras pula mempunyai pelbagai pecahan. Kadang-kadang susah untuk aku menerangkan kerana warna yang ditunjukkan adalah campuran pelbagai warna lain Contohnya warna coklat.  Sekiranya dalam gambar nampak coklat gelap, di luar mungkin warna coklat seperti serbuk milo, atau warna coklat kemerahan, atau coklat seperti warna kayu (kayu pulak ada macam-macam warna), atau  coklat bla bla bla.

Berbalik  kepada Cik X.  Setelah 3 hari barang diterima, dia mula merungut. Warna tak seperti diharapkannya!!!  Jahitan tudung kenapa tak macam ni, kenapa jahit macam tu!!! Waduhhhhhh!!!!  Sabar ajer lah.  Bukan aku yang jahit tudung tu,  memang datang dari pembekal di Bandung seperti itu. Tetapi bagi aku tak ada cacat-celanya jahitan tersebut.  Pembeli lain pun tak pernah komplen, atau mereka malas nak komplen???  Fuhhhh .... aku perlu jaga hati Cik X ni, nanti dia sentap.  dengan Bismillah, aku jawab email Cik X dengan penuh berhemah.  

Itu baru satu masalah.  Belum lagi masalah dengan pembekal.  Kadang-kadang lain yang diminta lain yang datang.  Barang pula tidak diperiksa denga teliti sebelum dihantar, ada yang rosak atau kotor.  Memang aku hantar balik, tetapi proses ini sebenarnya menyakitkan hati aku.  Sepatutnya aku dapat 40 helai tudung, setelah diperiksa mungkin 5 atau 6 reject dan terpaksa dipulangkan.  Walaupun semua komunikasi dibuat secara bertulis menerusi email, tetapi kesilapan tetap berlaku.

Ada juga pembekal yang tidak membenarkan kita memilih corak dan warna yang kita mahu.  Kita hanya dibenar memilih kod jenis kain. Semua corak dan warna mereka yang pilihkan.  Ini yang paling aku bengang.  Terpaksa aku mencari pembekal yang lain  walaupun harga yang ditawarkan jauh lebih tinggi untuk kain dari jenis yang sama.

Masalah juga timbul bila barang ditahan kastam atau  barang lambat tiba sedangkan pelanggan sudah tertunggu-tunggu.  Pembekal boleh bagi macam-macam alasan.  Ohhh .... setelah 3 bulan berniaga ni, baru aku tahu banyak juga rintangan untuk berjaya.  Betullah kata bos aku dulu.  Kamu pergi ke mana pun, buat kerja apa pun, dugaan tetap ada.  Hidup tanpa ada masalah dan dugaan sebenarnya amat membosankan. Otak jadi malas berfikir. Tahap adrenalin kamu jadi rendah kerana tak dicabar.  Jadi hadapilah semua dugaan dengan tenang.  Insyaallah jumpa penyelesaiaan.

Terima kasih bos atas kata-kata azimat tu. Insyaallah aku BOLEH.

Wednesday, March 14, 2012

Yuna - Terukir Di Bintang (Unofficial MTV With Lyrics)



Indahnya irama lagu ini.  Uniknya suara Yuna.

Seolah-olah mendengar lagu zaman dolu-dolu!!!  Gambar pun black and white!!!!

Friday, March 9, 2012

Telekong Dari Bandung

Beg pengisi telekong ... cantik

Semasa memulakan perniagaan Spectrum Creations, pada asalnya aku cuma mahu menjual tudung dan kain pasang sahaja.  Tetapi semasa ke Bandung baru-baru ini, aku jadi tak keruan kerna terpikat dengan telekong yang begitu banyak dijual di Jakarta dan Bandung.  Cantik-cantik dan murah-murah belaka.  Ada pelbagai corak, warna dan jenis kain.  

Mulanya aku membeli hanya 5 pasang telekong, konon nak test market. Tak sangka pula mendapat sambutan dari kawan-kawan FB.  Semua minta aku beli lagi.  Mereka suka dengan corak yang aku pilih.  Sebenarnya aku menyukai telekong berwarna putih.  Langsung tidak aku beli telekong berwarna-warni yang banyak bergantungan di kedai-kedai tersebut.  Memang cantik-cantik telekong dari kain satin ini, tetapi aku kurang menggemarinya. Pertama ianya nampak terlalu fancy, keduanya kain tersebut panas dipakai ketika solat kecuali kita  berada dalam bilik berhawa dingin.

Kalau ada pun bunga berwarna pada telekong putih, aku pastikan tidak terlalu berat coraknya .... bimbang mengganggu ketenteraman mata jemaah lain sekiranya dipakai semasa solat berjemaah di masjid.  Jadi bunga yang dipilih hanya  meliputi bahagian bawah telekong. Bunga-bunga kecil pula terdapat di bahagian bahu.  Yang lebih penting, kain di bahagian yang menutup bahu dan leher adalah 2 lapisan. Tidaklah jarang dan nampak warna kulit sekiranya kita tidak memakai tudung semasa solat.

Ok .... kalau nak tengok koleksi telekong yang ada, bolehlah masuk ke kedai  Spectrum Creations sila klik

Monday, March 5, 2012

Red Velvet


Tahniah ... tahniah. Pandai sungguh anak dara Mama nih buat red velvet cake.  Sedap hingga menjilat jari.  hehehhh ..... kena puji-puji sikit, baru semangat mereka sentiasa tinggi, nanti rajin lah mereka nak mencuba lagi. Ala-ala bodek lah tu. Tetapi sememangnya ikhlas.  Sedap rasa kek nih.  Cuma hiasan kek tu kurang menarik, nampak comot. Tak per lah, lepas nih kita berlatih melepa krim pada kek pulak yer.

Sebenarnya ini percubaan kali kedua Puteri Sulong dan Puteri Tengah membuat red velvet cake ni. Kali pertama dulu kurang menjadi, walau pun rasanya sama tetapi bentuknya tak cantik langsung. Kesilapan pertama ialah acuan tidak dilengser dengan mentega secukupnya. Kedua pula sebab acuan digunakan terlalu kecil, kek melimpah keluar, penat lah mereka mencuci oven.

Oh yer ... mereka ni ada satu perangai yang aku kurang faham. Mereka akan rajin membuat kek semasa aku tiada di rumah.   "Kalau Mama ada, nanti Mama suka komen ... tak syok lah".  Anak-anak bertuah!!!

Sebab itulah semasa aku pulang ke kampung Emak kelmarin, mereka berdua memulakan projek.  Hasilnya semasa aku pulang dari kampung, separuh kek tersebut telah melayang .... masuk dalam perut mereka 3 beradik.  Isy isy isy!!!

Ohhh yer ... Puteri Bongsu pun ada peranannya.  Dialah yang terpaksa membasuh semua mangkuk, sudu, cawan penyukat, pemukul kek dan serba aneka barang yang dikotorkan oleh kakak-kakaknya ..... heheheh ini kes kena buli lah.  Tapi dia tak komplen, sebab kakaknya benarkan dia makan sebanyak mana kek yang dia suka.  Hrmmmm ... bertambah montellah semua tuan puteri nih.
  
Ok apa lagi ... mari kita kongsi resipi ni (terima kasih tumpang resipi Amirah Zawani dari Planetmira.blogspot).  Resipi ini mudah diikuti kerana ianya disusun dengan teratur sekali.

Langkah satu
  • panaskan oven 175 Celcius
  • sediakan loyang (kalau loyang besar  cukup satu ajer, tapi kami gunakan dua loyang bulat berukuran 7 inci),  lengser dengan mentega secukupnya takut melekat

Langkah dua
  • 250 gm tepung gandum
  • 1 sudu teh baking powder
  • 1/2 sudu teh garam halus
  • 2 sudu besar serbuk koko
*  ayak semua bahan dalam satu bekas dan ketepikan

Langkah tiga

240 ml susu segar campur dengan 2 sudu teh cuka (aku gantikan denga perahan lemon) - campuran ini disebut sebagai "buttermilk". Perap selama 10 minit dan campurkan dengan 2 sudu teh pewarna merah. Ketepikan.

Langkah empat
  • 150 gm mentega
  • 100 gm gula kaster
  • 200 gm gula perang
  • 1 sudu teh esen vanilla
  • 2 biji telur
Pukul mentega dan gula sampai kembang. Masukkan esen vanila dan telur satu persatu.  Pukul lagi hingga kembang dan sebati. Masukkan tepung sedikit kemudian tambah butttermilk. Buat berselang-seli hingga kesemua habis.  Ketepikan.

Langkah lima

Campurkan 1 sudu teh soda bikarbonat dengan 2 sudu teh cuka (atau perahan lemon), campuran ini akan berbuih-buih. Cepat-cepat masukkan ke dalam adunan kek tadi dan gaul hingga sebati.  Masukkan ke dalam loyang dan bakar selama 25 atau 30 minit. Bila dah masak sejukkan sebelum dikeluarkan dari acuan.  Kalau panas-panas, nanti kek pecah ... rugi.

Langkah enam

Menyediakan cream frosting :
  • 250 gm cream cheese
  • 30 gm butter
  • 1 sudu besar esen vanilla
  • 1 sudu besar susu segar
  • 100 gm gula icing
Satukan semua bahan di atas dan pukul hingga kembang.

Langkah tujuh


Jika menggunakan kek menggunakan satu acuan sahaja, potong ditengah-tengahnya menjadi 2 atau 3 lapisan. Tetapi aku menggunakan 2 acuan, dapatlah 2 kek yang sederhana tebal dan sama saiznya.  Letakkan satu kek di atas pinggan.  Sapukan cream frosting di atasnya. Agak-agaklah tebalnya, anak-anak ku bubuh tebal sebab mereka suka rasa cream cheese tu. Letakkan kek kedua di atasnya.  Kemudian dengan gembiranya gunakan cream frosting yang selebihnya membalut keseluruhan kek ini.  Kalau pandai, ukurlah frosting ni dengan corak bunga, daun, riben atau apa saja.  Di atas kek bolehlah dihias dengan ceri, coklat chip atau taburkan ajer dengan baki kek yang terlekat pada acuan. Caranya hancurkan ajer baki kek tersebut halus-halus dan terus tabur.  Hehehe ... kreatif tu!!