Resipi yang nak aku kongsi kali ini adalah resipi warisan keluarga Abah. Aku diperkenalkan dengan resipi ni kira2 20 tahun yang lalu. Sayangnya aku tak pernah menulis di mana2 pun tentang resipi ini. Apa bahan diguna, berapa banyak bahan diguna dan cara2 memasaknya tak pernah direkodkan. Cuma aku perhati macamana cara ianya dimasak dan ikut membantu semasa makanan sedap ni dimasak Main ingat2 gitu je.
Sadisnya aku seorang jer yang sering memasak resipi bihun siam ni. Adikberadik Abah semua tak tau macamana cara nak memasaknya, sebalik bertanya aku.. menantu dalam keluarga ni.
Lebih sedihnya orang2 tua yang mahir memasak resipi ni semua dah meninggal dunia atau tua dan hilang ingatan. Al Fatihah untuk Allahyarham Tok Ayah Haji Hasbullah, Allahyarhamah Tokcak Hajjah Sofiah dan Toksu Hajjah Maimunah yang kini mengalami sakit lupa. Halalkan ilmu ini dan semoga menjadi sedekah jariah buat kalian.
Sebelum aku pun pergi ke "alam sana", elok aku catatkan resipinya di sini. Semoga jika ada anak2 yang merindui masakan ni kelak, ambillah di sini sebagai panduan. Cuma kena pandai2 adjust lah, sebab tak dapat nak beri sukatan yang jelas.
BAHAN
1 paket Souun 500 gram direndam hingga lembut
15 tangkai Cili kering (*) - buang biji dan rendam (kalau tak suka pedas boleh kurangkan, kami semua suka pedas hihihi)
10 biji Bawang kecil (*) - hiris kasar
5 ulas Bawang putih (*) - hiris kasar
Halia (*) - sebesar ibu jari hiris kasar
3 sudu makan Udang kering (*) - direndam
Santan segar - RM5 (wajib guna santan segar supaya dapat menghasilkan tahi minyak)
1 mangkok Lauk samada ayam atau daging dipotong kecil2 atau udang kecil. Aku lebih suka udang dan daging sebab rasanya agak istimewa. Nak guna banyak mana ikut suka.
Pes asam jawa
Kicap manis pekat
Garam
Daun kucai - segenggam dihiris sepanjang 1 inci
HIASAN
Telur dadar dihiris nipis2
Limau kasturi
Cili merah atau cili padi dihiris halus
Daun salad dihiris halus
CARA MEMASAK
Semua bahan bertanda (*) disatukan dan disagai (goreng tanpa minyak) hingga berwarna coklat. Selepas itu ditumbuk hingga lumat. Atau guna food processor jer. Tapi tumbuk lagilah sedap sebati. Tak boleh guna blender sebab blender perlukan air untuk melumatkan bahan2 tersebut
Masukkan santan dalam kuali dan gunakan api yang kecil. Kacau santan sekali sekala. Proses ini mengambil masa yang sangat lama. Santan dijerang sehingga bertukar menjadi minyak dan membentuk tahi minyak. Bersabar banyak2 yer 😃😃😃😃
Biarkan sehingga tahi minyak garing. Selepas itu masukkan semua benda yang dilumatkan tadi. Kacau lagi sehingga garing. Masukkan lauk2 yang dipilih. kacau sehingga lembut. Kalau gunakan daging muda dan lembut, tak perlu direbus terlebih dahulu
Tambahkan kicap manis dalam 4 sudu besar, pes asam jawa sesudu besar dan garam ikut kesesuaian. Masukkan sooun dan kacau tanpa henti. Pastikan semua sambal tadi rata meliputi sooun. Gunakan api sederhana besarnya. Kacau sehingga sooun bertukar warna menjadi jernih. Masukkan daun kucai, kacau hingga rata.
Setelah mendapat rasa dan tekstur yang diinginkan boleh tutup api dan hidangkan bersama bahan hiasan.
Yang pastinya sooun ini akan lebih meresap mesra sambal tersebut setelah beberapa jam. Kalau masak malam ni, pagi esuk lagi sedap rasanya.