Saturday, December 1, 2018

Bulan Terakhir

Hari ni 1 Disember. Lagi 30 hari akan masuk tahun baru... tahun 2019. Akan berlalu tahun 2018 yang penuh dengan kenangan.

Apa pencapaian tahun ini?  Hrmmm banyak juga...

1.  Aku pergi ke Langkawi yang dah hampir 2 dekad tak aku kunjungi 😅😅😅

2.  Aku menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah dan Madinah setelah 7 tahun tak aku kunjungi 😍😍😍

3.  Aku menyaksikan perubahan julung kalinya tampuk pemerintahan di Malaysia

4.  Aku dan Abah meraikan ulangtahun perkahwinan kami yang ke-31. Alhamdulillah

5.  Aku dan sepupu2 sebelah Arwah Apak merancang perhimpunan pertama kami Generasi Pandak Jamaludin dan Teh Renik pada 23 Disember akan datang. InsyaAllah

6.   Aku dan Abah akan berpindah ke rumah baru kami di Sungai Petani bila2 masa di bulan Disember ini. InsyaAllah

Semoga dipermudahkan urusan aku dan keluarga ku. Aamiin

Sunday, November 11, 2018

Perkara Baru

Ini kali pertama aku tulis blog ni guna handphone. Kekok nya weh. Selalu guna laptop, rasa puas mengadap screen besar tu.

Yang ni terkial2 makcik. Dengan nak biasakan diri dengan format yang sikit berbeza. Dengan penat menggagau butang2 yang belum sebati dengan jari2 ni.

Sabar je le. InsyaAllah sikit lagi cekap le tu. Alah bisa tegal biasa kan??
Maaflah kalau hangpa jumpa banyak typo na!!

Saturday, October 6, 2018

Lawatan ke Taif (25 Mac 2018)

Salah satu kelebihan mengikuti pakej umrah Al Quds ialah berpeluang mengunjungi Kota Taif. Taif yang terletak kurang 100 km dari Mekah merupakan sebuah daerah pergunungan berketinggian 6,160 kaki. Perjalanan dari Mekah mengambil masa sejam lebih kerana bas perlu bergerak perlahan mendaki laluan pergunungan tersebut.

Apa istimewanya Taif. Taif merupakan kawasan pelancongan yang sering dikunjungi penduduk tempatan pada musim panas kerana udara di sini sejuk dan nyaman, ala2 Cameron Highland la. Untuk jemaah umrah pula, kita perlu mendapatkan permit sebelum berkunjung ke sana.

Perjalanan mendaki ke Taif, jalanraya lebar dan elok keadaannya.   Kredit Syaza Travel

Bumi Taif sangat subur dan berhawa dingin membolehkan pelbagai jenis tanaman hidup subur. Terdapat banyak ladang buah2an, teh dan bunga mawar di lembah2 pergunungan Taif.

Taif sebenarnya mempunyai sejarah tersendiri pada zaman Rasulullah SAW mengembangkan dakwah Islam. Baginda berkunjung pertama kalinya ke Taif bersama Zaid bin Harithah untuk berdakwah, malangnya kedatangan Baginda ditolak dan dihina oleh masyarakat Taif. Malah Baginda dibaling dengan batu untuk meninggalkan Taif.  Baginda tidak berdendam dengan penduduk Taif malah mendokan agar mereka diberikan hidayah untuk memeluk Islam.

Dua tinggalan sejarah yang masih terdapat di Taif ialah Masjid Kuk atau Masjid Siku. Diriwayatkan di sinilah Rasulullah SAW menyandar tubuh bertongkatkan siku semasa berehat dalam kunjungan kali kedua Baginda ke Taif berlaku mukjizat Allah. Lalu didirikan masjid yang kecil di sini sebagai mengingati peristiwa tersebut.  Kami hanya berhenti di tepi Masjid Kuk dan tidak masuk ke dalamnya kerana tidak dibenarkan.

Masjid Kuk... kecil saja dan terletak di lereng bukit

Tinggalan kedua pula ialah Masjid Ibn Abbas yang didirikan pada tahun 592H. Masjid ini dinamakan sempena nama sahabat serta sepupu yang amat dikasihi Baginda iaitu Abdullah bin Abbas. Maqam Abdullah terletak di tepi masjid ini. Banyak hadith2 sahih yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas atau Ibn Abbas. Malah dari keturunan beliaulah lahirnya khalifah2 dari Bani Abbasiyah. Kami masuk ke masjidnya untuk menunaikan solat sunat 2 rakaat.  Menurut pemandu bas kami, banyak aktiviti khurafat dilakukan oleh pengunjung ke Maqam Ibn Abbas dan telah menyebabkan kerajaan Saudi mengawal ketat pengunjung yang menziarahi tempat2 bersejarah di Taif.

Masjid Ibn Abbas
Kami seterusnya mengunjungi kilang bunga mawar. Subhanallah turun saja dari bas hidung kami telah menghidu keharuman mawar dan merasai kedinginan udara di persekitaran. Disini bunga mawar diproses dari kuntuman2 segar kepada pati mawar yang kemudiannya diproses pulak menjadi losyen tangan, minyak wangi, bedak, sabun dsbnya. Sambil mendengar penerangan dan melihat proses dijalankan, kami dihidangkan dengan teh panas yang direndam kelopak bunga mawar. Hrmm segarnya. Dan tentunya kami tidak melepaskan peluang untuk membeli oleh2 untuk keluarga di Malaysia.

Pintu masuk kilang mawar

Kelopak2 segar bunga mawar pink... wangiiii

Lotion dan bedak wangi2 untuk anak2 dara

Perut pun sudah keroncong, kami seterusnya singgah makan di sebuah restoran yang menyajikan nasi arab lauk ayam. MasyaAllah sedapnya. Bagi aku portion nasi tu memang banyak. Tetapi kelaparan dan keenakan sajian tu menyebabkan aku mampu menghabiskan nasi yang begitu banyak hahahaha.

Sedap... syukur nikmat

Dah lapar ni
Kami kemudiannya singgah di sebuah masjid untuk solat jamak Zohor dan Asar sebelum berkunjung ke Pasar Buah Bandar Asshafa'. MasyaAllah banyaknya buah2an di sini, berwarna-warni, pelbagai bentuk dan segar2 belaka. Aku membeli sekotak delima yang sempat aku bawa balik ke Malaysia. Rasanya sungguh manis, juicy dan bijinya lembut dan tidak kelat.  

Kalau lah ada pasar macam ni kat rumah.. tentu best kan??
 Fresh, manis dan murah

Kami kemudian bergerak untuk pulang ke Mekah. sepanjang perjalanan kami melihat banyak tarikan baru di Kota Taif saperti taman2 tema, bandar yang moden, hotel, kawasan kediaman mewah dan ladang2 di cerun2 gunung. Banyaknya bunga berwarna-warni ditanam di kiri kanan jalanraya.

Tanaman subur menghijau di Taif

Dalam perjalanan pulang, kami singgah sebentar di Miqat Qarnul Manazil untuk memasang niat menunaikan umrah.

Thursday, October 4, 2018

Makatul Mukarramah (23 - 29 Mac 2018)

Sepanjang berada di Tanah Suci Mekah kami menginap di Hotel Anjum, sebuah hotel baru yang terletak betul2 di hadapan bangunan baru Masjidil Haram. Memandangkan bangunan tambahan masjid ini belum siap sepenuhnya, kami terpaksa berjalan hampir 160 meter untuk masuk melalui pintu yang tertulis "Access door for ehram". Hanya wanita dan lelaki yang memakai ehram sahaja yang dibenarkan melalui pintu ini dan masuk ke dataran Kaabah. Ini menjadikan dataran Kaabah tidak begitu sesak dan kami dapat menghabiskan pusingan tawaf dalam waktu yang singkat. Keadaan dalam Masjidil Haram kelihatan agak kelamkabut, di sana sini tertutup dengan besi dan papan bagi menghalang jemaah masuk ke kawasan2 tertentu.

tenang diri ini berada di tempat mulia ini

Jemaah lain yang tidak menunaikan umrah atau memakai ehram dibenarkan masuk ke Masjidil Haram melalui mana2 pintu tetapi tidak dapat masuk ke dataran Kaabah kerana laluan ditutup. Keadaan ini berlaku kerana kerja2 baikpulih dataran Kaabah sedang dijalankan sebagai persiapan menyambut Ramadhan yang akan datang. Keadaan ini juga menyebabkan jemaah lelaki yang tidak memakai ehram terpaksa melakukan tawaf sunat sunat di laluan tawaf tingkat 1 atau 2. Memang jaraknya jauh berkali ganda berbanding jika bertawaf di dataran Kaabah.

dataran Kaabah pada pagi hari agak lengang, tapi cahaya matahari memang terik

Saiee pada waktu malam memang padat,
aku teringat saat menunaikan ibadah haji dulu

Alhamdulillah sekatan ini berakhir di hari ke-3 kami berada di Mekah. Selepas dari tarikh itu, kami bebas masuk ke Dataran Kaabah melalui mana2 pintu pada bila2 masa sahaja. Pilihan kami tentunya Pintu King Fadh No 79. Syukur sangat dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kami ini dan tentunya peluang ini tidak kami persiakan. Setiap malam setelah selesai solat Isya', kami balik ke hotel untuk makan malam dan merehatkan diri. Pukul 10 kami pergi semula ke Masjidil Haram untuk tawaf sunat dan beriktikaf di dataran Kaabah dengan penuh tawadduk.. aman tenteram sekali perasaan ketika itu sukar untuk diceritakan.

Air zamzam ... minuman yang sentiasa ku minum

suasana dalam masjid pada jam 11 pagi

Makcik bersama pemuda Bangladesh

Sepanjang berada di Mekah, aku dan Ein akan pergi ke Masjidil Haram pada setiap waktu solat. Cuaca di Mekah ketika ini masih dingin, angin selalu bertiup kencang terutama pada waktu malam hari. malah kami pernah tertembung ribut pasir semasa dalam perjalanan ke Hudaibiyah dan semasa dalam perjalanan ke Jeddah. namun pancaran matahari terlalu terik sehingga memaksa kami memakai sunglass. Walaupun hotel terletak tidak begitu jauh dari masjid, tetapi Makcik tidak mampu untuk ke masjid pada setiap waktu solat. Dia akan pergi ke masjid hanya untuk menyelesaikan umrah dengan mengupah pekerja2 yang menawarkan khidmat menolak kerusi roda. Bayaran dari bilik, ke Masjidil Haram menyelesaikan tawaf dan saie dan kembali semula ke bilik ialah 300 Rial


This photo of Grand Mosque is courtesy of TripAdvisor

Semasa di sini juga, aku sempat menunaikan beberapa kali solat fardhu di bangunan baru Masjidil haram yang telah dibuka untuk kegunaan jemaah yang semakin meningkat jumlahnya dari sehari ke sehari. Cantiknya binaan masjid ni... Subhanallah. Mungkin setahun lagi keseluruhan bangunan baru ini akan dibuka. Waktu itu kelak betapa luasnya Masjidil Haram yang menjadi dambaan jutaan umat Islam untuk mengunjunginya.

Credit to Rose Lina (member FB)

ruang dalam bangunan tambahan Masjidil Haram

Semasa berada di sini, pihak Al Quds telah mengaturkan siri lawatan ke beberapa tempat menarik seperti ke Arafah dan Jabal Rahmah, Mina, Mudzalifah, Jabal Nur (kami tidak dibenarkan masuk ke kawasan ini, hanya melihat dari jauh sahaja kerana kawasan ini menjadi kawasan larangan Arab Saudi), Hudaibiyah dan Muzium Dua Masjid Suci.  Setiap kali balik lawatan, kami akan singgah di Miqat Hudaibiyah dan Tanaem untuk berniat Umrah.

Jabal Rahmah ... tiang2 di sekitar dataran ini menyemburkan air dingin (mist) 
untuk mengurangkan kepanasan yang membahang

Perancangan pembesaran Masjidil Haram - model ditempatkan di muzium

Pintu Masjid Nabawi - terdapat di muzium

Kesan sejarah Masjid Hudaibiyah

shopping di Hudaibiyah

bas yang membawa rombongan kami. Selesa sangat sebab
tempat duduk ada 40, jemaah ada 30 jer hihihi

Aiskrim ... mmg sedap sangat makan semasa kepanasan di Jabal Rahmah

Masjidil Haram dan persekitarannya memang sudah jauh berubah berbanding semasa kedatangan ku pada tahun 2011 dulu.  Dataran masjid sudah semakin menarik. Kini telah terdapat banyak tempat wuduk dan locker menyimpan barang di persekitarannya. Banyak escalator dipasang di dalam masjid untuk kemudahan jemaah.  Perkhidmatan menyewa kerusi roda ada di sekitar dataran masjid. Polis wanita pun sudah tidak segarang dulu😁😁😁😁, malah lebih ramah dengan memberi salam kepada kami.  

Di hadapan dataran masjid penuh bangunan2 tinggi yang baru dibina. Tidak ada lagi hotel kecil satu atau dua bintang. Aku tercari2 di mana perginya peniaga2 kecil yang menjual minyak wangi, tasbihd, jubah dan lain2 barang untuk kami beli sebagai buahtangan untuk keluarga di Malaysia. Tiada!! Yang ada cuma butik2 di dalam hotel yang meletak harga yang mahal teramat. Rupa2nya peniaga2 kecil  ini telah diarah berpindah ke kawasan lain kerana kedai2 mereka terpaksa diroboh untuk memberi laluan kepada pembangunan kawasan sekitar Masjidil Haram. Kerana semua dah sakit kaki, tak mampulah kami bertawaf mencari tempat shopping tu.

Paling ketara sudah tiada lagi pengemis yang menunggu kita di laluan ke masjid. Tiada lagi peniaga kulit hitam yang menghampar kain dan meletak barangan jualan mereka di laluan ke masjid.

Alhamdulillah Hotel Anjum sangat selesa untuk kami diami sepanjang seminggu kami berada di sini. Biliknya agak luas dan selesa untuk kami bertiga. Bilik airnya juga luas dan cantik.  Tempat makannya juga sangat luas dan selesa dan nenyajikan menu Asia Tenggara (masakan Melayu + Indonesia). Menunya pelbagai jenis hingga tak tau mana nak pilih hihihi. Lebih bagus kerana di waktu pagi restoran dibuka hingga pukul 10 pagi. Justeru jemaah yang balik lambat dari masjid selepas subuh kerana mengerjakan tawaf sunat, beriktikaf, solat dhuha, membaca Al Quran atau sebagainya tidak bimbang balik lewat dan tiada makanan untuk mereka.

 Hotel Anjum .. tempat penginapan kami

Halaman hotel, banyak sette disediakan untuk tetamu bersantai

Ruang makan yang luas dan selesa

Lobi di luar hotel juga luas memberi kemudahan untuk jemaah bersantai sambil menanti bas atau teksi datang mengambil mereka.

Angin bertiup kencang, dengan pasir yang membuat suasana
 menjadi agak kelam seolah2 mendung

Pada pukul 3 petang 29 Mac 2018, setelah selesai Tawaf Wida', kami bertolak  meninggal Kota Suci Mekah menuju ke Jeddah. Ya Allah pilunya hati meninggalkan tempat suci ini. Ya Allah, jemputlah aku ke sini lagi, permudahkan laluan ku untuk kembali sebagai tetamuMu Ya Allah. Murahkan rezekiku, lapangkan kehidupanku, kurniakan kesihatan yang baik, dan jemputlah aku ke sini lagi dengan rahmatMu Ya Allah. Allah hu Akbar, Allah hu Akbar, tak tau bagaimana hendak aku ceritakan perasaanku ketika itu, malah ketika aku menulis ini pun😭😭😭😭😭😭😭😭😭😭

Tuesday, September 25, 2018

Berangkat Ke Kota Suci Mekah (23 Mac 2018)

Hari Jumaat terakhir kami di Madinah, kami bertuah sempat menunaikan solat Subuh beserta melakukan sujud Sajadah di rakaat yang pertama. Ya Allah ampunilah dosaku. Aku terlari dari khusyuk apabila aku perasan di sekeliling ku berterabur muslimah melakukan solat subuh. Ada yang turun sujud, ada yang rukuk, ada tak tentu arah perbuatannya. Astaghafirrullah. ampuanilah kami dan terimalah ibadah kami keranaMu Ya Allah. Ampunilah hati aku yang tanpa sedar berkata2, hati yang tidak khusyuk di hadapanMu Ya Allah.

Inilah antara perkara2 yang aku pesan kelak kepada sahabat2 yang akan ke Tanah Suci, lengkapkan diri dengan ilmu bagi perkara2  begini .. sujud sajadah, solat jenazah, jamak qasar, solat tahajud, solat taubat, solat hajat, solat tasbih, solat dhuha, solat witir, solat qabliyah, solat qadho, membaca Al Quran yang sempurna tajwidnya  dsbnya. Rugi kiranya kita terlepas melakukan perkara2 ini semasa berada di tempat di mana semua pahala amalan digandakan beribu2 kali.  Tugas utama kita di sini adalah beribadah dan beribadah. Jadi lakukanlah yang terbaik. Aku pun belum sempurna, banyak yang masih perlu aku perbetulkan. Sama2 lah kita saling mengingatkan.

Selesai solat subuh, kami kembali ke bilik masing2 bagi mengemaskan barang dan meletakkannya di hadapan pintu bilik.  Kakitangan Al Quds mengangkat beg2 ke bas sebelum bermulanya solat Jumaat.  Selesai solat Jumaat, kami menaiki bas untuk bertolak ke Mekah. Semua sudah selesai mandi sunat ihram dan berpakaian selengkapnya. Jemaah lelaki semuanya sudah memakai ihram untuk menunaikan umrah.

MasyaAllah .. credits to MakkahMadinahphotos.com

Inilah saat yang sangat meruntun hati ku. Aku begitu sedih apabila sekali lagi terpaksa berpisah dengan mu Rasulullah. Ya Allah, sedihnya aku meninggalkan tempat bersemadinya kekasihMu Ya Allah. Engkau jemputlah aku ke sini lagi Ya Allah. Airmata turun tanpa dapat ditahan2. Dada sebak menangisi perpisahan ini. Janganlah ini kunjungan terakhir ku di sini. Allah Allah.

Sepanjang perjalanan aku ubati kesedihan dengan berselawat.  Apabila tiba di Masjid Bir Ali yang terletak kira2 10 km dari Madinah, kami terus menunaikan solat sunat ihram. Sebaik sahaja bas bergerak semula, kami semua memasang niat untuk melakukan ibadah umrah dan terikatlah kami dengan larangan2 ihram. Kami terus bertalbiah beramai2, menyambut panggilan Allah untuk menunaikan ibadah kepadaNya. Biasalah... mula2 tu semua bersemangat, lama2 tinggal Ustaz Nik je sorang2 bertalbiah. Akhirnya Ustaz pun tertidur sama. Perjalanan ke Mekah mengambil masa lebih  6 jam.

Masjid Bir Ali, miqat untuk niat berihram umrah   -  credits to Ibadahkita.com

Pemandu bas kami ni memandu dengan laju sekali dan asyik membunyikan hon. Selain dari itu sepanjang perjalanan asyik berbual di telefon. Lebih parah kadang2 melihat handphone sambil memandu. Rasa nak marah pun ada. Mungkin ini ujian yang pertama buat kami untuk mencari keredhoan Allah. Istighfar sajalah untuk memujuk hati.

Sempat lagi tengok handphone, control steering guna lengan je. Cekap sungguh

Pemandangan sepanjang jalan hanyalah padang pasir yang tandus dan bukit2 berbatubatan. Jalanraya sangat baik dan rasa agak selesa sepanjang perjalanan. Sesekali kami tertembung dengan kawasan penempatan kecil dan ladang unta.

Batu dan pasir 

Sepanjang perjalanan

Kami berhenti di satu tempat (tak pasti nama tempatnya) untuk menunaikan solat jamak Maghrib dan Isya'.  Aduhhhh ... tempat ini memang teruk sekali. Tandasnya sangat terhad, ada 6 buah je dan air pula melimpah membasahi lantai. Tempat solat juga sangat terhad dan lantai dipenuhi pasir. Bayangkan surau sekecil itu dipenuhi ratusan jemaah hingga menyebabkan sebahagian muslimah menghampar tudung dan solat di atas tanah berhampiran surau tersebut kerana tidak mampu menunggu surau yang tidak kosong2 ruangnya.  Aku tak pasti apa rasionalnya kerajaan Arab Saudi yang kaya raya tidak menyediakan R&R yang selesa serta lengkap kemudahan tandas, surau, tempat makan dan istirehat untuk jemaah yang menjadi tetamu Allah ini. 

Kami meneruskan perjalanan dengan bertalbiah dan ada yang menyambung tidur  sehinggalah kami tiba di Kota Suci Mekah pada jam 9.15 malam. Alhamdulillah

Wednesday, July 18, 2018

Reunion Teman Sekampung (8 Julai 2018)

Perkara yang sering buat aku teruja ialah menghadiri majlis reunion.  Tak kiralah RU dengan adikberadik ke, rakan sekolah ke, bekas rakan sepejabat ke, rakan sukarelawan ke... memang aku suka sangat.  Justeru itu, setiap tahun aku pasti ternanti2, reunion apa pulak yang akan dijalankan dalam masa terdekat.

Kali terakhir kami mengadakan majlis RU untuk rakan2 sekolah rendah ialah pada tahun 2016. Sebenarnya RU ini melibatkan "pelajar" perempuan jer. Semua kami berasal dari kampung yang sama dan belajar di sekolah yang sama dari darjah 1 sampai darjah 6. Ada antara mereka yang tak pernah aku temui langsung semenjak masuk ke sekolah menengah. Alhamdulillah dipinjamkan usia yang panjang untuk bertemu kembali pada tahun 2018 ini. Syukur.  Tak lupa juga kami sedeqahkan al-Fatihah untuk beberapa sahabat yang telah kembali ke rahmatullah.. Allahyarhamah Saadiah dan Rohani.

Kek dari tauke kafe .. Salasiah

Majlis kali ini diadakan di Lanai Casuarina, Parit. Daripada 18 sahabat yang dapat dihubungi melalui whatsapp dan telefon, seramai 12 orang dapat hadir. Alhamdulillah.

Tukar2 cenderamata kenangan

12 jelitawan yang hadir ... 5 series you

Acara berjalan secara santai dan penuh gelak ketawa mengimbau kenangan lama di sekolah dulu. Dari perjumpaan ini baru kami tau ramai rupanya yang sudah bercucu, ada yang sudah menjadi balu, ada yang mengidap penyakit kronik dan ada yang masih bekerja. Sebahagian besar kami tidak lagi menginap di kampung halaman dan mempunyai kehidupan sendiri di tempat lain.

Origami ... ramai tau buat kapal, kipas dan roket je.
Suruh buat burung, semua pakat blur

Main cungkil lidi hihihi ... nak main batu seremban
dah tak mampu bersimpuh
 

Semoga jumpa lagi di masa hadapan dengan lebih ramai "jelitawan"

Kami semua menadah tangan memohon agar Allah berkati usia kami dan izinkan kami memanjangkan silaturrohim ini hingga ke akhirat.  Aamiin.

Di akhir pertemuan, resort ini hampir banjir dengan airmata kami 😢😢😢😢😢😢😢

Wednesday, July 11, 2018

Raya sebulan (Syawal 2018)

Sebelum kita sambung semula kisah kembara umrah ku, baik aku tulis pasal sambutan Aidilfitri dulu. Sat lagi simpan2 cerita tu.. jadi basi la pulok 😁😁😁😁. Hari ni hari ke-27 Syawal.  Tapi kuih raya belum habis lagi, Ada 5 jenis kuih masih berbaki dalam balang. Aku tak berani nak sentuh. Semua manis2. Ada tat nenas, tat cadbury, kuih dahlia dan dua kuih lagi yang aku tak pasti namanya.

Aidilfitri tahun ni jatuh pada hari Jumaat. Aku dan keluarga merayakannya di kampungku di Perak. Tetapi Kaklong tak dapat bersama2 kami sebab menyambutnya di kampung suaminya di Kulim. Biasalah adat sudah berumahtangga!!

Aku dan adikberadik ku berkumpul selama 3 hari  di kampung. Sudah pastinya wajah Emak begitu ceria dengan kehadiran anakcucu dan menantu semua. 



Memandangkan Emak mempunyai anak buah yang sangat ramai, sepanjang 3 hari tu penat sungguh kami melayan tetamu yang silih berganti. Namun begitu, hati merasa seronok dan meriah sangat.  Tetamu adalah dari kalangan adik-beradik Emak, anak2 saudaranya, cucu2 dan cicit2. 10 tahun lagi, kalau dipanjangkan usia, Emak berkesempatan mendapat piut dari cicit saudaranya.  Aamiin.  Hahaha... masa tu aku dah jadi Onyang le 👵👵👵👵👵



Bahagianya Emak menerima kunjungan sahabat baiknya, Wan Ni

Pulangnya dari Perak, kami pulak memulakan misi berhariraya. Bayangkan dalam satu hari kami menziarahi 6 buah rumah di Kulim dan Sungai Petani. Betul2 macam marathon. Masuk rumah, salam2, makan2 dan berbual seadanya, salam dan berangkat ke rumah seterusnya.  Terpaksa buat begitu untuk cover banyak rumah sebab di hari ke-5 nanti Kaklong dan Kakngah akan mula bekerja semula.

Hujung minggu berikutnya kami mengadakan rumah terbuka. Jemputan pun tak ramai, hanya saudara mara dan kawan2 anak ku sahaja. Sebahagian menu kami masak sendiri, manakala sebahagian lagi kami tempah.  Alhamdulillah, semua yang disediakan habis dan tidak berlaku pembaziran.

Keluarga Makngah dari Alor Setar

Keluarga Teh dari Permatang Pauh

Kek lapis Sarawak

Soto .. ceq buat sendiri na dengan bantuan puteri2 ku sayang


Yang ni... kita tempah jer

Pada hujung minggu seterusnya kami berhariraya di rumah adikberadik Abah di Alor Setar pulak. Kali ni 3 buah rumah je. Jenuh kami dijamu gulai kambing, laksa dan kuihmuih raya. Sempatlah juga kami singgah di Pekan Rabu yang telah dibaikpulih dan berwajah baru.

Sempat shopping kat Pekan Rabu

Selain dari menziarahi saudaramara, kami juga jenuh memenuhi jemputan open house dan kenduri walimatulurus yang banyak diadakan di bulan Syawal yang penuh barakah ini. Apa yang pasti, Syawal bukan sekadar bulan untuk menikmati  menu2 istimewa, tetapi yang lebih utama mengeratkan kembali silaturohim sesama kita. InsyaAllah

Group PEER Hospital Seberang Jaya semasa open house di rumah Sister Jus (berbaju biru)