Wednesday, December 21, 2011

Wali Band - Yank (Official Video Clip) With Lyrics



Dengar lagu Indon ni seronok juga.  Irama rancak yang tak jemu didengar dan liriknya yang mudah dan lucu.

Teringat insiden semasa di Jakarta .... seorang anak muda marah dipanggil Indon, "Jangan panggil saya orang Indon. Panggil saya orang Indonesia. Orang Indon itu adalah mereka yang suka lari dari Indonesia dan suka buat kacau di Malaysia!!!" Huuuu ... begitu yer????

Tuesday, December 20, 2011

Jalan-jalan Cuti Sekolah - 10 Disember 2011


Dah 2 minggu aku tak menjenguk blog ni. Sibuk sangat-sangat le kononnya.  Dengan kendurinya, dengan balik kampungnya, dengan makan anginnya.  Puteri Bongsu dan Puteri Tengah asyik merungut, kononnya begitu bosan tak pergi ke mana-mana.  Maklum cuti sekolah 2 bulan. Cemburu teman-teman asyik bercerita di FB yang mereka melancong ke sana ke mari. Ok, ok ... kita melancong dalam negara ajelah.  Cuti-cuti Malaysia.

Kami memulakan perjalanan pada hari Sabtu pagi.  Walaupun masih awal pagi, kenderaan sudah banyak di lebuhraya. Semasa berhenti di R&R, aku perhatikan kebanyakan orang yang berhenti di sana kelihatan seperti kami juga,  sedang dalam program Cuti-cuti Malaysia.  Siap mengendung kamera pelbagai jenma.

Kami tiba di kampus Puteri Sulong waktu tengah hari. Apalagi, semua sudah lapar. Kami menjamu selera di Food Court Cyberjaya sebelum melawat Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau Masjid Besi. Cantik dan nyaman masjid ini.  Sempat kami solat bersama para pelancong Muslim yang lain. Masjid yang terletak di Presint 3 Putrajaya ini dibina pada tahun 2004 dan siap sepenuhnya pada tahun 2009.  Ia dibina menggunakan  6 ribu tan keluli  (70% struktur masjid adalah dari keluli dan selebihnya dari konkrit).  Masjid ini mampu menampung 20 ribu jemaah untuk solat berjemaah. (Fakta dari Wikipedia)

Memandangkan Puteri Sulong sedang sibuk menyiapkan projek kursusnya, kami tidak dapat berlama-lama dengannya. Apapun rasa terlerai rindu dapat bermesra dengan si Manja ini selama hampir 3 jam.  Kami seterusnya singgah di rumah kakak sulongku, Yong di Puchong. Kebetulan Yong dan suami baru pulang dari Tanah Suci Mekah kira-kira 2 minggu lepas.  Sempat kini menikmati spagheti, cucur jagung dan kurma serta air zamzam. Malamnya kami menuju ke rumah adikku Mimi di Puncak Alam.

Sudut menarik di Masjid Besi
 Keesukan harinya, kami bersama Mimi, suaminya Hamid dan anak sulongnya Aysraf pergi ke The Mines di Seri Kembangan.  Ini merupakan pengalaman pertama bagi puteri-puteri ku menaiki water taxi menyusuri terusan yang terletak di tengah-tengah shopping mall tersebut. Lebih menarik pengalaman menyeberangi dari Tasik Selatan ke Tasik Utara yang memerlukan bot membawa kami melalui sistem hidrolik "water lock" yang unik.  Kedua-dua tasik ini terletak di aras yang berbeza (7 meter).

Lebih indah menyaksikan ikan, burung dan kura-kura yang jinak dan sentiasa mengalu-ngalukan pelawat yang bermurah hati mencampakkan makanan kepada mereka.

Sehati sejiwa menyudu makanan
Water taxi perlu masuk terowong untuk pergi ke tasik
Perut sudah berkeroncong. Kami menjamu selera di Gerai Kak Ina, SS 19, Subang Jaya. Fuhh .... banyaknya lauk.  Anak-anak memilih keli goreng, sambal belacan dan kerabu.  Selepas bersolat kami melawat pula Muzium Sultan Alam Shah di Shah Alam.  Muzium yang dibuka pada tahun 1989 ini mnempatkan pelbagai bahan sejarah Negeri Selangor Darul Ehsan meliputi adat-istiadat, senjata, kelengkapan hidup, pakaian, ahli sukan, ahli politik, pertanian dan lain-lain.

Ashraf  posing dengan keris Selangor
 Malamnya kami berkunjung pula ke i-City Shah Alam.  Begitu ramai pengunjung sehingga kami terpaksa meletak kereta begitu jauh dan berjalan mendaki kawasan yang berbukit-bukit.  Seluruh kawasan indah bercahaya dengan lampu LED yang berwarna-warni yang membentuk pelbagai jenis pokok. Anak-anak bergembira menaiki keretapi (laluan atas setinggi lebih 3 meter) dan masuk ke rumah salji.  Dengan memakai jaket tebal, mereka bergembira meluncur di atas salji.  Hrmmm .... pukul 12 tengahmalam semua mengadu kelaparan.  Kami bergerak ke kedai makanan Thai dan menghirup tomyam panas dengan nikmatnya.

Sejuk dalam rumah salji

Pokok-pokok i-City
Keesukan harinya kami pulang ke Pulau Pinang menggunakan jalan Kuala Selangor - Teluk Intan.  Sempatlah kami menyaksikan sendiri menara condong di Teluk Intan.

Menara condong


Thursday, December 8, 2011

Puss In Boots

Alahai ... dah lama tak masuk panggung wayang.  Puteri Bongsu yang kebosanan bercuti panjang mula merungut nak tengok wayang. Kakaknya Puteri Tengah tunjuk sombong, tak mahu menemani adiknya, dah jemu kononnya.  Hrmmm,  terpaksalah aku menemaninya dengan syarat mestilah cerita yang ditonton mestilah membuat minda ku relaks.  Tak  mahu cerita hantu, tak mahu cerita aksi ganas, tak mahu cerita cintan-cintun.  Akhirnya pilih cerita kartun ... hehehhe.

Filem ini mengisahkan persahabatan seekor kucing bernama Puss dengan telor bernama Humpty. Mereka berdua ni suka mencuri.  Satu hari Puss telah menyelamatkan seorang nenek tua di kawasan tempat tinggalnya dan diangkat sebagai hero dan dihadiahkan sepasang boot. Semenjak itu Puss tidak mahu lagi mencuri. Satu insiden di mana Dumpty berjaya menipu Puss yang secara tidak sengaja terlibat dalam satu rompakan bank telah menyebabkan hubungan mereka terputus dan menjadi dendam yang berpanjangan.

Walau bagaimanapun demi persahabaatn, mereka bersatu kembali untuk mencari telor emas di  sebuah istana di kayangan. Mereka ditemani oleh seekor kucing jelita bernama Pussy The Softpaws.  Pelbagai dugaan dan halangan terpaksa ditempuh sebelum mereka berjaya mendapatkan berpuluh-puluh biji telor tersebut dan membawanya kembali ke bumi untuk dikongsi dengan penduduk di kawasan mereka.  Walau bagaimanapun, pemilik telor tersebut, seekor ibu angsa gergasi telah datang ke bumi untuk mencari telor-telor yang hilang serta seekor anaknya yang dipelihara oleh Dumpty.  Kedatangan ibu angsa ini telah menyebabkan kacau-bilau dan kemusnahan kawasan kediaman penduduk. Untuk mengelakkan kemusnahan yang lebih teruk, mereka membawa ibu angsa tersebut ke satu jambatan yang kemudiannya roboh dan menyebabkan ibu angsa jatuh ke gaung. Humpty dan anak angsa tersebut juga hampir jatuh dan sempat bergayut pada tali yang dipegang oleh Puss. Puss semakin kehilangan tenaga.  Demi menyelamatkan anak angsa, Humpty mengorbankan dirinya dengan melepaskan pegangannya dari tali tersebut dan jatuh ke dalam gaung.  Magiknya, Humpty bertukar menjadi telur emas dan diambil oleh ibu angsa yang membawanya kembali ke kayangan.

Apa pun, aku sangat terhibur dengan tarian yang ditunjukkan oleh Puss dan  Pussy The Softpaws.

Friday, December 2, 2011

Puding Roti Dengan Sos Kastad

Fresh from the oven
Lemak dan manis

Semalam aku teringin sangat nak makan puding roti.  Belek-belek buku resepi, terjumpa 4 atau 5 versi resipi puding roti.  Jenguk-jenguk pulak dalam kabinet dan peti ais,  tengok semua bahan ada.  Tanpa tunggu lama, aku teruskan operasi membuat puding dan Puteri Tengah pula menyediakan sos kastadnya. Hrmmm .... semasa mulut mengunyah puding, hati rasa sedih dan sayu.  Terus hilang selera makan tatkala teringat pada Puteri Sulong.  Kalaulah dia ada di rumah ketika ini, tentu dia tak berhenti makan puding kegemarannya ini.  Ohhhh ... emosional sungguh aku bila teringat kepada Permata Hati  yang jauh dari mata.

Ya Allah,  tabahkan hatiku .... redakanlah perasaan rindu itu. Puteri Sulong sedang bersilat menghadapi mid-term exam ketika ini.  Semoga dia tidak terganggu dengan rasa rindu Mama ini.

Ok ok .... ini adalah resipi puding yang enak ini.

Puding Roti

10 keping roti
2.5  cawan susu segar atau susu rendah lemak (aku guna susu rendah lemak Dutch Lady, nak jaga kesihatan kononnya)
2 camca besar mentega dicairkan
4 camca besar kismis
4 camca besar gula pasir
2 biji telor ayam
1 camca kecil esen vanilla
1 camca besar tepung jagung

Sediakan loyang dan sapu sedikit mentega di sekelilingnya.  Potong atau koyakkan roti kecil-kecil dan atur di dalam loyang hingga padat.  Selang-selikan dengan kismis.  Tuangkan 2 cawan susu ke atas roti dan biarkan terendam selama 20 minit atau lebih untuk melembutkannya.

Campurkan mentega dan gula pasir dan kacau sehingga gula larut.  Masukkan telur dan esen vanila dan kacau sehingga mesra.   Tuangkan ke atas adunan roti tadi.  Kemudian curahkan pula baki setengah cawan  susu dan kismis. Tekan-tekan sedikit sehingga agak padat. Bakar selama 30 minit dengan suhu 180 C.

Sos Kastad

2 cawan susu segar atau susu rendah lemak atau susu cair (aku gunakan 1 cawan susu rendah lemak + 1 cawan susu cair)
3 camca besar gula pasir
1 camca kecil esen vanilla
2 camca besar tepung kastad

Campurkan kesemua bahan di atas dan jerang di atas api yang sederhana.  Kacau perlahan-lahan sehingga kuah menjadi pekat. Sejukkan dalam suhu bilik. (Puteri Tengah buat kuah kurang pekat kerana nak hirup kuah tu,  hrmm macam-macam)