Sunday, May 14, 2017

Kelantan - Trengganu Dekat Di hati (30.4.2017)

Hari ke-2 kami mulakan dengan mencari sarapan yang sedap2. Biasalah menggunakan khidmat Mr Google untuk cari tempat makan yang recommended.  Kami jumpa Nasi Dagang Kak Pah di gerai No 30, Food Court Pantai Batu Buruk. Punya lah ramai manusia beratur.  Hrmmmm ... rasanya bolehlah tahan.  Ikannya banyak.. kuah pun banyak.  Tapi aku yakin banyak lagi kedai menjual nasi dagang  yang lebih sedap. Di mana yer??

Berator berator ... lewat sikit nasi habis

Selesai sarapan kami bersantai di tepi Pantai Batu Buruk.  Sayang sekali hari ini cuaca tidak begitu baik. Langit dan laut berwarna kelabu... tidak dapat aku mengabadikan  gambar pemandangan matahari pagi yang cantik. 

cuaca kelabu jer pagi ni

Seterusnya kami menuju ke kawasan rekreasi di belakang Masjid Tengku Tengah Zaharah di Kuala Ibai. Disebut juga sebagai Masjid Terapung ... masjid ini sangat cantik. Paling aku berkenan tandas berbayarnya yang cantik macam di hotel 5 bintang.

Cantik nya masjid ni 

Setelah puas posing2 dan merenung laut kami meneruskan perjalanan ke Dungun. Hati ku berombak2 gembira.  Maklumlah 3 tahun menuntut ilmu di sana, tentulah membawa seribu kenangan. Kenangan kampus lama, kampus baru, pantai Teluk Lipat, pasar malam Dungun, pekan koboi Kuala Dungun,  Blue Lagoon Sura Hujung dan macam2 lagi.

Sepanjang perjalanan banyak gerai2 menjual air tuak, keropok lekor dan lemang di gerai2 tepi jalan. Keropok basah dan kering serta sata dan otak2 banyak dijual di tepi jalan di Marang.  Tapi kami tak singgah pun. Kenyang akibat makan nasi dagang tadi masih belum surut.

Tiba di Dungun ku perhatikan pekan koboi dulu telah bertukar menjadi pekan yang maju. Banyak bangunan kedai2 baru. Tak jumpa dah di mana letak nya kedai makan yang sering aku kunjungi dulu. Tapi bangunan Pejabat2 Kerajaan masih kelihatan sama saperti dulu juga. Tapi terus terang aku merasa kecewa kerana pantai yang dulunya sangat cantik sudahpun hilang. Yang tinggal kini hanya pantai yang ditambak dengan batu2 besar akibat hakisan dan menyebabkan hilang kecantikan aslinya.

Di sepanjang jalan tepi pantai  Teluk Lipat ini
kami sering melakukan latihan kawad Kesatria ...
 kiri kanan, kiri kanan

Kampus lama di Sura Gate pun sudah hampir hilang ditelan arus pembangunan. Hanya tinggal beberapa bangunan lama yang kini digunakan ileh Sekolah Menengah Imtiaz. Dahulunya kampus ini sungguh cantik, dipenuhi rumah banglo papan dalam kawasan yang dipenuhi pohon2 rhu. Umpamanya kami dulu belajar dalam kampus bersuasana resort.  Udara sungguh dingin dan nyaman ketika itu. Sempat aku berada di kampus ni selama setahun sebelum berpindah ke kampus baru.  Untuk keterangan tentang sejarah UiTM Dungun sila klik SINI.

sayu mengintai kampus lama Sura Gate
Kami juga pergi ke kampus baru tempat aku menamatkan pengajian 3 tahun ku. Kampus Sura Hujung ni memang lengkap dengan pelbagai kemudahan moden. Kalau dulu bangunan nya sangat teratur... kini nampaknya begitu padat bagi menampung jumlah siswa yang kian bertambah.

pintu masuk kampus baru Sura Hujung

dulu disebut Blue Lagoon kat belakang tu. tempat pasangan bercinta berdating.
Macam2 kisah mistik pun ada di sini

Aku tinggalkan Dungun dengan hati yang sayu, Tak pasti lah samada masih ada kesempatan untuk aku ke sini lagi. Ya Allah kurniakan aku kesihatan tubuh badan, rezeki yang banyak, waktu yang lapang untuk kembali ke sini lagi. Aamiin.

Dalam perjalanan pulang kami singgah di pantai Marang membeli sata panas2. Kami sekali lagi singgah makan tengahari di Foodcourt Pantai Batu Buruk sebelum pergi ke Pasar Payang. 


Pasar Payang yang happening .. gambar ehsan Travelholic Lily Riani. TQ

Waduh ramainya orang di Pasar Payang.  Jenuh bergelut menyelit2 nak membeli kain batik untuk Kaklong. Hihihi nak beranak baru pandai nak pakai kain batik. Selepas tu kami membeli keropok, gula nisan (macam gula melaka) dan sosnya sekali.  Selesai tu dah lewat petang sangat... kami bergegas pulang ke hotel. Tak sabar tak sabar, nak mandi... nak basuh rambut !!!!

Monday, May 8, 2017

Kelantan - Trengganu Dekat Di hati (29.4.2017)

Kali terakhir kami melawat Trengganu ialah pada tahun 2011.  Itu sebabnya aku begitu teruja dengan rancangan percutian ke Trengganu pada kali ini. Persiapan tempahan hotel aku dah buat sejak dari bulan Februari lagi. Maklumlah pada tarikh tu nanti cuti hujung minggu yang panjang... pastinya  akan ramailah pelancong berkunjung ke negeri penyu bertelur ni.

29.4.2017

Kami memulakan perjalanan pada jam 5.15 pagi dan berhenti solat Subuh di Baling.  Kami pergi bertiga aje.. aku, Abah dan Kakngah. Sepanjang perjalanan ini Kakngahlah jadi pemandu utama. Orang muda tenaganya banyak. Abah yang dah masuk kategori warga emas ni sudah hilang kudrat dan minat untuk pemanduan jarak jauh. Mama depa ni lagi la hebat jadi mem je di tempat duduk belakang.  Ehhh tapi banyak kerja juga tau. Akulah tukang hulur asam, kacang, air, tissue paper. Sebut je ... aku dengan pantas akan hulurkan. Aku juga yang tengok arahan waze.  Kira ada fungsi utama juga tu 👸👸

Kami berhenti makan pagi di sebuah kedai nasi kandar yang terletak di deretan kedai2 sebelum tiba ke Hentian Perah. Kalau dari Baling kedudukannya di sebelah kanan jalan. Nak habaq nasi lemak bungkusnya cukup sedap. Sambalnya ada umphh. Bukan mamak tu yang buat tapi seorang kakak tu dok hantar berbakul2.  

Perjalanan kami ni jadi lambat sebab banyak sangat berhenti. Aku saja berhenti di tandas hampir 5 kali sebelum sampai ke destinasi... hihihihi.  Biasalah tu, bila berjalan aku mudah dahaga, mulalah minum air mineral berbotol2.  

Kenderaan agak banyak di sepanjang jalan samada menuju ke Jeli atau menuju ke Grik. Kakngah terpaksalah memandu berhemah sebab asyik kena leter dengan Abah dan mama jer. Pity you Kakngah... stress katanya.

Apabila masuk saja ke sempadan Trengganu, kami mengambil keputusan untuk menggunakan laluan pesisir pantai bermula dari Besut.  Persinggahan kami yang pertama ialah Kampung Pangkalan Gelap, Setiu.  Di sini terdapat laluan pejalan kaki  atau Boardwalk yang membawa pengunjung melawat kawasan Wetland. Katanya boleh mengutip siput dan kepah. Memandang cuaca begitu panas dan kami keletihan ... kami hanya beristirehat di tepi pangkalan menyedut angin laut sambil menjamah baki sandwich yang dibawa dari Penang.  Lapar you.

Memandang laut yang damai di Pangkalan Gelap ...

Kami meneruskan perjalanan menuju ke Pantai Penarik yang juga terletak dalam daerah Setiu. Subhanallah... indahnya pantai di sini. Kebetulan cuacapun cantik menjadikan pemandangan sungguh menawan. Langit biru cerah tanpa awan dan laut pula berwarna hijau kebiruan (turquoise).

Di sini ramai mengambil peluang bergambar menaiki buaian yang cantik dibina di tepi2 pantai. Panas2 pun tetap gigih bergambar termasuk makcik ni... hihihi.  Setelah itu kami menikmati ikan celup tepong, sotong celup tepung dan ais kacang. Hrmmm boleh tahan juga mahalnya... maklumlah kami ni pelancong !!!

Subhanallah ... cantiknya
Panasnya .. nak buka mata pun tak boleh

Kami meneruskan perjalanan menuju ke Kuala Trengganu.  Banyak gerai2 menjual jagung, air tuak dan keropok di sepanjang jalan. Tapi kami tak singgah dah.  Cuasa yang begitu panas menyebabkan kami dah tak sabar nak check-in ke hotel. Tiba saja di Kuala Trengganu, kami dapati jalan agak sesak. Ramainya pelancong di sini

Kami check-in di Hotel Sentral pukoi 3 petang dan terus memesan makanan dan minuman ke bilik.   Dah tak larat sangat rasanya untuk mencari makan di luar. Setelah makan kami berehat semaunya (tidor mati) hingga hampir Maghrib. Tu dia aihhh ... letih bebeno le tu.  

Selepas Maghrib kami keluar untuk makan malam dan seterusnya melepak di Pulau Warisan atau i-City Kuala Trengganu. Tapi lampu2 warna-warninya tak banyak pun.  Pulau ini merupakan pulau buatan manusia dan di sini ada perkhidmatan cruise untuk penumpang belayar di pesisiran sungai.

Pulau Warisan pada waktu malam .. gambar ehsan aswanazmy.blogspot.com

Tamatlah perjalanann kami hari ini. Mata dah berat.. badan dah letih. Jom balik tidor!!!

Thursday, April 6, 2017

Hatyai Songkhla (18 dan 19 Mac 2017)

Entah pasal apa susah sangat nak luangkan masa update blog ni. Padahal bukanlah bizi sangat pun. Saja la, bila dah datang penyakit ma... dan takder mood ni. Bukan bab blog ni jer, FB, Instagram dengan whatsapp pun malas nak ambil tau (tengok kau .. makcik ni serba serbi dia ada,  maklumlah banyak masa terluang dan suka berinteraksi dengan orang).

Aku, Abah, Kakngah dan Puteri Bongsu telah ikut rombongan ke Siam pada pertengahan Mac lepas. Kaklong tak ikut sama. Maklumlah dan ada family sendiri. Lagipun tengah sarat mengandung ni, dia tak minat nak travel jauh2.  Aku pun ajak2 ayam jer, Kalau dia ikut kami makan angin ni risau juga. Buat nya sakit nak bersalin .. jenuh masuk hospital Siam le pulak.

Kami pergi dengan rombongan yang diatur oleh ex-officemate Abah.  Naik bas charter. Kami bertolah dari Butterworth pukoi 5.30 pagi dan singgah solat subuh di R&R Gurun. Penganjur membekalkan nasi lemak, karipap dan air mineral sebagai pelapik perut. Pagi2 makan nasi lemak panas2 dengan sambal ni punyalah nikmat. Alhamdulillah. Aku sempat buat sandwich ayam subuh2 ni untuk bekalan.

Masalah bermula apabila kami tiba di sempadan Malaysia-Thailand.  Memandangkan hari ni permulaan cuti sekolah, orang punyalah ramai. Sistem imigresen pulak tak berapa nak cekap. Bayangkan kami beratur hampir 3 jam sebelum kami melepasi pemeriksaan Imigresen Thailand. Sakit lutut dan pinggang mak ni nak oii. Ruginya masa terbuang. Hati pun dah hilang sabar bila ada yang ambil kesempatan nak potong barisan. Perut pun dan lapar dan tekak pun dah dahaga sangat. Semua tu penyumbang kepada rasa nak naik angin.

Boleh senyum lagi budak 2 orang ni. Semua orang dah nak naik angin hihihi

Kami disambut pemandu pelancong bernama Norsila yang berasal dari Satun. Dia fasih berbahasa Melayu.

Tempat pertama kami pergi ialah ke kedai makan di Hatyai untuk makan tengah hari. Semua pakat order banyak2... hahahha dah kebulor you.  Selepas tu kami meneruskan lawatan sambil membeli-belah di kedai barangan kulit, kedai minyak wangi dan kedai kacang.

Adat berombongan, setiap tempat dihadkan sejam tetapi semuanya jadi terlajak. Ini menyebabkan kami membatalkan rancangan melawat tempat gajah di Chang Puak Camp. Masa ni semua gajah pun dah letih nak tidor. Maklumlah hari pun dah senja.

Kami terus menuju Songkla dan singgah untuk solat di sebuah masjid di perkampungan Islam berhampiran pantai Songkla. Seterusnya kami bergerak menuju Samila Beach. Suasana dah kelam sangat. Dah masuk Maghrib pun. Nak bergambar pun dah tak syok sangat. Ramai yang bergambar dekar Mermaid yang terkenal tu. Tapi kami 4 beranak tak bergambar langsung di situ.

Kat belakang tu tulis Songkla City .. bukti tau hihihi

Samila Beach Songkla ... dah senjakala ni

Ni le mermaid yg femes tu. Aku pinjam gambo dari google je ni

Seterusnya kami menuju Floating Market. Alamak makanan dah banyak yang habis. Mesti ramai pengunjung petang tadi. Jadi kami makan sajalah apa yang masih dijual.  Makan di sini sungguh selesa. Tempatnya sentiasa dibersihkan oleh pekerja. Walau tanpa kipas, makan di pondok2 sangat nyaman dengan tiupan angin malam. Ada stage show lagi. Sedap2 tau lagu2 Siam ni.

Floating market

Oyster pudding ... mmg sedap. Versi Thai punya takoyaki la kut

Kuih ikan... ikan campur dgn macam2 bahan dan digereng macam jemput2

Seterusnya kami bergerak untuk check-in di Diamond Plaza Hatyai Hotel. Nikmatnya dapat mandi manda dan menukar pakaian setelah hampir 19 jam berpeluh berdebu di sepanjang perjalanan.


***************************************************

Hari ke dua kami mulakan dengan berjalan kaki ke pasar yang terletak tidak jauh dari hotel.  Di pasar ni ada foodcourt yang dikendalikan oleh peniaga2 Muslim yang boleh bertutur Bahasa Melayu. Kami makan pagi di sini sebelum membelibelah di gerai2 yang terletak di merata2 ceruk di dalam dan sekitar pasar itu.

Dah tiba di sini pastinya akan beli beras siam, pes tomyam, kacang dan buah2. Sebetulnya harga barang di sini taklah murah sangat apabila nilai tukaran matawang kita merosot. Kalau dulu 100 baht sama dengan RM10, kali ni  perlu menukar RM12.80 untuk mendapat 100 baht.  Jadi membelipun barang2 yang perlu saja.

Delima sangat2 manis ... 3 biji 100 baht.

Pukul 12 tengahari Thailand (pukul 1 tengahari Malaysia) kami checkout dari hotel dan bergerak ke Danok. Jauh pulak rasa perjalanan kali ni. Di Danok kami berhenti makan, solat dan membelibelah kali terakhir sebelum masuk ke Malaysia. Kami membungkus 3 set pulut ayam untuk di makan bersama Kaklong. Permintaan mak buyong.

Kuasa Allah Yang Maha Besar. Sebaik saja kami masuk ke Malaysia hujan turun dengan lebatnya. Penat jer angkat beg dalam hujan untuk pemeriksaan kastam Malaysia sebab bas tak boleh merapat ke tepi pejabat Kastam tu. Bukan saja kereta ... bas dan lori pun beratur panjang dari Danok untuk masuk ke Bukit Kayu Hitam.

Pekan Danok. Tengok tu .. entah berapa ratus lori beratur
 nak menyeberang sempadan
Perjalanan ke Pulau Pinang petang tu sangat perlahan. Kereta banyak di lebuhraya Utara-Selatan bermula dari Bukit Kayu Hitam lagi.   Bayangkan dari sempadan pukul 6 petang dan kami hanya tiba di R&R Gurun untuk solat pada jam 8 malam. Kami hanya tiba di Butterworth pada pukul 10 malam. Perjalanan yang kebiasaannya hanya 2 jam jadi  sampai 4 jam.  Alhamdulillah selamat tiba ke rumahku syurgaku  ❤❤❤

Happy nak balik rumah .. penat dahhh

Friday, March 10, 2017

Opor dan Sambal

Hari ni aku kongsi apa aku masak hari ni. Memang hampir setiap hari pun aku masak untuk keluarga aku, tapi hari ni aku nak cuba satu resipi baru.

Aku selalu dengar kawan2 aku kata makanan jawa yang sedap ialah opor dan ungkep.  Aku dah try masak ayam ungkep. Memang sedap. Cara masaknyanya pun mudah. Cuma tak berkuah... jenis masakan kering jer. Anak2 aku yang makan ala mamak penang kuah banjir ni memang tak berapa setuju kalau aku masak lauk begitu.

So hari ni kawan aku Anis Tokey Kek kongsikan dengan aku resipi Opor Ayam. Resipi ni dia Google je dan dah try buat .. memang sedap kata nya.



Mujur pun semua bahan ada kat rumah. Apa lagi aku pun mula memasak sambil belek resipi hihihi. Untuk pertama kalu aku menggunakan setengah ekor ayam. Cukuplah untuk makan berempat malam nanti. Tengahari aku makan berdua jer dengan Abah. Seketul sorang cukuplah. Ayam ni sengaja aku potong kecil2 supaya mesra rasanya apabila digoreng dan direnihkan dalam kuahnya.

Tak pedas langsung .. manis bawang dan gula tu yang
 terasa. Asam pun tak digunakan dalam resipi ni

Nak buat sayur apa yer?? belek punya belek jumpa terung ungu yang gemuk. Freshhh jer. Hrmm buat sayur belacan le. Sebab opor ni tak pedas aku bubuh cili padi dalam sayur ni. Berdesing pedas terung masak belacan ku.



Resipinya mudah jer .... 2 biji cili merah + 2 biji cili padi + 2 ulas bawang merah + 2 sudu besar ikan bilis dan sedikit belacan. Tumbuk separa lumat dan tumis sampai naik bau. Tambah air .. sikit je tau. Masukkan terung gaul2 sampai agak layu. Renjiskan kicap manis. Aku tak letak garam sebab belacan dan ikan bilis tu dah masin.


Jommm makan dengan nasi panas2... yummy.

Friday, March 3, 2017

Semoga Ini Keputusan Terbaik

Akhirnya Puteri Bongsu melepaskan apa yang terbuku di hati bersama esak tangisnya. Aduhhh luluh hati Mama ni wahai anak tengok ceq menangis begitu.  Memang manja lah ceq ni, senang sangat keluar airmata. Pantang tersilap sikit. Marah pun menangis, sedih pun menangis, sakit pun menangis .. sekarang bila terlebih tension pun menangis.

Tapi aku rasa elok sangatlah dia berhenti walaupun baru 6 bulan dia bekerja di syarikat tu.  Setiap petang pulang je dia dari kerja, aku setia menadah telinga mendengar cerita dan rungutan yang tak pernah habis.  Kerja tak seronok, kena buli di office, politik kat office, staff berpuak2, bos suka maki2 dan macam2 lah.  Semuanya tak enak didengar.

Aku tengok keadaannya pun makin teruk. Setiap minggu mesti demam, jerawat di muka pun dah semakin banyak dan sukar nak surut. Lebih kesian dia dah hilang selera makan, asyik sakit perut. Semua tu simptom orang2 yang menghadapi tekanan dalam hidup.  Aduhhh la anak, rupa2nya ceq belum bersedia lagi nak masuk ke alam pekerjaan yang penuh onak dan duri ni.

Abah mulanya kurang bersetuju. Dia kata ajar supaya Puteri Bongsu kuat semangat. Jangan lembik sangat. Sikit2 stress nak berhenti kerja. Tak ada daya tahan diri langsung.


Tapi aku sebagai ibu pulak tak mampu tengok anak menderita batin macam tu (mental dan emosi lah you .. itu maksud batin di sini).  Aku minta Abah bagi dia tempoh bertenang. Bagi dia bersedia mental dan emosi sebelum dia mencuba bekerja semula di tempat lain. Lagipun aku percaya aduannya itu bukan sengaja diada-adakan. Tengok lah staff turnover kat syarikat tu macamana?  Asyik  berhenti jer staffnya dan ambil pulak staff baru.  Macam ada yang tak kena jer.

Akhirnya Puteri Bongsu menyerahkan surat berhenti kerja dengan memberi notis 24 jam.  Tapi atas dasar timbangrasa dia menyambung 14 hari lagi untuk selesaikan apa2 kerja yang belum siap dan menyerahkan tugas secara teratur.  Rasa kesian dan sayang kat syarikat tu  tetap ada.