Friday, January 15, 2010

Masjidil Haram dan Mina(12 dan 13 Februari 2003)

Selepas Solat Subuh, aku dan Abah beserta beberapa sahabat yang lain bertolak ke Masjidil Haram menaiki van. Tujuan kami untuk mengerjakan tawaf ifadah dan saie haji, supaya dapat kami selesaikan ibadah haji secepat mungkin.

Masyaallah, begitu sesaknya Masjidil Haram termasuk di perkarangan luar. Kami mengambil masa yang lama untuk sampai ke pintu penuh barkah, Babus-salam. Laluan begitu sukar untuk maju ke laman Kaabah. Kami bercadang mengerjakan tawaf dari Tingkat 1, tetapi laluan ke Tingkat 1 juga amat sesak. Mujurnya aku telah berwuduk dengan bertaqlid kepada Mazhab Hanafi. Jika mengikut Mazhab Shafiee, wuduk ku telah lama terbatal akibat ditepis, disentuh dan dilanggar oleh bukan muhrim.

Setelah hampir sejam bergelut, kami sampai ke Tingkat 1. Keadaan masih sama, manusia bertolak-tolak sehingga badan sering terpusing. Aku dan Abah mengambil keputusan menangguhkan tawaf ini ke hari yang lain. Kami kemudiaannya mencari tempat yang sesuai dalam ruang masjid dan menunaikan solat sunat dan seterusnya beritikaf sehingga masuk Solat Zohor. Untuk solat juga kami terpaksa bertindih-tindih kaki dan tangan dengan jemaah dari negara luar. Selesai solat, kami pergi ke tempat saie. Dari Tingkat 1 kami memandang ke bawah, kelihatan lautan manusia bagaikan beralun ke kiri dan ke kanan tanpa ada sebarang ruang. Masyaallah, ramainya umatMu Ya Allah yang berebut menyahut seruan haji.

Kami bertolak kembali ke Maktab Shisha. Daripada 10 orang yang pergi ke Masjidil Haram tadi, hanya 3 orang sahaja yang berjaya mengerjakan tawaf, tetapi masih belum mampu mengerjakan saie. Kami berdoa semoga Allah memudahkan niat kami untuk menunaikan rukun haji dengan sempurna dan selamat.

Selepas Solat Asar di maktab, kami bertolak ke Mina dengan berjalan kaki. Jarak dari Shisha ke Mina hanya 4 kilometer. Dalam suasana yang santai tanpa berebut dan membawa sebarang beg menyebabkan kami terasa begitu dekat perjalanan kali ini. Dalam masa 1 jam kami sampai ke khemah di Zon 22, Mina.

Malamnya kami penuhi dengan ceramah ugama dan aktiviti membaca Al Quran. Setelah itu kami tertidur sebelum dikejutkan oleh Ustazah pada pukul 12 tengah malam untuk lontaran bagi Jamrah pada hari 11 Zulhijjah. Ustaz yang bertugas akan melihat ke arah jamrah dan apabila didapati bilangan jemaah dari negara lain telah berkurangan, beliau akan mengarahkan jemaah dari JT untuk melakukan lontaran mengikut kumpulan masing-masing.

Kali ini aku dan Abah melontar pada pukul 2 pagi. Jamrah Ula paling mudah pada malam ini. Setelah itu kami beramai-ramai pulang ke Shisha. Ramai juga yang terus tinggal di khemah di Mina. Tetapi kami memilih pulang ke Shisha untuk mendapatkan kemudahan tandas yang lebih selesa dan membasuh pakaian.

Perjalanan waktu malam begitu dingin tetapi manusia tidak pernah tidur. Di sepanjang perjalanan manusia masih mundar mandir. Ramai juga yang tidur di pinggir jalan, samada berkhemah atau terus di bawah langit yang dipenuhi bintang. Bau-bauan masakan panas seperti kebab memenuhi udara malam. Indahnya.

No comments: