Tuesday, December 20, 2011

Jalan-jalan Cuti Sekolah - 10 Disember 2011


Dah 2 minggu aku tak menjenguk blog ni. Sibuk sangat-sangat le kononnya.  Dengan kendurinya, dengan balik kampungnya, dengan makan anginnya.  Puteri Bongsu dan Puteri Tengah asyik merungut, kononnya begitu bosan tak pergi ke mana-mana.  Maklum cuti sekolah 2 bulan. Cemburu teman-teman asyik bercerita di FB yang mereka melancong ke sana ke mari. Ok, ok ... kita melancong dalam negara ajelah.  Cuti-cuti Malaysia.

Kami memulakan perjalanan pada hari Sabtu pagi.  Walaupun masih awal pagi, kenderaan sudah banyak di lebuhraya. Semasa berhenti di R&R, aku perhatikan kebanyakan orang yang berhenti di sana kelihatan seperti kami juga,  sedang dalam program Cuti-cuti Malaysia.  Siap mengendung kamera pelbagai jenma.

Kami tiba di kampus Puteri Sulong waktu tengah hari. Apalagi, semua sudah lapar. Kami menjamu selera di Food Court Cyberjaya sebelum melawat Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau Masjid Besi. Cantik dan nyaman masjid ini.  Sempat kami solat bersama para pelancong Muslim yang lain. Masjid yang terletak di Presint 3 Putrajaya ini dibina pada tahun 2004 dan siap sepenuhnya pada tahun 2009.  Ia dibina menggunakan  6 ribu tan keluli  (70% struktur masjid adalah dari keluli dan selebihnya dari konkrit).  Masjid ini mampu menampung 20 ribu jemaah untuk solat berjemaah. (Fakta dari Wikipedia)

Memandangkan Puteri Sulong sedang sibuk menyiapkan projek kursusnya, kami tidak dapat berlama-lama dengannya. Apapun rasa terlerai rindu dapat bermesra dengan si Manja ini selama hampir 3 jam.  Kami seterusnya singgah di rumah kakak sulongku, Yong di Puchong. Kebetulan Yong dan suami baru pulang dari Tanah Suci Mekah kira-kira 2 minggu lepas.  Sempat kini menikmati spagheti, cucur jagung dan kurma serta air zamzam. Malamnya kami menuju ke rumah adikku Mimi di Puncak Alam.

Sudut menarik di Masjid Besi
 Keesukan harinya, kami bersama Mimi, suaminya Hamid dan anak sulongnya Aysraf pergi ke The Mines di Seri Kembangan.  Ini merupakan pengalaman pertama bagi puteri-puteri ku menaiki water taxi menyusuri terusan yang terletak di tengah-tengah shopping mall tersebut. Lebih menarik pengalaman menyeberangi dari Tasik Selatan ke Tasik Utara yang memerlukan bot membawa kami melalui sistem hidrolik "water lock" yang unik.  Kedua-dua tasik ini terletak di aras yang berbeza (7 meter).

Lebih indah menyaksikan ikan, burung dan kura-kura yang jinak dan sentiasa mengalu-ngalukan pelawat yang bermurah hati mencampakkan makanan kepada mereka.

Sehati sejiwa menyudu makanan
Water taxi perlu masuk terowong untuk pergi ke tasik
Perut sudah berkeroncong. Kami menjamu selera di Gerai Kak Ina, SS 19, Subang Jaya. Fuhh .... banyaknya lauk.  Anak-anak memilih keli goreng, sambal belacan dan kerabu.  Selepas bersolat kami melawat pula Muzium Sultan Alam Shah di Shah Alam.  Muzium yang dibuka pada tahun 1989 ini mnempatkan pelbagai bahan sejarah Negeri Selangor Darul Ehsan meliputi adat-istiadat, senjata, kelengkapan hidup, pakaian, ahli sukan, ahli politik, pertanian dan lain-lain.

Ashraf  posing dengan keris Selangor
 Malamnya kami berkunjung pula ke i-City Shah Alam.  Begitu ramai pengunjung sehingga kami terpaksa meletak kereta begitu jauh dan berjalan mendaki kawasan yang berbukit-bukit.  Seluruh kawasan indah bercahaya dengan lampu LED yang berwarna-warni yang membentuk pelbagai jenis pokok. Anak-anak bergembira menaiki keretapi (laluan atas setinggi lebih 3 meter) dan masuk ke rumah salji.  Dengan memakai jaket tebal, mereka bergembira meluncur di atas salji.  Hrmmm .... pukul 12 tengahmalam semua mengadu kelaparan.  Kami bergerak ke kedai makanan Thai dan menghirup tomyam panas dengan nikmatnya.

Sejuk dalam rumah salji

Pokok-pokok i-City
Keesukan harinya kami pulang ke Pulau Pinang menggunakan jalan Kuala Selangor - Teluk Intan.  Sempatlah kami menyaksikan sendiri menara condong di Teluk Intan.

Menara condong


No comments: