Saturday, January 25, 2014

Winter Wind di Perlis Indera Kayangan

Sekarang ni fenomena musim sejuk.  Satu Malaysia havoc sebab suhu di sesetengah tempat macam duduk dalam air-cond terutama pada waktu malam dan pagi. Nak mandi pagi pun siksa. Yang ada water heater tak ada masalah.  Yang mana tak ada tu, kenalah jerang air panas untuk bagi mandi anak-anak yang nak ke sekolah. Air sejuk mereka tak mau mandi ... kesian ibu-ibu yang dah memang lelah pagi-pagi menyiapkan sarapan, menyidai kain di ampaian, menyiapkan anak-anak sebelum mereka sendiri bersiap nak ke pejabat. Walaupun cuaca sejuk, ibu-ibu ni peluh menitik tak berhenti kerana kepenatan.

Cameron Highlands dilaporkan mencatat 17C.   Semua kena pakai baju sejuk, stokin, topi dan sarung tangan.  Biasalah tu ... highland.  Tapi yang lebih mengejutkan kawasan tanah rata pun sejuk macam tu juga. Kuala Krai Kelantan pun 17C juga.

Negeri Perlis pun havoc juga.  Sampai ada satu artikel dalam Facebook memaklumkan akan berlaku cuaca paling sejuk pada hari Sabtu 25 Januari 2014.  Nanti aku nak check dengan sahabat-handai di Perlis bagaimana sejuknya cuaca hari ini.  Jom kita baca artikel tersebut untuk memahami apakah musim timur atau "winter wind" yang terkenal dan berlaku setiap tahun di Perlis ni .


********************************************************************
'Winter Wind' di Perlis (Rahmat Hj Said)

Hari Sabtu ini 25 Jan 2014 Perlis dijangka mengalami cuaca paling sejuk di Malaysia, waktu malam hingga awal pagi suhu dijangka turun sehingga 20°C.

(Lokasi gambar : dari atas fly-over baru Mata Air)

Sebenarnya cuaca begini sejak dahulu lagi berlaku setiap tahun di Perlis. 'Winter Wind' ini ialah angin tropika monsun timur laut yang bertiup di Perlis pada Disember hingga Mac setiap tahun. Perlis adalah negeri paling utara di Semenanjung yang terletak paling hampir dengan Garisan Jadi (garis lintang yang menandakan kedudukan matahari tegak yang paling jauh ke selatan) dan kerana itu ia menerima tempias winter wind yang tak terdapat di negeri-negeri lain di Malaysia. Winter wind ini cuma berlaku hanya sekali dalam tempoh setahun ketika hemisfera selatan bumi paling condong ke arah matahari.

Biasanya bacaan suhu ketika winter wind ini ialah sekitar 20 darjah celcius pada waktu tengah malam dan awal pagi, tapi bila tengahari ia akan mencatatkan bacaan suhu yang tinggi lebih 32 darjah celcius. Cuaca paling sejuk ialah pada bulan Februari di mana langit sentiasa membiru, ketika malam cahaya bintang begitu terang menaburi angkasa, di tambah bayu lembut tak henti-henti membelai mesra, ia sesuatu yang sangat indah ketika berada di Perlis di musim winter wind ini. Walaubagaimanapun tempat yang paling sejuk di Perlis terletak paling utara iaitu Padang Besar, Wang Kelian, Kaki Bukit, Kok Mak & Titi Tinggi.

Ketika di puncak winter wind ini rumput-rumput akan mati, pokok-pokok kelihatan botak gondol, seperti musim luruh di Eropah. Kata orang Perlis masa 20-30 tahun dulu lagi sejuk dari sekarang hingga minyak kelapa pun akan beku di waktu pagi!

Kerana cuaca di Perlis begitulah menyebabkan mempelam harumanis cuma subur di negeri itu, kerana agaknya mempelam harumanis cuma suka hidup di negeri berhawa dingin. Begitu juga anggur agak menjadi di Perlis, sedang di negeri lain boleh tanam anggur yang hidup cuma pokok tapi buahnya tak begitu menjadi.

Di Perlis 'winter wind' lebih dikenali sebagai Angin Timur. Dahulu ketika musim timur seperti ini penduduk Perlis melakukan berbagai aktiviti spt menuai padi, menangkul udang, main wau, dll termasuk waktu malam. Pagi-pagi mandi air telaga untuk ke sekolah sangat sejuk sampai mengigil.Ada juga barang-barang yang dibeli akan dibayar ketika musim menuai ini, lebih terkenal di Perlis dengan istilah "bayag timog'.

No comments: