Thursday, April 28, 2011

PadaMu Ku Bersujud



Seringkali kita lupa kepada Allah Pencipta Yang Maha Agung. Memang kita solat 5 waktu tanpa lalai, kita patuh menunaikan puasa di bulan Ramdhan, kita membaca Al Quran bila berkesempatan, kita berzikir selesai solat fardhu dan kita berdoa selepasnya. Tetapi sekadar itu sahajakah???

Tetapi seringkali juga apabila kita dalam kegembiraan, kita hanyut dalam nikmat dunia, kita terlupa dan terlalai mensyukuri nikmat tersebut datangnya dari Allah SWT. Bila ditimpa musibah, kita kembali tersedar. Kita memohon keampunan Allah, kita merayu belas ihsan Allah untuk mengalihkan musibah itu. Mujurnya kita masih berkesempatan bertaubat.

Anak-anak ku sayang ... janganlah engkau jadi insan yang lalai dalam kehidupan. Kita tidak tahu sampai bila kita akan berpeluang bertaubat. Banyakkan beristifar ... kita semua banyak melakukan dosa. Semoga apabila kita dijemput oleh Allah kelak, kita akan mengadapNya dalam keadaan suci bersih.

Ameen.

Tuesday, April 26, 2011

HambaMu Datang Menyambut PanggilanMu Ya Allah

Kami berada di Mekah selama 9 hari mulai 2 hingga10 April 2011. Sepanjang tempoh tersebut, masa yang terluang dipenuhi dengan menjalani ibadah di Masjidil Haram eperti solat fardhu, solat sunat, membaca Al Quran, melakukan umrah, tawaf sunat dan sebagainya. Jangan persiakan kesempatan yang ada, kerana nawaitu kita ke sini untuk menyerah diri kepada Allah semata-mata.

5 April 2011

8.00 pagi memulakan program ziarah sekitar Tanah Suci Mekah dengan menuju ke Jabal Thur. Di lereng bukit inilah terletaknya Gua Thur yang menjadi tempat persembunyian Nabi SAW dan sahabatnya Saidina Abu Bakar RA semasa dalam perjalanan untuk berhijrah ke Madinah. Semasa memandangkan ketinggian bukit ini, tak dapat dibayangkan betapa gigihnya tenaga wanita Asma' anakanda kepada Saidina Abu Bakar yang berulang-alik menghantar makanan untuk Nabi dan bapa yang dikasihi. Masyaallah.

8.45 pagi tiba di Arafah. Memandangkan sekarang bukan musim haji, keadaan di sekitar Arafah agak tidak terurus. Rumput-rumput kelihatan tumbuh meliar tidak terjaga. Walau bagaimanapun berbanding kedatangan ku pada tahun 2003, kini Padang Arafah kelihatan lebih nyaman apabila banyak pokok-pokok besar telah tumbuh di persekitarannya. Kami melalui Masjid Namirah yang terletak di sempadan Tanah Haram dan Arafah.

9.15 pagi singgah di Jabal Rahmah. Terlalu ramai pelawat yang bergerak mendaki dan menuruni bukit ini. Sayang sekali pihak berkuasi Arab Saudi tidak mengadakan laluandan peraturan yang sistematik. Pelawat bertolak-tolak untuk naik dan turun, pada masa yang sama ramai penjaja di kiri-kanan tangga bukit. Malah begitu ramai anak-anak kecil yang meminta sedekah berbaring di sepanjang laluan tangga tersebut. Masyaallah.

10.30 pagi kami melalui kawasan Mudzalifah yang merupakan satu kawasan yang kontang tanpa bangunan besar kecuali beberapa pondok-pondok kecil.

10.45 pagi melalui kawasan Mina yang begitu luasnya. Kami tidak dibenarkan masuk ke kawasan jamrah kerana banyak kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan. Justeru kami hanya berpeluang memandang jamrah dari kejauhan.

11.20 pagi pergi ke Ja'ranah untuk solat sunat ihram di masjidnya dan seterusnya memasang niat untuk mengerjakan umrah. Seterusnya kami pulang ke hotel dengan bertalbiah.

Sepanjang tempoh 9 hari itu aku rasakan bilangan jemaah semakin bertambah ramai dari sehari ke sehari. Jika pada permulaannya kami mengambil masa 30 minit untuk tawaf, kini masa tersebut bertambah kepada 45 minit ke 1 jam untuk menyelesaikan 7 pusingan. Pihak Pengurusan Masjidil Haram juga mula membuka tingkat ke-3 masjid bagi menampung bilangan jemaah yang kian ramai.

Walaupun jemaah tidak dibenarkan membawa kamera semasa masuk ke Masjidil Haram, aku dan Abah berjaya menyeludup masuk kamera semasa kami melakukan tawaf sunat pada jam 8 pagi. Selesai tawaf dan solat sunat kami mula berposing secara sembunyi-sembunyi. Semoga Allah mengampunkan dosa kami melanggar arahan pihak Pengurusan Masjidil Haram.

Semasa di Mekah, tidak ada masalah untuk membeli-belah. Sepanjang laluan di depan dan belakang hotel dipenuhi oleh kedai-kedai menjual pelbagai barangan cendermata seperti tasbih, minyak wangi, barang kemas, sejadah, ketayap, jubah, kurma dsbnya. Sepanjang perjalanan dari Masjidil Haram menjadi sesak dengan jumlah jemaah yang singgah membeli-belah.

Kegiatan pembinaan di sekitar Masjidil Haram masih belum selesai. Habuk berterbangan dan sesekali kedengaran bunyi batu-batu dipecahkan. Ramai jemaah yang menutup hidup dengan penutup muka (kecuali yang dalam ihram) untuk mengatasi masalah habuk ini. Aku dan teman jemaah mula mendapat demam dan batuk dan farmasi menjadi tempat persinggahan yang digemari. Tetapi ternyata harga ubat begitu mahal di sini. Sekotak Streapsil berharga 13riyal sedangkan di Malaysia hanya RM8.00 sahaja.

Kami tidak melepaskan peluang untuk makan di Restoran D'saji milik Felda yang terletak di Tingkat 4 Sofwah Tower, Mekah. Di sana kami makan roti canai telur dan teh tarik. Terubat rasa kerinduan kepada makanan Malaysia setelah lebih 1 minggu kami disajikan oleh masakan ala-indonesia oleh tukang masak pakej Al Jannah/Farhan ini.

10 April 2011

Hari terakhir berada di Tanah Suci Mekah. Setelah selesai mengangkat barang ke lobi hotel, kami bersiap-sedia untuk melakukan Tawaf Wida'. Ya Allah Ya Tuhanku ... kurniakanlah kami rezeki yang melimpah-ruah, kurniakan kami kesihatan yang terbaik, sempurnakan iman kami, berilah kami peluang untuk kembali ke Tanah Suci ini Ya Allah. Berilah kami kesempatan untuk kembali bersujud di bumi mulia ini Ya Allah. Terimalah segala amalan dan doa kami Ya Allah.

Dengan airmata mencurah-curah kami berlalu perlahan-lahan meninggalkan Masjidil Haram dan memandang Baitullah dengan perasaan yang begitu sayu. Hati ini begitu pedih dan sedih. Ya Allah .... kurniakan aku kesempatan lain!!!

11 pagi kami bertolak meninggalkan kota suci Mekah menuju ke Jeddah. Kami dibawa ke pesisiran pantai Jeddah untuk makan tengah hari. Ala-ala berkelah le pulak. Selesai makan kami ke Masjid Terapung Jeddah untuk solat Zohor/Asar. Masjid ini mengingatkan aku kepada Masjid Terapung di Tanjung Bungah Pulau Pinang.

Selesai solat kami bertolak ke Lapangan Terbang Jeddah untuk penerbangan pulang ke Singapura pada jam 8.00 malam nanti.

Thursday, April 21, 2011

Persinggahan Singkat di Madinah Al Munawwarah

1 April 2011 (Jumaat)

7.00 pagi memulakan acara ziarah Madinah. Tempat pertama ialah Perkuburan Baqi yang terletak bersebelahan Masjid Nabawi dan begitu hampir dengan hotel penginapan kami. Salam ke atas para isteri Nabi SAW dan para sahabat serta muslimin dan muslimat yang bersemadi di bumi bertuah ini.

7.20 pagi tiba di Masjid Quba' yang terletak kira-kira 5 km dari Masjid Nabawi untuk menunaikan solat sunat 2 rakaat. Masjid ini merupakan masjid pertama yang dibina oleh Nabi SAW dan digalakkan umat Islam untuk bersolat di dalamnya.

8.30 pagi tiba di Jabal Uhud. Di sinilah terletaknya makam Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib RA (bapa saudara Nabi SAW) dan 70 orang syuhada yang syahid demi mempertahankan Madinah dari serangan musuh Islam. Salam dan doa untuk para syuhada ini.

9.30 pagi tiba di ladang kurma. Memandangkan sekarang musim bunga, tiada pokok yang berbuah. Para jemaah mengambil kesempatan memasuki kedai di hadapan ladang tersebut untuk membeli buah tamar dari berbagai jenis, kacang pelbagai rasa, buah tin dan coklat berasaskan kurma. Sekelip mata sahaja bas telah dipenuhi oleh kotak-kotak dan beg plastik yang sarat berisi ole-ole dari Madinah.

11.00 pagi pergi ke Masjid Qiblatain yang merupakan tempat Nabi SAW menukar arah qiblat solat umat Islam daripada Masjidil Aqsa kepada Masjidil Haram. Di sini para jemaah berhenti untuk menunaikan solat sunat 2 rakat sekali lagi.

Cadangan untuk singgah di pasar kurma terpaksa dibatalkan kerana kesuntukan waktu. Jemaah perlu bergegas menyuci diri sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Nabawi. Ramai yang rasa kecewa dan bercadang untuk pergi sendiri ke tempat berkenaan.

Keindahan di Masjid Nabawi amat nyata terutama pada waktu malam dan subuh. Dengan langit gelap yang tanpa sebutir bintang dan angin dingin yang menyucuk ke tulang hitam, suasana terasa hening dan syahdu. Di sini tempat bersemadinya kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW.

Pada malam terakhir aku di sana, aku mengambil kesempatan duduk di luar Masjid Nabawi antara waktu Maghrib dan Isya'. Pandanganku tertumpu kepada pelbagai bangsa yang berada di laman luar masjid ini. Aku hairan kenapa mereka suka solat di luar masjid sedangkan di dalam masih banyak ruang yang kosong.

Sebahagiannya membawa anak-anak kecil yang berlari sesuka hati. Anak-anak ini begitu cantik perawakan wajah mereka. Kulit putih merah, hidung mancung, rambut perang, kening terbentuk dan mata berwarna perang, hijau atau biru. Tidak pasti mereka ini berketurunan Arab, atau Pakistan atau Turki. Mungkin mereka ini pewaris kecantikan Nabi Allah Yussof AS.


Kota Madinah kini semakin membangun. Tetapi pembangunannya agak terkawal dan sistematik. Buminya juga subur dengan dipenuhi tanaman hijau. Kebetulan sekarang musim bunga, di kiri-kanan jalanraya banyak pokok-pokok yang berbunga lebat berwarna-warni.

2 April 2011 (Sabtu)

Selesai makan pagi dan menurunkan beg dari bilik, kami menukar kepada pakaian ihram dan pergi semula ke Masjid Nabawi untuk mengucapkan salam kali terakhir kepada Nabi SAW. Waktu ini merupakan saat yang paling perit bagiku. Hati terasa bagikan hampir pecah menahan tangis dan sedih untuk meninggalkan tanah suci ini. Semoga Allah memperkenankan doaku agar dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki untuk datang ke sini lagi. Airmata ini sukar diseka setiap kali terasa kerinduan untuk ke sana semula.

9.00 pagi kami bertolak meninggalkan Madinah bumi yang penuh barkah ini. Kami singgah sebentar di kilang mencetak Al Quran. Setiap jemaah lelaki dihadiahkan 1 naskhah Al Quran.

11.00 pagi kami berhenti di Bir Ali untuk solat sunat ihram dan seterusnya memasang niat ihram untuk menunaikan umrah. Kami meneruskan perjalanan dengan bertalbiah. "labbaikallah hummalabaik ..... HambaMu datang menyambut panggilanMu, Ya Tuhanku. hambaMu datang menyambut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji-pujian dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu dan tidak ada sekutu bagiMu".

3.00 petang berhenti makan tengah hari dan solat di R&R sebelum meneruskan lagi perjalanan yang panjang. Tiba di Bakkah Baiti Hotel Mekah pada 5.30 petang. Kami mempunyai masa yang begitu pendek untuk membawa barang naik ke bilik dan seterusnya membersihkan diri sebelum ke Masjidil Haram untuk melaksanakan rukun-rukun umrah yang lain sehingga sempurna.

Tuesday, April 19, 2011

Catatan Perjalanan Ke Bumi Barakah

Keterujaan di hati terpancar di wajah

Aku masih belum begitu sihat walaupun sudah seminggu berada di tanah air. Masih ada batuk-batuk kecil. Bila makan ubat batuk aku jadi mengantuk. Bila mengantuk, badan jadi malas nak bergerak. Apa pun aku bersyukur, terlalu kecil dugaan yang Allah turunkan kepada aku.

Justeru keletihan dan kemalasan itu menyebabkan aku mencatatkan perjalanan umrah ku secara ringkas sahaja. Semoga catatan ringkas ini boleh membantu kenangan aku di masa hadapan, atau dirujuk oleh anak cucu di kemudian hari.

30 Mac 2011 (Rabu)

Tiba di Lapangan Terbang Bayan Lepas jam 7.30 pagi. Ketiga-tiga anak ku ambil cuti (Puteri Bongsu ponteng sekolah) untuk mengucapkan selamat jalan. Ya Allah ... peliharalah ketiga-tiga puteri ini sepanjang aku berada di Tanah SuciMu.

Jam 10.15 kami bertolak denganMI347 (Silk Air) ke Singapura. Jemaah kami terdiri daripada 60 orang dari gabungan Kumpulan Al Jannah dan Kumpulan Farhan. Kebanyakan jemaah berasal dari Kedah dan Pulau Pinang. Kumpulan kami 6 bersaudara termasuk aku, Abah, Paktua, Maktua, Makngah dan Makcaq. Semoga Allah memelihara kesabaran kami semasa di Tanah Suci agar ikatan silaturrahim tidak dicemari oleh hasutan syaitan.

1.00 petang kami menaiki SQ456 (Singapore Airline) dari Changi International Airport ke Abu Dhabi. Sepanjang perjalanan cuaca baik. Kami dijamu dengan 2 hidangan sepanjang perjalanan. Di dalam kapalterbang kami sempat menunaikan jamak qasar zohor/asar.

4.00 petang (waktu Abu Dhabi) kami tiba di Abu Dhabi International Airport. Penumpang ke Jeddah tidak dibenarkan turun kerana pesawat berhenti hanya 1 jam untuk pertukaran krew penerbangan dan mencuci kabin sahaja.

7.00 malam (waktu Arab Saudi atau 12.00 tengah malam waktu Malaysia) kami tiba di Jeddah International Airport. Kami diangkut denga bas ke terminal haji untuk urusan pemeriksaan passport dan bagasi. Untuk musim umrah kali ini, semua jemaah dibawa menerusi terminal haji ... mungkin untuk memudahkan kawalan kemasukan jemaah. Jemaah begitu ramai, terutama dari Indonesia dan Turki.

Urusan mengambil masa yang agak panjang. Kami kemudiannya menaiki shuttle bus keluar dari kawasan terminal tersebut sebelum menaiki bas yang disewa untuk ke Madinah. Untuk 60 jemaah, kami menaiki 2 bas dan bertolak jam 10.00 malam.

Kami berhenti di satu kawasan R&R untuk solat jamak qasar maghrib/isya dan seterusnya menikmati makan malam ringkas yang disediakan oleh pihak agensi. Seterusnya perjalanan sepanjang malam diisi dengan aktiviti berzikir dan tidor yang nyenyak.

31 Mac 2011 (Khamis)

4.00 pagi tiba di Hotel Al-Aous Manazeli Madinah. Hotel terletak berhampiran pintu masuk jemaah wanita. Aku sebilik dengan Abah dan Makcaq (kakak Abah). Sempat kami menunaikan solat subuh di Masjid Nabawi.

Aktiviti seharian dipenuhi dengan lawatan ke Raudhah, solat di masjid dan beristirehat. Ada juga yang telah mula bershopping di sekitar gerai dan kedai yang meriah siang dan malam.

Alhamdulillah ... sampai sudah hajat hati ku untuk menjejak kaki ke bumi bertuah ini. Di sini bersemadinya Nabi SAW, Nabi Junjungan Mulia. Salam ke atas mu Ya Rasullullah.

Wednesday, April 13, 2011

Alhamdulillah ... Selamat Kembali

hadiah dari Permata Hati

Tepat jam 5.05 petang pesawat Silkair mendarat di Lapangan Terbang Bayan Lepas. Syukur ... Alhamdulillah. Selepas melalui perjalanan udara yang tidak selesa selama hampir 10 jam, semuanya berakhir dengan selamat. Aku menadah tangan mengucap syukur.

Perjalanan dari Jeddah ke Abu Dhabi dengan pesawat Singapore Airline berjalan seperti biasa. Setelah berehat sejam di Abu Dhabi, kami meneruskan perjalanan ke Singapura dalam cuaca yang kurang baik. Hujan, petir dan angin mengiringi penerbangan kami. Sepanjang perjalanan kapalterbang berolang-aling, sesekali bergegar. Penumpang sentiasa perlu memasang talipinggang keselamatan. Minuman panas langsung tidak dihidangkan kerana merbahaya. Tetapi siapalah yang berselera makan dalam keadaan begitu. Waktu itu bayangan ngeri kemalangan udara melintas dalam fikiran ini. Astaghafirrullahhallazim. Segera aku memanjatkan doa kepada Allah supaya memelihara kami sepanjang perjalanan ini.

Cuaca menjadi agak selesa dalam perjalanan dari India ke Malaysia. Dari ruang udara Malaysia ke Singapura penerbangan menjadi tidak selesa semula. Aku benar-benar lega apabila dapat menjejak kaki di Changi International Aairport dan beristirehat selama 2 jam.

Harapan ku untuk perjalanan akhir yang selesa musnah apabila perjalanan dari Singapura ke Pulau Pinang sangat menakutkan. Dengan pesawat Silkair yang kecil, gegaran sentiasa terasa setiap kali bertembung angin kencang atau menerobos awan putih yang tebal berkepul.

Terasa seolah-olah serik untuk menaiki pesawat lagi.

Tiba di Pulau Pinang, senyuman manis ketiga-tiga Permata Hati ku menghilangkan segala kepenatan yang terasa. Ku peluk mereka erat-erat .... Mama rindu pada kalian.

Di rumah mereka menghadiahkan makanan kegemaran aku dan Abah ... sebiji kek aiskrim yang lazat. Alhamdulillah.