Keterujaan di hati terpancar di wajah
Aku masih belum begitu sihat walaupun sudah seminggu berada di tanah air. Masih ada batuk-batuk kecil. Bila makan ubat batuk aku jadi mengantuk. Bila mengantuk, badan jadi malas nak bergerak. Apa pun aku bersyukur, terlalu kecil dugaan yang Allah turunkan kepada aku.
Justeru keletihan dan kemalasan itu menyebabkan aku mencatatkan perjalanan umrah ku secara ringkas sahaja. Semoga catatan ringkas ini boleh membantu kenangan aku di masa hadapan, atau dirujuk oleh anak cucu di kemudian hari.
30 Mac 2011 (Rabu)
Tiba di Lapangan Terbang Bayan Lepas jam 7.30 pagi. Ketiga-tiga anak ku ambil cuti (Puteri Bongsu ponteng sekolah) untuk mengucapkan selamat jalan. Ya Allah ... peliharalah ketiga-tiga puteri ini sepanjang aku berada di Tanah SuciMu.
Jam 10.15 kami bertolak denganMI347 (Silk Air) ke Singapura. Jemaah kami terdiri daripada 60 orang dari gabungan Kumpulan Al Jannah dan Kumpulan Farhan. Kebanyakan jemaah berasal dari Kedah dan Pulau Pinang. Kumpulan kami 6 bersaudara termasuk aku, Abah, Paktua, Maktua, Makngah dan Makcaq. Semoga Allah memelihara kesabaran kami semasa di Tanah Suci agar ikatan silaturrahim tidak dicemari oleh hasutan syaitan.
1.00 petang kami menaiki SQ456 (Singapore Airline) dari Changi International Airport ke Abu Dhabi. Sepanjang perjalanan cuaca baik. Kami dijamu dengan 2 hidangan sepanjang perjalanan. Di dalam kapalterbang kami sempat menunaikan jamak qasar zohor/asar.
4.00 petang (waktu Abu Dhabi) kami tiba di Abu Dhabi International Airport. Penumpang ke Jeddah tidak dibenarkan turun kerana pesawat berhenti hanya 1 jam untuk pertukaran krew penerbangan dan mencuci kabin sahaja.
7.00 malam (waktu Arab Saudi atau 12.00 tengah malam waktu Malaysia) kami tiba di Jeddah International Airport. Kami diangkut denga bas ke terminal haji untuk urusan pemeriksaan passport dan bagasi. Untuk musim umrah kali ini, semua jemaah dibawa menerusi terminal haji ... mungkin untuk memudahkan kawalan kemasukan jemaah. Jemaah begitu ramai, terutama dari Indonesia dan Turki.
Urusan mengambil masa yang agak panjang. Kami kemudiannya menaiki shuttle bus keluar dari kawasan terminal tersebut sebelum menaiki bas yang disewa untuk ke Madinah. Untuk 60 jemaah, kami menaiki 2 bas dan bertolak jam 10.00 malam.
Kami berhenti di satu kawasan R&R untuk solat jamak qasar maghrib/isya dan seterusnya menikmati makan malam ringkas yang disediakan oleh pihak agensi. Seterusnya perjalanan sepanjang malam diisi dengan aktiviti berzikir dan tidor yang nyenyak.
31 Mac 2011 (Khamis)
4.00 pagi tiba di Hotel Al-Aous Manazeli Madinah. Hotel terletak berhampiran pintu masuk jemaah wanita. Aku sebilik dengan Abah dan Makcaq (kakak Abah). Sempat kami menunaikan solat subuh di Masjid Nabawi.
Aktiviti seharian dipenuhi dengan lawatan ke Raudhah, solat di masjid dan beristirehat. Ada juga yang telah mula bershopping di sekitar gerai dan kedai yang meriah siang dan malam.
Alhamdulillah ... sampai sudah hajat hati ku untuk menjejak kaki ke bumi bertuah ini. Di sini bersemadinya Nabi SAW, Nabi Junjungan Mulia. Salam ke atas mu Ya Rasullullah.
No comments:
Post a Comment