Kami berada di Mekah selama 9 hari mulai 2 hingga10 April 2011. Sepanjang tempoh tersebut, masa yang terluang dipenuhi dengan menjalani ibadah di Masjidil Haram eperti solat fardhu, solat sunat, membaca Al Quran, melakukan umrah, tawaf sunat dan sebagainya. Jangan persiakan kesempatan yang ada, kerana nawaitu kita ke sini untuk menyerah diri kepada Allah semata-mata.
5 April 2011
8.00 pagi memulakan program ziarah sekitar Tanah Suci Mekah dengan menuju ke Jabal Thur. Di lereng bukit inilah terletaknya Gua Thur yang menjadi tempat persembunyian Nabi SAW dan sahabatnya Saidina Abu Bakar RA semasa dalam perjalanan untuk berhijrah ke Madinah. Semasa memandangkan ketinggian bukit ini, tak dapat dibayangkan betapa gigihnya tenaga wanita Asma' anakanda kepada Saidina Abu Bakar yang berulang-alik menghantar makanan untuk Nabi dan bapa yang dikasihi. Masyaallah.
8.45 pagi tiba di Arafah. Memandangkan sekarang bukan musim haji, keadaan di sekitar Arafah agak tidak terurus. Rumput-rumput kelihatan tumbuh meliar tidak terjaga. Walau bagaimanapun berbanding kedatangan ku pada tahun 2003, kini Padang Arafah kelihatan lebih nyaman apabila banyak pokok-pokok besar telah tumbuh di persekitarannya. Kami melalui Masjid Namirah yang terletak di sempadan Tanah Haram dan Arafah.
9.15 pagi singgah di Jabal Rahmah. Terlalu ramai pelawat yang bergerak mendaki dan menuruni bukit ini. Sayang sekali pihak berkuasi Arab Saudi tidak mengadakan laluandan peraturan yang sistematik. Pelawat bertolak-tolak untuk naik dan turun, pada masa yang sama ramai penjaja di kiri-kanan tangga bukit. Malah begitu ramai anak-anak kecil yang meminta sedekah berbaring di sepanjang laluan tangga tersebut. Masyaallah.
10.30 pagi kami melalui kawasan Mudzalifah yang merupakan satu kawasan yang kontang tanpa bangunan besar kecuali beberapa pondok-pondok kecil.
10.45 pagi melalui kawasan Mina yang begitu luasnya. Kami tidak dibenarkan masuk ke kawasan jamrah kerana banyak kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan. Justeru kami hanya berpeluang memandang jamrah dari kejauhan.
11.20 pagi pergi ke Ja'ranah untuk solat sunat ihram di masjidnya dan seterusnya memasang niat untuk mengerjakan umrah. Seterusnya kami pulang ke hotel dengan bertalbiah.
Sepanjang tempoh 9 hari itu aku rasakan bilangan jemaah semakin bertambah ramai dari sehari ke sehari. Jika pada permulaannya kami mengambil masa 30 minit untuk tawaf, kini masa tersebut bertambah kepada 45 minit ke 1 jam untuk menyelesaikan 7 pusingan. Pihak Pengurusan Masjidil Haram juga mula membuka tingkat ke-3 masjid bagi menampung bilangan jemaah yang kian ramai.
Walaupun jemaah tidak dibenarkan membawa kamera semasa masuk ke Masjidil Haram, aku dan Abah berjaya menyeludup masuk kamera semasa kami melakukan tawaf sunat pada jam 8 pagi. Selesai tawaf dan solat sunat kami mula berposing secara sembunyi-sembunyi. Semoga Allah mengampunkan dosa kami melanggar arahan pihak Pengurusan Masjidil Haram.
Semasa di Mekah, tidak ada masalah untuk membeli-belah. Sepanjang laluan di depan dan belakang hotel dipenuhi oleh kedai-kedai menjual pelbagai barangan cendermata seperti tasbih, minyak wangi, barang kemas, sejadah, ketayap, jubah, kurma dsbnya. Sepanjang perjalanan dari Masjidil Haram menjadi sesak dengan jumlah jemaah yang singgah membeli-belah.
Kegiatan pembinaan di sekitar Masjidil Haram masih belum selesai. Habuk berterbangan dan sesekali kedengaran bunyi batu-batu dipecahkan. Ramai jemaah yang menutup hidup dengan penutup muka (kecuali yang dalam ihram) untuk mengatasi masalah habuk ini. Aku dan teman jemaah mula mendapat demam dan batuk dan farmasi menjadi tempat persinggahan yang digemari. Tetapi ternyata harga ubat begitu mahal di sini. Sekotak Streapsil berharga 13riyal sedangkan di Malaysia hanya RM8.00 sahaja.
Kami tidak melepaskan peluang untuk makan di Restoran D'saji milik Felda yang terletak di Tingkat 4 Sofwah Tower, Mekah. Di sana kami makan roti canai telur dan teh tarik. Terubat rasa kerinduan kepada makanan Malaysia setelah lebih 1 minggu kami disajikan oleh masakan ala-indonesia oleh tukang masak pakej Al Jannah/Farhan ini.
Hari terakhir berada di Tanah Suci Mekah. Setelah selesai mengangkat barang ke lobi hotel, kami bersiap-sedia untuk melakukan Tawaf Wida'. Ya Allah Ya Tuhanku ... kurniakanlah kami rezeki yang melimpah-ruah, kurniakan kami kesihatan yang terbaik, sempurnakan iman kami, berilah kami peluang untuk kembali ke Tanah Suci ini Ya Allah. Berilah kami kesempatan untuk kembali bersujud di bumi mulia ini Ya Allah. Terimalah segala amalan dan doa kami Ya Allah.
Dengan airmata mencurah-curah kami berlalu perlahan-lahan meninggalkan Masjidil Haram dan memandang Baitullah dengan perasaan yang begitu sayu. Hati ini begitu pedih dan sedih. Ya Allah .... kurniakan aku kesempatan lain!!!
11 pagi kami bertolak meninggalkan kota suci Mekah menuju ke Jeddah. Kami dibawa ke pesisiran pantai Jeddah untuk makan tengah hari. Ala-ala berkelah le pulak. Selesai makan kami ke Masjid Terapung Jeddah untuk solat Zohor/Asar. Masjid ini mengingatkan aku kepada Masjid Terapung di Tanjung Bungah Pulau Pinang.
Selesai solat kami bertolak ke Lapangan Terbang Jeddah untuk penerbangan pulang ke Singapura pada jam 8.00 malam nanti.
No comments:
Post a Comment