Monday, June 25, 2012

Melaka 5 - 7 Jun 2012 (Hari 3)

Buffet spread untuk makan pagi di es.sence Kitchen, Holiday Inn Melaka memang hebat. Pilihan menu makanannya memang banyak dan nampak sedap-sedap belaka.  Hingga rambang mata nak pilih yang mana satu.

Masjid dengan rekabentuk yang unik, betul-betul mengadap Selat Melaka

Harap semua berminat dengan tawaran ini. Rugi kalau tak mau terima tawaran istimewa ni

Selesai breakfast kami menuju ke perkampungan Portugis di Hujung Pasir.  Entah apa malang nasib kami, beberapa kali pusing kawasan itu, kami masih gagal sampai ke kampung tersebut.  Hampeeh betul, papan tanda pun tak jelas.  Akhirnya dengan hati kecewa kami menuju ke destinasi lain pulak. Ternampak arah ke Masjid Selat Melaka. Masjid bernilai RM11 juta ini dirasmikan pada tahun 2006 oleh DYMM Yang Dipertuan Agung. Ianya dibina di atas laut dan dikenali juga sebagai Masjid Terapung.  Berada di sini  mengingatkan aku kepada Masjid Kristal di Trengganu dan Masjid Terapung Pulau Pinang.

paling sedap kuih koci tu ... lemak manis

Slurpppp ....slurppppp

Setelah puas posing, kami balik ke hotel untuk berkemas, membersih diri dan check-out.  Kami bercadang menuju ke arah Port Dickson menggunakan jalan pantai. Apabila tiba berhampiran kawasan Pantai Klebang kami berhenti untuk minum coconut shake.  Fuhhh!! memang sedap giler.  Sempat juga kami makan kuih-muih, nasi lemak dan mee goreng yang dibungkus dalam paket yang comel-comel jer saiznya. Tapi memang sedap.

contoh rumah traditional Melaka (gambar ihsan teratakbendang.blogspot)

Setelah perut kenyang, kami meneruskan perjalanan ke Port Dickson.  Aku paling suka laluan melintasi daerah Alor Gajah dan Masjid Tanah. Di sini dapat aku saksikan pelbagai bentuk rumah traditional Melaka yang sangat cantik. Tapi tak sempatlah pulak aku nak mengambil gambar.

Tiba di Port Dickson aku merasa sedih. Banyak bangunan hotel yang kelihatan seolah-olah tidak beroperasi lagi dan telah ditinggalkan tanpa penyenggaraan. Kenapa jadi macam tu??  Sayang memikirkan betapa banyak wang yang telah dilaburkan tapi langsung tak membawa sebarang pulangan. Ehhh aku pulak yang kalut, tuanpunya bangunan tu entahkan relaks jer.

Kami berhenti solat di sebuah masjid yang tersergam indah di atas bukit.  Tetapi hati aku benar-benar mendidih tatkala masuk ke tandasnya. Masyaallah, tandas wanitanya langsung tak seindah bangunan masjidnya.  Why, why, why?  Takkan Jawatankuasa Masjid tak perihatin langsung aspek kebersihan itu penting dalam Islam.  Macamana kami nak beribadah dengan sempurna kalau tempat nak membersihkan diri pun tak sempurna?  Alah, makcik dah malas nak berleter bab nih, dah berbuih mulut.  Pihak yang berwajib mestilah lebih bertanggungjawab.

Dalam solat aku beristifar, mohon Allah ampunkan dosa aku yang tiba-tiba naik marah semasa berada di rumahNya.  Astagafirrullahhalazim.  Semoga Allah mengampunkan aku dan menerima amalanku.

ole-ole dari Melaka

Begitulah pengakhirannya kembara ke Melaka kali ini.   Insyaallah aku akan ke sini lagi, aku teringat-ingat otak-otak dan coconut shake yang sedap ..... yummyyy.

Sunday, June 24, 2012

Melaka 5 - 7 Jun 2012 (Hari 2)

Bangun pagi kami terus breakfast di restoran hotel tu. Tak begitu banyak pilihan. Ada nasi lemak dengan 4 jenis lauk, mee goreng, bubur nasi, pelbagai roti dan kek, buah-buahan, kuih-muih traditional dan cereals. Selepas tu kami bergegas ke Zoo Melaka. Kami melalui jalan yang agak jauh kerana Kak Long ingin menjenguk MMU Cawangan Melaka di Bukit Beruang yang menjadi tempat belajarnya selama 2.5 tahun.

Lepas breakfast, sempat lagi posing. Lanskap di Hotel Mahkota
memang sangat cantik, tersusun dan terjaga rapi
Di Zoo Melaka kami mengambil masa yang santai untuk singgah di setiap sangkar melihat haiwan, membaca penerangan ringkas setiap spesis dan bergambar.  Memang penat berjalan tetapi kami bernasib baik kerana cuaca agak redup hari ni.  Setelah penat berjalan, kami berhenti untuk minum dan makan mee goreng yang dijual di kafeteria. 2 pinggan dikongsi 5 orang, kiranya hanya nak melepaskan rasa teringin terhidu aroma mee ditumis. Heee ... nafsu, nafsu.

Sempat lagi nak oder mee goreng ... sementara dok usyar seladang besar kat belakang tu.
Badannya yang hitam berkilat tu mengingatkan kami pada dodol ... hehehehe

Tak payah masuk zoo tengok burung ... dah ada terpampang dekat baju tu
Rupa-rupa dah hampir 2 jam kami berjalan. Jam dah hampir pukul 11.30 pagi. Apalagi kami bergegas balik ke hotel untuk  mandi-manda dan check-out.  Kami bertolak  ke rumah kawan Kak Long di Sungai Udang untuk makan tengah hari.   Azni menjamu kami dengan masakan Penang iaitu ayam masak merah, sayur campur,  ayam goreng rempah dan  buah-buahan.  Amboi ... pandai anak dara ni memasak, semuanya sedap secukup rasa.

Muffin coklat, pandan, vanilla ... ada ice lemon tea lagi, compliment from Holiday Inn
Selesai makan tengah hari kami bergegas pula untuk  check-in di Holiday Inn yang terletak bersebelahan dengan Hotel Mahkota.  Aku pun hairan kenapa Previlege Card ni tak benarkan kami ambil complimentary nights di hotel yang sama 2 malam berturut-turut.  Tapi aku tak kesal pun sebab Holiday Inn Melaka jauh lebih menarik kemudahannya. Biliknya luas dan cantik, accessories dalam bilik pun banyak dan yang lebih menariknya setiap kali kami melintas di lobi, kami akan ditawarkan muffin pelbagai perisa secara percuma. Itu yang menyebabkan puteri-puteri ni puji sangat Holiday Inn.

Depan Muzium Samudera 

Tunggu bot untuk perjalanan waktu malam pulak

Setelah puas berehat dalam bilik, kami keluar semula ke Bandar Hilir.  Kali ni aku nekad untuk menaiki bot pada waktu malam pulak sebab Shakimah dan Azni bertegas mengatakan bahawa pemandangan waktu malam jauh lebih menarik. Kami menaiki bot pada pukul 8 malam.  Memang menarik dengan lampu spotlight dan neon menghiasi tebing kiri dan kanan sungai. Angin pula bertiup deras memberikan rasa selesa sepanjang perjalanan. Lebih menariknya,  pemandu bot kali ini sangat peramah dan memberi maklumat  yang sangat informatif dengan penuh jenaka. Tidak kering gusi kami sepanjang 45 minit pelayaran menaiki bot.

cantik .. lukisan dinding terpantul indah waktu malam

rumah Melayu di Kampung Morten

Turun dari bot kami menjamu selera di salah sebuah kedai makan di Bandar Hilir sebelum berjalan memilih buahtangan seperti dodol, gula melaka, wajik sirat dan kuih bakar melaka untuk dibawa pulang ke Penang.

Thursday, June 21, 2012

Melaka 5 - 7 Jun 2012 (Hari 1)

Kali terakhir aku ke Melaka adalah pada tahun 2009 sewaktu mengambil barang-barang Kak Long yang menamatkan pengajiannya di MMU.  Kebetulan cuti sekolah tahun ini semua anak-anak ada di rumah. Kak Long sedang merehatkan badan sebagai penganggur terhormat selepas menamatkan pengajian pada 21 Mei lalu. Kak Ngah sedang bercuti semester manakala Puteri Bongsu pula tidak ada program tuisyen masa cuti sekolah.  Bukan senang nak mengumpul anak-anak bercuti serentak macam ni.

Perjalanan dari Penang ke Melaka selesa sebab kami memulakan perjalanan awal pagi. Hari Isnin mungkin kadar trafiknya kurang sedikit dari hujung minggu.  Kak Ngah jadi driver dari Ipoh hingga ke Sungai Buloh.  Lepas tu Abah jadi pilot dan aku jadi co-pilot.

Posing depan kubu Portugis di Bukit St Paul
Teruja tengok beca-beca kat sini, cantik-cantik hiasannya. Pasang pulak lagu inggeris,
 dangdut .. janji semua rancak-rancak

Kami check-in di Mahkota Hotel. Apatment 2 bilik ini terletak di tingkat 18. Ffuh, gayat memandang ke bawah tapi puas hati jelas kelihatan Bandar Melaka di hadapan dan Selat Melaka di belakang.  Setelah membersih tubuh kami memulakan acara jalan-jalan di Bandar Hilir.  Kunjungan pertama ialah ke kawasan Bukit St Paul  atau kawasan bangunan merah.  Memang aku kagum dengan Kerajaan Melaka yang tekun memulihara keindahan bangunan bersejarah di sini. Memandangkan jam dah 5.30 petang, semua muzium di kawasan ini telahpun ditutup.  Kami terus ke kawasan pesisir sungai. Sepanjang perjalanan tu, suasana meriah dengan lagu pelbagai irama yang dipasang oleh pengayuh beca yang bergerak pantas membawa pelancong.  Beca nya pula begitu cantik dihiasi bunga, loceng dan lampu pelbagai warna.

Sungai Melaka .... cantik ala-ala venice
Puteri-puteri ni seronok sungguh
Kebanyakan kedai lama bertukar wajah menjadi hotel dan cafe tepi
sungai. Tengok lukisan grafiti yang cantik 

Kami menaiki bot menyusuri Sungai Melaka. Murah jer, RM10 seorang untuk perjalanan 45 minit. Sungguh indah pemandangan di kiri dan kanan sungai ini di mana kebanyakan bangunannya adalah rumah-rumah kedai yang lama dan masih terpelihara. Grafiti menceritakan sejarah dan budaya Melaka menghiasi dinding bangunan dan kedai-kedai tersebut. Menurut pemandu bot, lukisan grafiti ini adalah hasil kerjatangan pelajar-pelajar UITM Shah Alam dan Melaka. Ahh ... sebagai alumni UITM aku tumpang bangga dengan kerjatangan anak-anak ini.

Aku amat tertarik dengan keindahan Kampung Morten, sebuah perkampungan Melayu traditional di tengah-tengah Bandar Melaka.  Kebanyakan rumah asal disini masih dikekalkan rekabentuk asalnya, dengan atap limas, tangga batu berwarna-warni dan ukiran kayu yang unik.  Kerajaan Melaka menyumbang untuk kos baikpulih dan penyenggaraan kampung ini.  Banyak rumah yang menawarkan homestay untuk para pelancong yang ingin merasai kehidupan masyarakat Melayu Melaka.



Pilih jangan tak pilih
Tinggalan Belanda dengan bandar warna merahnya

Merehatkan diri di Mahkota Parade

Turun dari bot kami bergambar di hadapan Clock Tower yang cantik. Di sini ramai penjaja menjual kraftangan seperti kipas, key-chain, magnet, terompah, tshirt dan lain-lain.  Pilih ajer.

Selepas itu kami pulang ke hotel untuk membersihkan diri yang sudah berpeluh masam.  Hairan bin ajaib, berjalan kaki ke sana ke mari (agak-agak berapa kilometer yer), tak terasa pulak sakit kaki dan pinggang aku. Hehehe .... keseronokan mengatasi rasa sakit. Alhamdulillah atas nikmat Tuhan.

Malamnya kami pergi ke Pantai Klebang untuk makan malam. Kami makan otak-otak yang sedap dan panas-panas sampai 20 cucuk, malulah macam pelahap pulak. Tapi punyalah sakit hati, dekat 1 jam menunggu baru makanan yang kami pesan tiba. Bukan oder yang pelik-pelik pun, cuma nasi goreng aje.  Hrmm sabo aje le, inilah dugaan namanya.

Seterusnya kami berkunjung ke rumah sepupu Abah yang menetap di Klebang.  Memandangkan badan pun dah letih, mata pun dah mengantuk, kami tidak berlama-lama di rumah Syakimah.  Selepas berbual dengan secawan teh, kami meminta diri. Katil dah memanggil-manggil.

Tuesday, June 19, 2012

Reunion 26-27 Mei 2012 - Part 5

Ketibaan guru-guru kami sambut dengan peluk dan cium (murid pompuan dengan cikgu pompuan ler, takkan dengan cikgu lelaki kut ... cari nahas).  Airmata kegembiraan dan terharu jelas kelihatan di tubir mata guru-guru tersayang.  Wajah mereka jelas memancar sayang tatkala memandang ke mata setiap anak murid.  Subhanallah ... Ya Allah, Engkau berikan kehidupan yang penuh keberkatan buat guru-guru kami yang telah mendidik kami sehingga menjadi manusia yang berjaya.  Ameeeen.


Awat Cikgu Baharum lebih comel dari hangpa semua??
Selepas itu bermulalah sesi memperkenalkan diri kami kepada guru-guru. Memang kali ni betul-betul ringkas. bagitau nama, duduk kat mana, kerja di mana (jawatan tak perlu bagitau, nak bagitau pun tak pa) dan anak dah berapa orang (pencapaian sebagai seorang ibu dan ayah).  Lepas itu 4 guru dijemput bercakap.

Tuan HM ... sekarang kami dah tak gerun lagi, tapi kami sangat-sangat respek pada cikgu

Dato' Abdul Rahim Abdul Majid dulunya kami panggil Tuan HM jer (Headmaster) kini dah berusia 71 tahun.  Orangnya kecil, wajahnya serius dan suaranya penuh authority.  Dulu nampaknya kelibatnya, semua murid akan berusaha menyembunyikan diri.  Tapi pada hari ini dia bercakap sebagai seorang bapa yang penyayang dan penuh bangga bertemu anak-anaknya.  Beliau masih lincah dan kuat daya ingatannya. Antara ayat-ayat Tuan HM yang mencuit hati kami ialah :

  • dulu anak-anak di depan saja ni renik-renik belaka, tapi sekarang nampaknya semua saiz dah lebih besar dari cikgu-cikgu
  • anak-anak jangan berhenti belajar, belajarlah apa saja, ilmu dunia, ilmu akhirat, saya pun masih belajar untuk PHD. Bila pergi kolej, mereka ingat saya ni professor, pakat nak approach saya
  • nampaknya ramai kalangan anak-anak di depan saya ini adalah pendidik. Teruskan karier murni ini dengan hati yang ikhlas. Esuk kamu pun akan jadi macam saya, merasa sangat bahagia tengok kejayaan anak didik kita
Seterusnya kami mendengar celoteh Cikgu Baharum yang dulunya mengajar Ilmu Alam atau Geografi.  Cikgu Baharum selalu mengingatkan kami kepada budayawan dari Indonesia menerusi gaya percakapannya  yang unik dan tersusun rapi (ala-ala percakapan Rais Yatim).

Pasangan Romeo & Juliet - nampak Cikgu Nuriyati lebih muda dari aku ... isyyy ini tak boleh jadi,
 kena tanya rahsia dia awet muda walau dah ada 3 cucu

Kami kemudiannya mendengar nasihat dari Cikgu Ilyas yang cool. Dulunya beliau dikenali sebagai MC (Master of Ceremony) sekolah.  Semua acara rasmi sekolah dia yang akan pegang mikrofon.  Cikgu Ilyas yang merupakan warden Asrama Putera datang bersama buah hatinya Cikgu Nuriyati yang merupakan warden Asrama Puteri.  Dulu kami selalu mengendap kedua-dua cikgu ni.  Setiap pagi Cikgu Ilyas akan menjemput Cikgu Nuriyati di Asrama Puteri untuk breakfast di dewan makan sebelum bersama-sama berjalan ke sekolah. So sweet.

Cikgu Azizah (kiri - ajar Sains Rumahtangga) dan Cikgu Saayah (kanan) aka Miss Bobby

Tetapi yang paling mencuit hati kami pagi itu ialah ucapan Cikgu Saayah.  Beliau merupakan warden Asrama Puteri yang terkenal dengan garangnya.  Dulu beliau begitu rugged dan bercinta pula dengan seorang lagi warden Asrama Putera, Cikgu Ishak Mahmud.  Zaman percintaan mereka memang hebat, kami panggil pasangan Bobby (waktu ni filem Bobby sedang top di pawagam). Masih terbayang Cikgu Saayah menonggek memeluk pinggang Cikgu Ishak menunggang scrambler setiap hujung minggu untuk dating.  Alhamdulillah mereka sempat menikmati hidup berumahtangga selama 10 tahun sebelum Cikgu Ishak kembali ke rahmatullah. Al Fatihah.  Ucapan Cikgu Saayah dalam dialeg Perlis yang pekat membangkitkan pelbagai nostalgia kami semasa menjadi penghuni asrama.

Cikgu Khalid Dan yang kelakar - masih muda tak ada satu uban pun di kepala walau dah pencen

Antara guru-guru yang berbesar hati hadir bertemu anak didik

Tekun mendengar ucapan 'ayahanda bonda' yang dikasihi

Sebelum acara berakhir, kami menghadiahkan cenderahati buat guru-guru yang hadir diikuti dengan sesi bergambar. Riuh-rendah suasana kami mengusik guru-guru yang nampak lebih comel dan awet muda berbanding dengan anak murid ....hahahaha.  Semasa jamuan teh, kami megambil peluang mendekati setiap guru untuk berbual mesra dan bergambar.

Majlis bersurai tepat jam 1 tengah hari.  Perpisahan kami penuh perasaan pilu. Rasa tak puas bermesra cuma untuk tempoh 24 jam.   Banyak lagi perkara yang mahu dikongsi. Tapi memandang semua telah mempunyai komitmen dan kehidupan tersendiri, perpisahan ini tidak dapat dielakkan lagi. Kami berdoa semoga Allah memberi peluang untuk kita bertemu lagi. Semoga pertemuan yang akan datang, lebih ramai lagi yang dapat hadir.

Wednesday, June 13, 2012

Reunion 26-27 Mei 2012 - Part 4

Seawal jam 5 pagi alarm berbunyi dari beberapa handphone. Masa untuk bangun mandi.  Bergeraklah kami ke tandas sekolah.  Isyyy ... budak-budak pompuan sekarang ni lebih teruk dari zaman kami dulu.  Entah siapalah punya bra dan panties, ada yang bergantung-gantung, ada yang terendam dalam timba, ada yang tersadai atas lantai.  Memandangkan sekarang ini cuti sekolah 2 minggu, dah pastinya khazanah tersebut busuk dan berkulat atau akan dimasukkan dalam tong sampah oleh pencuci asrama. Kesianlah dekat ibu bapa yang berhabis duit beli bra dan panties comel-comel untuk anak mereka.

Syukur kepada Allah memberikan bonus kita mencapai usia emas, jangan persiakan anugerah ini, 

Hahahahha ... subuh-subuh lagi makcik-makcik ni dah berleter!!!! Kemudian kami bergegas ke surau yang terletak di Asrama Putera.  Jika 33 tahun dulu, Asrama Putera merupakan kawasan larangan keras bagi pelajar puteri, tapi hari ni kami bebas melenggang masuk ke sana.  Kami solat subuh berjemaah dan seterusnya mengikuti kuliah subuh yang disampaikan oleh rakan kami Megat Ahmat Fauzi bertajuk "Refleksi dan amalan di usia emas".  Ahhh ... terharu sungguh mengenangkan nikmat yang Allah kurniakan sehingga kami semua dapat berkumpul selepas 33 tahun lebih kami berpisah.  Tidak diketahui berapa tahun lagi baki usia yang ada, dan sebanyak mana timbangan amalan yang telah dikumpulkan.

Dewan utama sekolah - tempat mengambil peperiksaan penting, tempat menerima anugerah,
tempat konsert,  tempat perhimpunan dan macam-macam acara lagi
Pintu utama ke sekolah kemegahan kami
Seterusnya acara yang dinanti-nantikan iaitu "menapak 1000 langkah". Kami menyusuri laluan yang dulunya kami lalui beberapa kali sehari untuk kelas pagi, prep petang, bersukan waktu petang dan prep malam selama 5 tahun. Kami jenguk ke sekitar kawasan kelas-kelas, bengkel, makmal, kantin, padang, tapak "panggung wayang pacak", dewan perhimpunan dan pintu masuk utama.  Banyak yang telah berubah.  Jika 33tahun dulu sekolah ini begitu kemas dan ringkas, kini begitu banyak bangunan baru didirikan. Terasa agak berserabut persekitaran sekolah kini.  Dalam menapak itu, kami saling bernostalgia :

  • teringin sangat nak rasa bihun goreng Pak Syed yang sedap dulu. waktu tu 50 sen jer sepinggan. Sedapnya terasa sampai sekarang.  Tapi sekarang dah oranglain yang jual kat kantin nih.
  • di sini dulu sebulan sekali kita duduk lepak atas jalan mendongak dekat dinding sekolah. Tengok wayang cerita best punya .... Saturday Night Fever, Grease, The Spy Who Love Me dan macam-macam lagi.  Shukri tokeh wayang selalu letak tangan depan projektor bila ada adegan-adegan kena sensored.  Pakat menjerit marah kat dia ... hahahahaha.
  • kat padang inilah dulu aku lari 4 x 400 meter sampai pitam.  Sedar-sedar dah ada dekat sick-bay,  makan pun depa hantar ke katil.  Ingat lagi kat matron garang tu, dia kata aku dah sihat, sila balik ke dorm, jangan nak ngada-ngada duduk lama-lama dekat sick-bay ... hehehehhe.
  • kat koridor ni kita dok jalan pergi-balik 5 tahun,  berapa ribu tapak ekkk??? 
  • ingat tak dulu ... petang-petang kita ponteng tak mau main, kita sembunyi belakang bengkel ni lah.  Semut api gigit paha kita.  Waktu tu paha kita semua ternganga, pakai short pant jer. Tapi kita semua kurus waktu tu, tak dak sapa pun kata kita seksi.  Sebab waktu tu semua orang memang pakai short pant, sapa pakai long pant yang nampak macam  pelek time tu. Semoga Allah mengampunkan kejahilan kita waktu tu. 

Selesai bertapak, kami menjamu selera dengan nasi ganja berlauk ikan dan ayam. Aduhhh, sedap sungguh rasaya dapat melepas rindu makan nasi ganja selepas 33 tahun.


Keceriaan teman sejati
Sebahagian "pelajar" Malay Medium yang hadir - ada beberapa orang yang
missing  in action,  puas dicari .. ke tandas agaknya?  hihihihi

Sementara menunggu ketibaan guru-guru, kami penuhkan masa dengan bergambar dan menyambung cerita. Memang tak cukup masa rasanya nak bersembang dengan  kengkawan.  Dewan riuh-rendah dengan gelak ketawa dan usik-mengusik mengimbau kenangan lama.

Tuesday, June 12, 2012

Reunion 26-27 Mei 2012 - Part 3

Kami berkumpul jam 6 petang di deawan makan sekolah. Apabila pertama kali bersua muka, jelas masing-masing mengerut dahi.  "If u don't mind, please introduce yourself" hahahaha .... dah pakat tak kenal satu sama lain.  30 tahun dulu, semuanya si manis 17, yang lelaki slim dan tangkas, sekarang dah boroi, berjanggut bermisai, malah beruban ... oppppp!!!  yang perempuan pun dulu lincah dan genit, kini dah bertudung, bergaya ala datin-datin dan dah ramai yang tukar saiz badan.  Memang sekali pandang susah nak kenal.  Pun begitu ada beberapa orang yang masih maintain macam dulu, tu yang buat kami semua cemburu.

"You ni Aminuddin ka?  Lor ... aku Moz la! You dah tak kenai no??"
Aku mengambil tugas di bahagian pendaftaran, mengedar tshirt dan mengutip wang dari semua peserta. Alhamdulillah, akhirnya seramai 55 daripada 120 bekas penuntut dapat hadir.  Itu sudah cukup baik berbanding dengan sambutan awal yang kami terima.

Sebenarnya batch aku ni agak unik.  Ini merupakan kumpulan terakhir pelajar dipecahkan dalam dua aliran iaitu English Medium dan Malay Medium. Walaupun kami berlainan aliran, tetapi kami akan dicampurkan semasa subjek bahasa Inggeris diajar. Ini disebabkan ada pelajar Malay Medium yang bagus penguasaan bahasa Inggerisnya akan duduk di kelas A  atau B dan ada juga pelajar English Medium yang terpaksa masuk kelas C dan D.  Selain itu kami juga bergaul mesra di asrama, di padang permainan atau dalam kelab-kelab ko-korikulum.  Ini mewujudkan hubungan mesra antara pelajar dari kedua-dua aliran.

Selesai pendaftaran, kami berkumpul di surau untuk solat Maghrib dan Isya secara berjemaah. Seterusnya diadakan majlis tahlil untuk guru-guru dan 2 sahabat kami yang telah kembali ke rahmatullah (Allahyarham Mohsin Said dan Allahyarhamah Wan Aspalela).  Semoga roh mereka ditempatkan bersama-sama orang yang  mendapat keredhoan Allah. Amin.  Seterusnya kami mendengar pengalaman sahabat kami Tan Hew Min yang telah melakukan hijrah yang besar dengan memeluk Islam dan bertukar nama kepada Mohd Ashraf Tan.  Alhamdulillah.

Saya Cikgu Noorshitah, dulu depa panggil Farrah Fawcett, sebab saya suka buat
 rambut fesyen  gulung-gulung ... hehehehe
Lepas ni kita makan kenduri rumah sapa yang mula-mula nak terima menantu

Acara kemuncak malam tersebut ialah jamuan makan malam diikuti dengan acara bergambar beramai-ramai.  Seterusnya setiap orang naik ke pentas untuk "memperkenalkan" diri secara ringkas.  Tetapi ramai juga yang seronok bercakap panjang lebar hingga majlis terlajak ke jam 12 tengah malam. sewaktu sesi ni barulah kami tahu ramai yang pernak kecundang dan kini dah berjaya, ramai yang dah berhenti kerja pejabat dan buat bisnes sendiri, ramai yang jadi pendidik, ramai juga yang sedang berkira-kira nak menerima menantu dan juga yang dah mempunyai 2 set keluarga (kahwin 2 atau kahwin 2 kali ... hrmmm, jodoh)

Di lorong inilah beribu-ribu kaki anak seawal usia 13 tahun melangkah untuk menjadi manusia yang berguna
Acara paling thrill ialah tidur beramai-ramai di asrama.  Bukan mudah untuk melelapkan mata malam itu. Semua masih seronok nak bergebang, maklumlah jarak 30 tahun yang memisahkan kami membuatkan banyak perkara yang mahu dikongsi.  Cuma yang tak seronoknya, nyamuk pun nak berkongsi tidur dengan kami.  

Monday, June 11, 2012

Harvey Malaiholo - Jerat (Original Version)



Lama sungguh aku tercari-cari lagu ini.  Sedap sungguh di telinga.  Hari ini saja entah berapa kali aku mendengarnya.

Tak mau cakap panjang .... jom layannnnnn.