Thursday, June 21, 2012

Melaka 5 - 7 Jun 2012 (Hari 1)

Kali terakhir aku ke Melaka adalah pada tahun 2009 sewaktu mengambil barang-barang Kak Long yang menamatkan pengajiannya di MMU.  Kebetulan cuti sekolah tahun ini semua anak-anak ada di rumah. Kak Long sedang merehatkan badan sebagai penganggur terhormat selepas menamatkan pengajian pada 21 Mei lalu. Kak Ngah sedang bercuti semester manakala Puteri Bongsu pula tidak ada program tuisyen masa cuti sekolah.  Bukan senang nak mengumpul anak-anak bercuti serentak macam ni.

Perjalanan dari Penang ke Melaka selesa sebab kami memulakan perjalanan awal pagi. Hari Isnin mungkin kadar trafiknya kurang sedikit dari hujung minggu.  Kak Ngah jadi driver dari Ipoh hingga ke Sungai Buloh.  Lepas tu Abah jadi pilot dan aku jadi co-pilot.

Posing depan kubu Portugis di Bukit St Paul
Teruja tengok beca-beca kat sini, cantik-cantik hiasannya. Pasang pulak lagu inggeris,
 dangdut .. janji semua rancak-rancak

Kami check-in di Mahkota Hotel. Apatment 2 bilik ini terletak di tingkat 18. Ffuh, gayat memandang ke bawah tapi puas hati jelas kelihatan Bandar Melaka di hadapan dan Selat Melaka di belakang.  Setelah membersih tubuh kami memulakan acara jalan-jalan di Bandar Hilir.  Kunjungan pertama ialah ke kawasan Bukit St Paul  atau kawasan bangunan merah.  Memang aku kagum dengan Kerajaan Melaka yang tekun memulihara keindahan bangunan bersejarah di sini. Memandangkan jam dah 5.30 petang, semua muzium di kawasan ini telahpun ditutup.  Kami terus ke kawasan pesisir sungai. Sepanjang perjalanan tu, suasana meriah dengan lagu pelbagai irama yang dipasang oleh pengayuh beca yang bergerak pantas membawa pelancong.  Beca nya pula begitu cantik dihiasi bunga, loceng dan lampu pelbagai warna.

Sungai Melaka .... cantik ala-ala venice
Puteri-puteri ni seronok sungguh
Kebanyakan kedai lama bertukar wajah menjadi hotel dan cafe tepi
sungai. Tengok lukisan grafiti yang cantik 

Kami menaiki bot menyusuri Sungai Melaka. Murah jer, RM10 seorang untuk perjalanan 45 minit. Sungguh indah pemandangan di kiri dan kanan sungai ini di mana kebanyakan bangunannya adalah rumah-rumah kedai yang lama dan masih terpelihara. Grafiti menceritakan sejarah dan budaya Melaka menghiasi dinding bangunan dan kedai-kedai tersebut. Menurut pemandu bot, lukisan grafiti ini adalah hasil kerjatangan pelajar-pelajar UITM Shah Alam dan Melaka. Ahh ... sebagai alumni UITM aku tumpang bangga dengan kerjatangan anak-anak ini.

Aku amat tertarik dengan keindahan Kampung Morten, sebuah perkampungan Melayu traditional di tengah-tengah Bandar Melaka.  Kebanyakan rumah asal disini masih dikekalkan rekabentuk asalnya, dengan atap limas, tangga batu berwarna-warni dan ukiran kayu yang unik.  Kerajaan Melaka menyumbang untuk kos baikpulih dan penyenggaraan kampung ini.  Banyak rumah yang menawarkan homestay untuk para pelancong yang ingin merasai kehidupan masyarakat Melayu Melaka.



Pilih jangan tak pilih
Tinggalan Belanda dengan bandar warna merahnya

Merehatkan diri di Mahkota Parade

Turun dari bot kami bergambar di hadapan Clock Tower yang cantik. Di sini ramai penjaja menjual kraftangan seperti kipas, key-chain, magnet, terompah, tshirt dan lain-lain.  Pilih ajer.

Selepas itu kami pulang ke hotel untuk membersihkan diri yang sudah berpeluh masam.  Hairan bin ajaib, berjalan kaki ke sana ke mari (agak-agak berapa kilometer yer), tak terasa pulak sakit kaki dan pinggang aku. Hehehe .... keseronokan mengatasi rasa sakit. Alhamdulillah atas nikmat Tuhan.

Malamnya kami pergi ke Pantai Klebang untuk makan malam. Kami makan otak-otak yang sedap dan panas-panas sampai 20 cucuk, malulah macam pelahap pulak. Tapi punyalah sakit hati, dekat 1 jam menunggu baru makanan yang kami pesan tiba. Bukan oder yang pelik-pelik pun, cuma nasi goreng aje.  Hrmm sabo aje le, inilah dugaan namanya.

Seterusnya kami berkunjung ke rumah sepupu Abah yang menetap di Klebang.  Memandangkan badan pun dah letih, mata pun dah mengantuk, kami tidak berlama-lama di rumah Syakimah.  Selepas berbual dengan secawan teh, kami meminta diri. Katil dah memanggil-manggil.

No comments: