Monday, July 23, 2012

Terkenang Keindahan Itu


Hari ni hari ke-3 berpuasa.  Subhanallah, cuaca redup sejak dari pagi.  Terasa nyaman sangat. Berbeza dengan semalam, panas terik dari pagi hingga lewat petang. Hingga anak-anak merungut letih dan lapar.  "Sabar yang,  inilah dugaan Ramadhan. Lagi banyak dugaan, lagi kita sabar, lagi besar pahala".  

Sebenarnya kata-kata itu untuk memujuk diri aku juga.  Aku benar-benar terasa letih, rasa nak melepek ajer.  Kalau ikutkan malas dan letih, aku nak tidor ajer.

Tetapi bila mengenangkan besarnya ganjaran Ramadhan aku pujuk anak-anak untuk pergi menunaikan tarawih.  Mereka akur, tapi dengan muka muncung. Setelah 8 rakaat aku benarkan mereka pulang.  Aku dan Abah sambung sampai habis.

Subhanallah.  Aku pun hairan, dimana hilangnya letih aku siang tadi. Semasa bertarawih, tenagaku datang kembali.  Mungkin setelah berbuka dengan tamar 3 biji, sesenduk nasi dan lauk-pauk (aku tak berani makan banyak takut perut sengkak dan berangin semasa tarawih) dan satu mug minuman nestum, Allah kurniakan semula tenaga.  Aku juga sentiasa berdoa semoga Allah memberikan aku kekuatan fizikal, mental dan iman untuk mengutip kelebihan Ramadhan ini. Siapa tahu, mungkin ini Ramadhan terakhir untuk kita. Wallahualam. Mungkin juga suasana dalam masjid yang dingin dan nyaman memberi kesegaran pada tubuh.  Atau bacaan yang merdu bagi juzuk ke-3 oleh Imam (seorang anak muda) membuatkan aku teruja untuk menghabiskan 20 rakaat solat ini. Semua faktor itulah yang memberi kekuatan kepadaku.

Selain beribadat, memakai telekung untuk shopping, makan-makan atau menziarah tempat bersejarah
adalah perkara biasa di tanah suci Mekah dan Madinah

Satu yang jelas menjadi trend ialah suasana di bualan Ramadhan ini bagaikan berada di tanah suci Mekah dan Madinah.  Hampir 80% jemaah wanita memakai telekung semasa pergi dan balik dari masjid.  Dalam perjalanan pulang dari masjid mereka singgah di kedai 7Eleven, KFC, Pizza Hut atau mini-market dengan telekung tersebut tanpa rasa janggal.  Oranglain terutama bangsa asing juga kelihatan telah dapat menerima suasana ini tanpa rasa memandang pelik. Suasana ini berbeza dengan beberapa tahun lalu, dimana hanya orang-orang yang berumur sahaja yang berbuat demikian.

Ya Allah, indahnya Ramadhan ini.  Kurniakan kami dengan rahmatMu yang melimpah-ruah. Angkatkan segala dosa-dosa kami dan kurniakan kami keredhoanMu.  Terimalah amalan kami dan jadikan kami hambaMu yang mendapat kemenangan hidup di dunia dan akhirat. Ameen

Saturday, July 21, 2012

Rabbani - Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan dengan lirik

Alhamdulillah .... Allah SWT memberi kita peluang sekali lagi untuk menikmati keindahan Ramadhan yang penuh barkah.  Jangan lepaskan peluang mengutip ganjaran yang berlipat-ganda.

Semoga kita dapat melaksanakan Ramadhan kali ini lebih sempurna dari tahun-tahun sebelum ini.


Wednesday, July 11, 2012

Orang Malu Selalu Rugi

Malu itu separuh dari iman. Jadi kita harus ada sifat malu. Malu kepada Allah kerana selalu melakukan kemungkaran dan ingkar perintahNya. Malu kepada Rasulullah kerana tidak menjadi umat yang mencontohi akhlaknya.  Malu kepada orang sekeliling kerana bersikap menyombong diri, ego, selfish, kedekut, malas dsbnya. Pendek kata kita mesti malu apabila melakukan perkara-perkara tidak baik.

Tetapi kita jangan malu untuk melakukan kebaikan.  Bulan Syaaban kian sampai ke hujungnya. Lakukan sebanyak mungkin ibadah untuk menyambut Ramadhan Al Mubarak. Sebenarnya tidak ada bulan-bulan atau hari-hari tertentu untuk kita meningkatkan beribadat, sebab kita tidak tahu bila Izrail akan menjemput kita. Tetapi kita boleh menjadikan ketibaan bulan-bulan istimewa ini sebagai pemangkin untuk kita menjadi lebih baik pada hari-hari seterusnya.  Insyaallah.

Begitu juga dengan bab keduniaan. Jangan malu untuk berusaha menjadi lebih baik dalam kehidupan seharian. Jangan takut orang mengata dan mengeji, kalau kita yakin apa yang kita buat tidak melanggar hukum syarak.

Begitulah juga aku.  Dalam berniaga aku tidak boleh bergantung semata-mata kepada perniagaan online. Kekadang impaknya agak perlahan. Maklumlah bukan semua orang menggunakan internet. Tak semua orang juga suka berurusan secara online. Terutama perniagaan aku Spectrum Creations yang melibatkan fabrik.  Pembeli nak pegang-pegang kain tu. Kalau baju, tudung atau telekung mereka nak pakai depan cermin dulu, kalau selesa baru mereka akan beli.

Tudung bawal  MOO (lembu) yang dapat sambutan hangat

Telekung vietnam sulam benang perak sangat digemari


Sudah lama aku bercadang hendak menjual terus kepada teman-teman di pejabat lama ku dulu. Tetapi sifat malu yang tebal menguasai aku. Pelbagai prasangka bermain di fikiran. "Malulah bekas manager sekarang dah jual kain!!!" "Duit tak cukup kut, tu yang kena jual kain!!!" Ahh, ego juga menguasai aku.

Tetapi aku terpaksa tepis semua itu. aku patut megah menjadi my own boss. Aku free nak bekerja bila aku suka. Kalau aku rajin, rezeki masuk banyak. Kalau aku malas, rezeki pun slow.  So dengan Bismillah aku mulakan langkah. Hari ni aku pergi ke lokasi A untuk menjual hasil daganganku (aku pastikan aku  pergi sewaktu lunch break supaya tidak mengganggu waktu kerja mereka). Alhamdulillah, tanpa disangka-sangka sambutan memang mengejutkan. Aku tak pasti mereka membeli kerana memang memerlukan tudung dan telekung sempena Ramadhan yang hampir tiba, atau kerana mereka kasihankan aku. Tak kisahlah, yang penting terima kasih kengkawan kerana menyokong aku. 

Selepas ni aku akan pergi ke lokasi B dan C pulak. Harapanku agar sambutan yang serupa aku terima di pejabat-pejabat tersebut. Kalaulah aku dah mulakan langkah ini lebih awal dulu, tentu sekarang aku dah jadi orangkaya. Heheheheheh.  Betullah tu, kadang-kadang malu tak bertempat menyebabkan kita rugi.

Saturday, July 7, 2012

Kenduri Saat-saat Akhir

Dah pertengahan Syaaban. Dua minggu lagi dah nak masuk Ramadhan.  Semua orang pakat jadi kalut. Terasa meriah sangat nak menyambut Ramadhan yang cara yang tersendiri.

Ada yang mengambil kesempatan memperbanyakkan ibadah puasa sunat, solat sunat dan bersedekah di bulan Rejab dan Syaaban. Banyak masjid dan surau mengadakan solat sunat Tasbih dan qiamullail. Ada yang kalut nak ganti puasa.  Ada yang kalut nak menempah baju, puaslah memujuk tailor yang dah lama tutup tempahan.  Ada yang kalut menghantar sample kuih ke pejabat-pejabat untuk tempahan, maklumlah sekarang masih boleh merasa sample kuih.  Aku dan Spectrum Creations pulak sibuk menawarkan telekung untuk yang nak bersedekah telekung atau pakai telekung baru untuk ibadah tarawih dan solat sunat Aidilfitri.

Telekung sulam tebuk Vietnam

Tetapi waktu ini juga aku kalut memenuhi jemputan kenduri. Setiap hujung minggu pasti jadual dipenuhi dengan menghadiri majlis kenduri kahwin.  Berduyun-duyunlah bersama sahabat-handai dan saudara-mara, sekejap ke utara, sekejap ke selatan menghadiri walimatul-urus. Tak hadir berdosa pula. Memenuhi jemputan itu satu tuntutan.

Seronok berjumpa ipar, biras, sepupu, emak penakan, pak penakan ...

Paling aku seronok menghadiri kenduri saudara-mara atau bekas teman sepejabat. Waktu inilah dapat berjumpa semula saudara atau sahabat yang telah lama terpisah.  Ada yang semakin berisi tubuh badan, ada yang makin slim, ada yang yang dah penuh warna putih di rambut dan misai, ada yang dah bercucu ... ahhh, macam-macam perkembangan terkini.

Selesai kenduri, konvoi round island dan singgah makan mee udang
kat Teluk Kumbar

Seronoknya bila dah pergi tempat jauh-jauh tu, bermulalah aktiviti sambil menyelam minum air. Setelah selesai kenduri, berehat sekejap, mulalah nak cari makan petang pulak.  Yang lecehnya di sebelah Pulau Pinang, petang Ahad banyak kedai atau gerai makan yang tutup.  Kata Abah, "tokey dan pekerja restoran pun  nak pi kenduri jugak".  Hrmmm sendiri rugilah, waktu ni ramai orang jalan-jalan cari makan bersama keluarga, kedai pulak tutup.

Jemputan terakhir aku terima adalah seminggu sebelum puasa, 15 Julai 2012.  Menurut ibu pengantin, hanya waktu itu sahaja dewan kosong untuk majlis kenduri.  Katerer pun waktu ni dah relaks sikit, mau menerima tempahan kenduri. Tak kisahlah, janji majlis berjalan lancar.  Kepada semua pengantin baru, selamat menempuh alam perkahwinan yang penuh dugaan.  Kata ustaz, dugaan di bulan Ramadhan lagilah hebat!!!

Wednesday, July 4, 2012

Berkelah Di Bendang Man - 16 Jun 2012

Sudah beberapa tahun kami tidak mengatur aktiviti perkelahan. Semenjak anak-anak dah makin besar, semua keluarga sukar berkumpul.  Anak sidia kena tunggu cuti sekolah, anak dia pulak U  tak cuti, dia pulak pergi umrah, dia pulak ada kenduri di sana-sini.  Ahhh, tak boleh jadi, kalau nak tunggu semua available, langsung satu aktiviti pun tak boleh jalan. Kami aturkan juga percutian kali ini. Sapa boleh join, silakan.  Sapa ada hal, minta maaflah, mungkin boleh join lain kali.

Resort kami duduk - 4 unit saling berdepan, mudah nak gossip

Kami google dan risik sana-sini. Keutamaan adalah tempat peranginan di Kedah, Perlis atau Pulau Pinang. Akhirnya terjumpa satu tempat iaitu Keda Resort Bendang Man.  Bendang Man tu di mana?  Nak tau di mana, baca kat SINI.  

Kami tempah 4 buah resort untuk 4 keluarga.  Resortnya baru dan lengkap dengan kemudahan asas seperti bilik air, pendingin udara, TV astro, almari pakaian dan tempat membancuh minuman.  Sayangnya tak der peti sejuk aja.  Tilam dan bantal pun keras lagi. Setiap resort mempunyai 2 katil bujang, 3 tilam dan 3 bantal tambahan.  Memang selesa untuk keluarga 5 beranak.  

Air tangan 5 chef - Prai, Sungai Petani, Gurun, Alor Setar

Emak dengan maktok syok makan, cucu dok merajuk ... heheheh

Setiap keluarga berpakat membawa satu jenis resipi untuk makan tengahari. Sesampai aje kami di resort ini, jam dah tepat pukul 12.45 tengah hari. Apa lagi, kami bentang tikar di tengah halaman antara 4 resort itu dan mula menyuap makanan dengan seleranya. Ada kari ikan, udang goreng kunyit, rendang ayam, daging kicap, bilis goreng dan sayur goreng.  Sekejap jer dah kosong 2 rice cooker bersaiz besar.

nak mandi, tapi air cetek sangat

Opppp ... terlondeh

Selepas berehat dan solat, kami menuju ke kawasan jeram Sungai Chepir yang terletak di hadapan resort kami. Walaupun cuaca panas, air jeram ini sungguh sejuk dan buat kami menggeletar. Memandangkan sekarang musim panas, air jeram agak cetek tetapi arusnya masih deras.  Sambil mandi kami bergurau-senda dan berbual mesra. Tercapailah hajat untuk mengeratkan silaturrahim semua ahli keluarga Abah.

sesi minum petang

Petangnya kami dikunjungi oleh keluarga Pak Tua yang tidak dapat menginap di sini kerana perlu menziarahi ibu mertua yang sakit kuat.  Bermacam jenis juadah seperti murtabak, kuih lapis, karipap dan bengkang dibawa.  Berteman teh o panas dan kopi o kaw-kaw, kami menjamu perut yang sudah kosong semula.  

Makan malam kami simple ajer.  Menghabiskan segala lauk yang masih berbaki.  Alangkah baiknya kalau kami dapat membuat BBQ di sini, tentu sangat berselera makan dalam suasana malam yang sejuk dan sunyi sepi dari hiruk-pikuk kenderaan.  Sembang punya sembang, jam 12 baru kami masuk tidor.

Keesukan paginya kami memasak nasi goreng kerabu dan roti bakar dicicah dengan gulai ikan. Mujurnya Mak Usu membawa dapur mininya.  Rupanya berselera sungguh makan roti bakar cicah kuah semalam. Tak sempat roti nak garing, semua berteriak minta cepat ... hahahha, macam piranha kelaparan.

Kami bermandi-manda lagi selama beberapa jam sebelum berkemas dan check-out pada pukul 2.30 petang.  Perut semua dah lapar, stok makanan pun dah habis, tak mau berlengah lagi kami menuju ke Pekan Jeniang untuk makan tengah hari.