Pejam celik pejam celik, hari ni dah 21 Ramadhan. Dalam fasa 10 malam terakhir.
Subhanallah. Apa perasaan aku sekarang? Sedih dan pilu. Pelik!! mungkinkah ini perasaan setiap orang yang dah masuk fasa warga emas??
Dulu bila time dekat nak raya nih, hati kembang berbunga-bunga. Seronoknya tak terkata. Waktu ni satu kampung berbau harum dengan aroma buahulu, kuih bangkit, kerisik, kuih siput, kuih kapit yang dibakar dan goreng oleh kaum ibu. Asap kecil kelihatan berkepul-kepul dari bawah rumah. Maklum waktu dulu kalau nak bakar kuih kena guna sabut kelapa untuk bakar di bahagian bawah dan atas acuan. Rasa dan aroma kuihnya, masyaallah punyalah sedap. Kini hanya tinggal kenangan.
Dulu time ni Emak dah siap menjahit baju kurung dan langsir. Baju kami sama aje warna dan bunganya. Kami ada 5 beradik perempuan, berderetlah 5 gadis kecik ni dengan baju yang sama. Waktu tu megah dan seronok. Sekejap-kejap pakai, lepas tu simpan, esuk pakai balik, lepas tu simpan, sampailah tiba hari raya. Hehehe, baju pun emak buat 2 pasang seorang. Itupun dah kira rahmat dan mewah masa tu. Langsir pulak Emak simpan. Tunggu last minute baru pasang. Baru ada thrill and surprise pada pagi raya. Hehehhe, waktu tu semua rajin berebut nak tolong Emak pasang langsir. Kini hanya tinggal kenangan.
Di rumah inilah aku membesar. Setelah 50 tahun berlalu, rumah ini telah melalui pelbagai transformasi rekabentuk, saiz dan persekitaran. Tapi aku tetap bangga dan sayangkan rumah ini |
Waktu ni di kampung dah mula pasang pelita atau panjut keliling rumah. Itu kerja anak lelaki. Mereka yang pandai buat kerja-kerja macam tu. Kami yang perempuan kena tunggu dalam rumah tolong gentel kuih siput, lap pinggan mangkuk, kemas ruang tamu dll. Bila malam hari kami duduk ramai-ramai di beranda rumah tengok suasana laman yang cerah dengan panjut. Apak tak mau bagi main mercun dan bunga api waktu ni. Lagi 3 hari sebelum raya baru kami diberi kebenaran bermain. Jadi kami gunakan waktu ni melepak sambil nyanyi lagu raya. Heeeheheeh ... bukan nak pergi tarawih. Semoga Allah mengampunkan kelalaian kami ketika itu. Aku merindui kegirangan kami bercanda di beranda mengadap laman yang terang benderang. Ahhh memang mencetuskan kesayuan di hati. Kini hanya tinggal kenangan.
Tapi kini perasaan aku berubah. Tiada lagi rasa teruja menunggu tibanya lebaran, yang ada hanya rasa sayu dan pilu. Tersedar umur yang semakin semakin jauh, garisan penamat semakin hampir. Bulan yang penuh rahmat akan berlalu pergi. Ramadhanlah bulan di mana segala amalan mendapat ganjaran berlipatganda. Rasanya tidak cukup aku mengambil peluang yang diberikan. Masih banyak masa di mana aku hanyut dan terlalai. Rasanya masih terlalu kurang amalan yang dikumpul. Terlalu sedikit pahala yang nak dibawa ke sana. Terlalu banyak dosa yang telah dipungut. Ya Allah, ampunkan segala dosa yang telah, sedang atau akan aku lakukan. Terimalah segala amalanku dan kurniakan aku keredhoanMu. Panjangkan umurku dalam iman dan berikan kesempatan untuk aku bertemu Ramadhan yang akan datang. Ameen
No comments:
Post a Comment