Saturday, August 31, 2013

Selamat Pengantin Baru Zati dan Zodie

Dalam keluarga Abah sudah 5 anak buah mendirikan rumahtangga, sudah 5 kali kenduri. Semua anakbuah yang berkahwin sebelum ini adalah pengantin lelaki atau "mapelei" kata orang Penang.  Jadi perkahwinan Izzati pada 17 Ogos lalu merupakan yang pertama bagi anakbuah perempuan.  Pengantin perempuan atau "ponnu" bertemu jodoh dengan Zodie yang berasal dari Kota Damansara.

Majlis dimulakan dengan majlis akad nikah pada 16 Ogos di Masjid Salman Al Farishi, Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani.  Majlis bermula pada jam 5.30 petang. Dengan sekali lafaz sahaja Zati dan Zodie disahkan sebagai suami-isteri. Syukur alhamdulillah.

Debar menunggu tangan digoncang oleh Tok Kadhi

Sah sudah ikatan sebagai suami dan isteri

Pada sebelah malam, kami bertolak ke Hotel Amanpura yang terletak di bandar Sungai Petani. Semua adik-beradik berkumpul dibilik khas untuk mengisi "goodies" yang akan diedarkan kepada tetamu esuk hari serta menyiapkan bunga pahar untuk pelamin. Dalam suasana santai dan penuh gurau-senda, sekejap sahaja semua kerja dapat dilaksanakan.

Dalam kotak ada BOH Tea dan butter cake

Si kecik ni pun turut sibuk menyusun hadiah

Majlis walimatul-urus di Perdana Ballroom, Hotel Amanpura mula berjalan pada jam 12 tengahari pada 17 Ogos.  Seperti biasa, majlis ini amat bererti dalam mengukuhkan ikatan silaturrahim sesama sahabat handai, jiran tetangga dan saudara mara.  Inilah masanya dapat "update" pelbagai maklumat mengenai siapa yang sudah dapat cucu, siapa yang nak dapat menantu, siapa yang sihat, siapa yang sakit, siapa yang nak tunaikan haji, siapa yang dah balik umrah, siapa yang nak berpindah rumah dan sebagainya.  Memang seronok sangat suasana berhimpun beramai-ramai begitu.

Pertemuan 3 generasi ... datuk nenek, ibu dan cucu ... tapi semua
 nenek ni ganteng lagi

Sepupu pengantin perempuan ... giliran siapa  pulak selepas ini

Nenek saudara pun turut hadir meraikan perkahwinan cucu ...
walaupun semua sedang uzur

Buat Zati dan Zodie, Makda ucapkan selamat pengantin baru.  Bersedialah melayarai bahtera perkahwinan. Jadikan hukum agama sebagai pedoman untuk membentuk kehidupan bekeluarga yang harmoni. Semoga jodoh kalian berkekalan sehingga ke syurga. Ameen

Sunday, August 25, 2013

Riang Ria Aidil Fitri - Perak

Pada hari raya ke-3, 4 dan 5 aku sekeluarga berkumpul di rumah Emak di Perak.  Seronoknya berhimpun 7 beradik dengan pasangan dan anak  masing-masing.

Dapur tak pernah kosong, sentiasa berfungsi.  Bangun pagi dengan sarapannya,  pukul 10 dah berkumpul untuk persediaan lunch pulak. Pukul 3 dah sibuk memikir juadah untuk minum petang pulak. Cuma malam agak selesa kerana memanaskan semula baki lauk tengah hari tadi. Semua dah tak mau makan lemang atau makanan khas untuk hari raya. Semua dah rindu sambal tumis petai, ikan masin, sambal dan ulam, asam pedas, gulai tempoyak.  Hrm tetapi kerana rakyat jelatanya ramai, jumlah dimasak macam nak kenduri ... huhuhuhu.

Tetapi jumlah kami semakin berkurang apabila ada yang mula berangkat pulang pada hari ke-3 dan ke-4. Ada yang nak beraya di rumah sendiri, ada yang perlu mula bekerja, ada yang nak ke rumah mertua.  Apa pun pertemuan yang sekejap sudah cukup mengubat kerinduan lama tak bertemu.

Halaman rumah emak sentiasa terjaga rapi - itulah terapi bagi
Emak,  bermanja dengan pokok bunga pelbagai jenis

Makan-makan, sembang-sembang ... makan lagi dan seterusnya

Pakcik Hazrin  jadi tuan rumah untuk menu Kelantan ...
nasi kerabu biru yang lazat.  Terimakasih Makcik Ida, memang superb



Wednesday, August 21, 2013

Riang Ria Aidil Fitri - Pulau Pinang

8 - 9 Ogos 2013

Aidil Fitri ini disambut 2 hari di Pulau Pinang.  Kami sekeluarga menziarah keluarga Abah di Jelutong dan Sungai Ara serta menerima pula kunjungan tetamu yang terdiri dari ipar-duai, sepupu dan teman pejabat bersama keluarga masing-masing. Memang seronok bertemu sesekali begitu. Banyak cerita nak dikongsi, banyak pula makanan nak disuap.  Mujurnya sepanjang 2 hari tersebut trafik di Pulau Pinang agak terkawal, jambatan pun tak jammed.   Agaknya ramai perantau balik ke kampung masing-masing.

Tema tahun ini - warna keemasan. Diharap tahun-tahun yang mendatang
hidup kita semua dilimpahi dengan rahmat Allah

Berkunjung ke rumah satu-satunya bapa saudara Abah yang masih hidup -
Tok Din.  Ini merupakan agenda wajib setiap tahun kami membawa
anak-anak melawat  saudara tua yang dikasihi dan dihormati

Puteri Bongsu sibuk menyediakan minuman untuk tetamu

Kunjungan sepupu dari Melaka yang kembali berhariraya ke Pulau Pinang

Kunjungan teman sepejabat

Kunjungan pak penakan sulong dari Sungai Petani


Kerinduan Pun Bertandang


Baru aja aku selesai membaca buku ni.  Buku yang ditulis oleh Dr Asordin Ramli Al-Farid ini memaparkan kisah-kisah silam sekitar tahun 60an yang penuh nostalgik, lucu, ilmiah dan berunsur sejarah.  Dalam buku setebal 112 mukasurat ini turut diselitkan dengan pelbagai ilustrasi yang menggambarkan suasana ketika itu.

Apa yang amat menariknya, buku ini ditulis dalam lenggok bahasa orang daerah Perak Tengah atau orang Parit yang sangat pekat. Pembaca yang berasal dari luar daerah ini mungkin menghadapi kesukaran memahami apa yang cuba disampaikan oleh penulis.

Sepanjang membaca buku ini aku asyik tergelak, tersenyum dan sesekali menangis mengingati keindahan masa lalu.  Memandangkan aku juga dilahirkan di persekitaran yang dinyatakan dalam buku ini, membacanya seolah-olah membawa aku menonton cerita flashback.  Aku diingatkan semula dengan Sungai Perak yang indah, Pekan Parit yang dulunya meriah, zaman kenakalan anak-anak kampung yang kini menjadi manusia yang berjaya, hubungan kemanusiaan yang erat sesama masyarakat setempat dan sebagainya.

Aku amat merindui masa lalu yang indah. Apakan daya, masa itu tak akan berulang kembali, ramai kenalan sekapung sudah menghilang diri atau kembali menemui Ilahi.  Kita yang masih hidup ini perlu meneruskan kehidupan,  memanafaatkan setiap detik dengan sebaik-baiknya.

Sekarang aku menunggu Siri Ke-2 Labun-Labun Oghang Paghit diterbitkan.  Bila agaknya yer??

Tuesday, August 6, 2013

Wali Band ~ Ya Allah



Setiap kita pernah, sedang atau akan ditimpakan ujian.  Tak kiralah ujian dalam bentuk apa sekalipun, samada ujian malapetaka, penyakit berat, krisis rumahtangga, kehilangan sumber rezeki atau diuji dengan harta melimpahruah, pangkat tinggi melangit, kuasa dalam genggaman atau macam-macam lagi. Kadang-kadang tak terfikir pun adanya ujian yang pelik-pelik untuk kita hadapi.

Tapi perlukah kita mengeluh?  Memang sebagai manusia biasa hati kita lemah, iman kita tipis. Kadang-kadang hati akan jadi gundah, lidah akan bertanya kenapa, mata akan menangis tak berhenti.  Tetapi cepat-cepatlah beistifar.  Allah tidak akan menguji kita melainkan kerana Dia amat mengasihi kita.  Mungkin sebelum ini kita lalai, lalu ditimpakan sedikit musibah supaya kita tersedar. Supaya kita cepat-cepat muhasabah diri, bertaubat atas keterlanjuran dan memohon keredhoanNya.  Kita jadi semakin dekat dengan Allah, kita tumpahkan semua airmata dan kegelisahan hati kita hanya kepada Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang.

Mungkin dengan ditimpakan musibah kita cepat menginsafi kekurangan diri. Kita makin mendekatkan diri kepada Allah, melipatgandakan amalan kita. Bukankah janji Allah, orang-orang yang bersabar menerima dugaanNya akan dikurniakan ganjaran pahala yang tinggi dan digugurkan dosa-dosa?  Bukankah itu tanda Allah amat menyayangi kita?

Semoga kita semua tabah menghadapi apa jua dugaan yang mendatang.

Abah dan anak-anak ku ... Mama sedang memujuk hati sendiri, begitu juga Mama harapkan pada kalian.

Sunday, August 4, 2013

Iftar Keluarga - 2 Ogos 2013

Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, acara berbuka puasa bersama-sama memang menjadi agenda penting keluarga Abah.

Pada malam 24 Ramadhan kami berkumpul lagi.  Seperti biasa di rumah abang sulung Abah,  Encik Abdul Ghani atau  sinonim dengan panggilan Pak Tua.  Kami cuba mengumpul seramai yang mungkin kecuali anak buah yang berada jauh di perantauan.

Apabila dah berkumpul, suasana jadi riuh rendah. Semua nak buka cerita, semua nak menyampuk.  Suasa di dalam dan di luar rumah penuh dengan hilai ketawa.  Kaum ibu masing-masing menunjuk bakat dengan juadah buatan sendiri dan juadah dari pasar Ramadhan... hehehhehhe.  Yang pasti semua senang hati dapat menyumbang.

Dengan bacaan doa Cikgu Danial kami mejamu selera mensyukuri rezeki yang Allah kurniakan.  Nikmat makan berjemaah begini memang tiada tandingannya.  Tentu roh arwah ibu-bapa Abah bahagia melihat ikatan ukhuwah yang erat kalangan anak cucu mereka.  

Dalam keriangan itu rasa sayu dalam hati memikir dan mengharap bahwa ikatan silaturahim yang indah ini akan dipanjangkan oleh anak-anak dan cucu-cucu kami kelak .... ameen.

Hidangan berbuka - macam-macam ada
Mulakan dengan bismillah, akhiri dengan alhamdulillah ... nikmati rezeki Allah

Sesi membalut ketupat pulak
Sambung makan kuih dengan kopi kampung pulak

Adam ... cucu yang jadi tumpuan