Wednesday, July 4, 2012

Berkelah Di Bendang Man - 16 Jun 2012

Sudah beberapa tahun kami tidak mengatur aktiviti perkelahan. Semenjak anak-anak dah makin besar, semua keluarga sukar berkumpul.  Anak sidia kena tunggu cuti sekolah, anak dia pulak U  tak cuti, dia pulak pergi umrah, dia pulak ada kenduri di sana-sini.  Ahhh, tak boleh jadi, kalau nak tunggu semua available, langsung satu aktiviti pun tak boleh jalan. Kami aturkan juga percutian kali ini. Sapa boleh join, silakan.  Sapa ada hal, minta maaflah, mungkin boleh join lain kali.

Resort kami duduk - 4 unit saling berdepan, mudah nak gossip

Kami google dan risik sana-sini. Keutamaan adalah tempat peranginan di Kedah, Perlis atau Pulau Pinang. Akhirnya terjumpa satu tempat iaitu Keda Resort Bendang Man.  Bendang Man tu di mana?  Nak tau di mana, baca kat SINI.  

Kami tempah 4 buah resort untuk 4 keluarga.  Resortnya baru dan lengkap dengan kemudahan asas seperti bilik air, pendingin udara, TV astro, almari pakaian dan tempat membancuh minuman.  Sayangnya tak der peti sejuk aja.  Tilam dan bantal pun keras lagi. Setiap resort mempunyai 2 katil bujang, 3 tilam dan 3 bantal tambahan.  Memang selesa untuk keluarga 5 beranak.  

Air tangan 5 chef - Prai, Sungai Petani, Gurun, Alor Setar

Emak dengan maktok syok makan, cucu dok merajuk ... heheheh

Setiap keluarga berpakat membawa satu jenis resipi untuk makan tengahari. Sesampai aje kami di resort ini, jam dah tepat pukul 12.45 tengah hari. Apa lagi, kami bentang tikar di tengah halaman antara 4 resort itu dan mula menyuap makanan dengan seleranya. Ada kari ikan, udang goreng kunyit, rendang ayam, daging kicap, bilis goreng dan sayur goreng.  Sekejap jer dah kosong 2 rice cooker bersaiz besar.

nak mandi, tapi air cetek sangat

Opppp ... terlondeh

Selepas berehat dan solat, kami menuju ke kawasan jeram Sungai Chepir yang terletak di hadapan resort kami. Walaupun cuaca panas, air jeram ini sungguh sejuk dan buat kami menggeletar. Memandangkan sekarang musim panas, air jeram agak cetek tetapi arusnya masih deras.  Sambil mandi kami bergurau-senda dan berbual mesra. Tercapailah hajat untuk mengeratkan silaturrahim semua ahli keluarga Abah.

sesi minum petang

Petangnya kami dikunjungi oleh keluarga Pak Tua yang tidak dapat menginap di sini kerana perlu menziarahi ibu mertua yang sakit kuat.  Bermacam jenis juadah seperti murtabak, kuih lapis, karipap dan bengkang dibawa.  Berteman teh o panas dan kopi o kaw-kaw, kami menjamu perut yang sudah kosong semula.  

Makan malam kami simple ajer.  Menghabiskan segala lauk yang masih berbaki.  Alangkah baiknya kalau kami dapat membuat BBQ di sini, tentu sangat berselera makan dalam suasana malam yang sejuk dan sunyi sepi dari hiruk-pikuk kenderaan.  Sembang punya sembang, jam 12 baru kami masuk tidor.

Keesukan paginya kami memasak nasi goreng kerabu dan roti bakar dicicah dengan gulai ikan. Mujurnya Mak Usu membawa dapur mininya.  Rupanya berselera sungguh makan roti bakar cicah kuah semalam. Tak sempat roti nak garing, semua berteriak minta cepat ... hahahha, macam piranha kelaparan.

Kami bermandi-manda lagi selama beberapa jam sebelum berkemas dan check-out pada pukul 2.30 petang.  Perut semua dah lapar, stok makanan pun dah habis, tak mau berlengah lagi kami menuju ke Pekan Jeniang untuk makan tengah hari.

Monday, June 25, 2012

Melaka 5 - 7 Jun 2012 (Hari 3)

Buffet spread untuk makan pagi di es.sence Kitchen, Holiday Inn Melaka memang hebat. Pilihan menu makanannya memang banyak dan nampak sedap-sedap belaka.  Hingga rambang mata nak pilih yang mana satu.

Masjid dengan rekabentuk yang unik, betul-betul mengadap Selat Melaka

Harap semua berminat dengan tawaran ini. Rugi kalau tak mau terima tawaran istimewa ni

Selesai breakfast kami menuju ke perkampungan Portugis di Hujung Pasir.  Entah apa malang nasib kami, beberapa kali pusing kawasan itu, kami masih gagal sampai ke kampung tersebut.  Hampeeh betul, papan tanda pun tak jelas.  Akhirnya dengan hati kecewa kami menuju ke destinasi lain pulak. Ternampak arah ke Masjid Selat Melaka. Masjid bernilai RM11 juta ini dirasmikan pada tahun 2006 oleh DYMM Yang Dipertuan Agung. Ianya dibina di atas laut dan dikenali juga sebagai Masjid Terapung.  Berada di sini  mengingatkan aku kepada Masjid Kristal di Trengganu dan Masjid Terapung Pulau Pinang.

paling sedap kuih koci tu ... lemak manis

Slurpppp ....slurppppp

Setelah puas posing, kami balik ke hotel untuk berkemas, membersih diri dan check-out.  Kami bercadang menuju ke arah Port Dickson menggunakan jalan pantai. Apabila tiba berhampiran kawasan Pantai Klebang kami berhenti untuk minum coconut shake.  Fuhhh!! memang sedap giler.  Sempat juga kami makan kuih-muih, nasi lemak dan mee goreng yang dibungkus dalam paket yang comel-comel jer saiznya. Tapi memang sedap.

contoh rumah traditional Melaka (gambar ihsan teratakbendang.blogspot)

Setelah perut kenyang, kami meneruskan perjalanan ke Port Dickson.  Aku paling suka laluan melintasi daerah Alor Gajah dan Masjid Tanah. Di sini dapat aku saksikan pelbagai bentuk rumah traditional Melaka yang sangat cantik. Tapi tak sempatlah pulak aku nak mengambil gambar.

Tiba di Port Dickson aku merasa sedih. Banyak bangunan hotel yang kelihatan seolah-olah tidak beroperasi lagi dan telah ditinggalkan tanpa penyenggaraan. Kenapa jadi macam tu??  Sayang memikirkan betapa banyak wang yang telah dilaburkan tapi langsung tak membawa sebarang pulangan. Ehhh aku pulak yang kalut, tuanpunya bangunan tu entahkan relaks jer.

Kami berhenti solat di sebuah masjid yang tersergam indah di atas bukit.  Tetapi hati aku benar-benar mendidih tatkala masuk ke tandasnya. Masyaallah, tandas wanitanya langsung tak seindah bangunan masjidnya.  Why, why, why?  Takkan Jawatankuasa Masjid tak perihatin langsung aspek kebersihan itu penting dalam Islam.  Macamana kami nak beribadah dengan sempurna kalau tempat nak membersihkan diri pun tak sempurna?  Alah, makcik dah malas nak berleter bab nih, dah berbuih mulut.  Pihak yang berwajib mestilah lebih bertanggungjawab.

Dalam solat aku beristifar, mohon Allah ampunkan dosa aku yang tiba-tiba naik marah semasa berada di rumahNya.  Astagafirrullahhalazim.  Semoga Allah mengampunkan aku dan menerima amalanku.

ole-ole dari Melaka

Begitulah pengakhirannya kembara ke Melaka kali ini.   Insyaallah aku akan ke sini lagi, aku teringat-ingat otak-otak dan coconut shake yang sedap ..... yummyyy.

Sunday, June 24, 2012

Melaka 5 - 7 Jun 2012 (Hari 2)

Bangun pagi kami terus breakfast di restoran hotel tu. Tak begitu banyak pilihan. Ada nasi lemak dengan 4 jenis lauk, mee goreng, bubur nasi, pelbagai roti dan kek, buah-buahan, kuih-muih traditional dan cereals. Selepas tu kami bergegas ke Zoo Melaka. Kami melalui jalan yang agak jauh kerana Kak Long ingin menjenguk MMU Cawangan Melaka di Bukit Beruang yang menjadi tempat belajarnya selama 2.5 tahun.

Lepas breakfast, sempat lagi posing. Lanskap di Hotel Mahkota
memang sangat cantik, tersusun dan terjaga rapi
Di Zoo Melaka kami mengambil masa yang santai untuk singgah di setiap sangkar melihat haiwan, membaca penerangan ringkas setiap spesis dan bergambar.  Memang penat berjalan tetapi kami bernasib baik kerana cuaca agak redup hari ni.  Setelah penat berjalan, kami berhenti untuk minum dan makan mee goreng yang dijual di kafeteria. 2 pinggan dikongsi 5 orang, kiranya hanya nak melepaskan rasa teringin terhidu aroma mee ditumis. Heee ... nafsu, nafsu.

Sempat lagi nak oder mee goreng ... sementara dok usyar seladang besar kat belakang tu.
Badannya yang hitam berkilat tu mengingatkan kami pada dodol ... hehehehe

Tak payah masuk zoo tengok burung ... dah ada terpampang dekat baju tu
Rupa-rupa dah hampir 2 jam kami berjalan. Jam dah hampir pukul 11.30 pagi. Apalagi kami bergegas balik ke hotel untuk  mandi-manda dan check-out.  Kami bertolak  ke rumah kawan Kak Long di Sungai Udang untuk makan tengah hari.   Azni menjamu kami dengan masakan Penang iaitu ayam masak merah, sayur campur,  ayam goreng rempah dan  buah-buahan.  Amboi ... pandai anak dara ni memasak, semuanya sedap secukup rasa.

Muffin coklat, pandan, vanilla ... ada ice lemon tea lagi, compliment from Holiday Inn
Selesai makan tengah hari kami bergegas pula untuk  check-in di Holiday Inn yang terletak bersebelahan dengan Hotel Mahkota.  Aku pun hairan kenapa Previlege Card ni tak benarkan kami ambil complimentary nights di hotel yang sama 2 malam berturut-turut.  Tapi aku tak kesal pun sebab Holiday Inn Melaka jauh lebih menarik kemudahannya. Biliknya luas dan cantik, accessories dalam bilik pun banyak dan yang lebih menariknya setiap kali kami melintas di lobi, kami akan ditawarkan muffin pelbagai perisa secara percuma. Itu yang menyebabkan puteri-puteri ni puji sangat Holiday Inn.

Depan Muzium Samudera 

Tunggu bot untuk perjalanan waktu malam pulak

Setelah puas berehat dalam bilik, kami keluar semula ke Bandar Hilir.  Kali ni aku nekad untuk menaiki bot pada waktu malam pulak sebab Shakimah dan Azni bertegas mengatakan bahawa pemandangan waktu malam jauh lebih menarik. Kami menaiki bot pada pukul 8 malam.  Memang menarik dengan lampu spotlight dan neon menghiasi tebing kiri dan kanan sungai. Angin pula bertiup deras memberikan rasa selesa sepanjang perjalanan. Lebih menariknya,  pemandu bot kali ini sangat peramah dan memberi maklumat  yang sangat informatif dengan penuh jenaka. Tidak kering gusi kami sepanjang 45 minit pelayaran menaiki bot.

cantik .. lukisan dinding terpantul indah waktu malam

rumah Melayu di Kampung Morten

Turun dari bot kami menjamu selera di salah sebuah kedai makan di Bandar Hilir sebelum berjalan memilih buahtangan seperti dodol, gula melaka, wajik sirat dan kuih bakar melaka untuk dibawa pulang ke Penang.

Thursday, June 21, 2012

Melaka 5 - 7 Jun 2012 (Hari 1)

Kali terakhir aku ke Melaka adalah pada tahun 2009 sewaktu mengambil barang-barang Kak Long yang menamatkan pengajiannya di MMU.  Kebetulan cuti sekolah tahun ini semua anak-anak ada di rumah. Kak Long sedang merehatkan badan sebagai penganggur terhormat selepas menamatkan pengajian pada 21 Mei lalu. Kak Ngah sedang bercuti semester manakala Puteri Bongsu pula tidak ada program tuisyen masa cuti sekolah.  Bukan senang nak mengumpul anak-anak bercuti serentak macam ni.

Perjalanan dari Penang ke Melaka selesa sebab kami memulakan perjalanan awal pagi. Hari Isnin mungkin kadar trafiknya kurang sedikit dari hujung minggu.  Kak Ngah jadi driver dari Ipoh hingga ke Sungai Buloh.  Lepas tu Abah jadi pilot dan aku jadi co-pilot.

Posing depan kubu Portugis di Bukit St Paul
Teruja tengok beca-beca kat sini, cantik-cantik hiasannya. Pasang pulak lagu inggeris,
 dangdut .. janji semua rancak-rancak

Kami check-in di Mahkota Hotel. Apatment 2 bilik ini terletak di tingkat 18. Ffuh, gayat memandang ke bawah tapi puas hati jelas kelihatan Bandar Melaka di hadapan dan Selat Melaka di belakang.  Setelah membersih tubuh kami memulakan acara jalan-jalan di Bandar Hilir.  Kunjungan pertama ialah ke kawasan Bukit St Paul  atau kawasan bangunan merah.  Memang aku kagum dengan Kerajaan Melaka yang tekun memulihara keindahan bangunan bersejarah di sini. Memandangkan jam dah 5.30 petang, semua muzium di kawasan ini telahpun ditutup.  Kami terus ke kawasan pesisir sungai. Sepanjang perjalanan tu, suasana meriah dengan lagu pelbagai irama yang dipasang oleh pengayuh beca yang bergerak pantas membawa pelancong.  Beca nya pula begitu cantik dihiasi bunga, loceng dan lampu pelbagai warna.

Sungai Melaka .... cantik ala-ala venice
Puteri-puteri ni seronok sungguh
Kebanyakan kedai lama bertukar wajah menjadi hotel dan cafe tepi
sungai. Tengok lukisan grafiti yang cantik 

Kami menaiki bot menyusuri Sungai Melaka. Murah jer, RM10 seorang untuk perjalanan 45 minit. Sungguh indah pemandangan di kiri dan kanan sungai ini di mana kebanyakan bangunannya adalah rumah-rumah kedai yang lama dan masih terpelihara. Grafiti menceritakan sejarah dan budaya Melaka menghiasi dinding bangunan dan kedai-kedai tersebut. Menurut pemandu bot, lukisan grafiti ini adalah hasil kerjatangan pelajar-pelajar UITM Shah Alam dan Melaka. Ahh ... sebagai alumni UITM aku tumpang bangga dengan kerjatangan anak-anak ini.

Aku amat tertarik dengan keindahan Kampung Morten, sebuah perkampungan Melayu traditional di tengah-tengah Bandar Melaka.  Kebanyakan rumah asal disini masih dikekalkan rekabentuk asalnya, dengan atap limas, tangga batu berwarna-warni dan ukiran kayu yang unik.  Kerajaan Melaka menyumbang untuk kos baikpulih dan penyenggaraan kampung ini.  Banyak rumah yang menawarkan homestay untuk para pelancong yang ingin merasai kehidupan masyarakat Melayu Melaka.



Pilih jangan tak pilih
Tinggalan Belanda dengan bandar warna merahnya

Merehatkan diri di Mahkota Parade

Turun dari bot kami bergambar di hadapan Clock Tower yang cantik. Di sini ramai penjaja menjual kraftangan seperti kipas, key-chain, magnet, terompah, tshirt dan lain-lain.  Pilih ajer.

Selepas itu kami pulang ke hotel untuk membersihkan diri yang sudah berpeluh masam.  Hairan bin ajaib, berjalan kaki ke sana ke mari (agak-agak berapa kilometer yer), tak terasa pulak sakit kaki dan pinggang aku. Hehehe .... keseronokan mengatasi rasa sakit. Alhamdulillah atas nikmat Tuhan.

Malamnya kami pergi ke Pantai Klebang untuk makan malam. Kami makan otak-otak yang sedap dan panas-panas sampai 20 cucuk, malulah macam pelahap pulak. Tapi punyalah sakit hati, dekat 1 jam menunggu baru makanan yang kami pesan tiba. Bukan oder yang pelik-pelik pun, cuma nasi goreng aje.  Hrmm sabo aje le, inilah dugaan namanya.

Seterusnya kami berkunjung ke rumah sepupu Abah yang menetap di Klebang.  Memandangkan badan pun dah letih, mata pun dah mengantuk, kami tidak berlama-lama di rumah Syakimah.  Selepas berbual dengan secawan teh, kami meminta diri. Katil dah memanggil-manggil.

Tuesday, June 19, 2012

Reunion 26-27 Mei 2012 - Part 5

Ketibaan guru-guru kami sambut dengan peluk dan cium (murid pompuan dengan cikgu pompuan ler, takkan dengan cikgu lelaki kut ... cari nahas).  Airmata kegembiraan dan terharu jelas kelihatan di tubir mata guru-guru tersayang.  Wajah mereka jelas memancar sayang tatkala memandang ke mata setiap anak murid.  Subhanallah ... Ya Allah, Engkau berikan kehidupan yang penuh keberkatan buat guru-guru kami yang telah mendidik kami sehingga menjadi manusia yang berjaya.  Ameeeen.


Awat Cikgu Baharum lebih comel dari hangpa semua??
Selepas itu bermulalah sesi memperkenalkan diri kami kepada guru-guru. Memang kali ni betul-betul ringkas. bagitau nama, duduk kat mana, kerja di mana (jawatan tak perlu bagitau, nak bagitau pun tak pa) dan anak dah berapa orang (pencapaian sebagai seorang ibu dan ayah).  Lepas itu 4 guru dijemput bercakap.

Tuan HM ... sekarang kami dah tak gerun lagi, tapi kami sangat-sangat respek pada cikgu

Dato' Abdul Rahim Abdul Majid dulunya kami panggil Tuan HM jer (Headmaster) kini dah berusia 71 tahun.  Orangnya kecil, wajahnya serius dan suaranya penuh authority.  Dulu nampaknya kelibatnya, semua murid akan berusaha menyembunyikan diri.  Tapi pada hari ini dia bercakap sebagai seorang bapa yang penyayang dan penuh bangga bertemu anak-anaknya.  Beliau masih lincah dan kuat daya ingatannya. Antara ayat-ayat Tuan HM yang mencuit hati kami ialah :

  • dulu anak-anak di depan saja ni renik-renik belaka, tapi sekarang nampaknya semua saiz dah lebih besar dari cikgu-cikgu
  • anak-anak jangan berhenti belajar, belajarlah apa saja, ilmu dunia, ilmu akhirat, saya pun masih belajar untuk PHD. Bila pergi kolej, mereka ingat saya ni professor, pakat nak approach saya
  • nampaknya ramai kalangan anak-anak di depan saya ini adalah pendidik. Teruskan karier murni ini dengan hati yang ikhlas. Esuk kamu pun akan jadi macam saya, merasa sangat bahagia tengok kejayaan anak didik kita
Seterusnya kami mendengar celoteh Cikgu Baharum yang dulunya mengajar Ilmu Alam atau Geografi.  Cikgu Baharum selalu mengingatkan kami kepada budayawan dari Indonesia menerusi gaya percakapannya  yang unik dan tersusun rapi (ala-ala percakapan Rais Yatim).

Pasangan Romeo & Juliet - nampak Cikgu Nuriyati lebih muda dari aku ... isyyy ini tak boleh jadi,
 kena tanya rahsia dia awet muda walau dah ada 3 cucu

Kami kemudiannya mendengar nasihat dari Cikgu Ilyas yang cool. Dulunya beliau dikenali sebagai MC (Master of Ceremony) sekolah.  Semua acara rasmi sekolah dia yang akan pegang mikrofon.  Cikgu Ilyas yang merupakan warden Asrama Putera datang bersama buah hatinya Cikgu Nuriyati yang merupakan warden Asrama Puteri.  Dulu kami selalu mengendap kedua-dua cikgu ni.  Setiap pagi Cikgu Ilyas akan menjemput Cikgu Nuriyati di Asrama Puteri untuk breakfast di dewan makan sebelum bersama-sama berjalan ke sekolah. So sweet.

Cikgu Azizah (kiri - ajar Sains Rumahtangga) dan Cikgu Saayah (kanan) aka Miss Bobby

Tetapi yang paling mencuit hati kami pagi itu ialah ucapan Cikgu Saayah.  Beliau merupakan warden Asrama Puteri yang terkenal dengan garangnya.  Dulu beliau begitu rugged dan bercinta pula dengan seorang lagi warden Asrama Putera, Cikgu Ishak Mahmud.  Zaman percintaan mereka memang hebat, kami panggil pasangan Bobby (waktu ni filem Bobby sedang top di pawagam). Masih terbayang Cikgu Saayah menonggek memeluk pinggang Cikgu Ishak menunggang scrambler setiap hujung minggu untuk dating.  Alhamdulillah mereka sempat menikmati hidup berumahtangga selama 10 tahun sebelum Cikgu Ishak kembali ke rahmatullah. Al Fatihah.  Ucapan Cikgu Saayah dalam dialeg Perlis yang pekat membangkitkan pelbagai nostalgia kami semasa menjadi penghuni asrama.

Cikgu Khalid Dan yang kelakar - masih muda tak ada satu uban pun di kepala walau dah pencen

Antara guru-guru yang berbesar hati hadir bertemu anak didik

Tekun mendengar ucapan 'ayahanda bonda' yang dikasihi

Sebelum acara berakhir, kami menghadiahkan cenderahati buat guru-guru yang hadir diikuti dengan sesi bergambar. Riuh-rendah suasana kami mengusik guru-guru yang nampak lebih comel dan awet muda berbanding dengan anak murid ....hahahaha.  Semasa jamuan teh, kami megambil peluang mendekati setiap guru untuk berbual mesra dan bergambar.

Majlis bersurai tepat jam 1 tengah hari.  Perpisahan kami penuh perasaan pilu. Rasa tak puas bermesra cuma untuk tempoh 24 jam.   Banyak lagi perkara yang mahu dikongsi. Tapi memandang semua telah mempunyai komitmen dan kehidupan tersendiri, perpisahan ini tidak dapat dielakkan lagi. Kami berdoa semoga Allah memberi peluang untuk kita bertemu lagi. Semoga pertemuan yang akan datang, lebih ramai lagi yang dapat hadir.