Wednesday, September 11, 2013

Makaroni Bakar - Favorite Nih

Dah lama tak main masak-masak mencuba resipi baru.  Sebenarnya aku ni peminat makaroni bakar. Dah berkali-kali buat ... ikut macam-macam resipi.  Masalahnya aku sorang jer yang suka makan ... kalau buat selalu parahlah. Boleh naik berkilo-kilo berat badan ni. Lebih kacau kalau cik kolesterol pun melonjak naik. So ... setahun sekali jer aku buat. Itu pun boleh simpan beberapa hari melainkan kalau sedap aku offer lah pada jiran atau ipar duai ku. Kalau rasanya ala-ala serba tak cukup ramuan, alamatnya aku simpan jer dalam peti ais. Bila nak makan, panaskan aje dalam microwave .... hrmmmm sampai ler aku rasa cemuih (bak kata orang Penang ... hihihihi).

Semalam aku mencuba versi baru pulak. Ini merupakan kacukan beberapa resipi yang aku pinjam dari Chef-chef hebat seperti Tokey Kek, Cik Mat Gebu dan MyResipi.  Bila dah  kacukan, rasanya pun jadi unik, tapi bagi aku sedap.  Malu ahhhh .... masuk bakul angkat sendiri pulak.  Apa-apa pun terima kasih kepada semua Chef yang bermurah hati berkongsi resipi-resipi yang mantop, dan nak minta maaf sebab suka-suki jer pergi kacukkan 3 resipi tu.

hasil setelah siap dimasak

Ok aku pun tak mau buang masa sebab resipi ni pun panjang lebar juga ... nah ini dia resipinya. Cubalah memang sedapp!!

****************************************************************

MAKARONI BAKAR 

BAHAN-BAHANNYA :-

300 gram makaroni, rebus hingga lembut dan toskan, gaul dengan sedikit mentega
Parutan keju mozarella secukupnya
White sauce secukupnya (resipi dibawah)
Inti secukupnya (resipi dibawah)
6 biji telur ayam, dipukul sedikit
Hiasan  -  hirisan cili hijau, cili merah, daun sup dan daun bawang


BAHAN-BAHAN INTI :-

400 gram daging cincang
1 biji bawang besar, didadu
2 ulas bawang putih, cincang halus
1 tangkai daun kari, hiris halus
1 camca besar penuh rempah kari daging
1 camca besar sos cili
1 camca besar sos tomato
1 batang karot diparut
1 batang celery dihiris1/2 cawan air
1/2 camca teh serbuk lada hitam
Garam dan gula secukup rasa


BAHAN-BAHAN SOS PUTIH :-

300 ml susu segar
2 camca besar tepung gandum
Lada hitam kisar secukupnya
Garam secukup rasa


CARA MEMBUATNYA :-

  1. UNTUK INTI :- Panaskan minyak dalam kuali, tumis bawang merah, bawang putih dan daun kari hingga harum, masukkan daging kisar dan goreng hingga daging berubah warna. Tambah rempah kari, goreng sekejap dan tambah sos cili dan sos tomato. Kacau rata dan biar mendidih. Masukkan serbuk lada hitam. Tuang sedikit air dan masak hingga pekat. Tambah sayur-sayuran, gula dan garam secukup rasa, masak hingga kuah agak kering. Ketepikan.
  2. UNTUK SOS PUTIH :- Panaskan susu segar, kemudian masukkan tepung gandum dan kacau hingga sebati. Masak dengan api kecil dan terus mengacau supaya tepung tak berketul. Tambah serbuk lada hitam kisar dan sedikit garam. Kacau rata dan masak hingga sos putih kelihatan pekat. Matikan api dan ketepikan.
  3. UNTUK MAKARONI BAKAR :- Panaskan oven pada suhu 180C, lenser bekas berukuran 10inci x 8inci x 2inci dengan mentega. Masukkan 1/2 bahagian makaroni, tuang 1/2 bahagian telur, lapiskan dengan 1/2 bahagian inti, ratakan, dan 1/2 bahagian sos putih, ratakan dan tabur parutan keju secukupnya.
  4. Lapis dengan baki makaroni, telur, inti, sos putih dan akhir sekali baki parutan keju mozarella. Tabur hiasan hirisan cili dan daun-daun. Bakar 40-45 minit atau hingga permukaan kelihatan perang keemasan. Keluar dan biar suam. Hidangkan bersama sos kegemaran anda.


Tuesday, September 10, 2013

Surah Al Mulk Dengan Terjemahan Bahasa Melayu


Surah Al Mulk wajar dijadikan bacaan amalan  kita semua.  Bukan sekadar membacanya, fahami juga terjemahan dan ajaran yang terkandung dalam surah  ini.

Sesungguhnya janji Allah itu pasti,  balasan azab bagi manusia yang mengingkari perintahNya dan menafikan kekuasaanNya.  Balasan nikmat berkekalan bagi hambaNya yang patuh kepadaNya.

Maha Suci Allah Tuhan Pencipta Alam.

Saturday, August 31, 2013

Selamat Pengantin Baru Zati dan Zodie

Dalam keluarga Abah sudah 5 anak buah mendirikan rumahtangga, sudah 5 kali kenduri. Semua anakbuah yang berkahwin sebelum ini adalah pengantin lelaki atau "mapelei" kata orang Penang.  Jadi perkahwinan Izzati pada 17 Ogos lalu merupakan yang pertama bagi anakbuah perempuan.  Pengantin perempuan atau "ponnu" bertemu jodoh dengan Zodie yang berasal dari Kota Damansara.

Majlis dimulakan dengan majlis akad nikah pada 16 Ogos di Masjid Salman Al Farishi, Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani.  Majlis bermula pada jam 5.30 petang. Dengan sekali lafaz sahaja Zati dan Zodie disahkan sebagai suami-isteri. Syukur alhamdulillah.

Debar menunggu tangan digoncang oleh Tok Kadhi

Sah sudah ikatan sebagai suami dan isteri

Pada sebelah malam, kami bertolak ke Hotel Amanpura yang terletak di bandar Sungai Petani. Semua adik-beradik berkumpul dibilik khas untuk mengisi "goodies" yang akan diedarkan kepada tetamu esuk hari serta menyiapkan bunga pahar untuk pelamin. Dalam suasana santai dan penuh gurau-senda, sekejap sahaja semua kerja dapat dilaksanakan.

Dalam kotak ada BOH Tea dan butter cake

Si kecik ni pun turut sibuk menyusun hadiah

Majlis walimatul-urus di Perdana Ballroom, Hotel Amanpura mula berjalan pada jam 12 tengahari pada 17 Ogos.  Seperti biasa, majlis ini amat bererti dalam mengukuhkan ikatan silaturrahim sesama sahabat handai, jiran tetangga dan saudara mara.  Inilah masanya dapat "update" pelbagai maklumat mengenai siapa yang sudah dapat cucu, siapa yang nak dapat menantu, siapa yang sihat, siapa yang sakit, siapa yang nak tunaikan haji, siapa yang dah balik umrah, siapa yang nak berpindah rumah dan sebagainya.  Memang seronok sangat suasana berhimpun beramai-ramai begitu.

Pertemuan 3 generasi ... datuk nenek, ibu dan cucu ... tapi semua
 nenek ni ganteng lagi

Sepupu pengantin perempuan ... giliran siapa  pulak selepas ini

Nenek saudara pun turut hadir meraikan perkahwinan cucu ...
walaupun semua sedang uzur

Buat Zati dan Zodie, Makda ucapkan selamat pengantin baru.  Bersedialah melayarai bahtera perkahwinan. Jadikan hukum agama sebagai pedoman untuk membentuk kehidupan bekeluarga yang harmoni. Semoga jodoh kalian berkekalan sehingga ke syurga. Ameen

Sunday, August 25, 2013

Riang Ria Aidil Fitri - Perak

Pada hari raya ke-3, 4 dan 5 aku sekeluarga berkumpul di rumah Emak di Perak.  Seronoknya berhimpun 7 beradik dengan pasangan dan anak  masing-masing.

Dapur tak pernah kosong, sentiasa berfungsi.  Bangun pagi dengan sarapannya,  pukul 10 dah berkumpul untuk persediaan lunch pulak. Pukul 3 dah sibuk memikir juadah untuk minum petang pulak. Cuma malam agak selesa kerana memanaskan semula baki lauk tengah hari tadi. Semua dah tak mau makan lemang atau makanan khas untuk hari raya. Semua dah rindu sambal tumis petai, ikan masin, sambal dan ulam, asam pedas, gulai tempoyak.  Hrm tetapi kerana rakyat jelatanya ramai, jumlah dimasak macam nak kenduri ... huhuhuhu.

Tetapi jumlah kami semakin berkurang apabila ada yang mula berangkat pulang pada hari ke-3 dan ke-4. Ada yang nak beraya di rumah sendiri, ada yang perlu mula bekerja, ada yang nak ke rumah mertua.  Apa pun pertemuan yang sekejap sudah cukup mengubat kerinduan lama tak bertemu.

Halaman rumah emak sentiasa terjaga rapi - itulah terapi bagi
Emak,  bermanja dengan pokok bunga pelbagai jenis

Makan-makan, sembang-sembang ... makan lagi dan seterusnya

Pakcik Hazrin  jadi tuan rumah untuk menu Kelantan ...
nasi kerabu biru yang lazat.  Terimakasih Makcik Ida, memang superb



Wednesday, August 21, 2013

Riang Ria Aidil Fitri - Pulau Pinang

8 - 9 Ogos 2013

Aidil Fitri ini disambut 2 hari di Pulau Pinang.  Kami sekeluarga menziarah keluarga Abah di Jelutong dan Sungai Ara serta menerima pula kunjungan tetamu yang terdiri dari ipar-duai, sepupu dan teman pejabat bersama keluarga masing-masing. Memang seronok bertemu sesekali begitu. Banyak cerita nak dikongsi, banyak pula makanan nak disuap.  Mujurnya sepanjang 2 hari tersebut trafik di Pulau Pinang agak terkawal, jambatan pun tak jammed.   Agaknya ramai perantau balik ke kampung masing-masing.

Tema tahun ini - warna keemasan. Diharap tahun-tahun yang mendatang
hidup kita semua dilimpahi dengan rahmat Allah

Berkunjung ke rumah satu-satunya bapa saudara Abah yang masih hidup -
Tok Din.  Ini merupakan agenda wajib setiap tahun kami membawa
anak-anak melawat  saudara tua yang dikasihi dan dihormati

Puteri Bongsu sibuk menyediakan minuman untuk tetamu

Kunjungan sepupu dari Melaka yang kembali berhariraya ke Pulau Pinang

Kunjungan teman sepejabat

Kunjungan pak penakan sulong dari Sungai Petani