Thursday, April 21, 2011

Persinggahan Singkat di Madinah Al Munawwarah

1 April 2011 (Jumaat)

7.00 pagi memulakan acara ziarah Madinah. Tempat pertama ialah Perkuburan Baqi yang terletak bersebelahan Masjid Nabawi dan begitu hampir dengan hotel penginapan kami. Salam ke atas para isteri Nabi SAW dan para sahabat serta muslimin dan muslimat yang bersemadi di bumi bertuah ini.

7.20 pagi tiba di Masjid Quba' yang terletak kira-kira 5 km dari Masjid Nabawi untuk menunaikan solat sunat 2 rakaat. Masjid ini merupakan masjid pertama yang dibina oleh Nabi SAW dan digalakkan umat Islam untuk bersolat di dalamnya.

8.30 pagi tiba di Jabal Uhud. Di sinilah terletaknya makam Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib RA (bapa saudara Nabi SAW) dan 70 orang syuhada yang syahid demi mempertahankan Madinah dari serangan musuh Islam. Salam dan doa untuk para syuhada ini.

9.30 pagi tiba di ladang kurma. Memandangkan sekarang musim bunga, tiada pokok yang berbuah. Para jemaah mengambil kesempatan memasuki kedai di hadapan ladang tersebut untuk membeli buah tamar dari berbagai jenis, kacang pelbagai rasa, buah tin dan coklat berasaskan kurma. Sekelip mata sahaja bas telah dipenuhi oleh kotak-kotak dan beg plastik yang sarat berisi ole-ole dari Madinah.

11.00 pagi pergi ke Masjid Qiblatain yang merupakan tempat Nabi SAW menukar arah qiblat solat umat Islam daripada Masjidil Aqsa kepada Masjidil Haram. Di sini para jemaah berhenti untuk menunaikan solat sunat 2 rakat sekali lagi.

Cadangan untuk singgah di pasar kurma terpaksa dibatalkan kerana kesuntukan waktu. Jemaah perlu bergegas menyuci diri sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Nabawi. Ramai yang rasa kecewa dan bercadang untuk pergi sendiri ke tempat berkenaan.

Keindahan di Masjid Nabawi amat nyata terutama pada waktu malam dan subuh. Dengan langit gelap yang tanpa sebutir bintang dan angin dingin yang menyucuk ke tulang hitam, suasana terasa hening dan syahdu. Di sini tempat bersemadinya kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW.

Pada malam terakhir aku di sana, aku mengambil kesempatan duduk di luar Masjid Nabawi antara waktu Maghrib dan Isya'. Pandanganku tertumpu kepada pelbagai bangsa yang berada di laman luar masjid ini. Aku hairan kenapa mereka suka solat di luar masjid sedangkan di dalam masih banyak ruang yang kosong.

Sebahagiannya membawa anak-anak kecil yang berlari sesuka hati. Anak-anak ini begitu cantik perawakan wajah mereka. Kulit putih merah, hidung mancung, rambut perang, kening terbentuk dan mata berwarna perang, hijau atau biru. Tidak pasti mereka ini berketurunan Arab, atau Pakistan atau Turki. Mungkin mereka ini pewaris kecantikan Nabi Allah Yussof AS.


Kota Madinah kini semakin membangun. Tetapi pembangunannya agak terkawal dan sistematik. Buminya juga subur dengan dipenuhi tanaman hijau. Kebetulan sekarang musim bunga, di kiri-kanan jalanraya banyak pokok-pokok yang berbunga lebat berwarna-warni.

2 April 2011 (Sabtu)

Selesai makan pagi dan menurunkan beg dari bilik, kami menukar kepada pakaian ihram dan pergi semula ke Masjid Nabawi untuk mengucapkan salam kali terakhir kepada Nabi SAW. Waktu ini merupakan saat yang paling perit bagiku. Hati terasa bagikan hampir pecah menahan tangis dan sedih untuk meninggalkan tanah suci ini. Semoga Allah memperkenankan doaku agar dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki untuk datang ke sini lagi. Airmata ini sukar diseka setiap kali terasa kerinduan untuk ke sana semula.

9.00 pagi kami bertolak meninggalkan Madinah bumi yang penuh barkah ini. Kami singgah sebentar di kilang mencetak Al Quran. Setiap jemaah lelaki dihadiahkan 1 naskhah Al Quran.

11.00 pagi kami berhenti di Bir Ali untuk solat sunat ihram dan seterusnya memasang niat ihram untuk menunaikan umrah. Kami meneruskan perjalanan dengan bertalbiah. "labbaikallah hummalabaik ..... HambaMu datang menyambut panggilanMu, Ya Tuhanku. hambaMu datang menyambut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji-pujian dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu dan tidak ada sekutu bagiMu".

3.00 petang berhenti makan tengah hari dan solat di R&R sebelum meneruskan lagi perjalanan yang panjang. Tiba di Bakkah Baiti Hotel Mekah pada 5.30 petang. Kami mempunyai masa yang begitu pendek untuk membawa barang naik ke bilik dan seterusnya membersihkan diri sebelum ke Masjidil Haram untuk melaksanakan rukun-rukun umrah yang lain sehingga sempurna.

No comments: