Thursday, February 9, 2012

Tak Terdaya Nak Menahan ....

Setelah sebulan tinggal bersama-sama aku, akhirnya Emak pulang ke rumahnya di kampung.  Sudah berkali-kali dia merungut meminta aku menghantarnya balik kampung, tapi aku cuba mencari dalih.  Sehingga aku rasa berdosa pulak, menyebabkan Emak tak gembira.

Wajah Emak jadi layu,  senyum pun sudah kelat. Bercakap pun apabila perlu. Banyak masanya dihabiskan dalam bilik samada tidur atau membaca Al Quran.  Apabila diajak keluar berjalan, dia menolak dengan alasan sakit pinggang dan kaki.

Akhirnya aku terpaksa akur.  Setelah berbincang dengan Abah dan adik-beradik aku yang lain, kami setuju untuk Emak tinggal di kampung selama 1 minggu sahaja. Itupun perlu berteman.  Sebelum aku dan Yong sempat mengambil tindakan untuk mengatur sesiapa bagi menemani Emak di kampung, Emak telah bersuara, "Tak payah susah-susah!  Emak dah atur sendiri.  Opah Yam dan Opah Puteh dah janji nak meneman Emak siang dan malam!!" Waduh ... lagi cekap daripada kami. Masalahnya Opah Yam dan Opah Puteh inipun sama macam Emak.  Kedua-duanya sudah berumur lebih 70 tahun dan tidak kuat dan kurang sihat.  Macamana mereka nak menjaga Emak.

"Buat apa nak jaga Emak?  Emak bukannya tak sihat?  Deme tu dah setuju untuk meneman Emak. Nanti kami masak le sama-sama, mengaji sama-sama .... bukannya nak buat kerja teruk-teruk pun!!" leter Emak.  Okay ... aku tak mampu membantah lagi.

Kami hantar Emak ke kampung dengan hati yang berat. Aku belikan ikan dan sayur untuk bekalan 1 minggu. Aku siang dan bersihkan ikan-ikan tersebut dan susun rapi-rapi dalam petisejuk untuk kemudahan Emak. Yong pula membelikan barangan kering mencukupi untuk kegunaan Emak dan tetamunya.  Kami mahu pastikan Emak selesa dan cukup serba-serbinya.

Janjinya ... setelah seminggu, Emak perlu ikut Yong ke Kuala Lumpur pula.  Selain rumah Yong, Emak boleh memilih untuk tinggal di rumah Nita atau Mimi juga.  Pilihlah yang mana Emak berkenan, kami anak-anak sentiasa menerima kedatangan Emak dengan hati dan tangan terbuka.  Selagi bibik baru belum tiba, Emak tidak boleh tinggal di kampung.  Bermacam-macam bayangan ngeri melintas kepala aku memikirkan Eemak bersaorangan di kampung.  Nauzubillah.

Emak dan aku
Bercucuran airmata aku meninggalkan Emak di kampung.  Emak .... maafkan aku kalau sepanjang tinggal bersamaku, aku tidak mampu memberikan layanan yang terbaik. Aku telah mencuba untuk memberikan yang terbaik tetapi mungkin  aku masih gagal membahagiakan Emak. Aku mungkin gagal memberikan kegembiraan buat Emak.  Ampunkan segala kekurangannku. Aku memohon redho Emak untuk kebahgiaan aku di dunia dan di akhirat.

No comments: