Friday, July 18, 2014

Innalillah wainnalillahhirrojiun

Laporan The Malaysian Insider

Malaysia hari ini digemparkan dengan berita pesawat Malaysia Airlines (MAS) Boeing 777 yang ditembak jatuh dari udara selepas empat bulan pesawat MH370 hilang dari radar.
Pesawat MH17 yang terbang 300 meter di atas kawasan larangan apabila ditembak jatuh kumpulan pemberontak di timur Ukraine mengorbankan 298 nyawa.
Pesawat dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu terhempas berhampiran bandar Donetsk dan serpihannya ditemui sejauh lingkungan jarak 15km.
MAS mengesahkan 43 rakyat Malaysia, termasuk dua bayi berada dalam pesawat tersebut.
Donetsk merupakan kawasan pemberontak pro-Rusia, namun setakat ini sama ada kumpulan pemberontak, Ukraine mahupun Rusia tidak mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan roket darat ke udara menghala pesawat itu.
Kawasan penerbangan MH17 itu bukanlah kawasan larangan namun syarikat penerbangan pernah diberi amaran risiko jika terbang di kawasan konflik.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon menggesa satu siasatan telus dan menyeluruh peringkat antarabangsa. Hari ini PBB akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan isu itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pusat operasi kecemasan ditubuhkan dan pesawat khas dihantar ke Kiev.
Rakyat seluruh dunia melahirkan rasa terkejut dan simpati melalui media sosial berhubung insiden kedua pesawat MAS dan memjadikan #PrayForMH17 sebagai ruang perbincangan.
Dalam kejadian kehilangan pesawat MH370 empat bulan lalu, keluarga penumpang bergegas ke KLIA apabila berita tentang pesawat itu tersebar.
Pada 8 Mac, pesawat MH370 yang dalam perjalanan ke Beijing hilang daripada radar dan terus mendapat liputan dunia.
Kerja pencarian pesawat itu kini difokuskan di kawasan ratusan batu barat daya Lautan Hindi.
Kos mencari bangkai pesawat itu merupakan terlama dan termahal dalam sejarah penerbangan, menelan belanja RM141 juta pada bulan pertama sahaja. – 18 Julai, 2014.
*************************************************************
Ya Allah Ya Rabb .... berikan kami rakyat Malaysia kekuatan hati dan kesabaran yang tinggi menghadapi musibah yang bertimpa-timpa ini.  Belum kita tahu bagaimanakah nasib pesawat MH370 ... di mana jatuhnya, macamana jatuhnya, kenapa dia melencong dari laluan asal, apa yang berlaku di atas udara semasa kejadian?  Semuanya masih kekal misteri bersama seluruh pesawat dan isinya.

Inilah laluan sepatutnya MH370 ... tetapi kenapa dia melencong dari laluan,
kenapa semua sistem komunikasi pesawat gagal berfungsi,
 adakah berlaku konspirasi??
Ini adalah laluan biasa MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. Siapa yang menembak
pesawat tersebut?   kenapa pesawat penumpang ditembak?


Semasa kita hampir menerima kenyataan bahawa tidak ada harapan lagi untuk menemui mangsa dalam keadaan selamat, berita awal pagi ini memang menggegarkan dunia.  Banyak hati yang remuk, menangis  pilu menunggu ketibaan orang-orang tersayang yang sepatutnya mendarat selamat pagi ini. 
Ya Allah, lindungilah kami dari musibah.  Kasihanilah kami dan zuriat keturunan kami. Kurniakan kami keselamatan hidup di dunia dan akhirat.  Ameeen.

No comments: