Monday, October 10, 2016

Innalillahi wainnailaihirojiun

Peristiwa ni dah beberapa bulan berlalu. Tarikh tepat 3 April 2016.

Tetapi disebabkan kemalasan aku menjenguk blog ni, kisah itu tertinggal sepi. Tapi akhirnya aku kuatkan semangat. Kena ikhtiar untuk rajin juga. Aku mesti tulis juga tentang Makcaq, nenek kesayangan anak2 ku, supaya nanti mereka tidak lupa pada orang yang menyayangi mereka dan mereka sayangi juga.

Makcaq atau nama penuhnya Sopiah@Che Piah binti Haji Ahmad ialah ibu saudara suamiku. Semasa Abah masih kecil, Makcaqlah yang bantu mengasuh Abah dan adikberadik yang lain. Maklumlah emak Abah, Allahyarhamah Mak Bee tak menang tangan mengasuh 7 anak kecik. Umur bersusun paku pulak tu. Jadi Makcaq dah jadi seperti ibu bagi mereka. Dialah yang mendisiplinkan mereka dengan sifat garang campur sayangnya tu. Bila Allahyarhamah Mak Bee meninggal pada tahun 1990, Abah dan adikberadik menumpang kasih seorang ibu dari Makcaq.

Tokcaq yang sentiasa ceria bersama adikbongsunya .. Toksu Maimumah

Sebenarnya Makcaq ada dua anak perempuan. Tetapi disebabkan penceraian, hubungan ibu dan anak seolah2 terputus.  Mereka dibesarkan oleh bekas suami Makcaq.  Aku pun tak berani nak cerita lebih2 sebab aku pun tak pasti kisah sebenar mereka anakberanak.

Anak2 aku yang tidak sempat merasai kasihsayang  seorang nenek juga menumpang kasih pada Makcaq yang dipanggil sebagai Tokcaq. Setiap bulan, kami akan menziarahi Tokcaq. Semasa dia masih kuat dia cukup suka melayan kerenah cucu2 ni. Siap goreng pelbagai jenis cucur, bancuh milo pekat atau air sarsi. Karektornya yang periang, suka bercakap dan ketawa menghiburkan anak2 ku. Sebelum balik mesti dipeluk diciumnya kuat2 pipi anak2 ku. Itu trademark Tokcaq ... cium sampai berbekas pipi dengan basah sekali hahahahah!!!  Kaklong, Kakngah dan Puteri Bongsu ... uolls takkan merasa dah ciuman hebat tu lagi.

Rumah Tokcaq di Bukit Gelugor. Di sini kami selalu makan rambutan yang saban tahun berbuah lebat

Dan jasanya menjaga aku selama 2 minggu semasa dalam pantang semasa melahirkan Kakngah tak akan dapat aku lupa. Setiap hari dia memasak laukpauk yang sedap seperti hati masak jintan, sup daging, daging goreng kicap lada hitam, ikan masak asam dll. MasyaAllah sedapnya air tangan orang lama. Lebih membantu sebab Kakngah semasa kecilnya kena sawan tangis. Tak boleh silap sikit mulalah menangis melalak, tak kira siang atau malam. Aku yang sedang berpantang sampai jadi tension. Mujur ada Tokcaq membantu siap dengan jampi serapah dan doanya supaya Kakngah berhenti menangis,  Terima kasih Tokcaq.

Bila hariraya, Tokcaq adalah insan istimewa buat kami. Bila nak bergambar, dia akan ditempatkan di tengah2 keluarga Abah. Dialah ibu kami semua.

Bersama anak2 dan cucu2 saudara ... ni gambo antik tahun 1995 dulu

Tetapi apabila usia semakin lanjut, kesihatan Tokcaq semakin merosot. Dengan sakit athma yang kronik, dia terpaksa dimasukkan ke hospital beberapa kali. Pengakhiran kehidupan Tokcaq sangat menyedihkan kerana kerinduan kepada zuriatnya sendiri tidak terubat. Mujurlah Abah dan adikberadiknya setia mengambil tanggungjawab melawat dan menemani Tokcaq sehingga dia menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani pada waktu Asar, 3 April 2016.

Damailah Makcaq/Tokcaq di sana.  Kenangan indah bersama Tokcaq kekal di sanubari kami.

AL FATIHAH

No comments: