Wednesday, January 13, 2016

Post Dah Basi

Post ni kira dah basi la. Kesinambungan dari reunion penghujung Oktober tahun lepas. November, Disember dan sekarang dah pertengahan Januari, hrmmm kira dah 2 bulan setengah berlalu.

Tak kisahlah tu. Walaupun cerita dah basi, tapi memori tetap berpanjangan.

Sebenarnya akak nak tunjuk souvenir yang kawan2 akak bagi semasa reunion hari tu.  Ada 3 set brooch, ada kopi 3in1, ada kerepek, ada tupperware (original brand tau, bukan yg harga RM2 tu), ada lapik dulang, tuala muka, kotak porcelin, perfume,  beg kain, stokin, pills box ... hrmmm macam2 ada.  Tak pasal2 akak naik etsETS bawa 1 lagi bag tambahan.  



Thursday, December 17, 2015

Reunion - Hari Kedua (311.10.2015) - Part II

Kami meneruskan perjalanan ke Alor Setaq secara berkonvoi. Kami menggunakan jalan lama dari Behor Pulai ke Simpang Ampat terus ke Alor Setar. Awal pagi kereta taklah begitu banyak di atas jalanraya. Rasanya dalam tempoh sejam kami dah sampai ke Kedah Medical Centre (KMC).

Kami terus menuju ke tingkat 4 melawat sahabat kami Rafidi.  Rafidi merupakan rakan sekelasku sejak dari Tingkatan 1 hingga ke Tingkatan 5.  Kerana kadang2 dia nakal mengusik, aku kerap bergaduh dengan dia. Tak padan dengan kecik comelnya, akalnya banyak. Tetapi apabila masing2 telah bekerja, aku menjadi rapat dengannya. Kami sering berhubung melalui telefon. Malah semasa aku ke Perlis, dia dengan sukarela menjadi drebar membawa aku ke sana ke mari. Walau bagaimanapun, hubungan kami terputus apabila masing2 telah berumahtangga. Ya lah, tentu pasangan kita tak suka kita masih berhubungan dengan rakan berlainan jantina.

Pidi berbaju biru bersama Kamal (kiri) dan Zar (tengah). Gambar semasa reunion tahun 2011

Kami doakan Pidi kembali pulih. Aamiin

Pada bulan Syawal yang lalu, Rafidi dimasukkan ke KMC atas sebab sakit dalam perut. Sehari sebelum dia dijadualkan pulang ke rumah, tiba2 dia mengalami sesak nafas dan koma. Semenjak itulah dia terlantar di atas katil KMC ini dengan ditemani oleh isteri atau ibubapanya. Kawan2 tidak putus2 mengunjunginya dari jauh dan dekat. Malah kami telah mengadakan beberapa sesi bacaan Yaasin untuk Pidi, walaupun hanya secara online ajer. 

Semasa melawatnya,  kami pakat menahan sebak dada melihat keadaan sahabat @ saudara kami ini. Kini Rafidi sudah sedar tetapi belum boleh berinteraksi secara normal. Dia memandang kami dengan pandangan kosong dan sesekali wajahnya mencebek seolah2 hendak meluahkan sesuatu yang terpendam di hati. Apakan daya, setakat itu sahaja kemampuannya ketika ini. 

Ya Allah berikan kesembuhan buat Rafidi, berikan dia peluang untuk kembali hidup normal seperti dahulu. Kasihanilah dia, isteri dan anak2nya serta kedua ibubapanya.  Berikan mereka kekuatan fizikal dan mental menghadapi ujian ini. Aamiin.  Kami tinggalkan Pidi bersama isterinya. Kami peluk isterinya beri kata2 semangat. Rasanya tak sanggup memandang wajah isterinya dengan airmata yang lebat menandakan beratnya tanggungan hati.

Kami teruskan perjalanan kembali ke Perlis. Cuaca begitu panasnya. Sepanjang jalan asyik bertemu traffic lights. Kenderaan pun sudah banyak memenuhi jalanraya. Kali ni terasa lambatnya juga perjalanan kami. Kami tiba di rumah Pak Ark (Azhar Abu Seman) yang terletak di Kampong Kersik, Mata Air tepat waktu azan Zohor. Pak Ark juga merupakan sahabat kami dari Tingkatan 1 hingga ke Tingkatan 5. Ini merupakan perkahwinan anaknya yang pertama.

Bersanding ramai2 dengan Pak Arq dan isterinya Laila

Suasana menjadi ceria sangat apabila kami bertemu pulak dengan rakan putera yang turut menghadiri majlis ini. Di sini kami dapat berjumpa Bai, Zaki, Wahid, Fendi, Wan Mae, Mat Nasir, Affni, Bidin dan Zar. Semua pakat nak sembang bertanya kabar. Punya bersembang sampai hilang selera nak makan pun hihihihi. Agaknya tetamu lain pun jeles tengok gelagat kami di tempat khas yang disediakan oleh Pak Ark.

Geng putra - duduk depan dari kiri Affni, Fendi, anak Nasir, Mat Nasir dan Wan Mae
berdiri belakang dari kiri Bai, Zaki, Zar, Wahid, Syed, Shakimi, Shazali, Zul dan Bidin

Setelah sejam di sini, kami bergerak ke rumah ibubapa Dikna pulak. Tak jauhpun dari rumah Pak Ark. Di sini kami dijamu dengan juadah minum petang pulak. Kerana perutpun masih kenyang, kami hanya merasa2 sedikit kuihmuih dan minuman. Sebenarnya ketika ni, badan dah terasa tersangat letih. Rasanya kalau dihulurkan bantal, boleh tergolek dog semuanya.

Makan lagi???

Kami tinggalkan Dikna dan Yati di sini. Entah bila boleh bertemu lagi. Kami bertolak balik ke homestay. Memandang masa begitu terhad, kami berebut2 untuk mandi, solat, mengemas pakaian dan mengemas homestay. Pukul 4.30 petang kami keluar dari homestay tersebut. Waktu ini kami peluk erat2 sahabat kami. Semoga Allah berikan kami kesempatan untuk bertemu lagi. Sukarnya kami menahan airmata.

Salmah yang baik hati menghantar aku ke Stesen Keretapi Arau. Aku berlepas balik ke Pulau Pinang dengan ETS pukul 5.30 petang.

Perlis yang permai
Tinggallah Perlis yang sarat dengan pelbagai kenangan. Kenangan 36 tahun yang lalu serta kenangan semalaman aku bersama gegirls akan aku kenang sampai mati.

Wednesday, December 9, 2015

Reunion - Hari Kedua (31.10.2015) - Part I

Maaf na. Dah sebulan baru nak cerita balik kisah reunion kami tu. Aduhh jenuh le akak nak mengimbau2 kenangan waktu tu. Ni la akibat suka tangguh2 kerja. Hangpa jangan tiru akak tau ... babap karang.

Hari kedua bermula dengan dengan semua berebut bilik air waktu subuh. Maklumlah bilik air ada 3, orang ada 9. Ada yang nak mandi, ada yang dah sakit perut ... hihihi teringat akak kenangan berator dekat tandas asrama dulu. Jangan tak tau, punya ngantuknya mata, sambil berdiri bersandar kat dinding, akak boleh tertidor tau.  Hairannya tak jatuh pulak tu. Memang hebat penangan ngantuk ni.

Sambil menunggu masing2 selesai mandi, berpakaian dan bermekap, kami sambung macam2 cerita lagi. Tanya perihal anak2, perihal bertemu jodoh (pakat2 malu hehh), perihal kesihatan.  Rupanya ada beberapa orang antara kami yang tidak begitu sihat dan mengidap penyakit yg dikategori sebagai kronik. Tapi Alhamdulillah, nampak semuanya bersikap positif, tak nampak pun tanda2 orang yang berpenyakit. Semoga kita terus ceria dan diberikan kesembuhan. Aamiin.

Niat nak makan nasi ganja di market Kangar tergendala. Semalam dah tergendala niat nak makan laksa Kola (Kuala Perlis) sebab bersembang sampai sedar2 dah nak maghrib. Hari ni sembang2 punya pasal, jam sudah pukul 8.30 pagi. Market mesti sudah penuh sesak dengan orangramai, silap haribulan nasi ganja pun dah tinggal kerak jer. Akhirnya kami pergi kedai mamak dan makan roti canai, tosei dan capati jer .. heheheh akhirnya, mai jauh2 pekena makanan Penang kat tempat akak juga. Apa pun yang penting, happy. Sembang lagi sambil makan.

Breakfast di kedai mamak
Tak mau berlengah2, kami terus menuju ke sekolah kesayangan kami, Sekolah Menengah Sains Perlis atau nama rasminya Sekolah Menengah Tuanku Syed Putra di Behor Pulai.  Memang sudah hilang pemandangan asal 36 tahun yang lalu. Padang tempat kami bersukan sudah semakin kecil, banyak bangunan2 baru didirikan menjadikan kawasan sekolah dan asrama jadi agak penuh sesak. Tapi kami faham, semua itu dibangunkan dengan tujuan untuk memberi kemudahan terbaik buat pelajar2.

koridor ni kami gunakan berkali2 sehari untuk berulang-alik antara asrama, sekolah,
dewan makan dan padang - makan pagi, pergi kelas, rehat pukul 10, makan tengah hari,
prep petang, bersukan, makan malam dan prep malam. Koridor ini menyaksikan
pelbagai kisah sukaduka anak2 yang merantau mencari ilmu

bangunan kelas2 tempat kami menimba ilmu. Pada dinding tu dulu tak ada
lukisan mural, di situ wayang pacak ditayangkan untuk kami pada
hujung minggu, bukan cerita koman2 tau, semua box-office macam
Saturday Night Fever, Grease, The Spy Who Love Me, cerita cina, hindustan semua ada.
Hihihihi sporting betul pihak sekolah waktu tu

Sesuatu yang tak disangka ialah bau masakan dari dewan makan masih sama sepeti 36 tahun yang lalu. Haaaahahaha kami semua berpendapat begitu ... ini fakta bukannya auta tau.  Kami bertemu anak2 pelajar yang kelihatannya hairan melihat gerombolan makcik2 berjalan ke sana ke mari. Dengan rasa megahnya kami bagitau, makcik2 inilah pelajar batch ke-3 sekolah ini dulu. Kami meninggalkan sekolah ni tahun 1979 selepas SPM. Hihihihi mereka ketawa ... kami pun belum lahir lagi waktu tu!!!!

Kemegahan kami

Kami tinggalkan sekolah yang penuh kenangan ni dengan rasa megah bercampur hiba.  Sekolah inilah yang mengajar kami menjadi insan berguna hari ini. Di sini kami belajar berdisiplin, berdikari, punya jati diri, penuh semangat setiakawan dan sayangkan guru2 dan sekolah. Semoga sekolah ini akan terus menempa kegemilangan dan melahirkan generasi cemerlang dunia akhirat. Aamiin.

Friday, November 20, 2015

Reunion Gegirls - Hari pertama - 30.10.2015

Hari ni kali pertama aku naik ETS dari Butterworth ke Arau semenjak ia diperkenalkan pada 10 Julai 2015. Tambang cuma RM26 jer.  Memang teruja sangat nak naik keretapi laju ni. Dulu masa bersekolah selama 5 tahun di Perlis, dah puas rasanya naik keretapi renti-renti. Ngokngek-ngongek entah berapa jam barulah sampai destinasi.  Sampai kematu punggung. Muka pun jadi berminyak melekit kerana dalam gerabak sangatlah panas dan tidak selesa.  Paling teruk tempat duduk tak bernombor, sapa cepat dia dapat tempat duduk. Sapa lambat terhegeh2, alamatnya kena duduk atas lantai atau atas beg .... ala-ala dalam filem tamil tu. Hihihihihi!!

Indahnya jelapang padi di hiasi bukit2 batu kapur

Dengan keretapi laju ETS (Electric Train Service) ni semua dah tip-top.  Tempat duduk selesa dan cantik. Gerabaknya berhawa dingin.  Pintu keluar-masuk gerabak berfungsi secara automatik.  Yang penting bertolak dan tiba di stesen tepat mengikut jadual yang ditetapkan. Memang laju. Sejam lebih sikit jer dah sampai ke Arau.

Paling best aku bertemu Hajar atas ETS ni. Kebetulan kami satu gerabak dan satu destinasi. Nak ke Perlis untuk reunion kami. Subhanallah, tak sangka setelah 36 tahun, hari ini kami bertemu kembali. Kami berpeluk erat melepas rindu yang sarat. Macam biasalah kan, airmata akak ni murah sangat. Jenuh ditahan pun,  tetap turun berderai2 jugak.

Sebahagian Kangar dilihat dari bilik hotel di mana Hajar menginap

Setibanya di Arau kami terus mengambil teksi ke hotel. Memandangkan Hajar datang bersama kakak iparnya Ateh,  mereka tidak menginap di homestay bersama2 kami yang lain.  Setelah selesai urusan check-in dan mengambil kereta sewa, kami terus bergerak ke Pauh Homestay di Jalan Kaki Bukit.  Di sana kawan2 yang lain dah siap menunggu bersama buah dan garam belacan untuk mencicah, kuihmuih dan jeruk.

Jom menyicah dan makan2

Allah hu Akbar, tak dapat aku gambarkan macamana perasaan aku waktu tu. Menatap wajah2 sahabat yang tersayang yang telah sekian lama tak bertemu, adalah satu nikmat yang besar dari Allah. Sapa sangka setelah 36 tahun, Allah izinkan kami bertemu kembali. Dengan penuh kasihsayang dan terharu aku dapat peluk sahabat2 ku :

belakang dari kiri - Minai, Wan, Salmah, Cikmah, Hajar dan Yati
depan dari kiri -  Zaaba, Ciksu, Shila, akak dan Dikna
1.  Salmah Hashim; tak pernah aku jumpa sejak tahun 1979.  Kini dia jadi guru di Perlis. Masih kekal seperti dulu, Salmah ni lemah lembut dan manis orangnya.  Dulu aku selalu suka tengok rambutnya yang panjang macam ekor kuda

2.   Zabariah atau Zaaba; tak jumpa sejak tahun 1979 juga.  Zaaba dulu melanjutkan pelajaran ke luarnegara dan kini juga seorang guru di sebuah sekolah berasrama penuh. Tahun ini merupakan tahun terakhir dia mengajar dan akan bersara awal kerana masalah kesihatan.  Kesian dia apabila disahkan mengidap beberapa penyakit kronik yang mengganggu pergerakan tubuhnya. Alhamdulillah kini dia dah punya beberapa orang cucu dan menantu.  Semoga allah memberikan kesembuhan buat Zaaba.

3.   Hajariah atau Hajar;  tak jumpa sejak tahun 1979.  Hajar baru saja bersara awal dari perkhidmatan dengan Kementerian Kesihatan dan kini menjadi surirumah sepenuh masa, macam aku juga.  Masih periang macam dulu juga, seronok dengar gelak ketawanya dan canda nakalnya.

4.   Noriyati atau Yati;   tak jumpa sejak tahun 1979 juga.  Yati baru saja bersara dari jawatan sebagai penolong kanan sebuah sekolah menengah dan kini bergiat bersama2 suaminya dalam bidang perniagaan. Masih kekal slim macam dulu. Semasa bertemu ni Yati siap promote bermacam barangan dagangannya seperti kopi habbbatussauda dan kolagen.  Sendiri punya produk you!!

5.  Salmah Semail atau Cikmah, baru ajer aku berkunjung ke rumahnya  di Cherok Tokkun pada bulan Ogos dulu.  Cherok Tokkun tu tak jauh dari tempat tinggal aku.  Cikmah yang sebelum ini bertugas di Tenaga Nasional bersara awal sejak beberapa belas tahun lalu untuk memberi sepenuh perhatian dalam mendidik anak2nya.  Besarnya pengorbanan seorang ibu.

6.   Datin Marina atau Dikna; kali terakhir berjumpa pada bulan Disember tahun lepas semasa reunion rakan2 sekelas di Sungai Dua Pulau Pinang. Mak datin ni dulu bekerja sebagai pensyarah dan kini bersara awal macam aku juga.  Walaupun bergelar Datin, dia masih kekal mesra dan nakal sebagaimana Dikna yang kami kenali 36 tahun yang lalu. Alhamdulillah.

7.   Suraini atau Ciksu; kali terakhir aku temui pada bulan April lalu semasa dating di Aeon Alma, Bukit Mertajam. Kebetulan Ciksu yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah di Simpang Empat juga menetap tidak jauh dari tempat tinggal aku.  Salute buat Ciksu yang cekal menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal yang membesarkan 3 anak sejak kematian suaminya beberapa belas tahun yang lalu.  Semoga Allah mempermudahkan kehidupan Ciksu dan anak2. Aamiin.

8.   Rosilawati atau Shila, kali terakhir berjumpa pada tahun 2012 semasa Grand Reunion batch 1979. Shila yang merupakan jururawat di Hospital Tuanku Fauziah Kangar masih sama seperti tahun 1979, kecik molek orangnya dan perlahan aje suaranya bila bercakap.

9.   Wan Fadzini atau Wan, juga kali terakhir berjumpa pada tahun 2012 semasa Grand Reunion batch 1979. Seorang guru dan dah mempunyai seorang cucu.  Wan juga kurang sihat setelah disahkan doktor mengidap sejenis penyakit berkaitan immune system.  Semoga Wan tabah dan diberikan kesembuhan dari penyakit tersebut. Aamiin.

10.  Norhayati atau Minai, kali terakhir aku bertemu kira2 7 tahun yang lalu semasa aku berkunjung ke rumahnya di Shah Alam.  Bekerja di UITM Shah Alam, Minai mempunyai 4 anak perempuan. Minailah penglipur lara bagi kami sejak dari alam persekolahan hinggalah sekarang. Di mana saja dia berada, suasana akan jadi ceria.

sweet 52 dan 53 hehehehheh
Apabila sudah bertemu 11 sahabat, suasana jadi riuh rendah. Lupa diri kami ni dah separuh abad, terasa macam si manis 17 pada tahun 1979. Semua berebut nak bercakap serentak ... hahahaha. Memang havoc. Maklum dah bertahun2 tak jumpa, macam2 perkara nak dikongsi, macam2 perkara nak disoal. Lebih seronok bila Minai bawak keluar autograf yang kami tulis 36 tahun yang lalu. Hihihi rasa tak percaya bila aku baca balik ayat jiwang2 yang aku tulis masa tu .... hahahaha!!! Minai juga bawak album gambar2 kami di sekolah dulu. Hrmmm tak dapat le aku nak kongsi gambar2 tu, semua seksi dan seksa belaka hahahhaha!!!!

Selepas solat maghrib kami bertolak dengan kereta sewa Hajar dan Exora Salmah ke Kuala Perlis. Riuh rendah bersambung pulak dalam kereta. Kukkik kukkik sepanjang jalan. Setiba di Kuala Perlis, kami terus ke Mona Ikan Bakar untuk makan malam. Dikna yang bermurah hati belanja kami malam tu. Ada ikan kukus, ikan bakar, udang, sotong, mentarang, tomyam seafood, sayur campur dll. Sambil makan sambung sembang lagi. Banyak perkara nak kena catch-up ni hahahaha!!!

Balik ke homestay, sesi sembang2 bersambung. Pukul 12 malam, Hajar bertolak balik ke hotel, Zaaba pulang ke rumah. Tinggal kami 9 orang. Ada yang tidor di bilik, ada yang lepak2 di hall. Kami mengimbau kisah2 zaman persekolahan, kehidupan berumahtangga, masalah kesihatan dan sebagainya.  Ada yang tak mampu bertahan, pukul 12 lebih dah tidor. Tapi kebanyakannya sayang nak tidor, pukul 2 pagi pun masih pokpek-pokpek. Hihihihihi

Wednesday, November 11, 2015

Reunion Gegirls - Perancangan

Kami dah merancang sejak sebulan yang lalu.  Hati semua berbunga2, semangat semua berkobar2. Memang inilah yang kami semua nanti2 setelah bertahun2 tak jumpa. Ada yang kali terakhir berjumpa semasa kami meninggalkan alam persekolahan pada tahun 1979, dah 36 tahun berlalu. Bukan singkat tempoh itu. Dulu kami semuanya gadis manis 17 tahun, terlalu naif.   Kini semua dah lebih separuh abad. Ada yang dah bermenantu, bercucu dan bersara awal. Ada juga yang sudah pergi bertemu Pencipta nya.



Aku tak pasti perasaan teman2 yang lain. Apa yang mereka harap dari reunion ini nanti.  Tapi aku sendiri memikirkan sesuatu yang aku bimbang.  Aku dan beberapa sahabat sedang menghidap pelbagai penyakit kronik. Walaupun tidaklah parah terlantar (Nauzubillah hi minzaliq), tapi pelbagai kemungkinannya ada. Kita tak dapat lari dari fitrah manusia hidup bernyawa, pengakhirannya mati.

Jadi aku rasa semasa semua masih sihat, semasa semua masih bernafas, jadikan reunion ini satu kenyataan.  Kalau tak ada lagi perjumpaan besar sebegini selepas ini, aku tak ralat lagi. Semua kerinduan telah tertebus. Tetapi semestinya setiapkali selepas solat, aku merayu kepada Yang Maha Berkuasa supaya memanjangkan usia kami dalam keberkatan, berikan kami nikmat kesihatan yang baik, panjangkan silaturrohim kami.  Aamiin


Kami pun membentuk jawatankuasa mudah.  Sukarela tanpa ada rasa stress. Mujurnya ada kemudahan whatsapp ni. Semua perbincangan online. Keputusan buat serta-merta. Yang lawaknya aku jadi setiausaha. Why why why?? Dari sekolah, masuk kolej, pi kerja, ni untuk reunion pulak ... mesti jawatan setiausaha tu aku yang punya. Ada cop SETIAUSAHA kat dahi aku agaknya kehkehkeh.

Sebenarnya kami dari grup Malay Medium ni ada 17 pelajar perempuan.  Daripada jumlah tersebut, seorang telah meninggal dunia iaitu Wan Aspalela. Al Fatihah untuk sahabat tersayang. Daripada 16 orang lagi, 3 orang tak dapat dikesan iaitu Khairiyah Tajuddin, Rusiah Ayob dan Dr Tan Seow Yan. Tinggal lagi 13 orang. Kami amat berharap kesemua 13 orang dapat hadir. Tapi apalah daya Suriyani dan Norliza terpaksa menarik diri kerana ada komitmen masing2.


Alhamdulillah, akhirnya 11 Gegirls bersetuju bertemu kembali di Perlis pada 30 dan 31 Oktober 2015.  Tentunya happening!!!