Tuesday, December 29, 2009

Kenduri Kahwin

Wah .. lama benar aku tidak menjenguk blog aku sendiri. Aku sudah dapat mengagak ini akan berlaku memandangkan banyak sekali program yang telah diatur semenjak berbulan-bulan lalu.

Setiap hujung minggu tugas ku adalah memenuhi jemputan kenduri kahwin yang bertimbun-timbun. Aku sebolehnya memenuhi setiap undangan kecuali jika ada perkara lain yang lebih penting. Ustazah sering mengingatkan, "Memenuhi undangan itu adalah wajib". Emak pula sering mengingatkan, "Orang jemput, kita kena pergi, esuk anak kita pun nak kenduri jugak."

Jemputan paling jauh ialah kenduri anak saudara Abah di Muar. Sambil menghadiri kenduri, kami juga sempat singgah membeli-belah di Tangkak. Aku membeli hingga 8 pasang baju untuk aku dan anak-anak. Mujur juga duit dalam dompet sudah kehabisan. Kalau duit aku banyak lagi, tentu lebih banyak yang akan aku beli. Abah pula tidak mahu meminjamkan duitnya, takut aku berbelanja lebih.

Paling menarik di Muar, ialah makanannya. Aku menginap di D99, sebuah hotel yang baru beroperasi kira-kira 9 bulan lepas. Semua masih baru...tilam masih keras, bilik air bersih, tuala masih segar. Tetapi aku memilih untuk makan pagi di gerai berhampiran hotel. Hanya anak-anak sahaja yang menikmati sarapan hotel.

Perkara pertama yang menarik perhatian aku dan Abah ialah menu sarapan pagi. Ada sate dan mi bandung, selain makanan biasa seperti nasi lemak. Kali pertama aku makan sate pada waktu pagi. Sepanjang 3 hari aku berada di sana, aku dan Abah mencuba mi Muar di 3 gerai yang berasingan. Dan aku mendapat 3 rasa yang berbeza, tetapi semuanya manis pedas. Anak-anak aku juga dapat menikmati otak-otak sepuas hati mereka.

Majlis kenduri perkahwinan berlangsung dalam hujan lebat. Tetapi tuan-rumah mesra meraikan kami rombongan dari Pulau Pinang (10 kereta dan 1 van). Kami dijamu dengan makanan yang enak, dihiburkan dengan zapin yang ditarikan oleh anak-anak comel dan sebelum pulang dibekalkan dengan nasi dan lauk-pauk yang banyak.

Terima kasih orang Muar.


Tuesday, December 15, 2009

Mudzalifah (11 Februari 2003)

Saat tiba di Mudzalifah

Selepas Isya' semua jemaah diminta bersiap-siap untuk bertolak ke Mudzalifah. Memandangkan kami hanya membawa sebuah beg roda yang dihadiahkan oleh Tabung Haji, sebenarnya tidak banyak yang perlu dikemaskan. Beg aku hanya berisi telekong, tuala, sepasang selipar dan tiga pasang baju persalinan. Begitu juga dengan Abah, begnya hanya berisi sepersalinan ihram, tuala, selipar dan 2 pasang baju biasa. Kerana mengikut jadual, Abah perlu memakai ihram sehingga besuk sahaja.

Sedang kami berhimpun di pintu khemah, aku terpandang kelibat Raja Nazrin Shah, Raja Muda Perak. Khemahnya terletak bersebelahan dengan khemah kami. Nampaknya tahun ini begitu ramai orang kenamaan dan selebriti yang aku temui di Mudzalifah seperti Raja Baharin, arkitek terkenal dari Trengganu, penulis lirik Habsah Hassan dan pelawak Zaibo.

Bas tiba pada jam 12 malam. Jalan sangat sesak dan bas hanya dapat bergerak perlahan-lahan. Peluang ini aku ambil untuk melelapkan mata memandangkan telah hampir 24 jam aku tidak tidor. Aku perlukan tenaga untuk ibadah yang seterusnya. Kami hanya tiba di Mudzalifah pada jam 3 pagi. Suasaana begitu dingin. Di sekeliling kami begitu ramai jemaah, semua dengan maksud yang sama, untuk bermalam di Mudzalifah sambil memungut batu-batu kecil. Setelah selesai memungut, kami mengadakan Qiamullail, sementara menanti Subuh. Kali pertama kami bersembahyang di bawah langit Allah, di bumi yang bertuah. Mudzalifah tidak disediakan sebarang khemah. Yang ada hanya tandas-tandas awam. Kami menggunakan tikar-tikar yang kami bawa sendiri. Di bawah tikar hanyalah bumi gersang yang dipenuhi pasir dan batu-batu. Aku memandang ke langit, penuh dengan bintang-bintang bergemerlapan. Sudah lama aku tidak menghayati keindahan ciptaan Allah sebegini. Segera aku panjatkan syukur dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada aku selama ini.

Tuesday, December 8, 2009

Bulan Ke-2

Ini bulan ke-2 aku jadi suri rumah.

Semua orang sibuk bertanya "You buat apa kat rumah? Buat business ke? Tak boring ke?" dan macam-macam lagi soalan. Itu tidak termasuk yang masih belum percaya keputusan mendadak yang aku ambil untuk berhenti kerja, "Kenapa you tiba-tiba berhenti? Any problem with your new boss? You ada any special plan ke?"

Aku tidak mahu memberi jawapan yang mungkin akan disalah tafsir. Lalu jawapan ku kepada semua orang yang bertanya tetap sama, "I dah bosan bekerja, 25 tahun pergi-balik pejabat. I nak masa untuk diri sendiri, I ada hobi sendiri, ada minat sendiri. Cukuplah 25 tahun tu".

Apa aku buat di rumah? Oh masa selalu cemburu. Sekejap saja pagi bertukar menjadi malam. Rutin ku bermula awal pagi dengan membersih diri, menyerahkan jiwa-raga kepada Yang Esa. Aku berdoa panjang pada pagi yang hening, membaca Al Quran perlahan-lahan. Aku buat ketetapan sendiri, paling kurang 2 muka surat setiap hari. Jangan ponteng.

Aku sediakan sarapan mudah untuk suami dan anak-anak, sebagai lapik perut ke pejabat. Setelah itu aku paksakan diri berjalan keliling taman perumahan ini, 1 jam 4 kali seminggu. Aku tolak ke tepi semua alasan yang membantutkan niat untuk beriadah, sakit kaki, sakit pinggang, sakit kepala, letih, malas dll. Memang tidak mudah memaksa diri setelah bertahun-tahun meninggalkan aktiviti riadah harian ini.

Kemudian aktiviti diteruskan dengan kerja rumah, membasuh, menyidai, menggosok, memasak, mengemop dan bermacam lagi tugas biasa seorang suri. Petang ku agak santai. Aku peruntukkan 2 jam mengadap komputer. Aku ada email, facebook dan blog untuk dikemaskini. Aku sentiasa pastikan masih terus berkomunikasi dengan teman-teman persekolahan, teman-teman pejabat atau saudara mara yang lain. Aku juga sentiasa membaca blog lain untuk memastikan aku tidak ketinggalan maklumat semasa, samada politik, kesihatan, hal-ehwal dunia atau gosip hiburan. Waktu begini juga aku gunakan bagi membaca akhbar sementara menunggu suami dan anak-anak pulang ke rumah.

Waktu terluang ini jugalah aku mula berjinak-jinak dengan pengajian agama di masjid. Selain menambah ilmu, aku juga menambah kenalan. Aku semakin insaf, hari akhir kian hampir. Banyak lagi bekalan yang belum lengkap. Kita perlukan doa sahabat handai apabila memulakan perjalanan 'ke sana' nanti.

Bagi memastikan otak tidak beku...sentiasa tangkas berfikir, ianya mesti selalu diguna, mesti sentiasa diperah. Aku peruntukkan 1 jam setiap malam untuk bermain soduku atau cross word. Memang kadang-kadang aku menjadi malas apabila terlalu susah untu diselesaikan, tetapi aku tetapkan untuk menyiapkan seberapa banyak permainan soduku atau cross word yang aku mampu dalam 1 atau 2 jam. Satu perkara yang sukar untuk dipercayai oleh teman-teman, aku tidak berminat menonton TV kecuali berita dan dokumentari. Sebaliknya masa lapang lebih banyak aku gunakan untuk membaca..apa-apa sahaja, novel, akhbar atau majallah.

Yang pasti...aku mengisi tempoh persaraan ini dengan perkara yang aku suka dan mampu buat. Cuma sesekali aku perlu berperang dengan perasaan malas yang sesekali boleh menyebabkan aku jadi pesara yang tak aktif....pencen tunggu mati!!!!!!!!!!!

Thursday, December 3, 2009

Aku Berserah Kepada Mu Ya Allah (10 Februari 2003)

Arafah di waktu pagi

9 Februari 2003 genap 9 hari kami berada di Shisha. Tepat jam 11.00 malam, 16 buah bas di bawah kumpulan JT bertolak ke Arafah. Sepanjang perjalanan lidah kami tidak berhenti bertalbiah "hamba Mu datang menyahut panggilan Mu, Ya Allah. hamba Mu datang menyahut panggilan Mu. Yang tiada sekutu bagi Mu. Hamba Mu datang menyahut panggilan Mu. Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan Mu, tidak ada sekutu bagi Mu".

Walaupun jarak antara Shisha dengan Arafah tidaklah begitu jauh, kami hanya tiba di Arafah pada jam 12.30 malam. Kami disambut oleh dua lelaki Arab yang menuangkan air zamzam ke dalam cawan sambil mengucapkan selamat datang. Seterusnya kami dibawa ke khemah untuk berehat. Khemah kami agak selesa ditutupi hamparan. Setiap jemaah disediakan tilam, bantal dan selimut. Alat hawa dingin terpasang di beberapa sudut khemah berkenaan. Aku menghabiskan malam tersebut dengan membaca Al Quran dan berzikir. Mataku tidak mengantuk langsung.

Tepat pukul 4 pagi kami mula mengadakan majlis Qiamullail dengan dipimpin oleh Ustaz TM Fouzy. Selesai Qiamullail, kami berzikir, bertasbih dan bertalbiah sehinggalah masuk waktu Subuh. Alangkah nikmatnya solat Subuh tersebut...walaupun disekelilingku penuh jemaah, aku merasakan suasana hening sekali. Airmataku tak henti mengalir, tanpa aku tahu sebabnya. Mungkin rasa tenang ini begitu menyentuh hati.

Selesai solat Suboh aku dan Abah berjalan-jalan di persekitaran khemah kami. Udara pagi dingin sekali. Aku perhatikan di sekeliling kawasan Arafah adalah bukit-bukit batu. Di sekitar kawasan khemah pula banyak pokok-pokok rendang yang ditanam secara teratur untuk menyejukkan pemandangan dan meneduhkan para jemaah.

Kami seterusnya menyucikan diri untuk mengerjakan ibadah wukuf. Aku tidak perlu menunggu lama kerana kemudahan tandas yang agak banyak. Aku cuma mengelap tubuh dengan tuala yang basah, tidak berani untuk mandi. Bimbang aku demam sekiranya mandi dalam keadaan cuaca dingin-panas begini. Kami semua disarankan memakai pakaian putih yang baru untuk mengerjakan ibadah wukuf ini.

Pada jam 11.30 pagi semua jemaah siap berkumpul di khemah yang dikhaskan untuk jemaah kumpulan JT. Dugaan Allah datang sekali lagi. Tiba-tiba sahaja bekalan elektrik terputus. Kami semua kepanasan dalam terik bahang matahari yang menyelubungi bumi Arafah walaupun berada di bawah khemah. Ustaz meminta kami teruskan berzikir, bertalbiah, berselawat, beristifar dan berdoa semoga ibadah kami dipermudahkan. Bekalan elektrik pulih kembali kira-kira 40 minit kemudian.

Tepat jam 12.35 tengah hari masuklah waktu zohor dan waktu wukuf. Ustaz TM Fouzi menyampaikan khutbah Arafah. Kami semua berdoa merendah diri memohon keampunan Allah, meminta dibersihkan diri kami dari dosa-dosa lalu, memohon keampunan kepada ibu-bapa kami, memohon kemulian untuk ibu-bapa dan guru-guru, anak-anak, saudara mara dan sahabat handai. Doa yang dibaca amat meruntun hati. Banyak airmata yang tumpah mengenangkan dosa-dosa silam, kealpaan menunaikan perintah Allah, dosa sesama manusia dan sebagainya. Aku dan jemaah lain tanpa segan-silu merintih dan merayu keampunan Allah. Dalam sedu-sedan kami menyerahkan diri kepada Allah untuk menerima amalan kami, memberi kami petunjuk ke arah jalan kebenaran, menjauhkan kami dari kemungkaran. Selesai khutbah Arafah, kami menunaikan solat secara berjemaah.

Selepas waktu Asar, kami sekali lagi berkumpul di kawasan lapang Arafah. Sekali lagi kami berdoa beramai-ramai memohon keampunan Allah, kami yakin Allah sentiasa menerima doa hamba Nya semasa berwukuf. Kami memohon Allah menerima ibadah haji yang kami lakukan dengan penuh tawaduk ini. Kami berserah sepenuhnya kepada keredhaan Allah Yang Maha Esa.

Tuesday, December 1, 2009

Yang Indah Itu Ketenangan

Sepanjang beberapa minggu ini bila ada masa terluang aku dan Abah suka menonton TV, terutama Astro saluran 106, Khabar Haji. Pelbagai cerita dihidangkan, pengalaman jemaah haji, soaljawab agama, bimbingan haji dan aktiviti semasa jemaah haji di Tanah Suci. Setiap hari kami tidak melepaskan peluang melihat jemaah mengerjakan wukuf, berada di Mudzalifah, suasana di Mina dsbnya.

Dokumentari ini begitu rapat dengan jiwa kami, kami merasa menjadi sebahagian dari jemaah tersebut, kami rasa biasa berada di lokasi-lokasi yang dipaparkan. Masih tidak dapat aku lupakan segarnya kedinginan udara yang kami sedut, harumnya aroma udara di sekitar Masjidil Haram, berserinya setiap wajah yang mengadap Baitullah ... kenangan tersebut.

Sesekali bila ada masa terluang, aku dan Abah akan berdiri di atas bumbung maktab di Shisha. Kami memandang sekeliling. Yang ada hanyalah bukit-bukit batu yang gondol. Tetapi, bukit-bukit itu ditebuk dan dijadikan tempat kediaman oleh penduduk Mekah. Memang tiada yang menarik bagi mereka yang berminat untuk melancong melihat keindahan alam.

Tetapi kenapa umat Islam tanpa jemu berkorban tenaga dan harta-benda untuk datang ke Tanah Suci ini. Bukan sekali, tapi berkali-kali, mengerjakan haji dan umrah. Itulah nikmat yang Allah kurniakan kepada bumi yang barkah ini. Hati sentiasa tenang apabila berada di Masjidil Haram, ketenangan yang sukar diperolehi di tempat lain. Jiwa sentiasa tunduk kepada Allah, berserah sepenuhnya kepada kasih-sayangNya.

Itu yang tidak diperolehi di tempat sendiri. Apabila pulang ke Malaysia, kita kadang-kadang tidak mampu meneruskan amalan yang kita lakukan di sini. Ibadah sunat kian susut, ibadah wajib semakin kurang khusyuk. Lalu hilanglah ketenangan yang diperolehi di sini. Mungkin kerinduan untuk mendapat ketenangan yang hakiki inilah yang menyebabkan kita tidak jemu-jemu untuk kembali ke sini.

Wallahhualam

Monday, November 30, 2009

Terima Kasih Bos

Semalam Aidil Adha hari ketiga. Bekas bos aku dahulu, Tuan Haji Niana (THN) menjemput aku sekeluarga untuk makan tengah hari di rumah baru beliau.

Cuma tiga bekas kakitangan dijemput, aku, Rosni dan Zol serta ahli keluarga masing-masing. Majlis berjalan santai. Aku dan Rosni berbual dengan isteri tuan-rumah di ruang makan. Para suami pula berbual dengan THN di ruang tamu.

Makanan dihidangkan sungguh istimewa, nasi arab (nasi mandhi) dengan lauk kambing panggang, ayam, daging dimasak seakan-akan masak kicap, coleslow dan kuah tomato. Walaupun tidak pedas, tapi cukup rasa rempah ratusnyya. .

Aku amat menghargai ingatan THN terhadap aku dan kawan-kawanku. Rasanya kami bagaikan insan terpilih kerana dijemput secara ekslusif oleh bos untuk makan bersama keluarganya walau pun THN bukan lagi bos kami. Aku berharap ikatan silaturrahim ini tidak akan terputus begitu sahaja.

Wednesday, November 25, 2009

Dugaan Pertama

Cuaca di Mekah sangat sejuk ... mungkin sekitar 20 Celcius. Setiap kali keluar dari kawasan maktab untuk menelefon anak-anak atau membeli barangan keperluan di Ben Dawood Store berhampiran maktab, aku mesti memakai baju sejuk. Angin yang bertiup menusuk ke tulang hitam. Mujurlah jemaah wanita boleh bertutup seluruh tubuh. Aku pakai stokin yang paling tebal dan cuba menahan diri menyedut dengan banyak udara sejuk yang menyelinap masuk ke paru-paru.

Tetapi aku kasihan kepada Abah dan jemaah lelaki yang lain. Memandang kami mengerjakan Haji Ifrat, kini kami semua berada dalam larangan ihram. Jemaah lelaki dibenarkan memakai pakaian ihram yang menutup hanya sebahagian tubuh dan mereka sentiasa dalam kesejukan. Mujur Abah mempunyai 2 set pakaian ihram dari kain jenis tuala yang agak tebal.

Kesejukan ini menyebabkan ada jemaah yang sudah mula semput. Aku sendiri masih cuba menyesuaikan diri dengan masalah untuk membuang air besar. Aku cuba memakan buah-buahan dan sayur-sayuran dengan banyak. Mujurnya syarikat JT yang mengendalikan urusan haji kami menyediakan menu yang memenuhi selera orang Malaysia. Setiap hari mesti ada sayur-sayuran, ulam, sambal belacan dan buah-buahan. Lauk-pauk kami berkisar sekitar ayam, ikan, tempe, daging dan telur yang dimasak kari, masak lemak, asam pedas, rendang, masak kicap dan sebagainya. Makanan disediakan 5 kali sehari dan kemudahan minuman panas pula disediakan tanpa had. Makanan pula disediakan di setiap tingkat. Aku bersyukur dengan kemudahan yang mewah ini.

Walau bagaimanapun, kesan cuaca yang sejuk dan diet proten tinggi ini telah memberi kesan kepada Abah, dia telah diserang ghout pada hari keenam kami di sini. Abah berjalan terengkot-engkot menahan sakit. Pada 7 Februari 2003, Abah hampir tidak boleh berjalan. Dia terpaksa duduk di atas kerusi roda dan dibawa ke Klinik Tabung Haji Aziziah. Abah diberikan suntikan dan ubat-ubatan untuk melegakan kesakitannya sebelum dibenarkan pulang ke maktab.

Aku mengisi setiap waktu yang lapang dengan membaca surah Yaasin dan bersolat hajat. Ya Allah, berilah bantuan Mu kepada aku dan suamiku, peliharalah kami berdua dari segala perkara yang menggangu ibadah kami, berilah kami kesihatan tubuh badan, berilah kami kesabaran, permudahkan kami untuk meneruskan ibadah ini, ampunilah dosa-dosa kami, terimalah taubat kami YaAllah. Aku berdoa dalam tangisan yang mendalam. Aku benar-benar berharap bantuan Allah menghadapi dugaan ini.

Alllah yang Maha Pengasih dan Penyayang memakbulkan doa kami yang ikhlas. Alhamdulillah keesukan harinya Abah sudah boleh berjalan seperti biasa. Aku memanjatkan syukur kepada Allah dan bersujud syukur yang panjang...menyatakan puji-pujian kepada ihsan Nya.

Penyucian Hati

Selepas mengerjakan Tawaf Qudum, kami para jemaah tidak digalakkan untuk ke Masjidil Haram sebaliknya diminta menyiapkan fizikal dan mental untuk urusan haji seterusnya. Setiap siang dan malam kami diisi dengan sesi usrah, panduan haji, sesi soal-jawab ugama, berzikir dan bertalbiah di surau maktab tersebut.

Kami akan bangun seawal jam 4 pagi iuntuk menunaikan solat-solat sunat dan berzikir. Paling menyentuh hati zikir "Tuhan ku aku tidak layak untuk syurga Mu, tetapi aku tidak pula sanggup menanggung siksa neraka Mu, ampuni dosaku...sesungguhnya Engkaulah Pengampun dosa-dosa besar" yang disebut berulang-ulang. Hampir semua jemaah akan menangis mengenangkan pelbagai dosa lampau yang dilakukan, dan merasakan ketakutan dan hinanya diri. Semua jemaah merendah diri meminta keredhaan Allah, memohon dipermudahkan urusan haji ini semoga mendapat haji yang mabrur.

Waktu untuk berehat hanya waktu makan dan tidur malam. Walaupun semua sesi yang dijalankan ini bukan paksaan, tetapi rasanya tidak ada jemaah yang mahu melepaskan peluang menjalankan ibadah ini sepenuh hati. Cuma pada hari-hari tertentu aku dan Abah akan bertemu di tempat basuhan di bumbung maktab untuk membasuh pakaian kami, terutama kain ihram Abah yang berat dan panjang.

Atau selang 3 atau 4 hari kami akan ke pondok telefon untuk menelefon anak-anak di Malaysia. Memandangkan 3 anak bergilir-gilir untuk bercakap dengan kami, kebiasaannya setiap panggilan akan dicaj di antara 30 hingga 40 rial (waktu itu satu rial bersamaan RM1). Keceriaan dan kemanjaan anak-anak permata hati kami di Malaysia menambahkan semangat kami untuk melakukan ibadah dengan lebih sempurna.

Dalam setiap solatku, aku berdoa penuh kusyuk sebagaimana diajar oleh Ustaz semasa sesi usrah agar dihapuskan sifat mazmumah dalam diri, agar dikuatkan kesabaran menempuh apa juga dugaan semasa menjalankan ibadah haji dan seterusnya menjalani kehidupan, agar dibersihkan segala dosa supaya kami dapat berada di Tanah Suci ini bagaikan bayi yang baru lahir, agar tiada amalan dan perbuatan kami yang akan mencacatkan ibadah kami.

Dan aku penuh yakin, Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang sentiasa mendengar doa ikhlas hambaNya. Aku memperolehi ketenangan yang tidak pernah aku rasa selama ini.

Tuesday, November 24, 2009

Allahhu Akhbar (1 Februari 2003)

Selepas solat Isya', Ustaz meminta kami berkumpul di hadapan maktab. Kami akan dibawa ke Masjidil Haram untuk melakukan Tawaf Qudum atau Tawaf Selamat Datang.

Kami begitu teruja, tidak sabar rasanya menunggu ketibaan bas masing-masing. Walaupun jarak antara maktab kami di Sisha (dalam kawasan Aziziah Mekah) tidak begitu jauh dari Masjidil Haram, tetapi perjalanan malam itu mengambil masa hampir 40 minit disebabkan oleh kesesakan jalanraya.

Sepanjang perjalanan kami tidak berhenti melafazkan talbiah"labbaikallah hummalabaik ... labbaikalla syarikalakalabaik.....". Kami melafazkan dengan penuh keinsafan dan kesyukuran. Kami datang menyambut panggilan Mu Ya Allah, Engkau yang mengizinkan kami menjejak kaki ke tanah suci ini, kami datang sebagai tetamu Mu Ya Allah.

Dari kejauhan sudah kelihatan Masjidil Haram. Hati ku berdegup kencang. Masyaallah.. aku telah tiba ke sini akhirnya. Jemaah dipecahkan kepada beberapa grup kecil untuk melakukan tawaf Qudum. Aku bersama Abah, Makngah, Cik dan satu keluarga seramai 5 orang lagi akan dipimpin oleh Zulkifli, pelajar Malaysia di Mekah yang bertugas sebagai muttawif di sepanjang musim haji.

Kami melangkah perlahan-lahan menuju ke pintu Ajyad. Ku mulakan langkah dengan Bismillah sebaik kaki melangkah ke dalam Masjidil Haram. Allah hu Akhbar .. aku sedang memandang Kaabah. Dada ku begitu sebak, terasa begitu kerdilnya aku, tetapi Allah amat mengasihi aku, mengizinkan aku berada di tempat suci ini. Air mata ku bercucuran tanpa henti. Aku tidak berhenti mengucapkan seribu kesyukuran.

Kami terus memulakan tawaf 7 pusingan, mulut tak henti berdoa dan berzikir memuji kebesaran Ilahi, mata tak lepas memandang Kaabah. "ya Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan akhirat, dan peliharalah kami daripada api neraka". Selesai 7 pusingan, kami terus menunaikan solat sunat. Aku bersujud syukur dengan lamanya. Rasa berat kaki meninggalkan Masjidil Haram.

Muttawif membawa kami ke sebuah kedai berhampiran Masjidil Haram untuk minum sementara menunggu ketibaan bas untuk kembali ke maktab. Menurut Zulkifli, kerana begitu ramainya jemaah yang bertawaf tadi, kami mengambil masa hampir satu jam untuk 7 pusingan. Aku bingung .. bagaikan tidak munasabah, rasanya begitu cepat kami bertawaf tadi . Aku yakin penyerahan diriku yang 100% kepada Allah semasa beribadat tadi menyebabkan aku lupa pada kepenatan, tidak terasa pada masa yang berjalan panjang, tidak tergugat pada tolakan dan singgungan jemaah lain.

Maha Suci Engkau Ya Allah, yang telah menjadikan impianku untuk berada di Baitullah sebagai satu kenyataan. Alhamdulillah.

Wednesday, November 18, 2009

Langkah Pun Bermula (30 Januari 2003)



Malam 30 Januari 2003, kami dari kumpulan KT103 pun berangkat ke Kompleks Tabung Haji di Subang. Memandangkan ini penerbangan yang terakhir dari Malaysia, semua jemaah terpaksa bertolak dari KLIA. Syarikat Jamilah Travel (JT) yang mengendalikan pakej haji kami telah menyediakan beberapa buah bas dari Butterworth ke Kuala Lumpur.

Semasa bas bertolak meninggalkan perkarangan Masjid Seberang Jaya, aku menangis tersedu-sedu..begitu sayunya meninggalkan anak permata hatiku. Abah di sebelah menenangkan aku, tapi dia juga tidak mampu bersuara. Pastinya menahan sedih. Sepanjang pemergian 45 hari nanti, macam-macam perkara boleh berlaku. Ya Allah..permudahkan perjalanan ini, peliharalah ketiga-tiga permata hati yang aku tinggalkan untuk menyahut panggilan haji ini. Ameen.

Kami tiba di Kompleks Haji keesukan harinya. Sepanjang di kompleks ini kami diberikan beberapa siri taklimat haji oleh wakil JT dan Tabung Haji. Kami bersolat jemaah zohor dan asar. Abah dan semua jemaah lelaki siap memakai pakaian ihram kerana kami akan menunaikan haji ifrat dan berihram semasa masuk ke Mekah. Tepat jam 6 petang, kami dibawa ke KLIA dengan beberapa buah bas. Kakak aku, Yong bersama suaminya yang merupakan Pegawai Imigresen KLIA menunggu aku di Dewan Berlepas untuk jemaah haji di KLIA. Memandangkan masa yang begitu singkat, aku hanya dapat berbual ringkas dgn mereka. Tepat jam 8 malam, kami berlepas dengan AK4134 - pesawat yang disewa oleh Air Asia.

Subhanallah...selangkah lagi perjalanan ku. Aku genggam tangan Abah sambil berdoa. Ya Allah, berkatilah perjalanan ini, kurniakan kami Haji yang mabrur. Sepanjang perjalanan kami berzikir. Ustaz yang bersama-sama kami sentiasa memberikan panduan apa yang perlu dilakukan sepanjang perjalanan, zikir yang perlu dibaca, doa yang perlu dipohon, mengerjakan solat dalam pesawat dsbnya. Sepanjang perjalanan tersebut kami dihidangkan dengan dua kali makan, tapi aku kurang berselera, tambahan pula cuaca yang tidak begitu baik.

Kira-kira setengah jam sebelum mendarat, Ustaz memberikan peringatan untuk kami memasang niat haji. Mulai saat itu, kami para jemaah telah terikat dengan semua larangan haji.

Pada 1 Februari 2003, tepat jam 12.10 pagi waktu Saudi (4.30 pagi waktu Malaysia), kami selamat tiba di Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah. Kami melalui prosidur pemeriksaan kastam dan imigresen. Selepas semua selesai, kami berkumpul di satu sudut dan menunaikan solat jamak takhir Maghrib dan Isya'.

Bas terus bertolak ke tempat penginapan kami di Mekah. Sepanjang perjalanan kami tidak berhenti bertasbih dan bertahmid. Setelah satu jam perjalanan, kami tiba ke tempat penginapan di Shisha. Ianya merupakan bangunan seperti asrama yang terbahagi kepada 2 blok...satu blok 4 tingkat dan satu blok lagi 8 tingkat. Aku di tempatkan bersama Makngah dan Chik serta 4 orang wanita adik-beradik. Bilik ini kecil tetapi masih selesa.

Setelah menyuci diri, kami segera ke surau untuk berjemaah solat Subuh. Alhamdulillah, aku bersujud syukur. Ya Allah ... aku bersyukur dengan nikmat yang Engkau kurniakan kepada ku, nikmat yang terlalu besar bagiku.

Tuesday, November 10, 2009

Persiapan Terakhir

Tarikh keberangkatan kian hampir. Aku dan Abah kian kalut membuat persiapan terakhir. Baju-baju yang sesuai untuk ibadah haji telah siap dibasuh dan digosok. Kasut yang memudahkan pergerakan di sana juga telah siap dibeli. Begitu juga stokin, kain ihram, kain telekung, ubat-ubatan dan sebagainya. Semua mesti lengkap supaya tidak mengganggu kelancaran ibadah haji.

Aku dan Abah masih memujuk anak-anak. Mereka mesti memilih untuk tinggal bersama Chark (kakak Abah) atau Opah mereka. Tetapi mereka menolak mentah-mentah. Mereka hendak duduk sendiri. Aduh pening kepala aku. Setiap kali solat fardhu dan solat hajat, aku memohon agar Allah mempermudahkan semua urusanku.

Akhirnya Kak Ngah membuka mulut, sepanjang aku menunaikan haji, mereka hendak tinggal bersama Mak Midah, pengasuh mereka sejak kecil. Aku kurang setuju kerana aku tidak mahu kehadiran anak-anak ku kelak akan mengganggu urusan Mak Midah sekeluarga. Tambahan pula aku perlu meninggalkan 2 orang anak yang kecil selama 45 hari (Kak Long di asrama), tentu sedikit sebanyak akan mengganggu pergerakan keluarga Mak Midah.

Aku cuba mencadangkan alternatif lain kepada anak-anak tetapi tidak diindahkan. Akhirnya kami mengalah. Aku dan Abah pergi berjumpa Mak Midah dan suaminya Arwah Abah Hamdan untuk meminta bantuan mereka. Mereka menyambut dengan tangan terbuka, meminta kami meneruskan ibadah haji dengan tenang tanpa perlu risau tentang keselamatan anak-anak kami. Aku begitu terharu akan keikhlasan hati mereka. Aku bersujud syukur kerana Allah telah memberikan laluan mudah kepada ku.

Aku juga sering menitipkan dalam doa setiap selepas solat, agar aku dibekalkan dengan kesabaran yang kukuh dalam perhubungan dengan Abah dan ipar-iparku. Aku dan Abah akan bersama Makngah (kakak Abah) dan Chik (adik Abah) sepanjang kami menunaikan ibadah haji. Aku tidak mahu sebarang insiden mencacatkan silaturrahim kami yang seterusnya mencacatkan pula ibadah kami. Semoga kami dipelihara dari gangguan syaitan yang dilaknat.

Semakin hampir keberangkatan kami ke Tanah Suci, hati aku semakin kalut. Gembira kerana tidak sabar untuk menjejak kaki ke Mekah dan Madinah, sedih akan meninggalkan anak-anak yang manja. Aku panjatkan doa tanpa henti mohon lagi bantuan Allah setiap kali selesai solat, Ya Allah bantulah aku .. tenangkan hatiku. Alhamdulillah, Allah yang Maha Pengasih Maha Penyayang sentiasa menjawab doa ikhlas ku. Hati ku semakin tenang dan yakin untuk meneruskan perjalanan ini.

Friday, November 6, 2009

Panggilan Haji

Pertama kali aku menerima surat tawaran mengerjakan haji pada tahun 2001. Aku amat terkejut, kerana belum bersedia langsung. Jika menurut maklumat semasa pendaftaran dulu, aku sepatutnya pergi pada tahun 2005. Hati berbelah bagi, hendak pergi atau tangguhkan dulu.

Aku berbincang dengan Abah, dengan Emak, Uazah dan teman-teman. Semua mencadangkan aku menangguhkan dahulu. Aku perlu bersedia fizikal dan mental, ilmu perlu mantap, kerana pemergian ini bukan untuk makan angin, tetapi untuk beribadah, menjadi tetamu Allah.

Pihak Tabung Haji bersetuju dengan alasan kami dan menangguhkan pemergian kami ke tahun 2003. Aku dan Abah menggunakan tempoh 2 tahun untuk melengkapkan ilmu, kami pergi ke beberapa masjid yang menganjurkan kursus haji. Sementara itu, anak-anak juga perlu diberi persiapan mental, mereka akan aku tinggalkan selama 45 hari. Pada tahun 2003, Kak Long akan berumur 15 tahun, Kak Ngah pula berumur13 tahun dan Adik berumur 8 tahun.

Setiap hujung minggu aku dan Abah dan berjalan keliling taman perumahan kami untuk meningkatkan stamina. Walaupun ketika itu, usia ku agak muda tetapi kerana jarang beriadah, membuatkan aku sering termengah-mengah menghabiskan beberapa pusingan senaman jalan cepat. Tetapi lama kelamaan aku tidak lagi rasa tersiksa, betullah bidalan orang-orang tua, alah bisa tegal biasa.

Pada awal tahun 2003, sekali lagi aku menerima tawaran dari Tabung Haji. Aku masih ingat semasa membaca surat tawaran kali ini, air mata ku turun tanpa henti. Dada ku sesak, rasa teramat bersyukurnya kerana akhirnya saat yang aku tunggu semakin hampir. Inilah berkat menyimpan berdikit-dikit semenjak aku bekerja pada tahun 1984. Aku ingat waktu itu, jumlah potongan bulanan hanya RM20. Jumlah ini meningkat dari semasa ke semasa mengikut jumlah gaji yang juga kian meningkat. Aku yakin niat ikhlas yang aku tanam semasa membuka akaun Tabung Haji dahulu dimakbulkan Allah. Panggilan haji kini tiba untuk ku.

Thursday, November 5, 2009

Sibuk Seorang Suri

Hari ini masuk hari keempat aku menjadi suri rumah sepenuh masa. Aku masih belum mendapat tempo sebenar.

Yang pasti aku belum dapat memenuhi impianku setelah bersara. Kononnya setiap pagi aku akan beriadah, berjalan laju sekeliling taman perumahan ini. Tapi pelbagai alasan menjadi sebab impian itu tidak tercapai. setiap pagi sibuk mengemas rumah lah, atau kasut sukan tidak sempat dibasuh lagi, atau seluar track dah teruk tak sempat nak beli baru, atau pagi ni hujan pulak!!!!

Abah hanya tersenyum sinis mendengar alasanku. Aku tahu dia kurang yakin aku akan berjaya dalam misi mendapatkan bentuk badan ideal. Huhhh

Aku pulak jadi 'over-rajin' dalam hal memasak. Setiap petang ada saja penganan yang aku cuba, isnin aku hidangkan bubur kacang, selasa karipap ayam, rabu kuih kasui dan Insyaallah hari ini cucur bilis. Abah sekali lagi menyindir aku, "Yang ... jangan hangat-hangat tahi ayam ye". Abah...memang suka menyakat.

Dan Alhamdulillah, aku rasa ada sedikit peningkatan dalam amal ibadah ku, tapi tak perlulah aku warwarkan, takut nanti hilang pula barkahnya.

Apa pun, aku positif, persaraan ini tidak sia-sia. Aku berikrar untuk pastikan keputusan bersara ini bukan semata-mata untuk melapangkan fikiranku dari serabut kerja pejabat, tetapi juga memberi faedah yang besar kepada kesejahteraan diri sendiri dan keluarga. Ameen

Tuesday, November 3, 2009

Aku Suri Rumahtangga Sepenuh Masa

Hari ini merupakan hari kedua aku memegang jawatan baru...suri rumahtangga sepenuh masa. Setelah begitu lama aku berteka-teki, menimbang buruk dan baik, berdebat dengan Abah dan teman-teman, aku dengan rasmi meninggalkan perkhidmatan dengan organisasi yang sangat aku kasihi. 25 tahun tempoh perkhidmatan bukanlah masa yang pendek. Mulai 1.6.1984 hingga hari terakhir 31.10.2009, pelbagai peristiwa penting terjadi pada ku. Aku berkahwin dengan teman satu jabatan, aku dinaikkan pangkat beberapa kali, aku bertukar jabatan beberapa kali, aku menjalin hubungan persahabatan dengan teman sepejabat yang begitu ramai.

Malah anak-anak ku besarkan dengan hasil pendapatan ku di organisasi ini. Kami menikmati pelbagai faedah dari organisasi ini. Kami mengumpul harta hasil pendapatan dari organisasi ini, walaupun hartanya tidak sebanyak mana, tapi aku amat bersyukur dengan nikmat ini. Semuanya aku yakin dengan izin Allah hasil keikhlasan aku bertugas mencari rezeki.

Aku melangkah keluar dari organisasi ini dengan penuh kasih sayang. Aku membawa kenangan yang indah, nama yang baik dan rekod perkhidmatan yang bersih.


Thursday, October 22, 2009

Akhirnya Pasti

Hari ini aku berjumpa Bos sekali lagi. Aku hulurkan semula surat permohonan untuk bersara awal kerana aku nekad dengan keputusan yang dibuat. Bukan sehari dua aku memikirkan keputusan ini, tetapi berbulan yang lepas. Cuma ianya semakin pasti sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Setiap malam aku melakukan solat ishtiharah dan hajat. Memohon petunjuk Allah Yang Maha Bijaksana, yang telah merencana dan mengetahui apa yang terbaik untuk aku. Aku memohon petunjukNya, aku merintih meminta bantuanNya. Supaya aku dapat membuat pilihan yang terbaik, yang tidak membuatkan aku menyesal di kemudian hari kelak.

Dan aku yakin, Allah memberikan petunjuk dengan menetapkan hati aku untuk membuat keputusan ini. Hati aku tidak berbelah bagi, fikiran aku tidak berdolak dalik. Lalu aku yakin bahawa inilah pilihan terbaik yang perlu ku ambil.

Setelah bersoal-jawab untuk beberapa ketika, Bos menandatangani permohonan aku. Pada pandangan mata kasar ku, nampaknya dia agak keberatan dengan keputusanku. Dia menyuara kebimbangan sekiranya aku akan menghadapi masalah setelah bersara kelak. Aku benar-benar terharu dengan keperihatinannya. Namun aku yakin aku sudah mendapat isyarat yang jelas, aku sudah tidak mampu lagi berkhidmat untuk syarikat. Rasanya perlu melakukan perkara yang membawa ketenangan kepada aku dan memberi peluang kepada orang lain yang lebih berkeupayaan untuk meneruskan khidmat ku.

Surat telah aku serahkan kepada Pejabat Sumber Manusia untuk proses pengiraan ganjaran, pembayaran Cukai Pendapatan dan sebagainya. Aku ada beberapa hari lagi di pejabat untuk memastikan tidak ada tugas tertunggak sebelum aku memegang status suri rumah sepenuh masa bermula 1 November 2009.

Tuesday, October 20, 2009

Keluh-kesah Ini

Hari ini 1 Zulkaedah. Selesai sudah Syawal yang penuh keberkatan. Alhamdulillah tahun ini puasa sunat Syawal dapat ku selesaikan tanpa masaalah walaupun emosi aku tidak begitu stabil akhir-akhir ini. Tekanan di tempat kerja membuat aku selalu emosional. Dan emosi yang kalut ini jelas terpancar di wajah, sebab aku tidak pernah tahu bagaimana menyembunyikan emosi.

Semua teman menegur kenapa wajah ku hilang seri. Kenapa wajah ku kelat selalu. Aku cuba menepis semua tanggapan itu. Tidak ada apa-apa, semua okay. Itu selalu jawapan aku. Apa lagi nak aku beritahu?

Hari ini aku nekad. Setelah mendapat restu Abah dan Emak, aku menghantar surat memohon persaraan awal dari Bos. Tapi permohonan aku ditolak bulat-bulat. Sebaliknya aku dileteri kerana menurut Bos aku begitu cepat mengalah pada cabaran, terlalu cepat menarik diri dari sebelum sempat bertarung dan entah apa-apa lagi. Aku tahu Bos ada ilmu saikologi, dia menggunakan pendekatan yang terlalu lembut, hingga aku hampir menangis kesedihan. Aku diberi 3 pilihan, terus berkhidmat dengan beliau, bertukar ke Unit Latihan atau bertukar ke Unit Pentadbiran, tetapi tidak sekali-kali berhenti dari perkhidmatan.

Aku jadi kalut semula. Kalau sebelum ini aku nekad dengan keputusan untuk bersara terus dari perkhidmatan, sekarang hati ini berbelah bagi semula.

Friday, October 9, 2009

Kak Long Anak Yang Baik

Bersama Kak Ngah yang berusia 4 bulan. Ketika ini Kak Long dah berumur 3 tahun



Kak Long anak yang baik. Itu yang dapat aku simpulkan selama 22 tahun aku melihat puteri ku ini membesar di depan mata ku. Dan tidak putus-putus doa ku agar Kak Long dan adik-adiknya kekal sebagai anak yang baik, anak yang mententeramkan jiwa ku dan Abah, anak yang akan menyayangi kami dalam apa jua keadaan kami kelak.

Kak Long menjadi cucu perempuan pertama kepada Emak. Tentu sahaja ia ditatang penuh kasih-sayang. Sementelah semua adik ku belum berumahtangga. Mereka amat memanjakan Kak Long, didukung ke sana ke mari. Apabila mereka mula bekerja, dibelikan pula pakaian kanak-kanak perempuan yang berjenama.

Aku melahirkan Kak Ngah semasa Kak Long baru berusia 2 tahun. Emak berleter kerana kasihankan Kak Long yang belum puas bermanja. Kak Ngah pula semasa bayi amat suka menangis, sawan tangis kata orang tua. Jadi tanpa sedar aku mengenepikan Kak Long. Aku dan Abah terpaksa melayan kerenah si kecil yang asyik menangis tanpa mengira waktu. Sesekali Kak Long merengek perlukan perhatian, tanpa sedar dia dimarahi. Merajuklah Kak Long membawa diri duduk di sudut dinding. Maafkan Mama sayang, hingga kini pun Mama akan menangis kerana rasa bersalah mengingatkan saat gawat tersebut.

Tapi itulah Kak Long anak yang baik, dia seolah-olah memahami keadaan walaupun usianya begitu muda. Selalunya akan membawa diri bermain sendiri atau menconteng-conteng pada buku-buku yang kami beli. Aku berpakat dengan Abah, kami perlu membahagi masa sama rata agar kedua puteri tidak rasa terabai. Jika aku melayan Kak Ngah, Abah akan bermain dengan Kak Long dan begitulah sebaliknya.

Kak Long ku hantar ke Tadika semasa berumur 5 tahun. Dia aku masukkan ke Tadika aliran China di kawasan perumahan ku. Aku hanya perlu menunggunya pada hari pertama sahaja. Pada hari kedua dia meminta aku dan Abah meninggalkannya di sekolah. Aku berat hati meninggalkannya dan menunggu di luar pagar sekolah sehingga sesi belajar tamat. Kak Long pandai berdikari dan cepat mendapat kawan. Kawan baiknya pelajar China bernama Yong Choong Li. Setiap hari aku dan Abah akan memasang telinga mendengar pelbagai ceritanya di Tadika. Paling melucukan setiap petang Kak Long dan Choong Li akan berkomunikasi melalui telefon membincangkan kerja sekolah yang perlu disiapkan. Aku dapati Kak Long bertutur bahasa Inggeris slanga China. Setiap ayat mesti ada "ma" "lo" "lah". Itulah menghiburkan aku setiap hari mendengar keletah Kak Long.

Friday, October 2, 2009

Sampai Bila Begini

Telah berkali-kali aku berbincang dengan Abah. Aku dah dapat merasakan bahawa aku telah tidak mampu untuk terus bekerja. Kepala aku sudah tidak mampu untuk berfikir setajam dulu, badan aku sudah tidak mampu bergerak setangkas dulu, lebih lagi hati aku sudah mula hilang semangat untuk bekerja 8 jam sehari di pejabat.

Agaknya ini krisis pertengahan umur. Aku dapati ramai yang masih gembira bekerja walau telah mencapai usia 56 tahun. Tetapi aku belum pun sampai 50 tahun telah menerima simptom ini. Oh.. mampu kah aku menunggu lagi.

Tetapi Abah agak keberatan. Itu yang aku faham dari nada suara dan hujah-hujahnya. Dia mempertikaikan apa yang aku akan buat kalau aku bersara, bagaimana kalau tiba-tiba sakit, tidak ada 'medical coverage' lagi dari majikan. Macam mana dengan anak-anak yang masih belajar, nanti perbelanjaan tidak mencukupi.

Aku balas hujah Abah. Insyaallah mencukupi dengan wang pampasan selama 15 tahun bekerja dengan syarikat, dicampur dengan pencen bulanan dari perkhidmatan dengan kerajaan dahulu. Lagi 2 tahun aku boleh mengeluarkan wang simpanan EPF. Untuk perubatan, aku mempunyai perlindungan insuran yang akan matang apabila aku mencapai usia 55 tahun. Pada ketika itu juga, aku boleh mengeluarkan baki wang EPF. Insyaallah, jumlah tersebut mencukupi sekiranya kita berdisiplin mengawal perbelanjaan.

Dalam 2 tahun lagi Kak Long akan tamat belajar dan akan bekerja. Begitu juga Kak Ngah. Puteri bongsu kita akan mula memasuki institusi pengajian tinggi. Kita telahpun bersedia dengan insuran pendidikan anak-anak kita. Insyaallah kita mampu memberikan anak kita hak mereka untuk mendapat pendidikan terbaik.

Suami ku. Jangan lah biar aku terdera begini. Kadang-kadang aku rasa berdosa kerana pergi dan balik kerja dengan hati yang tidak ikhlas. Berkatkah pendapatan bulanan ku????

Sunday, September 27, 2009

Berakhirnya Ramadhan

Ah...lama betul aku tidak menulis. Kesibukan sentiasa mengekang kemahuan untuk menulis. Biasalah, siapa yang paling sibuk semasa menyambut Syawal, kalau bukan ibu. Aku rasa semua ibu begitu. Lebih perit yang bekerja, terpaksa mencuri masa membuat persiapan di mana saja ada masa terluang. Selepas tarawih, selepas sahur, lebih teruk kalau tidak dapat bercuti sebelum hari raya.

Aku pun begitu. Tidak dapat bercuti. Mujurlah 1 Syawal jatuh hari Ahad, jadi aku gunakan hari Sabtu sepenuh jiwa dan raga. Anak-anak aku kerah menggosok baju raya, mencuci bilik air, mencuci karpet dan mengelap tingkap. Lepas itu tukar semua cadar dan sarung bantal. Mujur anak-anak dara ku tak banyak kerenah, agaknya seronok sangat hendak beraya.

Aku memasak rendang daging kegemaran anak-anak. Ketupat suami tempah dari teman pejabatnya. Pada subuh Syawal semua sudah lengkap. Syawal kali ini kami begitu sederhana, kuih aku beli pun 5 jenis sahaja. Itu pun hanya yang digemari anak-anak. Selebihnya aku beli makanan ringan yang digemari tetamu seperti maruku. Mungkin yang agak mewah ialah kek lapis sarawak, RM60 sebiji.

Kini sudah hari ke-9. Esuk anak-anak akan mula belajar dan aku akan mula bekerja. Tapi aku tahu sambutan Syawal belum berakhir. Dalam seminggu entah berapa banyak rumah terbuka diadakan. Mulalah kita mengumpul semula lemak-lemak di tempat-tempat strategik tubuh badan. Aduh, tak sanggup membayangkan entah berapa kilo akan bertambah berat badan.

Sesetengah orang sudahpun menamatkan puasa 6 di bulan Syawal. Aku dan suami bertekad untuk bermula besok. Lebih selesa berpuasa pada waktu bekerja. Kalau bercuti aku terpaksa masuk dapur menyediakan makan pagi, makan tengah hari dan makan petang. Iman ku masih tipis.

Saturday, September 12, 2009

Kematian (3)

Ramadhan makin hampir ke penghujungnya. Hari ini hari ke-22. Setiap tiba penghujung Ramadhan, aku dan anak-anak aku pasti teringat seorang jiran yang kehadirannya umpama ahli keluarga sendiri yang meninggal dunia pada 27 Ramadhan.

Allahyarham Hamdan adalah jiranku sejak tahun 1987. Umurnya sebaya suami ku. Ketiga-tiga anak gadisku dijaga oleh isterinya Midah sejak mereka dilahirkan. Setiap pagi sebelum bekerja, anak-anak ku tinggalkan di rumah mereka dan akan aku ambil pada sebelah petang, setelah pulang dari pejabat. Begitulah rutinnya sehingga anak-anak ku melangkah ke asrama semasa di sekolah menengah. Kerana akrabnya anak-anak ku dengan keluarga ini, mereka memanggil Arwah dengan panggilan Abah Hamdan dan Midah dengan panggilan Mak.

Aku pernah keguguran pada tahun 1993, sebelum kelahiran anak bongsu ku pada tahun 1995. Ketika itu kandungan ku telah mencapai usia 4 bulan. Suami ku berada di Kuala Lumpur kerana menghadiri kursus. Pada pagi itu, setelah menghantar anak-anak ke rumah Midah, aku bergegas menanti bas untuk ke tempat kerja. Waktu itu aku tidak berani memandu kenderaan walaupun memiliki lesen memandu semenjak tahun 1985 lagi. Tempat kerja yang memerlukan aku menaiki bas dan feri menyebabkan aku terpaksa berkejaran untuk mengelakkan 'punch card' menjadi merah.

Semasa pulang dari kerja aku merasa seolah-olah terdapat "Contraction". Aku biarkan sahaja kerana memikir mungkin aku terlalu keletihan. Bagaimana pun keadaan semakin teruk pada waktu malam. Pada jam 3 pagi aku tidak dapat menahan kesakitan dan menelefon Midah. Bersusah-payah mereka suami isteri membawa aku ke Hospital Butterworth. Anak-anak aku ditinggalkan di bawah jagaan anaknya.

Di Hospital, doktor mengesahkan janin tidak dapat diselamatkan kerana telah mati dan dalam keadaan tidak sempurna. Aku menangis kesedihan. Aku dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut. Selama 2 hari tersebut Arwah dan isterinya yang menguruskan anak-anak ku dan rumahtangga ku yang tonggang-langgang hinggalah suami tiba dari Kuala Lumpur dan Emak tiba dari kampung.

Semasa aku menunaikan ibadah Haji pada tahun 2003, anak-anak ku tidak mahu dijaga oleh Emak atau ibu saudara mereka. Sebaliknya mereka memilih untuk tinggal bersama Arwah dan isteri. Arwah dengan wajah penuh ikhlas membuat pengakuan yang membuat dadaku lapang "tak usah risau, pergilah buat ibadat dengan tenang. Insyaallah, kami jaga budak-budak ni dengan baik, macam anak kami sendiri". Alhamdulillah, sepanjang berada di Tanah Suci aku dapat menjalani ibadah dengan tenang tanpa ada secalit kerisauan tentang keselamatan dan kebajikan anak-anak ku kerana aku tahu mereka berada di bawah jagaan hamba Allah yang ikhlas dan amanah. Sepanjang aku di sana juga, anak-anak ku dilayan macam puteri. Semua keinginan untuk makan lauk atau kuih tertentu tidak pernah dihampakan oleh Arwah. Malah setiap minggu mereka dibawa berjalan-jalan untuk menghilangkan kebosanan dan kerinduan kepada kami yang jauh.

Allah Maha Besar, Dia yang mengatur segalanya. Pada tahun yang sama juga Arwah meninggal dunia. Aku masih ingat dengan jelas malam 27 Ramadhan itu. Selepas solat tarawih 8 rakaat, kami bersiap-siap untuk pulang ke rumah Emak di Perak. Sementara aku dan suami mengisi barang-barang ke dalam kereta, anak-anak ku bermain bunga api di halaman rumah. Turut sama Arwah dan anak bongsunya, Anis. Anak-anak ku berbual-bual dengan Arwah. Itulah kali terakhir mereka mendengar suara Arwah Abah Hamdan mereka.

Kami tiba di kampong jam 12 malam. Belum pun sempat kami duduk, aku menerima panggilan telefon dari anak kedua Arwah, "Abah dah meninggal". Aku terpinga-pinga dan berulangkali bertanya kepada Farah, dan masih mendapat jawapan yang sama. Kami bergegas bertolak pulang ke Pulau Pinang.

Sepanjang perjalanan anak-anak aku menangis, bukan teresak-esak, tetapi hampir meraung. Mungkin mereka terlalu terkejut, mereka baru sahaja berbual dengan Arwah kira-kira 2 jam lepas. Aku sendiri tidak mampu menahan sedih.

Kami tiba di Pulau Pinang jam 2 pagi. Jenazah Arwah telah diletakkan di ruang tamu. Anak-anak tidak melepaskan peluang menatap wajah Arwah. Menurut Midah, Arwah telah mula sakit pada jam 6 petang. Dia merasa lenguh seluruh kiri tubuh dan ketat pada bahagian dada. Setelah diurut dengan minyak angin Arwah merasa lega dan menyangka ianya berpunca dari angin dalam badan. Lenguh itu berulang-ulang sehinggalah Arwah tidak tertahan lagi pada waktu malam. Ketika itu kami baru sahaja bertolak kira-kira setengah jam dari rumah. Kepala Arwah mula pening dan berpeluh dingin. Dengan ditemani oleh Midah, Arwah memandu sendiri kereta ke Hospital Seberang Jaya. Oh Tuhan, betapa terkilannya aku. Kalau lah kami ada di rumah ketika itu, tidak mungkin kami akan membiarkan Arwah yang kesakitan memandu sendiri ke Hospital yang terletak kira-kira 20 minit perjalanan dari rumah. Arwah terus dimasukkan ke Wad Kecemasan dan sejam kemudian disahkan meninggal akibat serangan jantung.

Anak-anak ku mengambil masa yang lama untuk menghilangkan kesedihan mereka. Sehingga kini pun, setelah 6 tahun berlalu, mereka masih menyebut-nyebut kerinduan mereka kepada gurau senda Arwah. Semoga Arwah menempatkan rohnya bersama-sama orang yang beriman. Ameen.

Wednesday, September 9, 2009

Bosan..bosan

Kadang-kadang penyakit ini datang juga. Penyakit bosan.

Aku jadi bosan untuk bekerja. Rasanya sejak seminggu ini ... setiap pagi adalah penyiksaan untuk melangkah ke pejabat. Aku pergi dengan hati yang tidak ikhlas untuk mencari rezeki. Di pejabat mata aku tidak lepas memandang jam, mengira bila waktunya untuk pulang.

Di rumah aku menjadi lelah. Ditambah dengan kerja rumah yang sedia menunggu, memasak untuk berbuka, mengemas dapur, memasak untuk sahur. Ahhhh! macamana aku nak keluar dari rasa bosan yang mencengkam ini.

Aku beritahu Abang. Biasanya dia tempat aku melepas perasaan ... seperti biasa juga dia akan nasihat aku, pergilah solat, solat taubat, solat hajat, minta Allah berikan pertolongan. Abang lupa kah aku sedang uzur. Ohhh, mungkin ini sindrom biasa orang datang bulan. Aku cuba memujuk diri.

Aku hanya berdoa dalam hati ... Ya Allah, bersihkan hatiku, jauhkan aku dari bisikan syaitan yang melalaikan, tanamkan sifat ikhlas untuk aku mencari rezeki, semoga rezeki itu penuh keberkatan. Ya Allah, permudahkan jalan hidup ku, jadikan aku hamba Mu yang solehah. Ameen.

Monday, September 7, 2009

Bos Baru

1 September aku menerima bos baru. Chief Operating Officer (COO) kami panggil Tuan Haji saja. Itu panggilan yang dia mahu dan kami pun rasa selesa. Panggilan tersebut membuat kami rasa lebih rapat berbanding bos-bos sebelumnya yang kami panggil Tuan, Mr X, Encik X dan sebagainya. Rasa ada kemesraan.

Setiap kali aku mendapat bos baru, aku selalu menanam satu perasaan dalam hati. Bos baru ini diharap lebih baik atau sama baiknya seperti bos terdahulu. Ini untuk mengurang rasa gementar menerima bos baru. Jika bos tersebut merupakan pegawai yang memang sedia berkhidmat dalam organisasi ini, aku tidak begitu risau. Sebab lebih-kurangnya aku sudah mengenali karektor mereka. Tetapi apabila dia datang dari organisasi luar, yang berbeza 'nature of business', aku sukar menelah karektornya. Itu yang membuat kami berteka-teki. Okay ke dia ni, tegas sangat ke, senang ke nak berurusan dengan dia, protokol sangat ke dll perasaan negatif bercampur-baur.

Tapi pada hari pertama kehadirannya ke pejabat, Tuan Haji selaku COO telah menunjukkan bahawa beliau seorang bos yang tegas dan cerewet dalam tugas, tetapi begitu mudah didekati. Kita boleh berkongsi apa juga isu dengan beliau tanpa ada rasa takut kerana beliau mengamalkan konsep terbuka. Beliau juga tidak gemar terlalu bergantung kepada protokol sehingga menyusahkan staf untuk berurusan dengan beliau.

Aku gembira penampilan pertama ini dan berharap tahun-tahun mendatang aku dan staf pejabat ini akan bertugas penuh dengan keceriaan. Bila pekerja ceria sudah tentunya produktiviti sentiasa meningkat. Insyaaallah.

Sunday, September 6, 2009

Masa yang Begitu Pantas

Tidak disangka, cepatnya masa berlalu. Hari ini sudah 16 hari umat Islam berpuasa. Kalau ikut
kiraan, ada 13 hari lagi untuk berpuasa.

Apabila umur telah hampir separuh abad ni, hari raya sudah tidak begitu dinanti. Anak-anak sekarang pun nampaknya tidak begitu teruja. Mungkin bagi mereka Hari Raya lebih kepada hari tamatnya berpuasa, hari pakai baju baru, hari untuk minta maaf kepada semua orang, hari untuk rumah terbuka sana-sini dan untuk si kecil hari untuk main bunga api.

Berbeza zaman aku kecil dahulu. Aidil Fitri amat dinanti-nantikan oleh semua orang. Mood hari raya mula dirasa di awal Ramadhan lagi. Emak sibuk menjahit pakaian kami adik-beradik. Bermeter-meter kain dijahit untuk kami 7 beradik. 5 beradik perempuan memakai baju kurung dari kain yang sama corak dan warna, boria!!! Pergi ke mana pun orang akan kenal, "Ini mesti anak Cikgu Mat (nama panggilan untuk Arwah Apak)". Waktu itu kami semua bangga memperaga baju baru ke sana ke mari, sekarang anak-anak ku mengelak untuk memakai baju sama corak. Sama warna tidak mengapa.

Dua minggu sebelum Aidil Fitri suasana semakin kalut. Selain sibuk membuat kuih di rumah Opah, kami juga membuat kuih sendiri. Resipi tradisi Arwah Apak ialah maruku. Arwah Apak akan menekan doh maruku ke dalam kuali penuh berisi minyak panas. Sehingga kini aku merindui keenakan maruku tersebut, yang tak mungkin akan aku temui lagi. Oh..aku merasa kosong sekali ketika ini, sedihnya.

Kami anak-anak perempuan pula akan diberi tugas khas duduk di satu sudut menggentel kuih siput. Tersengguk-sengguk kami menghabiskan bancuhan entah berapa kilo. Sesekali Emak akan menjerkah apabila dilihat kami mula menghasilkan kuih siput yang tidak cantik.

Arwah Apak dan adik-adik lelaki akan membersih sekeliling rumah dan memasang panjut di sekitarnya. Selesai berbuka puasa, panjut akan menerangi sekitar kawasan rumah. Semasa orang sibuk bertarawih, kami kanak-kanak akan berlari riang bermain bunga api dan mercun. Meriah sekali. Kami bebas berlari sekeliling kampung, tiada kerisauan akan dicolek, dirogol atau dilanggar kenderaan setan rempit. Semua aman damai dan membahagiakan.

Itulah nikmat yang tidak dirasai anak-anak sekarang. Mereka tidak dibenar bermain di halaman rumah melainkan ada orang dewasa yang mengawasi. Kita tidak pasti dari arah mana bahaya akan menyapa. Bunga api dan mercun juga tidak dapat dimain secara meriah, sebab stoknya terhad. Apabila banyak sangat sekatan, anak-anak mula jadi bosan dan lebih selesa mengadap peti TV atau komputer atau berSMS.

Friday, August 28, 2009

Ramadhan Dalam Kenangan

Keceriaan Ramadhan semasa aku kecil begitu indah. Aku masih mengingati setiap detik indah tersebut. Kerana aku tak mungkin dapat mengulanginya dan paling sedih anak-anak ku juga tidak akan pernah merasai keceriaan tersebut.

Rumah kami begitu hampir dengan rumah Arwah Opah, kira-kira 2 kilometer. Setiap hujung minggu sepanjang Ramadhan kami akan berkumpul di rumah Opah bersam ibu-ibu saudara ku serta sepupu yang ramai. Setiap hujung minggu adalah waktu yang kami semua nantikan.

Kami akan menggoreng beras dan kacang yang kemudiannya ditumbuk menggunakan lesung kaki dan diayak menjadi tepung. Kemudian dijemur sebelum disimpan untuk kegunaan. Tepung beras akan digunakan untuk membuat kuih loyang dan rempeyek. Tepung pulut pula untuk membuat dodol manakala tepung kacang hijau untuk membuat putu kacang. Kami bergotong royong mengacau dodol yang memakan masa berjam-jam untuk masak. Kami juga bergotong royong memukul telur untuk membuat buahulu.

Sehingga kini masih teringat keharuman buahulu dan kuih bangkit yang dibakar menggunakan sabut. Setelah siap dimasak, semua kuih akan dibahagi sama rata antara Opah, Mak Wah, Mak Cor dan Emak. Selalunya Emak terpaksa menyorokkan kuih-kuih tersebut untuk mengelakkan ianya habis sebelum Hari raya.

Pada malam Ramadhan hampir tiba ke penghujung, seluruh kampung akan terang benderang dengan pelita minyak tanah atau kami sebut sebagai panjut. Di sana sini kedengaran bunyi mercun dan sesekali digegar oleh bunyi meriam buluh. Tetapi seingat aku tidak ada pula budak-budak kampung ketika itu yang putus tangan, buta mata bermain mercun dan meriam buluh. Budak-budak sekarang terlalu berani untuk jadi inovatif dan kreatif tidak kena gaya, akhirnya membawa bahaya sendiri.

Walaupun, Ramadhan membawa keceriaan di zaman kecil ku, Ramadhan juga membawa kenangan sedih. Pada Ramadhan tahun 1990, aku kehilangan Bapa Mertua akibat sakit tua. Pada 27 Ramadhan tahun 2003 pula, aku kehilangan jiran yang merupakan bapa angkat anak-anakku akibat sakit jantung. Innalillah hiwainna lillahhirrajiun.

Thursday, August 27, 2009

Ramadhan Ini (1)

Tidak sedar telah seminggu kita berada di bulan Ramadhan. Alhamdulillah, Allah memudahkan puasa kali ini. Hujan renyai setiap petang memberi susana nyaman, kurang rasa letih dan dahaga. Anak-anak tidak merungut seperti tahun-tahun yang lalu kerana kepanasan semasa menunaikan tarawih. Tapi aku tidak pasti perasaan penjaja di Pasar Ramadhan, aku harap mereka tidak merungut setiap kali hujan turun sebaliknya menerimanya dengan kesyukuran. Siapalah kita untuk mempertikaikan kerja Allah.

Sebenarnya Ramadhan terlalu banyak kisahnya untuk aku ceritakan .... terlalu banyak kenangan pahit manis bulan Ramadhan.

Kenangan semasa kecil masih terpahat dalam ingatanku. Bila puasa aku selalu teringat kepada kerabu taugeh kasar yang Emak buat. Enak sungguh. Kerisik Emak buat sendiri. Bila hampir Ramadhan rumah ku dipenuhi aroma kelapa yang digoreng untuk dibuat kerisik. Aku dan kakak akan mengukur kelapa itu. Berlumba-lumba kami menghabiskan kelapa yang siap dikopek oleh Arwah Apak.

Kelapa yang telah garing akan ditumbuk dalam lesung. Emak dan Arwah Apak bergilir menumbuk kelapa sehingga bertukar menjadi kerisik. Petangnya Emak akan menyediakan pelbagai juadah, kebiasaannya yang manis seperti bubur, pengat, tepung talam dan agar-agar.

Memandang ketika itu kampong ku masih belum ada bekalan elektrik, air batu terpaksa dibeli. Setiap petang akan ada pemuda kampong yang menjual airbatu. Waktu itu sungguh nikmat dapat berbuka dengan air sirap atau air bandung.

Sebelum masuk waktu berbuka, Arwah Apak bersama adik lelaki ku akan memasak lampu gaselin. Jadi kami dapat makan dengan selesa dalam cahaya terang benderang.

Waktu sahur adalah waktu yang paling siksa. Berkali-kali Arwah Apak terpaksa menggerakkan kami 7 beradik untuk bangun sahur sementara Emak sibuk menyiapkan juadah di dapur. Emak hanya mengerah anak-anak perempuan membantunya menyiapkan juadah bersahur setelah kami tamat Tingkatan 5. Mungkin dia tidak sampai hati melihat kami bermata layu mengadap kuali. Makanan sahur yang wajib ialah ikan masin digoreng garing bersama bawang besar.

Wednesday, August 19, 2009

Kelahiran Kak Long (2)

Kak Long ketika berumur 2 tahun

Kak Long ketika berumur 6 bulan dalam dakapan Abah

Sepanjang masa hamil, aku banyak mendapat nasihat dari teman-teman pejabat. Dengan Emak, aku malu berkongsi cerita. Emak agak tertutup untuk berbincang perkara-perkara sebegini.

Waktu itu tidak banyak sumber informasi macam sekarang. Ada beberapa buah buku di pasaran, paling laris tulisan Dr Hamid Arshad. Di kaca TV pun tidak banyak rancangan mengenai kehamilan.

Pada bulan terakhir kehamilan ku, Emak datang dari kampong untuk menemani ku. Sementara menunggu waktu aku melahirkan, Emak duduk di rumah bapa saudara ku. Aku pula duduk di rumah mertua. Semua kelengkapan bayi telahpun aku sediakan seadanya. Malam itu aku sakit perut, memulas-mulas. Aku ke tandas berulang-kali, tetapi aku hairan, aku tidak pula membuang air besar. Semakin lama semakin kerap aku ke tandas. Ibu Mertua yang sedari tadi memerhatikan aku mengesyaki aku hampir melahirkan. Dia meminta aku bersiap untuk ke hospital. Emak tiba dari rumah bapa saudaraku. Bersama suami, Emak dan Ibu Mertua, kami ke Hospital Bersalin. Waktu itu jam menunjukkan pukul 12.45 malam.

Tiba di Hospital aku terus ke Bilik Bersalin. Doktor memeriksa dan mengesahkan bahawa saluran peranakan telah terbuka dan meminta aku berbaring di atas katil. Aku terkebil-kebil di atas katil, tidak pasti bagaimana aku akan bersalin kelak. Baru aku tahu apa yang dinamakan "contraction". Semakin lama semakin kerap dan semakin sakit. Aku ingat pesanan Emak dan Ibu Mertua serta teman-teman, banyak mengucap, berselawat, beristifar. Itulah yang aku lakukan sepanjang menanti saat kelahiran.

Pukul 5 pagi kesakitan makin ketara dan doktor serta jururawat mula membantu ku untuk bersalin. Waktu ini timbul keinsafan, beginikah semasa Emak bersalinkan aku dulu. Ya Allah, Engkau kurniakan sebesar-besar rahmatMu kepada Emak yang bersabung nyawa membawa aku ke dunia ini.

Tepat jam 5.07 pagi, 13 Januari 1988, bayi ku selamat dilahirkan. Beratnya 2.64 kg. Tangisannya seiring dengan tangisan aku. Aku tidak pasti kenapa aku menangis, samada gembira, lega, letih atau sakit. Doktor mengunjukkan bayi itu kepada aku, tetapi aku terlalu keletihan. Cuma yang pasti bayi ini perempuan, berkulit cerah. Selepas itu jururawat memberiku minuman milo panas. Setelah selesai semua prosidur di bilik bersalin, aku dimasukkan ke wad. Emak dan Ibu Mertua memberi ciuman sayang kepada aku. Kasihan mereka sepanjang malam berjaga menunggu aku selamat bersalin. Suami melaungkan iqamah di telinga bayiku. Semoga engkau menjadi insan solehah.

Kelahiran Kak Long (1)

Tahun 1988 adalah tahun yang membawa aku kepada setingkat lagi pencapaian dalam hidup. Pada 13 Januari 1988 aku selamat melahirkan Kak Long.

Semasa aku diberitahu oleh doktor bahawa aku telah hamil, aku jadi keliru. Hamil??? Aku tak mampu memikirkan bahawa aku akan jadi ibu dalam usia 24 tahun. Mungkin bagi sesetengah orang usia tersebut telah cukup dewasa, tapi aku rasanya tidak begitu bersedia. Aku baru sahaja berkahwin pada bulan Januari 1987, bulan Mei aku telah disahkan mengandung.

Suami pun terkejut, berkali-kali aku memberitahunya ... dia hanya memandangku, agaknya kurang percaya. Setelah beberapa ketika, barulah dia seolah-olah tersedar dari mimpi, dia akan jadi bapa.

Sepanjang tempoh hamil, aku tak banyak ragam. "Morning sickness" pun hanya untuk tempoh 3 bulan pertama. Suami menatang aku bagai minyak yang penuh, sebut sahaja apa nak dimakan, akan usaha dicari. Yang pasti aku cuma mengidam hendak makan nasi dagang. Walau pun ada beberapa gerai menjual nasi dagang, tapi aku cuma mengidamkan nasi dagang Kedai A. Malang nya sehingga 3 kali aku berulang ke kedai tersebut, aku masih gagal mendapatkannya. Ada saja alasan Pakcik yang menjual, "minggu depan datang ari Sabtu, pakcik jual hari Sabtu je". Pada minggu depan pula, lain alasannya, "nasi dah habih, minggu depan datang awal sikit" Minggu ketiga pula ini jawapan pakcik tu "minggu ini tak buat, beras nasi dagang dah habis". Tanpa sedar aku menangis teresak-esak di depan pakcik tu. Dia memandang aku kehairanan. Suami memujuk ku. Di rumah aku menangis lagi, sedih!!!!

Tanpa aku sedar suami telah mengatur untuk abang iparnya membelikan nasi dagang tersebut pada minggu hadapan. Kebetulan pejabat Abang Mat terletak bersebelahan dengan Kedai A. Sudah rezeki ku, pada minggu keempat aku mendapat apa yang aku hajati dan aku makan nasi dagang tersebut dua bungkus sekaligus. Ha, ha,ha...lega rasanya.

Tuesday, August 11, 2009

Konvokesyen


Semalam aku meraikan hari bersejarah buat Kak Long. Semalam dia menerima segolong diploma di Majlis Konvokesyen ke-10 Multimedia University di Cyberjaya. Tahniah sayang, Mama dan Abah bangga dengan kamu. Teruskan pencapaian lebih cemerlang. Kini Kak Long menyambung pengajian ijazah Bachelor in Accountancy di universiti yang sama.

Sepanjang majlis airmata aku sering jatuh. Entah mengapa aku jadi begitu sensitif melihat sekelilingku. Melihat wajah ibu-bapa....aku sayu, mengenangkan ibu-bapa ini juga seperti aku. Kasih-sayangnya melimpah ruah mahu melihat kejayaan anak-anaknya. Entah bagaimana pengorbanan masing-masing, aku tidak pasti. Maklumlah MMU sebuah universiti swasta, pengorbanan kewangan bukan sedikit. Aku agak bertuah kerana Kak Long mendapat pinjaman PTPTN untuk pengajian diploma dan pinjaman MARA untuk pengajian ijazah. Aku perlu bayar duit asrama dan sara Justify Fullhidup, yang bagiku agak tinggi terutama di Cyberjaya. Semasa pengajian diploma di Kampus Melaka, kos sara hidupnya agak rendah. Tetapi demi masa depan Kak Long, Mama dan Abah sedia lakukan apa sahaja.

Bila aku memandang kepada skrin yang menunjukkan wajah graduan bersama ucapan yang ditujukan kepda ibu-bapa masing-masing, airmata ku tak berhenti mengalir. Syukurlah, kerana semua anak-anak ini menghargai jasa ibu-bapa mereka. Cuma aku harap ianya berkekalan, bukan setakat di sini sahaja. Janganlah nanti setelah mempunyai kehidupan sendiri dan tidak bergantung kewangan kepada ibu-bapa, tiada lagi kata-kata penghargaan seperti itu. Kasihan ibu-bapa kamu.

Aku belikan sejambak bungan untuk Kak Long. Melihat jambangan ros merah jambu itu, senyumnya turut berbunga riang dan bangga. Hati ibu mana yang tidak bahagia melihat kegembiraan anaknya. Walaupun Abah tidak romantik seperti itu, tapi aku tahu dia juga bahagia. Melihat tangan nya erat memeluk tubuh anak sulungnya, aku tahu dia bahagia.

Tuesday, August 4, 2009

Sahabat Lama (5)

Sejak Ahad lepas aku jadi gembira sangat. Ada juga baik nye aku menyertai Facebook ni. Tidak disangka-sangka aku dapat berhubung semula dengan Kak Liza.

Kak Liza merupakan kakak angkat ku semasa di Tingkatan 1. Kali terakhir aku berhubung dengannya 33 tahun lalu. Lama tu. Masing-masing kemudiannya sibuk membina kehidupan. Tapi yang nyata apabila silaturrahim tertaut semula, kemesraan itu pantas terjalin. Tanpa kekok kami saling bertanya khabar, berkongsi cerita terkini.

Aku harap bergitu juga dengan teman-teman yang lain.

Kenangan paling indah dengan Kak Liza semasa aku bercuti hujung minggu di rumah keluarganya. Arwah ibu dan ayah Kak Liza begitu ria meraikan aku sebagai tetamu. Al-fatihah untuk kedua mereka. Aku dibawa ke rumah nenek Kak Liza di Jalan Kuala Perlis dengan menaiki bas. Turun dari bas kami berjalan meniti batas sawah padi menuju ke rumah nenek yang terletak jauh di tengah sawah. Persekitaran rumah kampung itu sungguh damai, redup dikelilingi pohon mangga dan kelapa. Cuma aku terperanjat besar apabila bertembung 2 bangkai ular yang besar terdampar di tepi batas yang kami lalui. Menurut ibu Kak Liza itu ular katam tebu, spesis ular berbisa yang memang hidup dalam sawah. Mata aku pantas melihat ke kiri kanan takut-takut ada ular lain yang akan menerpa ke arah kami.

Makan tengah hari itu seingat aku amat ringkas, ikan masak asam pedas, puyu goreng, rebus paku rawan dan sambal belacan. Kami makan atas tikar mengkuang di bawah pokok mangga. Sepoi-sepoi angin sawah menghilangkan haba matahari yang terik memancar, malah kami semua begitu berselera makan. Selepas itu kami makan mangga muda dicecah garam belacan. Sedap sungguh, hingga masa aku menulis blog ini pun air liur kecur mengingatkan keenakannya.

Kemudian kami lepak di atas buaian yang diikat antara pohon-pohon mangga itu. Nun di sana padi beralun mengikut arah angin, ada yang hijau ada yang dah kekuningan. Musim menuai telah tiba. Aku sudah mengantuk waktu itu, perut sudah kenyang, dibuai pula angin nyaman, aduh..nikmatnya.

Waktu mandi lagi gamat. Air dari telaga yang terletak di bawah redup pohon-pohon begitu dingin sekali. Sekalipun waktu itu cahaya matahari sangat terik, aku menggeletar kesejukan. Gigi dan lutut aku berlaga sesama sendiri. Aku menjerit-jerit setiap kali air menjirus tubuh. Tak dapat aku bayangkan macamana rasanya mandi di waktu pagi.

Petangnya aku menyaksikan ibu dan nenek membuat ringgi, sama macam emping juga. Pulut muda disagai atau goreng tanpa minyak hingga masak sebelum ditumbuk dengan lesung. Kemudian dicampur dengan kelapa dan gula. Minum pula secawan kopi kampung, sungguh nikmat.

Aku hingga kini merindui suasana itu. Ingin aku bawa anak-anak menyertai homestay yang dapat mendedahkan mereka kepada suasana seperti itu, tapi tidak mendapat sebarang maklumbalas positif dari mereka. Semua tidak berminat. Alangkah ruginya kalian.

Tuesday, July 28, 2009

Sahabat Lama (4)


Aku sambung lagi cerita aku dan sahabat sekolah menengah semasa di Perlis.

Memang itulah ceritera hidup yang indah bagi aku. Aku dalam proses mengenal erti persahabatan, erti kasih-sayang sesama insan yang tiada sebarang pertalian darah, berbeza loghat percakapan, berbeza cara hidup, berbeza suasana hidup.

Perbezaan pertama aku rasai semasa di Tingkatan 1. Semasa kami semua bersembahyang jemaah Subuh aku jadi keliru, kenapa tiada doa Qunut. Terjadi sedikit pertikaman lidah antara aku dan beberapa teman-teman yang berasal dari Perlis, engkau sembahyang tak betul, kami sembahyang betul. Waktu itu kami begitu naif, apa yang diajar oleh ibu-bapa dan guru agama di kampung itulah yang terbaik. Fikiran masih belum didedahkan dengan pelbagaian Mazhab. Mujur lama-kelamaan aku dapat menerima bahawa sembahyang Subuh di Perlis tidak ada bacaan Qunut, sama seperti keadaannya di Mekah.

Perbezaan suasana sekitar juga mengujakan. Kampung aku penuh dengan tumbuhan getah dan pokok dusun buah-buahan. Di Perlis aku memandang keindahan sawah padi. Di kejauhan bukit-bukit batu kapur bercacak berkelumpu, menjadikan lanskap alam yang sangat indah. Dan aku jatuh cinta dengan keindahan itu. Sehingga kini pun selang setahun aku menjadikan Perlis destinasi percutian hujung minggu apabila kau rindu pada keindahan sawahnya, taliairnya yang jernih, bukit batu kapurnya yang indah, ladang tebu Chuping yang terbentang..bak pemandangan Prairie. Dan setiap kali itu juga aku terkenang saat meniti celah-celah batas sawah padi yang menguning semasa berkunjung ke rumah Jamilah, Suraini dan Kak Liza. Angin sawah yang bertiup tanpa pencemaran sangat menyegarkan.

Loghat Perlis lebih pekat daripada Pulau Pinang. Aku akhirnya terikut-ikut dengan sebutan tersebut, maklumlah selama 5 tahun di Perlis, itulah loghat yang keluar-masuk di telinga ku. Bagi aku orang Perlis suka bergurau, kalau bergurau bunyinya kasar, tapi itulah tanda kemesraan, dan kemesraan itulah yang kekal di hati sehingga kini.

Bukan aku saja yang masih tidak jemu bernostalgia seperti ini. Tapi tanyalah kebanyakan bekas penghuni daerah ini, mereka ramai yang masih merindu kenangan itu. Kerana itu tidak hairan bila saling bertemu dalam blog, atau laman web, atau majlis re-union atau kini "facebook", kerinduan dan kemesraan itu jelas terpancar.

Paling aku sedih ayat dari seorang abang senior yang menghadiri majlis re-union - "mungkin ini kali terakhir kita dapat bertemu, tahun depan mungkin ada aral melintang, mungkin ada yang akan mengadap Tuhan, jadikan perjumpaan ini yang paling manis untuk dikenang".

Oh sayunya.

Friday, July 17, 2009

Sahabat Lama (3)

Dorm 2, Tingkat 2, Asputri (1975)

Pengalaman di sekolah berasrama selama 5 tahun amat mahal bagi ku. Di sinilah aku membentuk diri dari seorang anak yang manja menjadi remaja berdikari, dari penakut jadi berani, dari kanak-kanak kepada dewasa.

Semasa mula belajar di asrama ini umur aku baru nak menginjak 13 tahun. Sekolah ini di negeri Perlis jaraknya beratus batu dari kampungku di Perak. Dengan ketiadaan lebuhraya ketika itu perjalanan boleh memakan masa hampir 6 jam.

Emak dan Arwah Apak meninggalkan aku di sekolah ini dengan penuh tawakkal. Itulah pertama dan terakhir mereka menjejakkan kaki di sekolah tersebut. Selepas itu aku harus bergerak sendiri. Aku bertuah seorang pelajar senior mengambil aku sebagai adik angkatnya. Kakak Che Sham sentiasa bertanya kabar sekiranya aku memerlukan bantuan sepanjang berada di daerah asing ini.

Selain beliau, aku juga berkawan dengan teman-teman sebilik dan teman sekelas yang lain. Waktu itu aku masih tercari-cari samada perlu rapat dengan teman sekelas atau teman sebilik. Akhirnya aku memilih teman sebilik. Kami dalam tingkatan yang sama tetapi berlainan aliran, aku aliran melayu, Moz aliran Inggeris. Aku makan pagi dan malam bersamanya. Pergi ke bilik air waktu subuh pun bersama. Keluar ke pekan Kangar setiap hujung minggu bersama. Malah Moz juga sering membawa aku berkunjung ke rumah keluarga beliau di Kg Sena, Kangar. Aku mengenali hampir seluruh keluarganya, ayah, ibu tiri, nenek, emak saudara, bapa saudara, sepupu dan adik-beradiknya. Walaupun keluarganya hidup serba sederhana, tetapi mereka amat kaya dengan budi bahasa. Aku jadi tidak kekok bersama mereka. Hingga kini, walaupun sebahagian besar mereka telah tiada di dunia ini, wajah dan jasa mereka tetap aku kenang.

Aku juga berkenalan dengan Fauziah. Walau pun kami berlainan aliran, tetapi aku jadi rapat apabila mengetahui kami berasal dari daerah yang sama di Perak. Memandangkan bapa beliau bekerja sebagai Sarjan Polis di Perlis sejak berpuluh tahun, Fauziah dilahirkan di Perlis. Aku dijadikan anak angkat oleh keluarga Fauziah. Selalunya aku akan berkunjung ke rumah keluarganya apabila cuti hujung minggu. Di sini aku dapat melepaskan kerinduan pada loghat dan makanan Perak. Malah aku turut menyertai keluarga ini berpindah dari rumah kampong ke Berek Polis Beseri. Penat juga mengangkat dan menyusun barangan, tapi aku gembira menjadi sebahagian dari keluarga ini. Kini kedua ibu-bapa angkat ku juga telah meninggal.

Aku menjadi rapat dengan teman sekelas hanya apabila aku berada di Tingkatan 4 dan 5. Aku masih ingat kami 6 pelajar perempuan yang sering bersama ke mana sahaja, Aku, Yati, Dikna, Suraini, Salmah Mae dan Aspa. Hidup kami penuh gelak ketawa. Kadang-kadang pelajar perempuan lain menjuihkan mulut memandang kami, meluat agaknya melihatkan kami sentiasa gembira. Pelajar lelaki juga menggelar kami "geng galak". Ah! Peduli apa, kami tidak ganggu oranglain, kami hanya mahu menikmati hidup bersama ini sepenuhnya. Kini seorang dari kami telahpun mengadap Ilahi. Arwah Aspa meninggal beberapa tahun lalu kerana menghidap barah.

Hubungan aku dengan teman-teman sekolah ini terputus agak lama, maklumlah waktu itu kemudahan yang ada hanyalah surat-menyurat. Perpindahan ke sana ke mari kerana menyambung pelajaran dan bekerja dan sikap malas menulis menyebabkan semua sahabat aku membawa diri masing-masing. Sehinggalah pada tahun 2006, seorang teman, Pak Ark mengambil inisiatif mengumpulkan semula teman-teman dan mewujudkan komuniti kami sendiri iaitu Asputra79.

Akulah orang yang paling gembira dan bersyukur kerana dapat menghubungi semula teman-teman. Ada yang kini memegang jawatan tinggi, yang bergelar usahawan, yang telah bergelar hajah dan haji, dan ramai yang kini menunggu masa menerima menantu. Selain dari Arwah Aspa, aku juga telah kehilangan seorang lagi sahabat Arwah Mohsin.

Aku berharap hubungan yang baru disambung semula akan terus berkekalan hingga ke akhir hayat.

Sahabat Lama (2)

Dari atas Jambatan Nordin, penghubung utama Kampung Tanjung Belanja dengan Pekan Parit -
pemandangan ke arah timur yang indah. Sungai Perak serta gunung yang berbalam di kejauhan

Masjid Tanjung Belanja - jumlah jemaah di masjid ini berlipat-ganda apabila tiba Aidil Fitri,
anak perantauan pulang ke kampung

Pekan Tanjung Belanja - sebuah pekan "cowboy"

Cerita tentang sahabat sekolah rendah.

Waktu ini paling bahagia dalam hidup kebanyakan kita. Kita tidak pernah memikir tentang masalah. Ibu bapa yang perlu memikir macam mana hendak menjadikan kita manusia berguna, manusia sempurna.

Aku pun begitu. Yang aku ingat setiap pagi aku bangun dari tidur, bersarapan seadanya dan terus berjalan ke sekolah dengan kakak aku, Yong. Tetapi selepas aku mempunyai kawan sendiri, aku tidak lagi berulang-alik dengan Yong.

Kadang-kadang sepanjang jalan pergi atau pulang dari sekolah, mulut kami riuh bercerita itu-ini, panas matahari tak terasa dik seronoknya bergurau.

Tiba di rumah, setelah makan tengah hari dan mandi-manda, kawan-kawan akan datang ke rumah dan kami berjalan kaki pula ke kelas Fardhu Ain. Cuaca panas dan jaraknya agak jauh dari rumah aku. Emak asyik marah kerana kedegilan aku tidak mahu menggunakan payung. Tetapi aku gembira walau berpanas terik. Seingat aku tidak pernah aku ponteng kecuali sebab demam. Apa lagi di sini aku ada kawan-kawan baru yang lebih ramai.

Pulang dari kelas Fardhu Ain kami akan singgah di mana-mana untuk bermain. Kadang-kadang di halaman rumah aku atau kadang-kadang di rumah sahabat yang lain. Permainan kami begitu ringkas, tidak perlu mengeluarkan modal. Kami bermain sorok-sorok, galah panjang, polis sentri atau 'rounders'. Kalau cuaca tidak baik, kami main serimban menggunakan kulit kerang atau batu jalan sahaja. Begitu lah aktiviti harian kami yang sentiasa cergas. Sebab itu zaman kami dulu jarang jumpa kanak-kanak yang obesiti.

Janji dengan emak masing-masing, sebelum Maghrib semua mesti balik ke rumah. Sekiranya ada yang melanggar arahan, siap akan dibedal. Indahnya waktu itu, kita boleh dibedal oleh sesiapa sahaja termasuk jiran-jiran kita. Mereka menganggap kita sebagai anak mereka yang perlu didisiplinkan. Dan indahnya juga, kita tidak akan berani mengadu kepada emak kita mengenai 'makcik A' tadi pukul saya, 'makcik B' marah saya. Jika mengadu, alamatnya akan terima hukuman tambahan dari Emak atau paling kurang kena tempelak "sapa suruh kamu degil sangat!!!"

Tapi aku tahu, semua keindahan itu tidak ada pada generasi kini. Anak-anak tidak bebas bermain kerana persekitaran yang tidak selamat. Semua orang mengambil sikap jaga tepi kain masing-masing dan tidak peduli hal orang lain lagi.