Bersiap untuk bertolak dari Phuket...gambar di hadapan Toh Loon Hotel
Nappharat Thara Beach di Krabi
Makan tengah hari ala berkelah tepi pantai
Langit gelap - river cruise ke Khao Khanab Naam
Arca dalam gua di Khanab Naam
Pagi-pagi lagi kami sudah check-out dari Toh Loon Hotel. Sementara menunggu semua anggota rombongan berkumpul, kami membeli kuih-muih yang dijual oleh penjaja Muslim di pinggir jalan. Pelbagai jenis kuih samada pedas atau manis terdapat di sini. Ada sebahagiannya hampir sama seperti kuih-muih di Malaysia.
Tiba di kawasan pekan Kamala, kami berhenti untuk sarapan pagi sebelum meneruskan perjalanan ke Krabi. Di Kamala majoriti penduduknya adalah Muslim termasuk bangsa Melayu keturunan Mahsuri dari Langkawi. Masjid dapat ditemui di banyak kawasan dan kebanyakan kaum wanitanya bertudung menutup aurat.
Makan pagi di sini meninggalkan kenangan pahit kepada anak-anak ku yang sedang kelaparan. Mereka memesan roti canai telur dengan semangat berkobar-kobar untuk melepas rindu kepada masakan mamak Penang. Tetapi alangkah hampanya apabila yang tiba ialah sekeping roti canai telur yang di atasnya diletakkan sesudu besar margerin, sudu pekat yang banyak serta gula. Rasa roti dengan lemak telur dan margerin bercampur manis melampau dari susu dan gula cukup untuk mematikan terus selera makan mereka. Akhirnya mereka melapik perut dengan kuih-kuih pedas yang dibeli dari penjaja tadi.
Sepanjang perjalanan keluar dari Phuket, kami singgah di beberapa tempat untuk membeli makanan hasil laut seperti bilis, keropok dan kerepek dan buah-buahan. Cuaca hari ini amat baik. Perjalanan dari Phuket ke Krabi sejauh kira-kira 175 km. Di kiri-kanan jalan kita dapat melihat perkampungan penduduk.
Kami akhirnya tiba di Fossil Shell Beach Krabi pada pukul 11 pagi. Daripada papan maklumat di pantai tersebut, dinyatakan bahawa fosil cengkerang laut ini berusia lebih dari 75 juta tahun. Sekali pandang, ianya seolah-olah satu dataran simen biasa yang menganjur ke laut. Begitu kebesaran ciptaan Ilahi. Dinyatakan juga bahawa di dunia hanya terdapat 3 tempat yang mempunyai kawasan fosil sebegini iaitu di Krabi, Chicago dan Jepun.
Di sini kami membeli barangan hasil marin seperti key-chain, aksesori berasaskan mutiara, bunga-bunga hiasan dsbnya. Abah sempat membeli 2 unit tirai yang dikarang dari kulit-kulit siput yang cantik untuk dipasangkan di pintu rumah. Setelah tawar-menawar, kami membayar 380 bath (RM38) bagi setiap unit tirai tersebut. Ianya dibungkus di dalam kotak panjang untuk memudahkan kami membawanya pulang.
Kami kemudiannya bertolak ke Nopphat Thara Beach untuk makan tengah hari. Satu lagi pengalaman baru bagi kami. Di sini pelanggan boleh membuat tempahan makanan dari gerai-gerai yang terdapat di tepi pantai tersebut. Pemilik gerai akan menghantar tikar-tikar untuk dibentangkan. Mereka kemudiannya menghantar pula minuman dan makanan satu-persatu untuk pelanggan. Pemandangan di pantai ini sungguh indah. Paling penting, pantainya begitu bersih. Tidak terjumpa langsung, bekas-bekas makanan atau sampah sarap di mana-mana. Plastik hitam untuk membuang sampah di sediakan pada batang-batang pokok dan kerap dipungut oleh pekerja perbandarannya. Kami merasa begitu selesa makan dalam keadaan yang bersih dan nyaman seperti itu. Dari kejauhan kelihatan pulau-pulau cantik bersusun dan kami bercadang untuk ke sana petang nanti.
Selesai makan kami terus ke Masjid Al Aman untuk solat. Ketika ini hujan mulai turun dengan lebat. Cuaca yang panas terik pagi tadi bertukar menjadi mendung.
Selesai solat kami pergi ke jeti untuk pelayaran menyusuri pulau-pulau indah. Malang sekali ketika itu hujan renyai-renyai masih turun dan lautnya tampak bergelora. Kami membatalkan hasrat untuk melihatkan keindahan pulau-pulau tersebut atas sebab-sebab keselamatan. Dengan bot nelayan yang kecil, kami khuatir ramai yang akan muntah-muntah dan lembik sepanjang pelayaran yang memakan masa hampir 1 jam tersebut.
Kami meneruskan perjalanan ke bandar Krabi. Bandarnya agak besar dan lengkap. Di sini kami bersetuju untuk mencuba river cruise. Dengan 2 buah bot, kami menuju ke Khao Khanab Naam, iaitu pulau-pulau yang mempunyai bentuk yang cantik. Di salah satu pulau tersebut, kami mendarat dan seterusnya menaiki tangga batu untuk memasuki sebuah gua yang di dalamnya terdapat berhala Buddha. Walaupun sebenarnya badan telah letih, tetapi kami tercabar melihat kesungguhan Pakcik Hasbullah mendaki mendahului kami.
Kembali ke bandar Krabi, kami meneruskan perjalanan untuk pulang ke Nakhorn. Pada pukul 7.30 malam, kami singgah selama kira-kira 30 minit di sebuah stesen minyak untuk minum kopi dan pergi ke tandas. Sepanjang perjalanan yang gelap, tidak banyak yang dapat dilihat selain dari pokok-pokok hutan. Raihan memandu kami melalui jalan pintas dan kami akhirnya selamat tiba di Nakhorn pada pukul 11 malam.
Waktu ini semua orang sudah kelaparan. DKami berhenti makan di sebuah foodcourt yang menjual makanan Muslim. Di sini kami mencuba beberapa jenis makan Siam seperti mee dan nasi gorengnya. Setelah itu kami kembali ke rumah Raihan untuk tumpang bermalam bagi kali kedua.
No comments:
Post a Comment