Jinak-jinak merpati di Patong Beach
Pemandangan indah di Phromthep Cape
Melihat ikan Phuket
Pemandangan sebahagian Phuket dari Khao Khat View Tower
Tuk-tuk berbaris menunggu penumpang di hadapan Jungceylon
Patong Beach yang meriah pada waktu malam
Pagi ini kami berjalan kaki menyusuri Patong Beach untuk makan pagi di sebuah food-court. Sepanjang perjalanan itu aku perhatikan pantai ini dijaga dengan bersih. Tidak terjumpa gumpalan sampah sarap, plastik, botol-botol air hatta ranting hanyut dibiarkan mengotori pantai. Hati aku terfikir, kenapa keadaan ini tidak berlaku di pantai-pantai Malaysia. Lagi-lagi isu mentaliti penduduk dan penguatkuasaan undang-undang!!
Ketika ini laut sangat bergelora. Ombak yang tinggi memukul pantai dengan kuat. Teringat aku peristiwa pada 26 Disember 2004 apabila tsunami yang dahsyat melanda rantau Asia. Phuket turut terjejas teruk termasuklah Patong Beach ini yang mengadap secara terbuka ke Laut Andaman. Dianggarkan seramai 250 orang termasuk pelancong asing terbunuh dalam bencana tersebut. Walau bagaimanapun, dalam tempoh setahun sahaja Phuket dapat dipulihkan dan beroperasi secara normal semula.
Di pantai ini disediakan pelbagai "sculpture" menarik berbentuk ikan lumba-lumba, anjing dan burung. Anak-anak begitu riang dapat bergambar dengan sekumpulan burung merpati yang sangat jinak. Apabila kita lalu berhampiran mereka, burung-burung ini akan berganjak sedikit sahaja, tidak terbang pun.
Selesai makan pagi kami bertolak ke Phromthep Cape. Di sini kita dapat melihat keindahan dunia dari puncak yang tinggi. Tentunya pemandangan paling indah adalah semasa matahari jatuh. Sayang sekali semasa kami berada di sini hujan turun renyai-renyai dan pemandangan keseluruhan agak kabur walaupun jam telah menunjukkan pukul 9.30 pagi. Angin pula bertiup amat kencang dan kami kesejukan. Dalam renyai-renyai hujan kami tetap tidak melepaskan peluang merakam keindahan tempat ini, berposing dalam hujan.
Kami seterusnya bergerak ke Akuarium yang terletak berhampiran Panwa Cape. Bayaran masuknya murah sahaja iaitu 60 bath atau RM6. Akuarium ini agak kecil dan tidak mempunyai koleksi ikan yang banyak.
Destinasi seterusnya ialah Khao Khat View Tower. Untuk menaiki menara ini kami semua hampir semput, maklumlah kebanyakan makcik ini telah kehilangan stamina. Daripada menara ini kita boleh melihat Phuket secara 360 darjah. Satu perkara yang menarik perhatian aku, sepanjang laluan serta semasa berada di atas menara, didapati keadaan terjaga bersih. Tidak tedapat habuk atau sampah-sarap di tempat-tempat duduk, tidak ada lukisan artis gatal tangan di dinding-dinding bangunan. Aku hanya mampu mengeluh mengingatkan tempat-tempat yang aku lawati di tanah air sendiri.
Kami kemudian bergerak ke Phuket Town. Laluan dari Patong Beach hinggalah masuk semula ke Bandar Phuket mengingatkan aku kepada Pulau Pinang. Laluan berbukit mengelilingi pantai dan pulau seakan-akan laluan Batu Ferringhi dan Balik Pulau. Di Phuket yang majoritinya penduduknya Melayu Muslim, terdapat banyak masjid didirikan. Rata-rata kaum wanita Muslim dapat dikenali kerana mereka memakai tudung kepala.
Di bandar kami bertemu salah seorang ahli keluarga Sumalee yang berasal dari Ranong. Setelah berbual-bual sebentar, kami menuju ke restoran untuk makan tengah hari. Dengan badan letih dan perut berkeroncong, terasa enak sekali makanan hari ini dengan hidangan tomyam putih, daging goreng kicap, kerabu mempelam, ayam masak sos dan isi ikan goreng berlada. Beras siam pula begitu cantik, panjang dan wangi.
Seterusnya kami berbelanja di bazar yang menjual pelbagai barangan seperti pakaian, beg tangan dan kasut, cenderahati, aksesori dll. Terpinga-pinga anak-anak ku apabila dihulur wang 1,000 bath setiap seorang. Ha ha ha ... maklumlah tidak pernah ibu mereka membenarkan mereka berbelanja RM1,000 setiap seorang. Mereka membeli beberapa helai baju dan beg tangan di sini.
Setelah puas berbelanja di sini, kami bertolak pula ke kompleks membelibelah yang moden dan cantik, Jungceylon. Kebanyakan barangan di sini adalah berjenama dan mahal. Kami hanya membeli cenderahati seperti magnet petisejuk, pemegang kunci, pen dsbnya. Setelah itu kami berehat sambil makan aiskrim dan memerhati gelagat pelancong yang begitu ramai. Nampaknya ramai sekali lelaki Eropah yang berpasangan dengan wanita tempatan.
Kaki sudah sakit, badan pun sudah letih. Kami kembali ke hotel untuk membersihkan diri dan berehat sebelum keluar semula pada pukul 8.30 malam. Kali ini kami makan di sebuah lagi kedai makan berhadapan dengan masjid di Phra Barami Road. Ketika itu azan Isya berkumandang dan aku perhatikan begitu ramai kaum lelaki serta kanak-kanak lelaki dan perempuan berada di masjid tersebut. Menurut Raihan Sumalee, kanak-kanak tersebut mengikuti pengajian Al Quran di masjid. Begitu mereka mengimarahkan masjid untuk menarik kanak-kanak mengunjunginya.
Selesai makan kami berjalan kaki di sepanjang Patong Beach. Suasana malam begitu berbeza dengan keadaan yang tenang pada pagi tadi. Kini sepanjang laluan dipenuhi manusia dan lampu yang pelbagai warna. Terdapat juga restoran dan pub berlampu malap dan romantik. Kami disapa oleh penjual yang memanggil kami singgah di gerai-gerai yang banyak di laluan tersebut. Kebanyakan penjual ini berketurunan Nepal. Memandangkan kami telah berbelanja pada siang tadi, perjalanan pada malam ini lebih kepada mencuci mata sahaja.
No comments:
Post a Comment