Menjamu selera bersama keluarga Sumalee (Kampong A)
Laksa yang enak..slurpppp
Bersama sebahagian ahli keluarga Sumalee (Kampong C)
: dari kiri Pak Usu, Syakirin Sumalee, Abah,
Pakcik Hasbullah dan kanan sekali Raihan Sumalee
Bersama sebahagian keluarga Sumalee (Kampong C)
Perjalanan ini telah lama dirancang. Tetapi keadaan politik di Thailand yang kacau-bilau menyebabkan misi ini agak tertangguh. Sehinggalah pada bulan Mei apabila keadaan pulih, kami nekad meneruskan misi menjejak saudara-mara di Thailand.
Perjalanan bermula pada waktu subuh. Kami melepasi pemeriksaan Imigresen Malaysia dan Thailand pada jam 11.00 pagi. Begitu ramai pelancong yang menyeberangi sempadan sehingga perlu berbaris panjang. Di Sadao, van yang ditempah telah siap menanti kami. Kami meneruskan perjalanan dengan 9 orang menaiki van Siam dan 4 orang menaiki kereta Pak Usu. Pemandu van, Udin tidak boleh bertutur bahasa Melayu dan inggeris. Mujurlah Pakcik Hasbullah faseh berbahasa Siam...dialah orang perantaraan yang memaklumkan segala jadual perjalanan kami kepada Udin.
Hentian pertama kami ialah makan tengah hari di sebuah restoran Muslim. Stesen minyaknya dilengkapi dengan tempat makan, tandas dan kedai serbaguna. Ala-ala R&R. Begitulah yang aku perhatikan sepanjang tempoh percutian kami di Selatan Thailand. Anak-anak ku gelihati melihat tandas di Thailand. Semua tandas jenis cangkung. Tidak ada kemudahan "flush". Di sisi tandas ini terdapat kolah kecil berisi air dan dilengkapi sebuah gayung kecil. Tetapi tandas nya bersih dan tidak berbau.
Sepanjang perjalanan kami melalui lebuhraya tanpa tol yang lurus dan mempunyai 4 lorong. Tidak banyak kenderaan kecuali apabila menghampiri kawasan pekan-pekan atau kawasan kediaman. Kami tiba di Nakhorn Si Thammarat pada pukul 4.00 petang dan disambut oleh ahli keluarga di sana dengan penuh mesra. Kami dijamu dengan buah-buahan dan seterusnya menikmati laksa Nakhorn yang enak. Laksanya agak halus berbanding laksa Malaysia dan berkuah lemak dan dimakan bersama-sama sambal, sayur-sayuran dan ulam-ulaman. Sesuatu yang menarik untuk dicuba.
Pada petangnya kami bergambar di sekitar perkampungan ini. Perkampungan ini diasaskan oleh Allahyarham Haji Yaakob Sumalee atau dikenali juga sebagai Haji Yaakob Legor. Allahyarham adalah bapa kepada Pakcik Hasbullah dan juga merupakan adik kepada Allahyarhamah nenek suamiku. Di perkampungan ini terletak rumah anak-cucu beliau dan kompleks sekolah rendah serta sekolah mengengah yang mendidik anak-anak Siam Muslim di Nakhorn. Pendidikan formal disertai dengan pengajian Islam dan Arab. Bahasa pengantar ialah ialah bahasa Siam dan Arab. Sebenarnya agak payah bertemu tulisan rumi kecuali bagi petunjuk jalan.
Kemudiannya kami mengunjungi 2 keluarga lagi di perkampungan yang berhampiran. Sekali lagi kami disambut dengan gembira dan penuh peluk-cium. Agaknya gembira sekali bertemu ahli keluarga yang lama menghilang.
Aku perhatikan walaupun rumah-rumah yang kami kunjungi ada yang agak kecil, tetapi ianya dibina agak mewah. Semua lantai adalah daripada "tile", termasuk tangganya. Daun pintu dan tingkap daripada kayu berhias. Agaknya "tile" di Thailand dijual dengan harga yang murah.
Setelah itu, kami mengunjungi pula Pasar Malam. Anak-anak ku gembira membeli pakaian fesyen up-to-date yang harganya sangat murah. Oh ya..tukaran wang asing kali ini ialah RM100 bersamaan dengan 980 Bath.
Makan malamnya kami dijamu dengan nasi, ikan seolah-olah masak masam manis, tomyam, ayam masak halia, kerabu mangga dan ulam-ulaman. Terdapat beberapa anggota keluarga Sumalee yang masih boleh bertutur bahasa Melayu Pattani dan ini memudahkan interaksi antara kami. Dapatlah kami bertukar cerita dan bertukar resipi...ha ha.
Malamnya kami ditempatkan di rumah Suadara Raihan. Rumah yang luas ini tidak dihuni memandangkan beliau dan isteri bekerja di Songkla. Justeru itu kami semua dapat berishtirehat dengan penuh keselesaan.
No comments:
Post a Comment