Puteri Bongsu bersama kakak-kakaknya (gambar 12 tahun yang lalu)
Cuti sekolah kali ini aku tak ke mana-mana. Maklumlah, kereta dah kena jual ... nak tunggu yang baru, tak tau bila nak sampai. Dengan kereta comel tu, tak berani nak pergi jauh-jauh. Kurang selesa. Mana nak isi orang yang semua bersaiz montok, nak isi beg-beg pakaian yang besar dan berat. Jadi ... cuti kali ini cuma aku dan Abah cuma memenuhi undangan kenduri di sekitar Pulau Pinang dan Kedah sahaja.
Kak Ngah biasa aja. Setiap hujung minggu, dia akan memandu keretanya berjumpa teman-teman, lepak-lepak di Jusco atau Sunway Carnival. Semenjak jadi penganggur terhormat ni, setiap hari dihabiskan dengan membantu aku di rumah. Melipat kain, vacum karpet dan menggantikan tugas memasak bila angin malas ku datang (Chef pun nak cuti juga). Cuma hari minggu dia keluar, untuk menghilangkan tension, kononnya.
Tetapi Puteri Bongsu tidak boleh berbuat demikian. Pertama dia belum boleh memandu. Kedua dia belum cukup umur untuk keluar bersendirian dengan kawan-kawan. Kalau hendak ke mana-mana pun, mesti aku atau kakaknya yang akan menemankan. Sudah tentulah dia menjadi bosan sepanjang 40 hari cuti sekolah ini.
Aku dan adik ku, Mak Yang bersetuju menghantar anak-anak dara kami duduk di kampong menemani Emak. Puteri Bongsu memang rapat dengan sepupunya D. Kini telah seminggu si Bongsu ini berjauhan dariku. Terasa pula rindu padanya. Telah seminggu aku tidak mendengar suara lembutnya, jelingannya bila merajuk atau gelak ketawanya yang manja. Memang Puteri Bongsu ini bila bercakap suaranya lebih lembut dan perlahan berbanding kedua-dua kakaknya.
Memandangkan janji dengan Emak adalah untuk tempoh dua minggu "meminjamkan" cucu-cucunya, aku terpaksalah menahan rindu untuk 7 hari lagi. Adik ... tak rindu ke pada Mama di sini? Mujurnya ada telefon pengubat rindu mendengar suaranya.
No comments:
Post a Comment