Saturday, December 4, 2010

Penyeri Hidup




Wajah-wajah nakal kedua permata hatiku

Kehidupan mereka penuh gelak ketawa. Seingat aku, Kak Long dan Kak Ngah amat jarang bergaduh dan bermasam muka. Perbezaan umur 2 tahun menyebabkan mereka begitu rapat. Ke mana sahaja mereka bersama. Kehidupan ketika itu tertumpu hanya kepada mereka berdua sebelum kelahiran Puteri Bongsu 5 tahun selepas kelahiran Kak Ngah.

Mereka berdua merupakan anak yang sangat aktif, nakal dan bijak. Pelbagai telatah mereka mencuit hati aku dan Abah. Setiap hari, aku memang tidak sabar untuk pulang dari pejabat untuk bertemu kedua-dua permata hati ku ini. Mulut becok Kak Long akan bercerita apa saja. Baginya tiada istilah rahsia. Aku dan Mak Midah (pengasuh mereka) sering berkata, "Kalau benda-benda rahsia ... jangan cakap depan budak-budak ni. Sekejap je cerita rumah Mak Midah sampai rumah Mama, cerita rumah Mama sampai rumah Mak Midah". Itulah sumber keceriaan kami setiap hari. Kak Ngah pula menyampuk dengan pelatnya, yang kadang-kadang sangat menggelikan hati kami yang mendengarnya.

Tetapi kadang-kadang kenakalan mereka juga boleh mencabar kesabaranku. Pernah sebotol shampoo dihabiskan dalam masa sehari apabila mereka berdua mandi bersama. Aku terhidu bau shampoo yang kuat dan terdengar gelak ketawa mereka berdua di dalam bilik air. Pintu bilik air dikunci dari dalam dan mereka enggan membukanya walau berkali-kali disuruh. Apabila Abah menggertak mereka dengan suara yang kuat, baru Kak Long membuka pintu. Alangkah terkejutnya aku, bilik air penuh dengan buih. Lantai pula begitu licin. Apa lagi, Abah buat pertama kalinya memukul kedua-dua puteri kesayangannya dengan rotan. Aku pula kepenatan mencuci bilik air yang licin. Bukan senang membuang shampoo yang pekat melekat di atas lantai dan di dinding.

Pernah sekali aku dan Abah teralit menonton TV. Dua beradik ini bergelak ketawa di dalam bilik. Aku mula rasa tidak sedap hati. Seperti biasa bilik dikunci dari dalam. Puas aku meminta mereka membuka pintu, tetapi mereka enggan. Menggunakan kunci pendua, Abah membuka pintu bilik tersebut. Ya Allah .... bertaburan rambut di atas lantai bilik. Rupanya Kak Long membuat projek memotong rambut Kak Ngah. Aku hanya mampu mengurut dada. Keesukan harinya aku membawa Kak Ngah ke kedai gunting rambut untuk membetulkan semula bentuk rambutnya. Amoi kedai tersebut ketawa terbahak-bahak sambil menggelengkan kepala. "Manyak susah le, sini sudah botak, sini pun botak, macam mana mau alter. Sikit-sikit kita try buat le". Mujurnya rambut Kak Ngah jenis kerinting, kecacatan stail rambutnya tidak begitu ketara. Cuma apabila rambutnya basah, botak-botak tersebut jelas kelihatan.


Semasa menghadiri majlis konvokesyen adikku Pakcor di UTM Sekudai, sekali lagi mereka membuat darahku naik. Sedang kami bersiap-siap untuk bergambar, aku dapati kedua-duanya telah hilang. Kami terpaksa berpecah mencari mereka. Aku ke hulu, Abah ke hilir, adikku Maksu ke baruh. Huh ... ketika itu cuaca begitu panas, orang pula begitu ramai. Bukan senang nak nampak si kecil 2 orang yang terselit di celah-celah orang ramai begitu. Setelah kami terduduk kepenatan mencari mereka dan sedang berkira-kira untuk meminta pihak sekretariat konvokesyen membuat pengumuman kehilangan kanak-kanak, tiba-tiba kedua-duanya muncul dengan gelak ketawa dan senyum manis. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Rasanya mahu sahaja aku memulas telinga kedua-duanya tetapi dilarang keras oleh emak aku yang ada bersama ketika itu. Nasib baik ada Opah menyelamatkan mereka.

Moralnya ... jangan sesekali tinggalkan mereka berduaan tanpa dipantau.

No comments: