Wednesday, December 15, 2010

Hantu Kak Limah Balik Rumah


Mamat Khalid keluar dengan filem terbarunya. Aku, Abah dan anak-anak pergi menontonnya pada malam minggu yang lepas. Kami teruja apabila membaca akhbar yang memaparkan komen dari penonton dan wartawan yang mengatakan filem ini sangat menarik. Dikhabarkan juga filem ini berjaya mengutip RM2.25 juta dalam tempoh 5 hari tayangannya. Woow ... Hebat tu.

Hantu Kak Limah Balik Rumah (HKLBR) .... panjang tajuk filem ni, merupakan filem genre komidi seram sekual kepada filem sebelumnya Zombie Kampung Pisang. Memandangkan kami semua telah menonton filem Zombie ini (di kaca TV beberapa kali) dan sangat terhibur dengannya, kami mengharap HKLBR juga mempunyai standard yang sama. Masih mengekalkan sebahagian besar pelakon yang sama seperti Awie, Soffi Jikan, Man Kadir, Zamie Ismail, Shy8 dan beberapa orang pelakon lain yang kurang kami kenali.

HKLBR mengisahkan seorang wanita pesakit jiwa yang disangka hantu dan telah mengganggu ketenteraman penduduk Kampung Pisang. Pelbagai usaha dilakukan oleh penduduk kampung untuk menghalau dan menghapuskan hantu tersebut, tetapi tidak berjaya. Filem ini menyajikan kritikan sosial terhadap semangat kejiranan, sikap mementingkan kebendaan, sikap percaya kepada tahyul dan kepada orang luar dari lingkungan masyarakat kita sendiri, sikap prejudis terhadap penjenayah yang cuba merubah diri, politik yang banyak hantu dan magik, campurtangan negara jiran dll. Tetapi semua mesej tersebut disampaikan secara sindiran dan penuh kelakar.

Memang kami semua terhibur sepanjang tempoh 1 jam 30 minit berada dalam panggung. Gelak ketawa penonton tidak berhenti dari mula tayangan sehingga ke akhirnya.

Apa pun, bagi aku filem ini sangat berjaya kerana dihidupkan oleh watak Hussin, hero kampong yang baru pulang dari Singapura(lakonan Awie), Abu Hurairah yang becok (Johan Raja Lawak), Pak Abu Ketua Kampung (Zamie Ismail) dan Usop bekas penari kebudayaan yang lumpuh (Shy8) yang berjaya membawakan watak dengan begitu berkesan. Aku juga terhibur mendengar celoteh mencuit hati oleh para pelakunnya dalam loghat Perak Tengah.

Cuma aku rasa agak kehilangan. Dalam filem Zombie dulu, AC Mizal yang berlakun sebagai Mat Karan bersama Que Haidar sebagai Derih adalah dua watak yang sangat menggelitik hati. Bayangkan kalau mereka berdua berlakun dalam HKLBR ... mungkin lagi meriah.

No comments: