Monday, January 31, 2011

Kehilangan Yang Ditangisi

Click to enlarge

Semasa Kak Ngah berumur 5 tahun, aku hamil sekali lagi. Ketika itu aku, Abah dan kedua-dua puteri ku sangat teruja. Semua tidak sabar untuk mendapat adik baru.

Aku memang gembira walaupun terpaksa menempuh alahan. Seperti kedua-dua kehamilan sebelum ini, aku mengalami morning sickness yang teruk untuk 3 bulan yang pertama. Muntah-muntah setiap pagi dan petang, sakit kepala yang teruk dan moody merupakan dugaan yang perlu dihadapi oleh aku, Abah dan anak-anak. Mujurnya alahan ini semakin berkurangan setelah kandungan mencecah usia 3 bulan.

Walau bagaimanapun, semasa menjalani pemeriksaan rutin bulan ketiga dan keempat, doktor yang merawatku menunjukkan riak muka yang merisaukan aku. Denyutan jantung bayi tidak jelas, katanya semasa pemeriksaan di bulan ketiga. Mungkin bayi masih terlalu kecil, kita tunggu bulan depan. Semasa pemeriksaan bulan keempat pun keadaan masih sama. Tetapi aku tidak pula dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan aku pun tidak meminta penjelasan dari doktor tersebut. Aku memberi penuh kepercayaan kepada perhitungan doktor yang sepatutnya lebih pakar dalam mengenalpasti masalah bayi dalam kandungan.

Semasa kandunganku berusia 5 bulan, Abah diarahkan menghadiri kursus seminggu di Kuala Lumpur. Tinggallah aku bersama kedua-dua puteri Permata Hati ku. Mereka tidak banyak kerenah. Cuma aku yang letih. Maklumlah waktu itu aku takut memandu walaupun telah10 tahun memiliki lesen memandu. Setiap hari aku perlu bekejar menaiki bas dan feri pergi dan balik ke pejabat. Kadang-kadang aku menumpang kereta jiranku, Allahyarham Hamdan.

Masuk hari ketiga aku mula merasa kelainan. Sejak pagi lagi aku merasa kesakitan pada ari-ariku. Di pejabat aku hanya mampu diam di kerusi. Mujurnya rakan sepejabat memahami keadaan ku. Semasa turun dari bas untuk pulang ke rumah pada petang tersebut, aku benar-benar menderita. Walaupun jarak dari perhentian bas ke rumah ku tidaklah begitu jauh, aku merasakan seolah-olah perlu melangkah berbatu-batu menahan kesakitan yang semakin ketara. Setelah selesai membersihkan diri, aku menjemput kedua-dua puteriku dari rumah pengasuh. Mujurnya mereka telah siap dimandikan dan diberi makan malam. Aku hanya menjamah roti dan telor goreng pada malam tersebut.

Aku pujuk kedua-dua mereka tidur awal. Aku perlu merehatkan diri. Besuk aku akan memohon cuti tahunan. Aku tidak begitu sihat untuk ke pejabat. Setelah berehat, aku merasakan kesakitan ku semakin reda. Alhamdulillah, dapatlah aku melelapkan mata sambil memeluk kedua-dua puteriku.

Tiba-tiba aku terjaga pada jam 3 pagi. Kesakitan yang mencucuk-cucuk ari-ariku sudah tidak tertahan. SeEmasa di bilik air, aku terkejut besar apabila melihat terdapat banyak darah keluar bersama air kencing. Masyallah ... apa patut aku buat. Abah .... kesianlah pada Mama, aku merintih sendirian. Aku benar-benar takut. Apa patut aku buat???

Dengan berat hati aku mendail rumah Allahyarham Hamdan dan Allahyarham Midah. Aku tahu aku mengganggu tidor mereka. Tetapi aku tidak punya pilihan lain. Setelah beberapa ketika telefon diangkat dan aku menceritakan keadaan ku. Segera kedua-dua mereka datang ke rumah ku dan meminta aku bersiap-siap untuk ke hospital. Kedua-dua puteri ku yang sedang nyenyak tidor ditinggalkan di bawah jagaan anak mereka, Farah.

Sepanjang perjalanan ke hospital, aku sedaya upaya menahan sakit. Rasanya seolah-olah aku akan bersalin. Mujurnya perjalanan waktu dinihari begitu tidak diganggu oleh trafik. Dalam masa 10 minit sahaja kami tiba ke wad kecemasan Hopsital Butterworth (hospital lama). Doktor segera memberi rawatan kepadaku. Tidak sampai 5 minit berbaring di situ, aku tidak mampu bertahan lagi dan bayi pun keluar seolah-olah proses bersalin yang normal.

"Sabar puan. Bayi puan tidak dapat diselamatkan". Aku hanya diam memandang doktor tersebut. Aku buntu, tidak tahu apa yang hendak dikata. Selesai proses membawa keluar uri dilakukan, aku disorong ke wad. Kedua-dua Allahyarham datang menjenguk ku. Ketika itu barulah aku seolah-olah terjaga dari mimpi ngeri. Baru aku sedar bahawa aku telah kehilangan anakku. Aku menangis sepuas hati ku. Kedua-dua Allahyarham memujuk ku agar redha menerima ketentuan Allah. Aku difahamkan bayi tersebut tidak cukup sifat, tidak sihat dan tidak mampu untuk meneruskan usianya. Dia mengalami kecacatan ketara dalam pertumbuhannya. Mungkin juga bayi tersebut telahpun meninggal beberapa hari sebelum ianya keluar dari tubuhku menerusi proses kelahiran.

Ya Allah, berikan aku kesabaran. Kesedihan ku bertambah-tambah apabila keesukan harinya susu badanku keluar. Kesian bayi itu, tidak sempat dia meneguk walaupun setitik susu ibunya.

Abah segera pulang dari Kuala Lumpur. Sementara menunggu Abah tiba, semua urusan mendapatkan surat majikan, menanam bayi dan penjagaan kedua-dua puteriku diuruskan oleh kedua-dua Allahyarham. Ya Allah, Engkau kurniakanlah kebaikan kepada kedua-dua Allahyarham ini. Tempatkanlah roh mereka bersama-orang-orang yang soleh dan solehah. Sesungguhnya aku bersyukur kerana terpilih sebagai orang yang sangat beruntung mempunyai jiran yang baik dan prihatin.

Kedua-dua puteri ku juga menangis kerana mereka kehilangan adik yang mereka nanti. Sabarlah sayang, mungkin rezeki kita belum ada. Apa pun ... Mama bertuah masih ada puteri berdua. Semoga Allah memberikan ganti adik yang baru dalam masa terdekat. Itu doa ku semasa memujuk puteriku pada April 1994. Alhamdulillah pada bulan Disember 1994 aku disahkan hamil semula dan Puteri Bongsu yang comel selamat dilahirkan pada bulan Ogos 1995.

Saturday, January 29, 2011

Ahhh...Lupa Lagi

Setelah 19 tahun hidup bersama (gambar 2006)

Hari yang penuh sejarah - 29 Januari 1987

Agaknya aku dan Abah tidak tergolong dalam kategori pasangan romantik. Tiap-tiap tahun kami selalu terlepas tarikh anniversary ini. Hari ini genap 24 tahun aku menjadi isteri Abah ... Abah menjadi suami aku.

Abah memang dari dulu tidak berminat dengan sambutan sebegini. Bagi Abah ianya amat kebaratan. Kata Abah dia sentiasa mengingati aku, sentiasa menyayangi aku (ahh, lega dan bangganya rasa hati) ... tak perlu tunggu setahun sekali untuk dirai-rai, ditunjuk-tunjuk ... syok sendiri. Ahhh, aku pun tak kisah, sebab aku tahu hati Abah dan aku harap "perasaan"' itu berkekalan sehingga ke akhir hayat kami. Ameen.

Hari ini aku tersedar tentang anniversary ini pada jam 5 petang. pada pukul 5 petang 24 tahun yang lalu, aku sudah mula menukar baju songket yang tebal kepada baju kurung sahaja. Waktu ini aku telah mula menanggalkan mekap yang tebal dan barang kemas yang berat dari tubuhku. Entah berapa utas rantai dan gelang aku pakai, entah sepupu manalah yang meminjamkan barang-barang tersebut kepada Emak ... aku tidak sempat ambil tahu pun. Telah rimas dari pagi bermandi mekap. Ahhh ... cepatnya masa itu berlalu. Masih teringat betapa meriahnya majlis perkahwinan kami, betapa ramainya tetamu yang datang memberi restu dan betapa takutnya aku memulakan perjalanan ke alam rumah tangga.

Ya Allah, berkatilah kehidupan kami sekeluarga, panjangkan jodoh kami dengan penuh keberkatan, jauhi kami dari musibah dan fitnah dunia, selamatkan kami dari kemungkaran, kurniakan kami dengan iman yang teguh, kesihatan yang baik, rezeki yang melimpah-ruah, kurniakan kami anak-anak yang solehah, yang akan mendoakan kami setelah kami meninggalkan dunia ini dan memberi kasihsayang dan bakti ikhlas apabila kami tua kelak, hidupkan kami dalam iman dan matikan kami dalam iman. Ameen

Tuesday, January 25, 2011

Senjakala | P.Ramlee

Allahyarham Tan Sri P. Ramlee ... bukan saja diminati oleh golongan pertengahan umur macam aku (adehhhh), tetapi oleh juga anak-anak yang lahir beberapa dekad setelah pemergiannya.

Puteri Bongsu amat meminati Allahyarham. Semasa dia berumur antara 4 hingga 8 tahun, setiap kali ditayangkan filem Allahyarham di kaca TV, jangan harap orang lain boleh menukar siarannya. Dia akan mengamuk. Mujurnya juga aku, Abah dan kakak-kakaknya juga meminati filem Allahyarham yang berbentuk komedi seperti Pendekar Bujang Lapuk, Nujum Pak Belalang, Madu Tiga, Laksamana Do Re Mi, Masam-masam Manis dan lain-lain lagi. Inilah waktu bergembira kami sekeluarga. Duduk lepak di depan kaca TV sambil bergelak-ketawa.

Aku dan Abah juga meminati lagu-lagu nyanyian dan ciptaan Allahyarham. Antara lagu yang sangat aku minati ialah lagu Senjakala. Walaupun senikata lagu tersebut kurang menarik bagi ku (aku harap penulis liriknya tidak berkecil hati atas pandangan ikhlas ini), tetapi irama lagu ini sungguh indah. Begitu juga suara merdu Allahyarham yang begitu menusuk kalbu.


Wednesday, January 12, 2011

Grrrrr - Sabar, Sabar

Aku nak cepat. Puteri Bongsu akan tamat waktu persekolahan lagi 20 minit. Tetapi aku masih terkial-kial mengekori deretan kereta yang panjang di hadapan lampu trafik ini. Bunyi hon membingitkan telinga hingga terasa migrin mula menyerangku.

Entah kenapa semua perkara umpama berpakat melambatkan aku. Fuhhh ... aku tak mahu Puteriku tertunggu-tunggu, nanti kalau aku lambat dia akan balik sendiri berjalan kaki. Cuaca begitu panas, beg sekolah pulak berat, kenderaan pulak begitu banyak dan semua tidak mahu mengikut peraturan, paling risau kutu-kutu jalan yang sentiasa bersidai di kiri-kanan jalan ... hrmm semuanya menakutkan aku. Memang sebagai ibu banyak benar perkara yang merisaukan hati membiarkan anak dara di jalanan.

Aku mengambil masa hampir 50 minit di bank. Entah kenapa semua petugas kaunter bank itu mengambil masa untuk memproses setiap transaksi. Sebelum aku ada 4 orang pelanggan menunggu, campur aku 5, terpaksa menunggu 45 minit. Walhal ada 4 kaunter dibuka. Entahlah ... aku pun tak faham piagam pelanggan bank tersebut.

Kemudian semasa mendaki jejambat yang melintasi highway, kereta aku terpaksa merangkak 40 km sejam. Ohhh ... di depan aku ada kereta Kancil dengan label L merah. Waduhhhh. Laluan ini pula hanya boleh dilalui oleh sebuah kereta pada satu-satu masa, tiada lorong memotong. Kenapalah juruteranya membuat rekabentuk begini. Bagaimana sekiranya ada kemalangan atau ada kenderan rosak di atas jejambat ini. Bagaimana semua kenderaan yang berderet di belakang akan bergerak ke hadapan? Entahlah ... aku malas berfikir dalam kedaan kalut dan panas begini.

Lebih malang lagi lampu trafik berhampiran kawasan perumahanku rosak. Trafik menjadi kelamkabut. Semua pemandu tidak mahu bertolak-ansur. Hanya pemandu di laluan utama bergerak laju. Pemandu yang hendak membelok ke kiri atau ke kanan terpaksa memberanikan diri mencelah-celah ... memang umpama mahu membunuh diri. Di mana Majlis Perbandaran? Di mana Polis Trafik. Entah ... aku telah terlalu letih terkejar-kejar dari tadi.

Akhirnya berkat doa dan "sabar" aku sampai juga ke hadapan pintu pagar sekolah Puteri Bongsu 5 minit sebelum loceng tamat persekolahan berbunyi. Alhamdulillah.

Friday, January 7, 2011

Sungguh Kurang Sopan!!!


Pagi ini bermula dengan hati yang ceria. Hari ini merupakan hari kedua aku dan Abah melakukan aktiviti berjalan sekeliling taman perumahan ini. Beberapa hari lepas aktiviti ini terpaksa dibatalkan kerana hujan waktu pagi.

Kami menghantar Puteri Bongsu berjalan hingga ke depan pintu sekolahnya sebelum menyusuri deretan bangunan pejabat dan kedai yang masih sepi. Maklumlah jam baru pukul 7.30 pagi, semua pejabat masih belum dibuka, kereta pun belum banyak diletakkan di tempat letak kereta yang tersedia di kiri-kanan jalan.

Kami melakukan beberapa kali pusingan. Fuhhh ... kalau satu pusingan aku kira ada lebihkurang 700 langkah, dua pusingan dah 1,400 ... 3 pusingan dah ... wowww banyak tu. Kalau tiap-tiap hari macam ni, badan mesti slim, kolesterol pun boleh menangis ketakutan, lemak-lemak semua lari kesakitan. Hrmmm, aku harap aktiviti ini akan berterusan, bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam aje.

Sedang kami melangkah untuk pusingan terakhir, tiba-tiba kedengaran dentuman yang agak kuat. Aku dan Abah terhenti melangkah dan mencari-cari arah bunyi tersebut. Kelihatan nun di seberang jalan sebuah motosikal tergolek di atas jalan. Seorang lelaki China keluar dari kereta jenis Vios. Oh ... motosikal tersebut melanggar belakang kereta. Beberapa kereta lain yang sedang dipandu agak laju membunyikan hon dan segera mengelak tempat kemalangan tersebut. Mungkin untuk mengelakkan keadaan yang lebih merbahaya, pemandu Vios tadi masuk semula ke dalam kereta dan mengalihkannya ke tepi jalan. Dengan sepantas kilat, aku lihat penunggang motosikal dan pemboncengnya (seorang perempuan bertudung) segera menaiki motosikal yang jatuh tadi dan memecut pergi. Aku perhatikan pemandu Vios tadi terkejut dengan tindakan pasangan tersebut. Dia menjerit-jerit memanggil mereka sambil menunjukkan penumbuk.

Sungguh kurang sopan. Sudahlah bersalah melanggar belakang kereta orang lain, kenapa perlu lari dari tanggungjawab?? Apa salahnya berbincang atau sekurang-kurangnya meminta maaf atas kesalahan yang dilakukan. Sungguh memalukan apabila orang Islam (aku pasti berbangsa Melayu) menunjukkan keperibadian yang buruk begitu. Takkanlah mereka ini tak faham maksud pekerti atau moral yang baik?? Sebagai seorang Islam dan rakyat Malaysia, rasanya semua kita telah ditanam sifat-sifat tersebut sejak di bangku sekolah rendah lagi. Tapi, apalah daya kalau diri sendiri tidak mahu mempraktikkannya. Hrmmm...

Monday, January 3, 2011

Hetty Koes Endang - Kasih

Malam ini Kasih Teringat aku Pada Mu
Seakan Kau Hadir Di Sisi Menemani Ku
ku Yakin Kan Diri Agar Tiada Sepi
ku Lewat Kau Hadir Di Dalam Mimipi Ku

Seandainya Mungkin ku Mampu Terbang Ke Awan
Detik ini Juga ku Akan Melayang Ke Sana
Kan ku Bawa Pulang
Dirimu Yang Selalu ku Sayang
Bersama Berdua Kita Bahagia

Kasih Dengarlah Hatiku Berkata
aku Cinta Kepada Dirimu Sayang
Kasih Percayalah Kepada Diriku
Hidup Matiku Hanya Untuk Mu

**************************************************

Lagu ini merupakan antara lagu kegemaranku. Irama keroncong yang digubah dengan begitu indah berlagu nyaman di telinga, lirik yang cantik menangkap pendengaran dan tentu suara penyanyi yang lunak menyebabkan aku tidak pernah jemu mendengarnya berkali-kali.

Kenapa minat lagu indon ... bukankah mereka membenci kita, mereka menghina kita. Jangan langsung disanjung lagu-lagu mereka.

Tolonglah ... permusuhan tidak membawa kita ke mana-mana. Keindahan seni adalah anugerah Allah untuk dinikmati bersama walaupun siapa yang empunya karya. Kalau sesuatu itu jelas cantik dan baik, tidak ada salahnya jika ia dikongsi bersama melainkan adanya rasa keegoan yang menafikannya.

Sunday, January 2, 2011

2011 - Aku dan Azam Tahun Baru

Dah masuk hari ke-2 tahun baru 2011.

Aaku tak mau buat apa-apa azam baru, selalu tak menjadi. Azam tinggal azam. Dulu aku berazam nak pergi umrah ... tapi tak kesampaian. Tau-tau terlepas ke Beijing dan Phuket pulak. Astagafirrullahhal azim ... Maha Suci Allah Yang Pengampun dan Penyayang. Semoga tahun ini azam tersebut akan tercapai. kenapa tak tercapai pada 2010 ... malas nak cerita, semua itu boleh dianggap sebagai alasan semata-mata.

Tahun lepas juga aku berazam nak turunkan berat badan sebanyak 5 kilo. Puas aku berjalan setiap pagi sekeliling kawasan perumahan, sampai sakit kaki dan badan, tak makan malam sampai dapat gastrik ... tetapi turunnya sekejap 1 kilo kemudian naik balik ... turun semula 1 kilo naik balik ... diet yo-yo. Hmmm ... aku jadi give-up. Sekarang aku cuma nak jaga pemakanan aje ... maklumlah dah dapat sokongan Abah. Abah risau dengan tahap kolestrolnya yang agak tinggi. Tak mau lagi makanan bergoreng, tak mau makanan kolestrol tinggi (sedih ... sebab aku peminat makanan laut), tak mau makan nasi waktu malam. Sekarang peti sejuk aku penuh dengan sayur-sayuran dan buah-buahan aje. Aku cuma masak nasi dengan lauk mudah (tomyam, sup, asam pedas, ayam atau ikan bakar) untuk makan tengahari sahaja. Malam makan salad, pagi makan roti bakar. Hrmm baru seminggu dengan diet begini, agak ok juga. Aku takut cepat jemu dengan menu sebegitu. Tetapi yang parahnya, setiap hujung minggu ada saja jemputan kenduri. Tak mampu pula nak menahan nafsu. Ahhaaa!!!

Tahun lepas juga aku berazam untuk buat business on-line. Aku dah cuba 2 jenis perniagaan menjual minuman kesihatan. Bentuk perniagaan MLM dengan mencari downline bagi memastikan pendapatan kita terus berkembang. Tetapi aku tak ada kesungguhan. Kemudian hati ku berbelah-bagi pula mengenai status halal-haram business MLM sebegini di sisi Islam. Baik aku jauhi perkara yang aku sendiri tidak pasti ... eluk menjauhi syubhah. Mungkin aku perlu mencari business bentuk lain pula ... bukan MLM.

Ahhh ... banyak lagi azam yang tak tercapai tahun lepas. Tak mengapa ... mungkin kena bawa ke tahun 2011 untuk dilangsaikan.

Yang pasti, aku mesti jadi lebih baik dari tahun lepas ... macamana tu??? Jadi hamba Allah yang lebih taat kepada perintahNya, jadi umat Muhammad saw yang lebih mendekati sunnahnya, menjadi isteri yang lebih baik kepada Abah, jadi anak yang lebih baik kepada Emak dan arwah Apak, menjadi ibu yang lebih baik kepada ketiga-tiga Permata Hatiku, menjadi saudara yang lebih baik kepada adik-beradik dan ipar-duai, jadi jiran yang lebih baik kepada orang sekeliling ku, jadi sahabat yang lebih baik kepada semua kenalanku .... dan jadi lebih baik dalam segala hal. Semoga kehidupanku mendapat keberkatan dari Allah. Ameen