Setelah 19 tahun hidup bersama (gambar 2006)
Agaknya aku dan Abah tidak tergolong dalam kategori pasangan romantik. Tiap-tiap tahun kami selalu terlepas tarikh anniversary ini. Hari ini genap 24 tahun aku menjadi isteri Abah ... Abah menjadi suami aku.
Abah memang dari dulu tidak berminat dengan sambutan sebegini. Bagi Abah ianya amat kebaratan. Kata Abah dia sentiasa mengingati aku, sentiasa menyayangi aku (ahh, lega dan bangganya rasa hati) ... tak perlu tunggu setahun sekali untuk dirai-rai, ditunjuk-tunjuk ... syok sendiri. Ahhh, aku pun tak kisah, sebab aku tahu hati Abah dan aku harap "perasaan"' itu berkekalan sehingga ke akhir hayat kami. Ameen.
Hari ini aku tersedar tentang anniversary ini pada jam 5 petang. pada pukul 5 petang 24 tahun yang lalu, aku sudah mula menukar baju songket yang tebal kepada baju kurung sahaja. Waktu ini aku telah mula menanggalkan mekap yang tebal dan barang kemas yang berat dari tubuhku. Entah berapa utas rantai dan gelang aku pakai, entah sepupu manalah yang meminjamkan barang-barang tersebut kepada Emak ... aku tidak sempat ambil tahu pun. Telah rimas dari pagi bermandi mekap. Ahhh ... cepatnya masa itu berlalu. Masih teringat betapa meriahnya majlis perkahwinan kami, betapa ramainya tetamu yang datang memberi restu dan betapa takutnya aku memulakan perjalanan ke alam rumah tangga.
Ya Allah, berkatilah kehidupan kami sekeluarga, panjangkan jodoh kami dengan penuh keberkatan, jauhi kami dari musibah dan fitnah dunia, selamatkan kami dari kemungkaran, kurniakan kami dengan iman yang teguh, kesihatan yang baik, rezeki yang melimpah-ruah, kurniakan kami anak-anak yang solehah, yang akan mendoakan kami setelah kami meninggalkan dunia ini dan memberi kasihsayang dan bakti ikhlas apabila kami tua kelak, hidupkan kami dalam iman dan matikan kami dalam iman. Ameen
No comments:
Post a Comment