Semasa Kak Ngah berumur 5 tahun, aku hamil sekali lagi. Ketika itu aku, Abah dan kedua-dua puteri ku sangat teruja. Semua tidak sabar untuk mendapat adik baru.
Aku memang gembira walaupun terpaksa menempuh alahan. Seperti kedua-dua kehamilan sebelum ini, aku mengalami morning sickness yang teruk untuk 3 bulan yang pertama. Muntah-muntah setiap pagi dan petang, sakit kepala yang teruk dan moody merupakan dugaan yang perlu dihadapi oleh aku, Abah dan anak-anak. Mujurnya alahan ini semakin berkurangan setelah kandungan mencecah usia 3 bulan.
Walau bagaimanapun, semasa menjalani pemeriksaan rutin bulan ketiga dan keempat, doktor yang merawatku menunjukkan riak muka yang merisaukan aku. Denyutan jantung bayi tidak jelas, katanya semasa pemeriksaan di bulan ketiga. Mungkin bayi masih terlalu kecil, kita tunggu bulan depan. Semasa pemeriksaan bulan keempat pun keadaan masih sama. Tetapi aku tidak pula dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan lanjut dan aku pun tidak meminta penjelasan dari doktor tersebut. Aku memberi penuh kepercayaan kepada perhitungan doktor yang sepatutnya lebih pakar dalam mengenalpasti masalah bayi dalam kandungan.
Semasa kandunganku berusia 5 bulan, Abah diarahkan menghadiri kursus seminggu di Kuala Lumpur. Tinggallah aku bersama kedua-dua puteri Permata Hati ku. Mereka tidak banyak kerenah. Cuma aku yang letih. Maklumlah waktu itu aku takut memandu walaupun telah10 tahun memiliki lesen memandu. Setiap hari aku perlu bekejar menaiki bas dan feri pergi dan balik ke pejabat. Kadang-kadang aku menumpang kereta jiranku, Allahyarham Hamdan.
Masuk hari ketiga aku mula merasa kelainan. Sejak pagi lagi aku merasa kesakitan pada ari-ariku. Di pejabat aku hanya mampu diam di kerusi. Mujurnya rakan sepejabat memahami keadaan ku. Semasa turun dari bas untuk pulang ke rumah pada petang tersebut, aku benar-benar menderita. Walaupun jarak dari perhentian bas ke rumah ku tidaklah begitu jauh, aku merasakan seolah-olah perlu melangkah berbatu-batu menahan kesakitan yang semakin ketara. Setelah selesai membersihkan diri, aku menjemput kedua-dua puteriku dari rumah pengasuh. Mujurnya mereka telah siap dimandikan dan diberi makan malam. Aku hanya menjamah roti dan telor goreng pada malam tersebut.
Aku pujuk kedua-dua mereka tidur awal. Aku perlu merehatkan diri. Besuk aku akan memohon cuti tahunan. Aku tidak begitu sihat untuk ke pejabat. Setelah berehat, aku merasakan kesakitan ku semakin reda. Alhamdulillah, dapatlah aku melelapkan mata sambil memeluk kedua-dua puteriku.
Tiba-tiba aku terjaga pada jam 3 pagi. Kesakitan yang mencucuk-cucuk ari-ariku sudah tidak tertahan. SeEmasa di bilik air, aku terkejut besar apabila melihat terdapat banyak darah keluar bersama air kencing. Masyallah ... apa patut aku buat. Abah .... kesianlah pada Mama, aku merintih sendirian. Aku benar-benar takut. Apa patut aku buat???
Dengan berat hati aku mendail rumah Allahyarham Hamdan dan Allahyarham Midah. Aku tahu aku mengganggu tidor mereka. Tetapi aku tidak punya pilihan lain. Setelah beberapa ketika telefon diangkat dan aku menceritakan keadaan ku. Segera kedua-dua mereka datang ke rumah ku dan meminta aku bersiap-siap untuk ke hospital. Kedua-dua puteri ku yang sedang nyenyak tidor ditinggalkan di bawah jagaan anak mereka, Farah.
Sepanjang perjalanan ke hospital, aku sedaya upaya menahan sakit. Rasanya seolah-olah aku akan bersalin. Mujurnya perjalanan waktu dinihari begitu tidak diganggu oleh trafik. Dalam masa 10 minit sahaja kami tiba ke wad kecemasan Hopsital Butterworth (hospital lama). Doktor segera memberi rawatan kepadaku. Tidak sampai 5 minit berbaring di situ, aku tidak mampu bertahan lagi dan bayi pun keluar seolah-olah proses bersalin yang normal.
"Sabar puan. Bayi puan tidak dapat diselamatkan". Aku hanya diam memandang doktor tersebut. Aku buntu, tidak tahu apa yang hendak dikata. Selesai proses membawa keluar uri dilakukan, aku disorong ke wad. Kedua-dua Allahyarham datang menjenguk ku. Ketika itu barulah aku seolah-olah terjaga dari mimpi ngeri. Baru aku sedar bahawa aku telah kehilangan anakku. Aku menangis sepuas hati ku. Kedua-dua Allahyarham memujuk ku agar redha menerima ketentuan Allah. Aku difahamkan bayi tersebut tidak cukup sifat, tidak sihat dan tidak mampu untuk meneruskan usianya. Dia mengalami kecacatan ketara dalam pertumbuhannya. Mungkin juga bayi tersebut telahpun meninggal beberapa hari sebelum ianya keluar dari tubuhku menerusi proses kelahiran.
Ya Allah, berikan aku kesabaran. Kesedihan ku bertambah-tambah apabila keesukan harinya susu badanku keluar. Kesian bayi itu, tidak sempat dia meneguk walaupun setitik susu ibunya.
Abah segera pulang dari Kuala Lumpur. Sementara menunggu Abah tiba, semua urusan mendapatkan surat majikan, menanam bayi dan penjagaan kedua-dua puteriku diuruskan oleh kedua-dua Allahyarham. Ya Allah, Engkau kurniakanlah kebaikan kepada kedua-dua Allahyarham ini. Tempatkanlah roh mereka bersama-orang-orang yang soleh dan solehah. Sesungguhnya aku bersyukur kerana terpilih sebagai orang yang sangat beruntung mempunyai jiran yang baik dan prihatin.
Kedua-dua puteri ku juga menangis kerana mereka kehilangan adik yang mereka nanti. Sabarlah sayang, mungkin rezeki kita belum ada. Apa pun ... Mama bertuah masih ada puteri berdua. Semoga Allah memberikan ganti adik yang baru dalam masa terdekat. Itu doa ku semasa memujuk puteriku pada April 1994. Alhamdulillah pada bulan Disember 1994 aku disahkan hamil semula dan Puteri Bongsu yang comel selamat dilahirkan pada bulan Ogos 1995.
No comments:
Post a Comment